Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


‘Satu penghormatan’

Posted: 17 Dec 2012 11:20 AM PST

JURULATIH Harimau Muda A, Ong Kim Swee kekal fokus dengan misi disandarkan di bahunya untuk mempertahankan pingat emas Sukan Sea Myanmar tahun ini biarpun namanya dicanang sebagai calon terbaik menggantikan Datuk K Rajagobal bagi membimbing skuad kebangsaan.

Kim Swee yang enggan mengulas lanjut isu terbaru itu berkata, tidak wajar untuk beliau membicarakan kedudukan rakan sejawatnya itu dan menganggap keutamaannya lebih terarah kepada persiapan skuad muda negara menghadapi Sukan Sea.


"Bagi saya, orang ramai termasuk Shebbie (Serbegeth Singh) dan juga peminat tempatan berhak menyuarakan pandangan tapi saya tidak berhak mengulas lebih lanjut perkara ini.

"Tumpuan saya kini ke arah persiapan skuad Bawah 23 Tahun negara (B-23) untuk menghadapi Sukan Sea Myanmar. Soal mengambil alih tugas Rajagobal sepatutnya tidak perlu timbul kerana ia langsung tidak dibincangkan sebelum ini. "Jika ada pihak mengaitkan nama saya dengan tugas itu, saya hanya anggap ia sebagai penghormatan tapi segala-galanya terserah kepada FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia)," katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.


Nama Kim Swee, 42, mula menjadi sebutan apabila kedudukan Rajagobal tampak terancam berikutan kegagalan Harimau Malaya mempertahankan kejuaraan Piala AFF 2012 selepas disingkirkan Thailand menerusi agregat 3-1 pada peringkat separuh akhir minggu lalu.


Antara yang lantang menyarankan agar tugas membimbing skuad kebangsaan diserahkan kepada Kim Swee termasuk bekas pemain kebangsaan dan pengkritik bola sepak, Shebbie dalam laporan Arena Metro semalam.

Shebbie yang kini bertugas sebagai Penasihat Global kelab yang beraksi dalam saingan Liga Kejuaraan, Blackburn Rovers berkata, sudah tiba masanya untuk Rajagobal mengundur diri selepas kegagalan Harimau Malaya ketika saingan Piala AFF dan kempen kelayakan Piala Dunia 2014 serta persembahan hambar dalam beberapa siri persahabatan antarabangsa sejak bergelar juara Asia Tenggara dua tahun lalu.


Beliau menganggap Kim Swee yang berjaya membimbing skuad B-23 mempertahankan pingat emas dimenangi skuad Rajagobal di Sukan Sea Laos 2009 sebagai calon terbaik memandangkan jurulatih itu lebih mengenali pemain, khususnya daripada Harimau Muda A yang dilihat berpotensi beraksi bersama pemain senior.

Antara pemain muda yang menyerlah di bawah kendaliannya, Muhammad Nazmi Faiz Mansor, Wan Zack Haikal Wan Nor, Gary Steven Robbart dan Mahali Jasuli.


Malah anak buah Kim Swee juga berjaya menduduki tempat keempat dalam penampilan pertama Liga Singapura serta muncul juara Piala SCTV menentang skuad B-22 Indonesia pada September serta mengungguli Kejohanan Bola Sepak Jemputan VFF Newspaper Cup di Vietnam, Oktober lalu.


Mengulas persiapan skuad Harimau Muda A yang menjadi tunjang skuad B-23 negara, Kim Swee berkata, mereka akan memulakan siri latihan dan perlawanan persahabatan di Australia bulan depan sebelum berkampung di Eropah pada Mac.


"Harimau Muda A akan membuat persiapan rapi menghadapi Sukan Sea dengan menimba pengalaman di luar negara dan saya yakin rancangan ini mampu membuahkan hasil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/18


30 beregu rebut Piala Presiden ketiga

Posted: 17 Dec 2012 08:20 AM PST

SEBANYAK 30 beregu bakal berentap bagi merebut hadiah keseluruhan RM6,000 Kejohanan Badminton Piala Presiden Ketiga di Dewan Persatuan Badminton Pahang (PBP), Indera Mahkota, Kuantan dari 10 hingga 13 Januari.

Kejohanan anjuran PBP dan Persatuan Badminton Daerah Kuantan itu dianjur untuk mewujudkan kegemilangan sukan badminton di Pahang, seiring dengan pembangunan sukan di negeri lain.


Pengerusi Pembangunan PBP, Razak Muda berkata, penganjuran diharap dapat melahirkan pemain badminton berprestasi tinggi bagi memikul cabaran negara di peringkat antarabangsa.

"Atas inisiatif Presiden PBP, Tengku Kamil Ismail Tengku Idris Shah (gambar) yang juga Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), beliau menyumbangkan piala kejohanan bagi mencapai matlamat itu," katanya.


Kejohanan itu terbuka kepada semua persatuan daerah dan kelab badminton di Pahang. Dua kategori dipertandingkan, dua beregu terbuka dan satu beregu veteran 40 tahun ke atas.


Juara menerima wang tunai RM3,000, piala pusingan dan medal, naib juara (RM2,000 dan medal) manakala kalah separuh akhir menerima RM500.

Tahun lalu, juara beregu diraih Kelab Vetsis dari Kuantan. Sebarang pertanyaan berhubung penyertaan dan peraturan, hubungi PBP di talian 09-5734115.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/18


Sukan lengan paling meriah

Posted: 17 Dec 2012 08:19 AM PST

SERAMAI 133 penggiat sukan lengan tempatan yang menyertai karnival Gempak Santai Harian Metro, berlangsung di i-City sepanjang dua hari, hujung minggu lalu menganggap penganjuran kali ini paling meriah apabila ahli keluarga mereka dapat menyertai pelbagai aktiviti berlangsung di tapak karnival.

Buat julung kali, Arena Metro turut menganjurkan pertandingan membabitkan pemain tangan kiri, pada Sabtu, yang mendapat sambutan hangat apabila disertai 32 ahli sukan lengan dengan tawaran hadiah RM300 untuk juara berserta medal dan barangan sumbangan Milo.


Meskipun hanya 32 peserta mengambil bahagian kategori ini, gelanggang sukan lengan tetap mendapat perhatian pengunjung yang mengerumuni pentas untuk melihat peserta beradu tenaga.

Peserta dari Persatuan Sukan Lengan Melaka, Bong Kim Tian muncul juara selepas menewaskan Chia Jun Kit di final.


Bagi pertandingan membabitkan tiga kategori mengikut berat badan pada Ahad, acara itu disertai 101 peserta dan majoriti yang hadir menjadikan saingan Gempak Santai Harian Metro sebagai persediaan menyertai pertandingan antarabangsa di Balik Papan, Indonesia minggu depan.


Juara heavyweight iaitu kategori 85 kilogram ke atas pada setiap penganjuran Karnival Gegaria Harian Metro sebelum ini, Lee Tiam Siew dari Melaka sekali lagi gagal ditewaskan apabila menewaskan anak didiknya, Bong Kim Boon di final.

Awal tahun lalu, Tiam Siew menewaskan juara seluruh Indonesia manakala beberapa minggu lalu, dia menundukkan juara heavyweight seluruh Thailand dan akan turut bersaing di Balik Papan minggu depan.


Seorang lagi peserta dari Melaka, Kow Peng Koon menjulang kejuaraan kategori 75kg-85kg selepas menewaskan peserta Selangor, Mervyn Siew.

Begitupun penguasaan peserta Melaka disekat peserta Selangor, Mohd Nizar Yusof dalam kategori bawah 75kg.


Nizar yang sering menguasai pertandingan dianjur Harian Metro menewaskan Abd Razak Hadezir di final.


Semua juara kategori berat badan memenangi hadiah wang tunai RM500 berserta barangan sumbangan Milo, medal, sijil dan barangan ekslusif Harian Metro.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/18


Schwartzel juara Dunhill

Posted: 17 Dec 2012 08:19 AM PST

MALELANE (Afrika Selatan): Bintang Afrika Selatan, Charl Schwartzel (gambar) menjuarai Kejohanan Alfred Dunhill dengan kelebihan 12 pukulan di Leopard Creek Estate selepas mencatat tiga bawah par 69 pada hari terakhir, kelmarin.

Pemain berusia 28 tahun itu menamatkan saingan dengan 24 bawah par 264, seminggu selepas menang dengan jurang 11 pukulan di kejohanan Terbuka Thailand.


Pendahuluan 10 pukulan Schwartzel mengecil kepada lapan apabila permainannya terganggu kerana ribut dan hujan lebat hingga memaksa penangguhan selama dua jam.

Dia mencatat par apabila permainan disambung namun membenam birdie pada lubang ke-12, 13 dan lubang paling sukar 18 untuk mengesahkan kejuaraan.


"Kedudukan saya amat sukar ketika lubang ke-18 dan saya teringat apa yang berlaku terhadap Ernie Els," kata Schwartzel.


Els kehilangan dua pukulan apabila bolanya masuk ke kolam pada lubang ke-18 pada 2007 sekali gus membolehkan John Bickerton muncul juara.

"Saya hanya terfikir catatan saya lebih bagus berbanding Ernie dan memutuskan untuk mencuba dan menamatkan aksi sebagai wira. Saya memukul bola terlalu kuat tapi ia nyata berbaloi." Schwartzel meraikan kemenangan keduanya di Leopard Creek selepas muncul juara pada 2005 selain empat kali menduduki tangga kedua. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/18


Lochte hadiah semua pingat kepada peminat

Posted: 17 Dec 2012 08:18 AM PST

ISTANBUL: Ryan Lochte melengkapkan penguasaan merangkul enam pingat emas pada kejohanan renang jarak pendek sebelum mendedahkan kekecewaannya ketika kecil apabila dinafikan autograf oleh seorang legenda sukan sekali gus menyebabkannya terdorong untuk memberikan semua pingat dimenanginya.

Perenang berusia 28 tahun dari New York itu meraih emas kelima dan keenam di Istanbul awal pagi semalam apabila memenangi 100 meter rampaian individu dan mengemudi pasukan berganti-ganti 4x100m rampaian Amerika Syarikat (AS) melakar kemenangan.


Jumlah pingat dimenanginya pada kejohanan itu kini 30 pingat, termasuk 20 emas.

Kehandalan atlet AS itu di kolam renang di Turki menyamai kemurahan hatinya di luar kolam apabila mendedahkan dia akan memberikan semua pingat dimenanginya.


"Saya masih ingat ketika kecil saya menghormati perenang bintang ini, seorang Olimpian. Saya tidak akan menyebut namanya tapi saya memintanya autograf dan dia berkata tidak," kata Lochte.


"Saya berusia lapan tahun dan hati saya remuk. Dia tidak melakukan apa-apa atau bersedia untuk bertanding, dia hanya berada dalam lif.

"Saya kembali ke bilik hotel dan ibu bapa saya bertanya, 'Adakah anda dapat autograf itu?'. Saya beritahu dia berkata tidak dan masih ingat memberitahu ibu dan bapa, jika satu hari berada dalam situasi itu, saya akan melakukannya." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/18


Cengkaman Barca

Posted: 17 Dec 2012 08:18 AM PST

MADRID: Barcelona mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu La Liga apabila Lionel Messi meledak dua gol untuk memastikan kemenangan 4-1 di gelanggang sendiri ke atas pasukan tangga kedua, Atletico Madrid bagi menjarakkan kedudukan kepada sembilan mata, awal pagi semalam.

Kemenangan itu membolehkan Barca selesa mendahului Real Madrid 13 mata selepas juara bertahan itu sekadar seri 2-2 dengan pasukan tangga bawahan, Espanyol di laman sendiri.


Anak buah Tito Vilanova yang kekal dengan rekod tanpa kalah, mencipta kebangkitan selepas Radamel Falcao menghadiahkan Atletico gol pendahuluan. Jaringan menarik Adriano menyamakan kedudukan dan Sergio Busquets menambah jaringan selepas itu sebelum Messi menghasilkan dua gol untuk mengesahkan kemenangan selesa Barca.

Barca kini mengumpul 46 mata selepas 16 perlawanan, Atletico 37 dan Real 33.


"Saingan liga belum berakhir," kata pemain tengah Real, Xabi Alonso. "Kami akan terus memberi saingan, peluang makin sukar tapi kami harus terus berusaha." Atletico memulakan aksi dengan cemerlang dan selepas terlepas dua peluang terbaik untuk menjaringkan gol, penyerang Colombia, Falcao meletakkan pasukan pelawat di depan pada minit ke-32 menerusi jaringan ke-17 peribadi dalam kempen musim ini.


Lima minit kemudian, Barca kembali membuka saingan hasil jaringan Adriano yang membuat larian dari sebelah kanan dan melepaskan rembatan kencang menerjah ke gawang.

Atletico sukar memasuki kawasan Barca selepas itu dan kegagalan mengeluarkan bola sepakan sudut membolehkan Busquets tenang menyumbat gol kedua buat tuan rumah.


Selepas rehat, Messi menghasilkan gol ketiga dan kemudian menghukum kesilapan pertahanan pelawat dengan jaringan keempat, gol ke-25 La Liga dan ke-90 untuk kelab dan negara sepanjang tahun ini. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/18


Juventus selesa di persada liga

Posted: 17 Dec 2012 08:17 AM PST

MILAN: Juventus selesa mendahului Serie A hasil kemenangan 3-0 ke atas Atalanta di gelanggang sendiri, awal pagi semalam manakala pencabar terdekat, Napoli mensia-siakan peluang menduduki tangga kedua selepas kecundang di tangan Bologna.

Napoli tampak tidak berdepan masalah untuk memintas Inter Milan apabila penyerang Uruguay, Edinson Cavani meletakkan pasukannya mendahului 2-1 pada minit ke-70 menerusi jaringan ke-12 liga musim ini.


Bagaimanapun Panagiotis Kone menyamakan kedudukan pada minit ke-86 menerusi sepakan akrobatik dalam kotak penalti.

Jurulatih Napoli, Walter Mazzarri kemudian dikejutkan menerusi jaringan Daniele Portanova pada minit ke-89 untuk memberikan kemenangan 3-2 kepada Bologna sekali gus meletakkan tuan rumah kekal di tangga ketiga dengan 33 mata.


Manolo Gabbiandini menjaringkan gol buat Bologna mendahului pada minit ke-10 namun Alessandro Gamberini mengikat kedudukan lima minit babak kedua bersambung.


Atalanta yang mengalahkan Napoli dan Inter Milan musim ini, ketinggalan tiga gol dan terpaksa beraksi 10 pemain tidak sampai setengah jam di Stadium Juventus.

Jaringan sepakan percuma Andrea Pirlo paling mencuri tumpuan dalam kemenangan skuad juara bertahan itu yang kini mendahului tujuh mata selepas pasukan di tangga kedua, Inter Milan tewas kepada Lazio, Sabtu lalu.


Mirko Vucinic membuka jaringan pada minit kedua dan Claudio Marchisio menyumbat gol ketiga penyandang juara, Juventus yang mengumpul 41 mata selepas merakam 13 kemenangan dalam 17 perlawanan liga. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/18


Misi Real makin sukar

Posted: 17 Dec 2012 08:17 AM PST

MADRID: Jose Mourinho terpaksa akur peluang Real Madrid memintas Barcelona bagi mengekalkan gelaran La Liga semakin sukar selepas seri 2-2 dengan Espanyol di laman sendiri, awal pagi semalam.

Pasukan pendahulu, Barca mengekalkan rekod tanpa kalah apabila menumpaskan Atletico Madrid, 4-1 hasil dua gol Lionel Messi di Nou Camp untuk mendahului 13 mata ke atas pasukan di tangga ketiga, Real selepas 16 perlawanan.


"Ia tampak sukar," kata Mourinho mengenai peluang mereka mempertahankan kejuaraan musim ini.

"Jurang mata terlalu banyak. Tahun lalu kami mendahului 10 mata pada Februari dan Mac dan berjaya mengekalkannya.


"Tapi jika kami boleh memperbaiki kedudukan liga, ia akan membantu kami dalam kempen Piala Raja Sepanyol dan Liga Juara-Juara." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/18


Laudrup kecam pengadil

Posted: 17 Dec 2012 08:16 AM PST

LONDON: Jurulatih Swansea City, Michael Laudrup mengkritik pengadil perlawanan selepas membenarkan permainan diteruskan meskipun penyerangnya, Michu mengalami kecederaan kepala ketika tewas 0-1 di Tottenham Hotspur.

Michu terbaring di atas padang selepas bertembung dengan penjaga gol Spurs, Hugo Lloris pada masa kecederaan di White Hart Lane semalam tapi pengadil perlawanan, Mike Dean membiarkan perlawanan diteruskan.


Tottenham terus melakukan serangan balas dan hampir menambah gol kedua selepas gol tunggal Jan Vertonghen pada minit ke-75 sebelum berlaku pertengkaran antara pemain kedua-dua pasukan.

Laudrup boleh menerima aksi agresif Lloris tapi lebih bimbang dengan cara Michu rebah di atas padang.


"Nasib baik dia tidak apa-apa. Apabila saya saksikan dia rebah, saya terkejut dan terus berkata, Michu tidak sedarkan diri. Ia bukan berpura-pura," katanya.


Laudrup berkata, permainan sepatutnya dihentikan bagi membolehkan penyerangnya menerima rawatan.

"Saya sangat marah dan bukan kerana mahu sepakan percuma atau kad merah untuk Lloris, sepakan penalti atau sebagainya. Tetapi tidak bolehkan bola ditendang keluar? "Perkara ini menjadi bualan semua orang. Kita mempunyai pengadil dan dua penjaga garisan dan sebab itu kita teruskan saja permainan hingga wisel penamat? "Saya saksikan ulang tayang perlawanan itu di televisyen dan apabila Michu rebah di atas padang, pengadil menyaksikannya, begitu juga dengan penjaga garisan tapi mereka masih membenarkan permainan diteruskan." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/18


‘Masih boleh rebut empat trofi lagi’

Posted: 17 Dec 2012 08:15 AM PST

YOKOHAMA (Jepun): Pengurus sementara, Rafael Benitez cuba menutup kekalahan memalukan kelab itu di Piala Kelab Dunia apabila menegaskan Chelsea masih ada kejuaraan lain untuk dikejar.

Kekalahan 0-1 kepada kelab Brazil, Corinthians meninggalkan satu lagi kesan mendalam, dengan kekecewaan berterusan sejak bergelar juara bertahan pertama tersingkir di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.


Ogos lalu, Chelsea diaib dengan kekalahan 1-4 di tangan Atletico Madrid pada perlawanan Piala Super Uefa dan kelab dari London itu tidak boleh berbangga pada penampilan pertama di kejohanan antara juara-juara benua Fifa itu.

Selepas kekalahan di Yokohama, Benitez berkata perjalanan yang memakan masa sembilan jam itu cukup berbaloi, membantunya memilih pemain untuk diturunkan menentang Leeds United pada saingan Piala Liga, esok.


"Sebelum ini saya katakan kami ada lima trofi untuk direbut. "Kini masih ada empat. Perkara positif yang diperoleh adalah permainan kami bertambah baik pada hari berikutnya (selepas menentang Monterrey di separuh akhir) dan kami nampak banyak peningkatan.


"Malah banyak lagi yang kami perlu tingkatkan," katanya.

"Pasukan ini melakukan apa yang perlu ketika menentang Corinthians. Kami meningkat setiap hari, setiap minggu dan harapan sama diharap menjadi pada minggu seterusnya sekali gus memenangi perlawanan.


"Banyak aspek positif boleh diambil daripada kekalahan ini." Bekas pengurus Liverpool itu berdepan masalah dengan peminat sejak menggantikan Roberto Di Matteo bulan lalu. Di bawah pengurusannya, Chelsea kini berada di tangga ketiga Liga Perdana namun berisiko terkeluar dari perebutan kejuaraan liga hujung minggu ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/18


No comments:

Post a Comment