Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Cinta antara 2 ‘darjat’

Posted: 24 Dec 2012 07:22 AM PST

BRASILIA: Walaupun memiliki ketinggian luar biasa, ia tidak menghalang Elisany da Cruz Silva menjalani kehidupan seperti remaja lain, termasuk menjalinkan percintaan dengan lelaki pilihan.

Elisany, 17, ketika ini diiktiraf sebagai remaja perempuan tertinggi di dunia dengan ketinggian 2.07 meter, manakala teman lelakinya 40.6 sentimeter lebih rendah. Apabila perlu, Elisany terpaksa membongkok untuk mencium kekasihnya, Francinaldo da Silva Carvalho, 22.


Berasal dari Salinopolis, ketinggian Elisany meningkat ketara akibat ketumbuhan pada kelenjar pituitari yang mengawal tumbesaran.

Ketumbuhan itu telah dibuang melalui pembedahan sebelum ini.


Menurut Elisany, dia terpikat kepada Carvalho kerana pemuda itu memiliki personaliti yang menyenangkan.


Katanya, Carvalho bijak berinteraksi, sama ada dengan orang lain atau dirinya sendiri.

"Satu-satunya aspek yang menjejaskan hubungan kami ialah ketinggian.


"Apabila kami keluar berpegangan tangan, Carvalho kelihatan seolah-olah adik atau anak saya," katanya.

Bagaimanapun, kata Elisany, bukan dia yang memilih Carvalho menjadi kekasih, sebaliknya ia berlaku atas kehendak Tuhan. Sementara itu, Carvalho berkata, rakannya tertanya-tanya bagaimana dia memeluk Elisany.


Kata pekerja pembinaan itu, ia tidak menjadi halangan kerana setiap masalah ada penyelesaian.


"Elisany seorang yang jelita walaupun ketinggiannya sangat ketara.


"Saya tiada masalah memiliki kekasih yang sangat tinggi," katanya. Sementara itu, Elisany berkata, selain bermasalah untuk menaiki bas sekolah, dia berhenti belajar apabila ketinggiannya menjadi bahan ejekan rakan sekelas. Di rumah pula, Elisany mengaku berdepan banyak masalah apabila sering terhantuk kayu siling. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/24


Bukan mudah untuk baham ular

Posted: 24 Dec 2012 07:17 AM PST

TALLAHASSEE (Florida): Niat seekor burung pucung biru membaham mangsanya tergendala beberapa ketika selepas ular yang dipatuknya melawan.

Aksi itu dirakam seorang jurugambar, Peter Brannon, 35, ketika dia melawat kawasan perlindungan hidupan liar Green Cay Wetlands, di Delray Beach, Florida.


Katanya, dia nampak seekor burung pucung biru menggerak-gerakkan kepalanya lebih agresif dari biasa.

"Burung itu melompat-lompat untuk melepaskan lilitan ular pada mulutnya," katanya. Selepas 15 minit, kata Brannon, ular itu masih enggan mengalah sehingga burung berkenaan menukar taktik dengan menggoyangkan kepalanya supaya reptilia itu terhempas ke bawah.


"Akhirnya ular itu kepenatan dan melonggarkan belitannya untuk menjadi santapan burung berkenaan," katanya. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/24


Sindiket seludup budak ditumpas

Posted: 24 Dec 2012 07:17 AM PST

BEIJING: Polis China menyelamatkan 89 kanak-kanak dan menahan 355 suspek selepas membongkar rangkaian penyeludupan kanak-kanak, kata pihak keselamatan semalam.

Pasukan keselamatan dari sembilan wilayah, termasuk Fujian, Yunnan, Sichuan, Anhui dan Guangdong menyertai operasi bermula 18 Disember lalu.


Pengarah Unit Antipenyeludupan Kementerian Keselamatan Awam, Chen Shiqu, berkata kanak-kanak yang diselamatkan itu kini ditempatkan sementara di rumah kebajikan sementara pihak berkuasa mengesan ibu bapa mereka.

"Kami akan mengambil DNA kanak-kanak terbabit bagi membantu mengesan keluarga mereka menggunakan pangkalan data negara," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/24


Ucapan Hari Natal diharam

Posted: 24 Dec 2012 07:15 AM PST

JAKARTA: Pemimpin konservatif Islam bukan saja mengharamkan orang Islam mengucapkan "Selamat Hari Krismas" kepada orang beragama Kristian, malah mereka kini mahu Presiden mereka untuk tidak mengambil bahagian dalam perayaan itu sama ada dalam acara rasmi ataupun peribadi.

Wakil dari Majlis Ulama Indonesia (MUI) mengingatkan fatwa yang melarang umat Islam memberi ucapan itu kepada mereka yang beragama Kristian dan berkata, Presiden Susilo Bambang Yudhoyono tidak perlu menghadiri sambutan hari Krismas peringkat kebangsaan yang dijadualkan pada 27 Disember ini.

Naib Pengerusi MUI, Ma'ruf Amin berkata: "Fatwa ini mengharamkan orang Islam daripada hadir di mana-mana upacara Krismas. Seorang Islam tidak perlu menghadiri mana-mana upacara keagamaan yang hanya perlu dihadiri oleh penganut Kristian."

Ma'ruf berkata, Susilo seorang beragama Islam dan tidak patut menghadiri sambutan Krismas peringkat kebangsaan yang akan mengandungi elemen agama Kristian.


Susilo dan Naib Presiden, Boediono, juga seorang Islam, adalah antara pegawai tertinggi yang dijadualkan menghadiri perayaan itu.


Menteri Hal Ehwal Agama, Suryadharma Ali pernah bersama-sama Presiden dan Naib Presiden hadir dalam sambutan yang sama tahun lalu.

Beberapa kumpulan Islam turut berkongsi pandangan dengan MUI.

Persatuan Islam Indonesia (Persis) juga berkata, tidak sesuai untuk seorang Presiden hadir di majlis sambutan Krismas peringkat kebangsaan.

Pengerusi Persis, Maman Abdurrahman seperti yang dipetik dari laman web persatuan konservatif Islam, Hizbut Tahrir Indonesia, berkata: "Walaupun mereka adalah pemimpin negara, mereka dilarang menghadiri sambutan Krismas itu."

Katanya, Susilo dan Boediono sepatutnya hanya menghantar pegawainya dari direktorat Kristian Protestan dan Katolik Kementerian Agama untuk menghadiri upacara itu bagi pihak mereka. - Jakarta Post

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/24


Skim penipuan cabutan bertuah telefon meningkat

Posted: 24 Dec 2012 07:15 AM PST

SINGAPURA: Polis semalam memberi amaran, skim penipuan melalui telefon melibatkan cabutan bertuah semakin meningkat di mana mangsa ditipu lebih banyak wang mereka.

Mangsa termasuk golongan profesional, belia dan warga emas.

Dalam lapan bulan pertama tahun ini, jumlah skim penipuan cabutan betuah melalui telefon dilaporkan mencecah 234 kes, meningkat 16.4 peratus daripada tahun lalu.

Jumlah mangsa yang tertipu dalam tempoh yang sama adalah 134, iaitu 8.9 peratus meningkat berbanding tahun lalu.


Tetapi, jumlah wang yang ditipu adalah Sg$4.6 juta (RM11.6 juta) dari Januari hingga Ogos, melonjak 21 peratus berbanding tahun lalu.


Jumlah wang yang ditipu seluruh tahun lalu adalah Sg$6.4 juta (RM16 juta) sejak 2007, tahun di mana menurut polis, skim cabutan bertuah melalui telefon, bermula.

Terdapat juga trend meningkat dalam jumlah wang ditipu daripada skim penipuan serupa sejak 2009.

Tahun lalu, jumlah wang ditipu melonjak 68.4 peratus berbanding 2010, walaupun mereka yang berjaya dalam skim penipuan adalah 4.6 peratus, iaitu meningkat berbanding 2010.

Jumlah skim cabutan bertuah melalui telefon yang dilaporkan tahun lalu, termasuk yang tidak berjaya, adalah 298 kes, 13.9 peratus menurun berbanding 2010.

Polis berkata, dalam skim itu, mangsa akan ditelefon dan diberitahu mereka memenangi hadiah cabutan bertuah di luar negara.

Mereka kemudian meminta mangsa membayar wang proses atau cukai dahulu sebelum mendapatkan hadiah mereka dan wang dihantar melalui pemindahan wang melalui agensi pengiriman wang. - Straits Times

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/24


Menteri Pendidikan, anggota Kabinet Thailand paling kaya

Posted: 24 Dec 2012 07:15 AM PST

BANGKOK: Menteri Pendidikan, Pongthep Thepkanchana dan isterinya, mengisytiharkan aset berjumlah 2.92 bilion baht (RM292 juta), menjadikan dia menteri Kabinet terkaya dalam barisan Kabinet ketiga Yingluck, lapor Suruhanjaya AntiRasuah Kebangsaan (NACC), semalam.

NACC mendedahkan aset and liabiliti anggota kabinet di bawah pengurusan Yingluck, selepas 23 menteri baru dilantik sejak 1 November lalu.

Menteri kedua terkaya adalah Menteri Dalam Negara, Leftenan Jeneral Chat Kuldilok, dengan aset berjumlah 1.14 bilion baht (RM114 juta). - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/24


3,000 Rohingya masuk ke Malaysia setiap tahun

Posted: 24 Dec 2012 07:14 AM PST

BANGKOK: Kira-kira 3,000 penduduk Rohingya melepasi sempadan Thailand untuk ke Malaysia setiap tahun.

Pegawai Perkhidmatan Risikan yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, penduduk Islam Rohingya dari Rakhine, Myanmar tiba di wilayah Ranong di Thailand dan meneruskan perjalanan ke wilayah Satun dengan menaiki bot sebelum masuk ke Kelantan.

Jumlah ini tidak termasuk mereka yang memasuki sempadan melalui jalan darat, katanya.

Kebanyakan daripada mereka bekerja sebagai buruh di ladang getah atau kelapa sawit.


Ada yang melarikan diri ke Timur Tengah, terutama Arab Saudi dan mendapat kerakyatan di negara angkat mereka.


Penduduk Rohingya biasanya diterima baik oleh orang Islam di negara lain kerana mereka peramah dan mempunya etika kerja yang kukuh.

Namun, dia percaya, ramai pelarian lelaki Rohingya dilatih menjadi pejuang dan bekerja sebagai pembunuh upahan. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/24


Mangsa rompakan ditinggal tepi jalan

Posted: 24 Dec 2012 07:14 AM PST

JAKARTA: Seorang lelaki mendakwa diberi dadah dan ditinggalkan tidak sedarkan diri di tepi jalan bertol Jakarta-Serpang, selepas menggunakan perkhidmatan teksi tidak berdaftar di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta.

Desman Simanjuntak, 27, ditemui hampir tidak sedarkan diri di tepi jalan bertol di Rawa Buntu, Serpong , Tangerang Selatan, kelmarin.

Pegawai polis yang menemuinya pada mulanya menganggap Desman mangsa bunuh sebelum mereka membawanya ke hospital.

Desman berkata, ketika dia tiba di lapangan terbang, seorang lelaki menghampirinya dan menawarkan perjalanan ke Lampung dengan kenderaan Honda Jazz.


"Dua puluh minit kemudian, selepas meninggalkan lapangan terbang itu, seorang daripada tiga penumpang menawarkan saya air mineral dan rokok. Waktu itu saya sangat dahaga dan minum air yang diberikan," katanya.


Desman mendakwa, dia berasa pening dan kemudian tidak sedarkan diri.

Desman mendakwa, dia kehilangan Rp13 juta (RM4,125) dan dua telefon bimbit.

"Saya bercadang menggunakan wang itu untuk membawa keluarga saya berjalan-jalan tetapi semua wang itu hilang. Mungkin ini nasib tidak baik," katanya. - Jakarta Post

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/24


11 murid mati nahas

Posted: 24 Dec 2012 07:13 AM PST

BEIJING: Sebelas kanak-kanak mati apabila van yang mereka naiki terhumban ke dalam kolam di wilayah Jiangxi, timur China, semalam.

Kemalangan berlaku ketika van berkenaan membawa kanak-kanak ke sekolah. Semua 11 mangsa itu berusia antara empat dan enam tahun, lapor akhbar Henan Business Daily.


Menurut laporan itu, empat kanak-kanak lain, seorang guru dan pemandu, terselamat dalam kejadian yang berlaku pada sebelah pagi berhampiran bandar Guixi.

Agensi berita Xinhua yang sebelum ini melaporkan hanya tiga orang terbunuh, kemudian berkata, lapan mangsa mati selepas mereka dibawa ke hospital.


Menurut Pusat Penerangan Bagi Hak Asasi dan Demokrasi yang berpusat di Hong Kong, pasukan kecemasan mengambil masa 70 minit untuk tiba ditempat kejadian selepas penduduk tempatan memaklumkan kepada pihak berkuasa mengenai kemalangan itu.


Kumpulan berkenaan berkata, van mini itu terlebih muatan. Kapasiti maksimumnya hanya tujuh orang.

Jalan raya di China amat berbahaya dengan undang-undang trafik dan keselamatan dilanggar secara berleluasa sementara pemandu trak sering kepenatan kerana kerja melebihi masa. Kemalangan maut membabitkan kenderaan terlebih muatan juga perkara biasa.


Tahun lalu, lebih 62,000 orang terbunuh dalam kemalangan jalan raya, lapor media negara itu.

Ogos lalu, 36 orang terbunuh apabila sebuah bas dua tingkat merempuh belakang sebuah lori membawa metanol menyebabkan kedua-dua kenderaan itu terbakar dan hanya tiga daripada 39 penumpang bas terselamat.


Kemalangan di wilayah Shaanxi, utara China itu adalah yang paling buruk di negara itu dalam masa setahun. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/24


Majlis cari pasangan tak dapat sambutan

Posted: 24 Dec 2012 07:13 AM PST

SEOUL: 'Pertarungan orang bujang', perhimpunan temu janji yang dianjurkan menerusi Facebook dan dijangka mendapat sambutan ramai semalam, gagal mencapai matlamat apabila ribuan lelaki muncul di tempat yang ditetapkan dan hanya segelintir wanita kelihatan.

Idea mengadakan acara itu tercetus bulan lalu selepas dua lelaki muda secara berseloroh mencadangkannya menerusi laman sosial berkenaan.


Lebih 36,000 pengguna Facebook bersetuju menghadirinya tetapi hanya 3,500, kebanyakannya lelaki berusia 20-an atau 30-an muncul.

Kebanyakan wanita yang hadir membawa teman lelaki masing-masing, hanya untuk melihat acara berkenaan.


"Kebanyakan yang datang adalah lelaki muda. Ramai yang meninggalkan tempat itu dalam masa yang singkat apabila semakin ramai lelaki memenuhi tempat berkenaan," kata seorang anggota polis. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/24


No comments:

Post a Comment