Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Fellaini mengaku bersalah

Posted: 16 Dec 2012 08:32 AM PST

STOKE (England): Marouane Fellaini (gambar) memohon maaf kerana tindakannya menanduk kepala pemain Stoke City, Ryan Shawcross ketika seri 1-1 dalam aksi Liga Perdana di Stadium Brittania, kelmarin.

Pemain tengah Belgium itu bertembung dengan Shawcross pada minit ke-60 ketika kedua-dua pemain berebut mengambil posisi sebelum sepakan sudut, namun insiden itu tidak dilihat pengadil Mark Halsey dan penolongnya.


"Saya memohon maaf kepada Ryan Shawcross, rakan sepasukan dan kepada penyokong pada perlawanan itu," kata Fellaini.

"Ada banyak tolak-menolak berlaku dalam kawasan penalti Stoke dan saya berasa tidak mendapat sebarang perlindungan daripada pegawai perlawanan.


"Namun saya tahu saya tidak patut melakukannya.


"Saya turut meminta maaf kepada pengurus dan staf. Tiada alasan, saya kecewa dengan cara saya dilayan dan hilang pertimbangan, sesuatu yang tidak profesional mengenai saya." Pengurus Everton, David Moyes berkata Fellaini berhak dihukum kerana kesalahan itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/16


Benitez rela

Posted: 15 Dec 2012 04:23 AM PST

TOKYO: Pengurus Chelsea, Rafael Benitez rela menyerahkan tugas kepada Pep Guardiola akhir musim ini selepas membantu kelab itu memenangi trofi seperti sebelum ini.

Benitez mengambil alih tugas itu secara sementara daripada Roberto Di Matteo, bulan lalu dan meskipun mahu terus bersama Chelsea tapi kelab itu dikatakan meminati Guardiola, bekas pengurus Barcelona.


"Jika beliau datang ke sini dan kami menang banyak trofi, saya pasti gembira," kata Benitez. "Guardiola mempunyai rekod yang hebat." Guardiola memutuskan untuk berehat seketika selepas memenangi trofi ke-14 dalam tempoh empat tahun sebagai jurulatih Barcelona, Mei lalu dan kini dikaitkan dengan banyak kelab termasuk Chelsea, Manchester City, Arsenal dan Bayern Munich. "Semua orang bercakap mengenai Guardiola. Guardiola ini, Guardiola itu tapi Guardiola hanya seorang, beliau hanya boleh pergi ke satu kelab," kata Benitez di Jepun menjelang final Piala Kelab Dunia menentang kelab Brazil, Corinthians, petang ini.

Ketika ditanya perasaannya jika pemilik Blues, Roman Abramovich meminta beliau meninggalkan kelab hujung musim ini, jurulatih dari Sepanyol itu berkata: "Apabila saya putuskan untuk datang ke sini, saya tahu menandatangani kontrak enam atau tujuh bulan dan saya tidak fikir melangkaui tempoh itu." Benitez menerima sambutan dingin sejak mengambil alih tugas di Stamford Bridge tetapi pengurus berusia 52 tahun itu yakin mampu memenangi hati peminat.


"Selepas peningkatan pasukan, cara dan gaya permainan yang diterapkan, saya yakin ramai peminat akan berkata: 'Mungkin kami terlalu berkasar dan perlu memberi beliau peluang mengembalikan keyakinan kepada pasukan dan peminat," katanya.


Sementara itu, David Luiz berkata, Chelsea mesti bergelar juara dunia hari ini, demi mencapai impiannya.

Pertahanan kelahiran Brazil itu meminati Corinthians tapi berhajat menewaskan pasukan dianggap wiranya.


"Saya mempunyai impian itu dan untuk memastikan impian menjadi kenyataan, saya perlu menang," katanya.

"Kini saya memiliki peluang menentang pasukan yang hebat dengan falsafah bola sepak Brazil di final. Mereka miliki ramai pemain hebat Brazil dan Chelsea perlu bekerja keras untuk menang." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/15


Takraw belum ‘mati’

Posted: 15 Dec 2012 04:21 AM PST

SEWAKTU bola sepak, badminton mahupun memanah menjadi bahan perbualan peminat sukan negara sepanjang 2012, sepak takraw bagaikan 'sepi tanpa berita'.

Tidak banyak liputan dibuat mengenai sukan itu, jauh sekali bercerita mengenai pencapaiannya. Lebih malang lagi tiada 'wira' yang benar-benar boleh disanjung setinggi Datuk Lee Chong Wei, Safee Sali mahupun Pandelela Rinong.


Realiti yang harus ditelan adalah sepak takraw yang dianggap sukan tradisi bagaikan sudah hilang seri. Meskipun pelbagai langkah sudah mula diatur bagi mengembalikan kegemilangan sukan itu seperti era Adnan Saidin atau trio emas Sukan Sea Manila tapi boleh dikatakan belum mencapai tahap membanggakan.

Hingga Jun lalu, Malaysia menduduki tempat kedua ranking dunia bagi regu lelaki di belakang Thailand, diekori rapat Korea Selatan dan Indonesia. Begitupun masih ramai yakin sukan ini mempunyai masa depan yang cerah dengan pembabitan generasi muda yang menunjukkan minat dalam sukan itu. Karnival Remaja Kebangsaan yang diadakan di Shah Alam sepanjang minggu ini, menjadi bukti sepak takraw masih belum 'mati'. Kejohanan disertai pasukan pelapis dari seluruh negara, dengan kejohanan membabitkan kategori Bawah 21 dan 18 Tahun.


Pemangku Setiausaha Jawatankuasa Pengadil Persatuan Sepak Takraw Selangor, Hamid Kasmani berkata, kejohanan seperti ini medan terbaik untuk mengetengahkan bakat pemain sepak takraw remaja negara apatah lagi ia turut mengetengahkan acara beregu.


"Apa yang boleh saya katakan tahap permainan mereka adalah tinggi tapi pada masa sama masih perlukan pendedahan," katanya.

Apa yang dimaksudkan beliau adalah menambah pelbagai kategori untuk pelbagai peringkat umur seawal bawah 12, 15, hingga ke 18 dan 21 tahun.


"Menerusi cara itu, lebih banyak pemain pelapis dapat disediakan untuk sukan ini dan saya yakin sukan ini masih punya masa depan yang cerah," katanya yang turut mencadangkan supaya acara wanita turut diberi perhatian.

Malah beliau mahu agar persatuan sepak takraw kebangsaan dan negeri turut memberi tumpuan terhadap golongan lebih muda bagi memastikan lebih lebih ramai pemain berwibawa dapat disediakan apatah lagi sukan itu menyumbang pingat di Sukan Sea.


Pendapat sama turut diluahkan jurulatih pembangunan pelapis Terengganu, Azman Mamat yang optimis dengan perkembangan sukan takraw pada masa ini.


"Kita mempunyai bakat yang mencukupi untuk diketengahkan tapi ia boleh ditambah dengan mengadakan pertandingan di peringkat umur lebih rendah. Setidak-tidaknya mereka boleh bertanding dalam Kejohanan Sekolah-Sekolah Asean yang turut mempertandingkan acara ini," katanya.


"Kejohanan seperti ini berjaya melahirkan pemain berwibawa seperti Zulkifli Abd Razak, Hanafiah Dollah, Syazrin Qamar, Mohd Khairol Zaman dan Ahmad Aizat dan ada di antara mereka kini beraksi di Sukan Universiti Asean (AUG).


"Yang penting adalah pendedahan berterusan perlu diberikan kepada mereka untuk menyerlah di peringkat seterusnya. "Terengganu sebagai contoh mengambil khidmat jurulatih dari Thailand untuk melatih skuad sepak takraw negeri selain turut membantu program pembangunan sepak takraw negeri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/15


Dalami ilmu pelayaran

Posted: 15 Dec 2012 04:20 AM PST

TIRAI kejohanan Piala Monsun sudah dilabuhkan di Pulau Duyong, Kuala Terengganu pada 8 Disember lalu dan sekali lagi pelayar negara, Jeremy Koo yang juga jurumudi KFC Malaysia-Koo Racing Team hampa apabila menamatkan perlumbaan pusingan awal tanpa sebarang kemenangan.

Namun, pelayar berusia 31 tahun itu yang terpaksa berpuas hati dengan hadiah tempat terakhir, RM50,000, yakin wakil negara di Piala Monsun tahun depan mampu memberikan saingan lebih hebat kepada pelayar bertaraf dunia termasuk juara dunia empat kali, Ian Williams dan juara Piala Monsun 2012, Taylor Canfield.


Menurut Koo, sekiranya Canfield yang juga pelayar US Virgin Islands berusia 23 tahun mampu membawa pulang Piala Monsun walaupun baru sekali bertanding di sirkit terakhir Alpari World Match Racing Tour itu, pelayar negara juga berpotensi melakukan perkara sama.

"Negara kita mempunyai pelayar berbakat tapi pada masa ini mereka tidak berpeluang menimba pengalaman berlumba di pentas antarabangsa dan bersaing dengan pelayar berkaliber dunia.


"Salah seorang daripada mereka ialah Hazwan Hazim Dermawan yang sudah tiga kali kecewa untuk layak ke Piala Monsun selepas tewas di tangan saya pada pusingan kelayakan Sirkit Match Racing Malaysia tapi saya percaya dia mampu menaikkan nama negara dalam masa terdekat," katanya.


Keyakinan Jeremy itu berlandaskan peluang diberikan kepada jurumudi pasukan Hotel Permai Match Racing itu yang akan menjalani latihan di Perth, Australia dan menyertai Regatta Remaja Warren Jones, bulan depan.

Hazwan, 23, mendapat tajaan penganjur kejohanan Piala Monsun, T-Best Events Sdn Bhd selain penaja utama, Hotel Permai bakal memperoleh pengalaman berguna apabila berlumba di kejohanan antarabangsa yang akan disertai pelayar berusia bawah 25 tahun itu.


Dia yang gembira kerana mendapat peluang itu berkata, kesempatan diberikan kepadanya itu tidak akan disia-siakan dan berjanji berusaha meningkatkan prestasi menerusi pengalaman serta ilmu yang diperoleh di Perth.

"Banyak lagi perlu saya pelajari dalam sukan pelayaran ini namun saya percaya dengan semangat dan keyakinan diri saya dan rakan sepasukan, kami mampu muncul pasukan pelayaran handal satu hari nanti," katanya.


Pengurus Besar Hotel Permai, Azman Ali yang juga pengurus pasukan Hotel Permai Match Racing berkata, tawaran penganjur kejohanan Piala Monsun itu besar ertinya bukan saja kepada Hazwan, malah kepada semua warga kerja hotelnya di Kuala Terengganu.


"Kami di Hotel Permai amat meminati sukan pelayaran dan sentiasa menyertai pertandingan dianjur penganjur Piala Monsun.


"Dua tahun lalu kami mengambil keputusan menaja Hazwan kerana potensi dimilikinya dan walaupun dia sekali lagi gagal mewakili negara di Piala Monsun, kami tetap gembira kerana mendapati prestasinya semakin meningkat," katanya.


Sementara itu, Penasihat Piala Monsun, Datuk Peter Gilmour turut percaya Hazwan mampu menjadi pelumba lebih baik jika diberikan latihan dan pendedahan sempurna.


"Hazwan sudah membuktikan keupayaannya apabila layak bersaing merebut Piala Monsun tiga tahun lalu dan prestasinya dijangka lebih meningkat andai dapat menjalani latihan sepenuh masa dan menyertai lebih banyak pertandingan bertaraf antarabangsa.


"Sebagai penganjur Piala Monsun, kami mahu lebih ramai Jeremy dan Hazwan dan kami akan melakukan apa yang terdaya untuk mengetengahkan lebih ramai pelayar berbakat Malaysia pada masa depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/15


Kejutan Nurul

Posted: 15 Dec 2012 04:20 AM PST

ATLET negara, Nurul Sarah Abdul Kadir bukan saja meraih pingat emas acara 100 meter olahraga wanita AUG 2012 tapi turut berjaya menumpaskan juara Sukan Sea Indonesia 2011 pada final di Stadium Utama Kompleks Sukan Nasional, Vientiane, semalam.

Nurul Sarah mencatat kepantasan 12.14 saat untuk berada di tangga pertama mengatasi atlet Thailand, Pimpika Kannikom, 12.15s (kedua) dan ratu pecut Sukan Sea, dari Indonesia, Unani Serafi, 12.34s.


"Itu bukan masa terbaik saya kerana pernah mencatat 11.83s di Sukan Sea Laos 2009 dulu.

"Namun, saya agak berpuas hati kerana mampu mengalahkan Unani yang memenangi pingat emas di Sukan Indonesia tahun lalu, "Meskipun saya tidak ke Sukan Sea Indonesia tapi kemenangan ini adalah antara yang terbaik kerana mampu menewaskan juara Asean," katanya.


Malaysia menamatkan hari pertama saingan olahraga dengan mengutip empat emas dan tiga perak.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/15


No 1 Asean

Posted: 15 Dec 2012 04:19 AM PST

JURULATIH terjun negara, Yang Zhuliang meletakkan Malaysia di tangga nombor satu Asean selepas acara terjun AUG 2012, Laos menutup tirai semalam.

"Bukan mendabik dada tapi penerjun Malaysia tidak mampu dikalahkan di Asean.


"Kami di tangga kedua Asia, di belakang China tapi di sini, kami nombor satu.

"Malah penerjun negara juga meraih tumpuan di sini kerana semuanya bertaraf dunia serta Olimpian," katanya.


Bermula pada hari pertama, Khamis lalu, Leong Mun Yee meraih pingat emas acara 1 meter papan anjal individu manakala Cheong Jun Hoong, pingat perak acara sama.


Kemudian Mun Yee mengutip pingat emas kedua dalam acara platform individu disusuli Bryan Nickson Lomas mengungguli acara 1m papan anjal lelaki.

Hari terakhir semalam, menyaksikan Jun Hoong mengutip pingat emas 3m papan anjal individu dengan Wendy Ng Yan Yee, meraih perak.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/15


Kesilapan Wenger

Posted: 15 Dec 2012 04:19 AM PST

PENGENDALI Arsenal, Arsene Wenger kini menjadi watak paling diperkatakan sepanjang minggu ini, berikutan kekalahan kepada Bradford dalam saingan Piala Liga. Itu tidak termasuk pelbagai cerita kurang enak di Emirates termasuk kehilangan ramai pemain bintang yang mula mencari kejayaan di tempat lain. Ini adalah antara pemain yang dibawa masuk untuk memperbaiki prestasi kelab tetapi harapan beliau bertukar menjadi igauan.

Andrei Arshavin, �15 juta (RM73.9 juta) dari Zenit

Antara pemain termahal dibeli kelab itu tapi Arshavin gagal memberikan apa yang diharapkan pengurus dan terpinggir sejak beberapa tahun lalu dan kini kerap dikaitkan dengan pelbagai berita perpindahan.

Marouane Chamakh, percuma, Bordeaux 2010

Beraksi mantap pada separuh tahun pertama di kelab itu dan kemudiannya mengaku keletihan menjelang Januari. Dia kemudiannya semakin kurang menjadi pilihan pengurus dan lebih kerap diturunkan sebagai pemain gantian.

Denilson, �3.4 juta (RM16.7 juta), Sao Paulo 2006

Ramai yang terkejut dengan keputusan Wenger membeli pemain Brazil itu meskipun kurang pengalaman. Selepas lima musim, dia dipinjamkan kembali ke kelab lamanya selepas Arsenal gagal mendapatkan pasukan yang berminat membelinya.

Richard Wright, �6 juta (RM29.5 juta)

Dibawa masuk pada usia 23 tahun untuk memberi saingan kepada penjaga gol sedia ada, khususnya untuk menggantikan David Seaman. Ia tidak menjadi dan penjaga gol itu jatuh ke tempat ketiga di belakang Stuart Taylor dan hanya membuat 22 penampilan bersama Arsenal sebelum berpindah ke Everton.

Squillaci, �3.2 juta (RM15.7 juta)

Ramai yang bertanya 'Siapa?' apabila Wenger membawa masuk pemain Perancis itu dari Sevilla. "Kami perlukan seorang bek tengah berkualiti dan berpengalaman pada harga yang sesuai. Dia mempunyai semua itu," kata pengurus Arsenal itu. Bek tengah? Ya. Harga sesuai? Mungkin. Kualiti? Hmmmm.

Francis Jeffers, �10 juta (RM49.3 juta)

Pemain 'licik di depan gawang' pilihan Wenger dibawa masuk dari Everton selepas Thierry Henry mendakwa Gunners perlukan pemain yang bijak menyelinap di kawasan penalti. "Dia obses dengan jaringan gol," kata Wenger. Malangnya, dia dilihat lebih gagal di depan gawang ketika berada di London.

Gervinho, �10.8 juta (RM53.2 juta)

Pemain Ivory Coast itu dibawa masuk dari Lille ketika spekulasi mengenai Cesc Fabregas dan Samir Nasri yang dijangka meninggalkan Emirates semakin hangat diperkatakan. Kedua-duanya meninggalkan kelab itu tapi Gervinho gagal mengisi kekosongan itu, ada ketikanya menunjukkan potensi tetapi yang lainnya mengecewakan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/15


Parker, Assou-Ekotto pulih

Posted: 15 Dec 2012 04:17 AM PST

LONDON: Dua tonggak Tottenham Hotspur, Scott Parker dan Benoit Assou-Ekotto sudah kembali berlatih dan berkemungkinan besar diturunkan pada perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Swansea, malam ini.

Parker, pemain tengah pasukan itu tidak bermain sepanjang musim ini berikutan kecederaan urat keting dialami ketika beraksi mewakili England pada Euro 2012 manakala bek kiri, Assou-Ekotto tidak beraksi selama tiga bulan akibat kecederaan lutut.


"Parker sudah pulih, mungkin diturunkan menentang Swansea, sama seperti Benoit," kata pengurus Tottenham, Andre Villas-Boas. Jurulatih kelahiran Portugal itu turut berkata, keadaan pertahanan, Michael Dawson masih tidak menentu apabila tidak diturunkan sewaktu tewas 1-2 kepada Everton, manakala Gareth Bale, yang mengalami kecederaan sewaktu menentang Fulham dua minggu lalu, masih dalam perhatian.

Villas-Boas bersyukur kerana berpeluang berehat selama tujuh hari selepas beraksi 10 perlawanan dalam tempoh tiga minggu kerana terbabit dalam Liga Europa dan Piala Liga.


Ia membolehkan pasukan itu memperbaiki kelemahan selepas bolos dua gol lewat ketika menentang Everton, mengakhiri kemenangan tiga minggu berturut-turut.


"Suasana bilik persalinan selepas menentang Everton memang mengecewakan. Sukar diterima apabila keputusan berubah pada saat akhir dan kami pulang tanpa mata," kata Villas-Boas.

"Pemain kembali berlatih minggu ini dengan semangat untuk berubah.


"Saya bertemu setiap individu dan yakin kami mampu bangkit. Kami mengaku kesilapan pada separuh masa pertama dan bagaimana kami dihukum jaringan lawan tapi kami belajar daripadanya.

"Setiap kali tewas, pasti ada perkara yang boleh dianalisis. Kami memberi tumpuan terhadap perkara yang tidak menjadi minggu lalu seperti penguasaan bola dan pertahanan." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/15


No comments:

Post a Comment