Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Lagak pekerja cekup perompak

Posted: 18 Dec 2012 08:57 AM PST

KUALA LUMPUR: Tindakan anggota polis menyamar sebagai pekerja kedai serbaneka KK Supermart Holdings Sdn Bhd berjaya menangani kes rompakan dan samun di premis milik syarikat itu termasuk yang terbaru seorang remaja ditembak mati dalam kejadian di Taman Sri Rampai, Setapak, kelmarin.

Pengurus Besarnya, Hooi Weng Kheong berkata, kejayaan itu hasil kerjasama antara pihaknya dengan polis sejak dua bulan lalu bagi menangani kes rompakan berkenaan yang kerap berlaku.


Katanya, anggota polis yang menyamar dengan memakai pakaian seragam kedai serbaneka itu mematahkan cubaan samun dan rompakan yang sering berlaku.

"Taktik polis memakai pakaian seragam pekerja kedai sudah dilaksanakan di beberapa cawangan yang dikenal pasti sering disamun terutama di kawasan panas termasuk Sentul, Jalan Ipoh, Jalan Tun Razak, Puchong, Cheras, Serdang, Wangsa Maju dan Setapak," katanya dalam sidang media di sini, semalam.


Beliau berkata, kedai serbaneka di kawasan itu menjadi tumpuan samun apabila 15 kes dicatat bagi tempoh tahun lalu hingga kini.


Menurutnya, sejak beroperasi pada 2008, pihaknya mengalami kerugian lebih RM1 juta akibat kejadian rompakan dan samun bersenjata.

Katanya, kes berkenaan berlaku di 351 cawangan kedai serbaneka itu membabitkan 671 kes.


"Bagi 2012, syarikat mengalami kerugian RM352,000 membabitkan 217 kes samun," katanya.

Hooi berkata, operasi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) 24 jam turut membantu mengesan suspek terbabit.


Beliau membuat sidang media berkenaan sebagai mengulas kejadian dua lelaki menyerang polis yang mengakibatkan seorang mati, manakala rakannya cedera selepas ditembak dalam kejadian di sebuah kedai serbaneka di Taman Sri Rampai, kelmarin.


Dua lelaki bersenjata parang itu memasuki kedai berkenaan pada jam 4.40 pagi sebelum polis melepaskan tembakan menyebabkan seorang suspek berusia 19 tahun mati, manakala rakannya melarikan diri.


Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, seorang rakan suspek yang berusia 19 tahun kini diburu untuk membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/19


Selaras 74.3 meter persegi

Posted: 18 Dec 2012 08:55 AM PST

KUALA LUMPUR: Keluasan semua 5,669 rumah kos rendah yang akan dibangunkan di Taman Ikan Emas, Cheras, diselaraskan kepada 74.3 meter persegi (800 kaki persegi).

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB), Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, sebelum ini pemilik yang mempunyai dua bilik (rumah asal) akan mendapat keluasan rumah baru 83.6 meter persegi (900 kaki persegi), manakala rumah asal satu bilik akan mendapat keluasan rumah baru 74.3 meter persegi.


"Hasil perbincangan kementerian, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, pemaju dan wakil penduduk, keluasan rumah kos rendah yang bakal dibina di situ akan diseragamkan.

"Bagaimanapun, bagi 859 pemilik rumah yang sepatutnya mendapat keluasan rumah 83.6 meter persegi akan mendapat tambahan pampasan RM14,000 selain sebuah rumah baru," katanya di sini, semalam.


Turut hadir dalam Mesyuarat Pembentangan Hasil Bancian Bagi Cadangan Pembangunan Semula Di Atas Tapak Pangsapuri dan Rumah kos Rendah Sri Johor, Sri Pulau Pinang, Sri Melaka dan Taman Ikan Emas di Bandar Tun Razak, semalam, ialah Ketua Setiausaha KWPKB, Datuk Adnan Md Ikshan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib.


Menurut Raja Nong Chik, pihaknya akan mengadakan sesi penerangan berperingkat kepada penduduk di kawasan terbabit bermula minggu depan mengenai perancangan pemaju.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/19


5,000 terima bantuan persekolahan anak

Posted: 18 Dec 2012 08:54 AM PST

KUALA LUMPUR: Seramai 5,000 penerima dipilih menerima bantuan persediaan persekolahan anak berupa baucar membeli pakaian dan kasut sekolah bernilai RM100 dan wang RM100 setiap seorang.

Bantuan disalurkan Yayasan Wilayah Persekutuan menerusi peruntukan RM1 juta.


Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib berkata, pemberian bantuan daripada kerajaan itu menjadi program tahunan dianjurkan sejak 2008 membabitkan penerima dari tiga Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

"Ia menjadi program yang memberi perhatian dan bantuan pada ibu bapa untuk menyediakan kemudahan pada anak-anak masuk sekolah rendah. "Bantuan berupa sepasang pakaian, kasut, tiga sarung kaki, beg dan wang RM100," katanya pada majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/19


Penarik kereta kena tembak

Posted: 18 Dec 2012 08:53 AM PST

SUBANG JAYA: Seorang penarik kereta, M Subramaniam, 33, parah selepas ditembak dari jarak dekat di kepala ketika minum bersama bapa saudara dan abang iparnya di sebuah restoran 24 jam di Puchong Prima, di sini, pagi semalam.

Seorang saksi berkata, ketika kejadian jam 9 pagi itu, mangsa baru tiba di restoran berkenaan untuk bersarapan sebelum kira-kira 10 minit kemudian terdengar letupan seperti bunyi mercun.


"Orang ramai berpusu-pusu melarikan diri sebelum saya melihat lelaki itu rebah dengan kepala berlumuran darah," katanya.

Adik perempuan mangsa yang enggan dikenali berkata, abangnya (mangsa) tinggal di rumah lain berdekatan rumahnya dan bekerja sebagai penarik kereta.


"Saya diberitahu bapa saudara mengenai kejadian dan bergegas ke sini, namun polis memberitahu abang sudah dibawa ke Hospital Serdang (HS) dengan ambulans," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, suspek melepaskan tembakan ke arah mangsa dari jarak dua hingga tiga meter dan mengenai bahagian belakang kepala mangsa.

"Suspek yang berbadan gempal serta bertopi keledar lengkap berpenutup melarikan diri menaiki motosikal bersama seorang lagi rakannya.


"Siasatan di tempat kejadian tidak menjumpai kelongsong dan anak peluru serta senjata digunakan suspek, malah hasil pemeriksaan mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di restoran berkenaan," katanya.

Menurut Yahaya, mangsa dibawa ke HS dan masih berada dalam keadaan kritikal serta semakan ke atasnya mendapati dia tiada rekod jenayah.


"Polis belum dapat mengenal pasti motif kejadian dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.


"Sekiranya terdapat sebarang maklumat, sila hubungi Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintendan Rosdi M Husin di talian 013-3920694 atau 03-56332222," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/19


Peluru tembus kening kiri

Posted: 18 Dec 2012 08:53 AM PST

KOTA BHARU: Seorang lelaki warga Bangladesh maut dalam keadaan mengerikan selepas dua das tembakan yang dilepaskan penyerangnya mengenai belakang kepalanya sehingga menembusi kening sebelah kiri dalam kejadian di Lorong Tok Gading dekat Jalan Bayam, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.40 malam itu, Md Shah Jalal, 31, yang bekerja di kedai pendingin hawa dan aksesori kenderaan dalam perjalanan membeli makanan kira-kira 100 meter dari tempat kerjanya dengan menunggang motosikal apabila dia dipercayai ditembak dari jarak dekat oleh seorang daripada dua penyerang yang menunggang motosikal Honda EX-5 berwarna merah.


Tembakan itu menyebabkan mangsa yang dipercayai tidak memakai topi keledar, gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas ke arah tiang elektrik di tepi jalan sebelum meninggal dunia.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, pemeriksaan mendapati kesan luka pada kepala mangsa akibat terkena tembakan jarak dekat.


Katanya, mangsa dipercayai tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal kerana topi keledarnya ditemui dalam raga motosikal.


"Menurut saksi yang tinggal berhampiran, mereka terdengar dua das tembakan dan ada saksi melihat motosikal Honda EX-5 berwarna merah dinaiki dua orang meninggalkan tempat kejadian," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, malam kelmarin.

Menurutnya, motif kejadian masih disiasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


"Buat masa ini, kita masih menjalankan siasatan lanjut termasuk menyemak data dalam telefon bimbit mangsa.

"Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk dibedah siasat," katanya.


Mazlan berkata, mangsa bekerja dengan majikan berketurunan Siam sejak dua tahun lalu dan tinggal di tempat kerjanya.


"Mangsa tiada keluarga di negeri ini, namun mempunyai seorang rakan senegara, tetapi sudah dua minggu tidak berjumpa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/19


No comments:

Post a Comment