Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Pengadil tak adil!

Posted: 13 Dec 2012 10:10 AM PST

"BAGI saya keputusan pengadil itu tidak betul," kata ketua jurulatih kebangsaan Datuk K Rajagobal yang tidak puas hati dengan keputusan pengadil, Lee Min Hu melayangkan kad merah kepada Mohd Fadhli Shas pada perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF malam tadi.

Keputusan kontroversi pengadil dari Korea Selatan itu memberi kesan kepada strategi Rajagobal yang menyaksikan Harimau Malaya terpaksa beraksi 10 pemain lebih 45 minit sebelum tewas 0-2.


Menurut Rajagobal, beliau tetap bangga dengan persembahan anak buahnya dan yakin keputusan mungkin boleh berubah sekiranya Fadhli kekal di atas padang.

"Kami bermain baik pada awal babak pertama meskipun Thailand melancarkan serangan mencari gol awal. Tapi segala-galanya berubah apabila Fadhli menerima kad merah, bukan mudah apabila kami kehilangan tonggak utama pertahanan.


"Keputusan perlawanan ini mungkin berbeza jika Fadhli tidak dibuang padang," katanya selepas tamat perlawanan.


Pada separuh akhir kedua di Stadium Supachalasai malam tadi, Malaysia terpaksa melupakan misi mempertahankan kejuaraan dimenangi dua tahun lalu apabila Thailand meledak dua gol menerusi jaringan Teerasil Dangda dan Teerathon Bunmathan pada minit ke-60 dan 65.

Gol itu hadir selepas Fadhli menerima kad kuning kedua pada minit ke-42 kerana didakwa bertelagah dengan Datsakorn Thonglao.


"Bagi saya, pengadil seharusnya lebih tahu dengan situasi itu dan beliau membuat keputusan yang salah." Menurutnya, biarpun pasukannya beraksi dengan 10 pemain, Thailand hanya berjaya menjaringkan gol pertama atas kesilapan Amar Rohidan dan gol kedua yang menyusul selepas itu menyukarkan mereka untuk bangkit.

Sementara itu, ketua jurulatih Thailand, Winfried Schafer pula enggan mengulas insiden kad merah itu sebaliknya hanya mahu memuji barisan pemainnya yang berjaya menempah tiket ke final bertemu Singapura.


"Saya tidak mahu komen, pada perlawanan pertama di Malaysia, saya dibuang padang sedangkan tidak bercakap dengan pengadil," katanya yang sekadar menyaksikan perlawanan malam tadi dari bangku penonton.


"Kami pasukan lebih baik dan saya yakin kami boleh menewaskan Singapura di final."

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/14


Kapten Watson

Posted: 13 Dec 2012 10:07 AM PST

NEW YORK: Tom Watson dinamakan sebagai kapten Amerika Syarikat (AS) bagi Piala Ryder 2014 di Gleneagles, Scotland.

Watson menggantikan David Love III sebagai kapten bagi edisi akan datang kejohanan golf dwitahunan antara AS dengan Eropah itu.


Pemenang lapan kejuaraan utama, termasuk lima Terbuka British, Watson, 63, menyertai beberapa pemain yang menjadi kapten AS lebih sekali.

Beliau mengemudi kemenangan AS pada 1993, kali terakhir Amerika memenangi Piala Ryder di gelanggang lawan di The Belfry.


PGA AS yang mengumumkan keputusan itu ketika rancangan bual pagi televisyen berkata, mereka mahu mencuba sesuatu yang baru selepas kalah tujuh daripada sembilan Piala Ryder terakhir, termasuk tahun ini di Chicago.


Watson memberitahu wartawan pada Terbuka Australia di Sydney hujung minggu lalu, beliau menerima baik jika dipilih dan menganggapnya sebagai satu penghormatan.

Watson akan berusia 65 tahun pada Piala Ryder 2014 yang akan menjadikannya kapten tertua dalam sejarah AS.


Watson sudah tidak bermain sepenuh masa dalam tempoh 14 tahun.

Sam Sneed berusia 57 tahun apabila beliau menjadi kapten AS pada 1969. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/14


Kenangan terakhir Kim

Posted: 13 Dec 2012 10:07 AM PST

ANTWERP (Belgium): Bekas pemain tenis nombor satu dunia, Kim Clijsters meraikan penamat kariernya dengan kemenangan bergaya pada perlawanan pertunjukan menewaskan seteru dari Amerika Syarikat (AS), Venus Williams, awal pagi semalam.

Pemain Belgium yang merangkul 41 gelaran perseorangan itu beraksi pada perlawanan rasmi terakhir di Terbuka AS Ogos lalu namun tetap mahu beraksi buat kali terakhir di depan penyokongnya di halaman sendiri. Seramai 13,000 hadir menonton aksi pemain berusia 29 tahun itu menewaskan Venus, 6-3, 6-3.


"Saya tidak menyesal menamatkan karier pada 29 Ogos lalu di Terbuka AS.

"Sukan tenis bukan satu-satunya perkara dalam hidup saya. Saya suka memasak, berkebun, membaca, menghias rumah, menghias pokok Krismas dan berlari," katanya.


Kim bersara buat kali pertama pada 2007 untuk melahirkan anak perempuan, Jada dan tidak merancang untuk kembali apabila berasa kariernya sudah lengkap dengan kejayaan merangkul gelaran Grand Slam pada Terbuka AS 2005.


Namun dia kembali pada 2009 dan dengan hanya dua kejohanan, dia merangkul kejuaraan Terbuka AS sekali gus muncul ibu pertama memenangi kejuaraan Grand Slam sejak 1980, kemudian mempertahankan kejuaraan itu pada 2010 serta menambah gelaran Terbuka Australia 2011. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/14


Chelsea ke final

Posted: 13 Dec 2012 10:06 AM PST

YOKOHAMA (Jepun): Juara Eropah, Chelsea mengatasi kelab Mexico, Monterrey 3-1 pada Piala Kelab Dunia di Jepun semalam untuk menempah pertemuan final dinanti-nantikan menentang kelab gergasi Brazil, Corinthians.

Kelab Liga Perdana Inggeris itu yang tampil buat kali pertama pada kejohanan antara benua itu, mendominasi babak pertama dan mengesahkan kemenangan sebaik babak kedua bersambung apabila menjaringkan dua gol dalam tempoh tiga minit.


Monterrey berusaha muncul juara Concacaf pertama layak ke perlawanan akhir Piala Kelab Dunia namun keampuhan David Luiz di bahagian tengah Chelsea, ditambah kehebatan Juan Mata dan Eden Hazard tidak dapat ditandingi kelab Mexico itu.

Chelsea memulakan perlawanan dengan bergaya dan Luiz hampir membuka jaringan seawal minit keempat namun sepakannya melepasi palang dari luar kotak penalti.


Bagaimanapun, kedegilan benteng pertahanan lawan lebur pada minit ke-17 apabila Mata menyudahkan satu gerakan menarik.


Pemain tengah Oscar menguis bola ke belakang kepada Ashley Cole di hujung kotak penalti. Pertahanan kiri itu kemudian melintangkan kepada pemain Sepanyol itu yang merembat masuk melepasi jangkauan penjaga gol Monterrey, Jonathan Orozco.

Sebarang kebangkitan kelab Mexico itu pada babak kedua musnah apabila 15 saat selepas rehat, Fernando Torres menjaringkan gol yang tertampan seorang pertahanan lawan dari dalam kotak penalti ketika sebahagian besar daripada 36,648 penonton belum pulang ke kerusi masing-masing.


Perlawanan itu jelas berakhir pada minit ke-48 apabila Darvin Chavez menampan bola masuk ke gawang sendiri untuk menjadikan kedudukan 3-0.

Chelsea mampu mencatat kemenangan besar namun anak buah Victor Vucetich cekal bertahan dan menjaringkan gol sagu hati menerusi Aldo De Nigris pada masa kecederaan.


Chelsea akan berdepan juara Piala Libertadores, Corinthians pada final di Yokohama, Ahad ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/14


Corinthians tertekan

Posted: 13 Dec 2012 10:06 AM PST

TOYOTA (Jepun): Jurulatih Corinthians, Tite mengaku pasukannya berhempas-pulas beraksi di bawah tekanan selepas sekadar menang 1-0 ke atas Al Ahly pada separuh akhir Piala Kelab Dunia, kelmarin.

Gol tunggal penyerang tengah, Paolo Guerrero sudah cukup buat juara Piala Libertadores mengatasi wakil Mesir itu dan layak ke perlawanan akhir di Yokohama, Ahad ini.


"Pemain berasa agak tertekan," kata Tite yang berusaha menamatkan dominasi kelab Eropah pada kejohanan di Jepun itu.

"Sejarah Piala Kelab Dunia membuktikan ada banyak tekanan psikologi dialami pasukan pilihan," katanya.


Penyerang, Enerson berkata, Corinthians akan bermati-matian bagi memastikan piala antara benua itu dibawa pulang ke Brazil.


"Impian setiap pemain adalah pulang dengan kejuaraan ini," katanya.

"Kami gembira layak ke final tapi itu bukan sasaran utama. Kami tidak hadir untuk muncul naib juara." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/14


Messi sukar dibendung

Posted: 13 Dec 2012 10:05 AM PST

MADRID: Kehebatan Lionel Messi tidak mampu dibendung apabila melebarkan jumlah jaringan pada 2012 kepada 88 selepas dua jaringannya membantu juara bertahan Barcelona menewaskan kelab divisyen dua, Cordoba, 2-0 pada perlawanan pertama pusingan kedua Piala Raja Sepanyol, awal pagi semalam.

Real Madrid, juara 2011, ketinggalan dua gol kepada pencabar La Liga, Celta Vigo namun jaringan lewat Cristiano Ronaldo menjadikan kedudukan 1-2 sekali gus memberi peluang buat juara bertahan itu pada perlawanan kedua di Santiago Bernabeu minggu depan.


Rakan senegara Messi dari Argentina, jurulatih Athletic Bilbao, Marcelo Bielsa, berdepan malang apabila pasukannya tersingkir di tangan kelab divisyen tiga, Eibar menerusi kelebihan gol di gelanggang lawan pada perlawanan pusingan pertama yang ditangguh sebelum ini.

Sepakan penalti Mikel Arruabarrena pada minit ke-72 di San Mames membolehkan kelab Segunda B itu mara selepas perlawanan kedua berakhir 1-1.


Eibar yang mengikat Bilbao, 0-0 pada perlawanan pertama, akan menentang Malaga pada pusingan kedua, dengan pertemuan suku akhir menentang Barca atau Cordoba menanti pemenang.


Sementara itu, Atletico Madrid kini selangkah lagi ke suku akhir selepas penyerang Diego Costa menjaringkan dua gol untuk menewaskan Getafe, 3-0 di laman sendiri.

Atletico yang mempamerkan kebangkitan di bawah jurulatih Argentina, Diego Simeone akan menentang kelab divisyen dua, Las Palmas atau Real Betis pada suku akhir.


Ahad lalu, Pemain Terbaik Dunia, Messi mengatasi rekod 85 gol Gerd Mueller dalam kalendar setahun dicatat pada 1972 dan dia hanya memerlukan 11 minit awal pagi semalam untuk menambah koleksi golnya di Stadium Arcangel selepas menerima hantaran David Villa.

Menurunkan hampir barisan utama sekalipun berdepan lawan lemah, Barca menguasai perlawanan pada babak kedua dan bola hantaran Thiago Alcantara dirembat rendah ke penjuru gol oleh Messi pada minit ke-74 untuk gol kedua pasukannya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/14


Rekod milik Zico

Posted: 13 Dec 2012 10:05 AM PST

RIO DE JANEIRO: Kelab Brazil, Flamengo mendakwa bekas pemain mereka, Zico memegang rekod penjaring gol terbanyak dalam setahun biarpun penyerang Barcelona, Lionel Messi meraih pengiktirafan itu minggu lalu.

Zico yang menyinar pada Piala Dunia 1978, 1982 dan 1986 sekalipun tidak menjulang trofi itu, menjaringkan 89 gol pada 1979, menurut Flamengo.


Pemain tengah itu menjaringkan 81 gol buat kelab berpangkalan di Rio itu, tujuh bersama Brazil dan satu pada perlawanan persahabatan, lapor akhbar Lance.

Messi diiktiraf sebagai pemegang rekod baru selepas mengatasi rekod lama catatan legenda Jerman, Gerd Mueller 85 gol pada 1972, menerusi dua gol pada babak pertama ketika pasukannya mengatasi Real Betis, 2-1, Ahad lalu.


"Messi belum lagi mengatasi rekod itu," kata Bruno Lucena, ahli sejarah kelab itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/14


Magis Pardew makin pudar

Posted: 13 Dec 2012 10:04 AM PST

LONDON: Alan Pardew dijulang musim lalu selepas Newcastle mempamerkan aksi begitu meyakinkan tapi beliau kini menyaksikan anak buahnya berdepan pergelutan di zon penyingkiran menjelang pertemuan dengan Manchester City, esok.

Dengan aksi sudah memasuki pertengahan saingan, Pardew adalah antara beberapa pengurus termasuk Roberto Mancini serta Arsene Wenger dari Arsenal yang kini terancam. Pardew menerima tawaran menyambung kontrak selama lapan tahun awal musim ini dalam usaha kelab untuk mengekalkan prestasi berbanding sering bertukar pengurus sebelum ini.


Tawaran itu satu pengiktirafan kepada bekas pengendali West Ham United itu yang membantu Newcastle menamatkan saingan di tangga kelima Liga Perdana Inggeris musim lalu ketika mereka menggunakan bajet yang terhad.

Pencapaian musim lalu itu memberi bayangan Pardew mampu membawa kelab menempah tiket ke saingan Liga Juara-Juara musim ini tapi selepas satu kemenangan daripada tujuh perlawanan, mereka sekadar menduduki tempat ke-14 liga, lebih dua mata daripada zon penyingkiran.


Mengumpul 17 mata daripada 16 perlawanan liga membuktikan sentuhan cemerlang Padrew tidak lagi menyerlah dan kekalahan terbaru 1-2 kepada Fulham Isnin lalu, menunjukkan keadaan semakin genting.


"Saya cukup bimbang kerana kami tidak mengumpul mata mencukupi. Kami tidak bertahan dengan baik. "Kami perlu mempamer aksi lebih meyakinkan dan tidak melepaskan gol-gol mudah pada tahap ini," katanya.

Kunjungan City ke Newcastle juga tidak begitu menggerunkan kerana juara Liga Perdana Inggeris musim lalu itu dilihat terdesak untuk kembali kepada prestasi sebenar selepas tewas kepada jiran setempat, Manchester United dalam saingan merebut teraju liga.


Mancini bagaimanapun tetap berdegil dan lantang menyatakan anak buahnya lebih baik berbanding United dan akan memenangi dua gelaran musim ini. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/14


Swansea mara separuh akhir

Posted: 13 Dec 2012 10:04 AM PST

LONDON: Swansea City menempah tiket ke separuh akhir Piala Liga selepas gol sendiri Seb Hines memastikan kelab Liga Perdana Inggeris itu meraih kemenangan 1-0 ke atas pasukan Liga Kejuaraan, Middlesbrough.

Pemain pertahanan Middlesbrough itu menanduk masuk ke gawang sendiri hasil sepakan penjuru Swansea pada minit ke-81 selepas kedua-dua pasukan mempamerkan aksi seimbang pada saingan suku akhir di Stadium Liberty, Wales.


Middlesbrough meraih banyak peluang keemasan pada babak pertama dan hampir memecahkan kebuntuan tapi cubaan Grant Leadbitter berjaya diselamatkan penjaga gol Swansea, Gerhard Tremmel.

Swansea kemudian menggandakan tekanan pada babak kedua tapi sepakan percuma Jonathan de Guzman ditepis penjaga gol Middlesbrough, Jason Steele sebelum Hines menanduk masuk ke gawang sendiri.


"Ia kemenangan penting dan kini kami berjaya ke separuh akhir," kata pengurus Swansea, Michael Laudrup. "Lawan kami bagus dan kami mungkin akan bertemu mereka tahun depan di saingan Liga Perdana Inggeris. Kami hanya mampu menguasai permainan pada babak kedua." Pasukan divisyen empat, Bradford City menewaskan Arsenal, Selasa lalu untuk menempah tiket ke separuh akhir bersama Aston Villa yang menewaskan Norwich City.


Chelsea yang kini beraksi pada saingan Piala Kelab Dunia di Jepun akan bertemu Leeds United pada perlawanan suku akhir terakhir, 19 Disember ini. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/14


Fadhli tak puas hati

Posted: 13 Dec 2012 10:04 AM PST

PEMAIN pertahanan negara, Mohd Fadhli Shas seakan-akan tidak percaya dengan tindakan pengadil perlawanan, Lee Min Hu yang melayangkan kad merah kepadanya selepas mendakwa disiku terlebih dulu pemain Thailand, Datsakorn Thonglao.

Angkara kad kuning kedua yang diperoleh pemain berusia 21 tahun itu pada minit ke-42, aksi Harimau Malaya tampak terjejas hingga tewas 0-2 kepada Thailand pada perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF di Stadium Supachalasai malam tadi.


Kemenangan itu membolehkan juara tiga kali Thailand mara ke final buat kali keenam untuk bertemu Singapura, berbekal agregat 3-1.

Fadhli, tonggak skuad juara Piala AFF 2010, memohon maaf atas insiden itu namun menjelaskan ia tidak sepatutnya berlaku jika pengadil bertindak lebih adil.


"Saya tidak tahu apa punca pengadil memberikan kad merah kepada saya, beliau sepatutnya lebih adil dalam membuat keputusan. Beliau sepatutnya melihat apa yang berlaku sebenarnya. Saya hanya cuba mendapatkan bola tapi Datsakorn menyiku saya dan saya cuma menyuarakan rasa tidak puas hati kepada dia saja.


"Apapun saya mohon maaf kepada rakyat Malaysia atas apa yang berlaku malam ini (semalam)," katanya yang ditemui wartawan selepas tamat perlawanan itu.

Ketiadaan Fadhli menyebabkan ketua jurulatih, Datuk K Rajagobal mengarahkan pemain tengah bertahan, Amar Rohidan mengambil posisi pertahanan tengah.


Namun kekurangan seorang pemain memberi kelebihan kepada pasukan Gajah Perang itu yang menjaringkan dua gol menerusi Teerasil Dangda dan Theerathon Bunmathan pada babak kedua.

Fadhli yakin jika nasib malang tidak menimpanya, skuad kebangsaan mampu memberi tentangan dan mencapai keputusan baik ke atas Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/14


No comments:

Post a Comment