Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


‘Tiada alasan lagi’

Posted: 27 Dec 2012 09:11 AM PST

TIADA alasan lagi buat pengendali skuad negara, Datuk K Rajagobal untuk menyatakan tidak mempunyai masa mencukupi dalam usahanya mempersiapkan pasukan bagi menghadapi kempen kelayakan Piala Asia 2015.

Semalam, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi kelonggaran yang cukup besar kepada pengendali berusia 56 tahun itu mengumpulkan pemain menjelang dua aksi awal kempen kelayakan pada Februari dan Mac.


Berdasarkan jadual Liga-M musim depan, Rajagobal mempunyai masa 11 hari untuk mengadakan sesi latihan sebelum bertemu Qatar pada 6 Februari di tempat lawan dan persiapan 12 hari sebelum aksi kedua kempen kelayakan bertemu Yaman di Malaysia pada 22 Mac.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin pada sidang media semalam berkata, pihaknya sudah melalui situasi itu pada setiap tahun.


"Jika nak teruskan juga liga tanpa pemain kebangsaan, kita boleh saja hanya mengadakan satu perlawanan setiap minggu. Apapun saya kira jadual ini yang terbaik.


"Tapi kita mungkin terpaksa tukar jika skuad negara mempunyai perlawanan persahabatan secara tiba-tiba dan kena ubah jadual. Di Eropah, memang liga hanya berhenti rehat apabila ada perlawanan dalam kalendar Fifa.

"Bagaimanapun, kita ambil kira permintaan jurulatih kebangsaan kerana beliau perlukan banyak masa lagi untuk kem latihan pusat," katanya.


Kempen kelayakan Piala Asia penting bagi Rajagobal kerana beliau pernah menyatakan akan membawa pasukan negara layak secara merit ke Piala Asia 2015.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/28


Azam 2013

Posted: 27 Dec 2012 08:59 AM PST

ABU DHABI: Andy Murray percaya kejayaannya pada Terbuka AS berjaya mengendurkan tekanan ditanggungnya dan kini berazam untuk melakar lebih banyak kegemilangan pada acara Grand Slam 2013.

Pemain nombor tiga dunia, Murray muncul pemain lelaki pertama Britain sejak 1936 memenangi kejuaraan utama apabila menundukkan Novak Djokovic untuk menjuarai Terbuka AS, September lalu, dan kejayaan itu muncul selepas merangkul pingat emas Sukan Olimpik.


Pemain berusia 25 tahun itu kini berazam untuk meneruskan rentak kemenangan, bermula dengan kejohanan pertunjukan tiga hari di Abu Dhabi sebelum menuju ke Australia bagi kejohanan Grand Slam pertama musim.

"Dalam tiga, empat atau lima tahun lalu, ada tekanan kuat dalam fikiran dan saya berasa lebih rileks dan lega selepas menang Terbuka AS," kata Murray.


"Tekanan itu kini berjaya ditangani sekali gus saya mampu bermain dengan lebih rileks serta berharap mengulangi kemenangan Grand Slam.


"Saya tidak tahu bagaimana rasanya sebelum pusingan pertama Terbuka Australia dan ia pastinya satu perasaan baru dan saya hanya perlu menanganinya." Murray sedar aksinya pasti menjadi tumpuan pada Kejohanan Wimbledon pada Jun.

Fred Perry adalah pemain lelaki terakhir Britain memenangi Wimbledon pada 1936 dan Murray hampir melakukannya pada 2012 apabila layak ke final sebelum kecundang di tangan Roger Federer. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/28


Ana, Djokovic idam juara

Posted: 27 Dec 2012 08:59 AM PST

PERTH (Australia): Pasangan glamor Serbia, Novak Djokovic dan Ana Ivanovic berharap tuah kali ketiga apabila turun bergandingan pada kejohanan tenis Piala Hopman, bermula esok.

Serbia adalah pilihan utama kejohanan bernilai AS$1 juta (RM3.1 juta) di Arena Perth dan rakan karib itu akan bertanding dalam acara itu buat kali ketiga, selepas digandingkan pada 2006 dan 2011.


Namun, kejohanan berpasukan campuran itu tidak mendatangkan hasil diingini apabila mereka terlepas kejuaraan dalam kedua-dua penampilan sebelum ini.

Cubaan pertama mereka adalah di bawah bendera Serbia Montenegro dan mereka terlepas final apabila tersingkir di tangan juara, gandingan Amerika Syarikat, Taylor Dent dan Lisa Raymond, selepas kiraan semula set dimenangi pada peringkat kumpulan.


Tahun lalu, mereka bertindak lebih baik apabila layak ke final namun Ana terpaksa berehat kerana mengalami kekejangan perut sekali gus membolehkan Belgium mengambil alih tempat mereka pada penentuan kejuaraan yang dimenangi AS sekali lagi.


Ana yang menduduki ranking ke-13 dunia berasa ada tugas yang perlu dilunaskan di Perth ketika mereka mempersiapkan diri menghadapi Terbuka Australia, bermula 14 Januari di Melbourne. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/28


Magpies dikecam

Posted: 27 Dec 2012 08:58 AM PST

JOHANNESBURG: Nigeria mengecam Newcastle United kerana tidak membenarkan Shola Ameobi bermain pada Piala Negara-Negara Afrika bulan depan namun turut menyatakan mereka mungkin mengalah jika pertikaian itu mencetuskan pertelagahan antara penyerang itu dengan kelabnya.

Ameobi dinamakan dalam skuad awal Nigeria bagi kejohanan dari 19 Januari hingga 10 Februari itu oleh jurulatih Stephen Keshi namun pengurus Newcastle, Alan Pardew berkata, pemain berusia 31 tahun itu tidak akan ke Afrika Selatan.


"Pardew tahu beliau tidak boleh menyekat Shola daripada menyertai kejohanan ini kerana ia diiktiraf oleh Fifa," kata Keshi.

"Saya tidak tahu apa yang ada dalam fikirannya atau apa yang difikirkannya. Saya tidak pernah bercakap dengan Pardew, saya hanya melihatnya di kaca televisyen." Pardew yang mengemudi Newcastle ke tangga kelima Liga Perdana Inggeris musim lalu walaupun musim ini mereka hanya lima mata di atas zon penyingkiran di tangga ke-15 menegaskan, Shola tidak dibenarkan untuk ke Afrika Selatan.


"Pengurus pasukan kebangsaan tahu alasannya," tegasnya.


Keshi turut berang dengan Kenny Jackett, jurulatih kelab divisyen dua Inggeris, Millwall yang melarang Danny Shittu beraksi di Piala Negara-Negara Afrika sekalipun pemain pertahanan itu dinamakan dalam skuad Nigeria.

"Saya tidak faham kenapa kelab Inggeris cuba menyekat pemain. Adakah mereka berasa pemain ini tidak berhak beraksi buat negara masing-masing?" kata Keshi.


"Kelab perlu faham betapa pentingnya kejohanan ini." Bagaimanapun, Keshi sedia beralah jika pemain terbabit dengan perebutan antara negara dengan kelab.

"Saya tidak mahu mencetus sebarang masalah buat pemain kerana ini adalah karier mereka dan akhirnya mereka perlu kembali ke kelab." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/28


Taarabt disisih

Posted: 27 Dec 2012 08:28 AM PST

LONDON: Maghribi mengetepikan penyerang Queens Park Rangers, Adel Taarabt daripada skuad 24 pemain ke Piala Negara-Negara Afrika di Afrika Selatan bulan depan.

Pemain berusia 23 tahun itu tidak dinamakan dalam senarai pemain bagi kejohanan dari 19 Januari hingga 10 Februari seperti yang disiar dalam laman web rasmi Persekutuan Bola Sepak Maghribi (www.frmf.ma).


Namun, penyerang kelahiran Belanda, Mounir El Hamdaoui kembali ke skuad buat kali pertama sejak September selepas mempamerkan kebangkitan sejak dipinjamkan ke Fiorentina dari Ajax Amsterdam.

Penyerang Arsenal, Marouane Chamakh turut diketepikan tapi pemain tengah Aston Villa, Karim El Ahmadi dan penyerang Liverpool, Oussama Assaidi daripada Liga Perdana disenaraikan.


Maghribi akan bermain pada malam pembukaan menentang Angola di Johannesburg dan turut berdepan Afrika Selatan dan Cape Verde dalam Kumpulan A.


Pemain lincah, Taarabt tidak lagi menjadi pilihan pasukan kebangsaan namun berharap dapat memukau jurulatih Maghribi, Rachid Taoussi yang mengambil alih pada musim panas lalu.

"Saya harap dapat beraksi pada Piala Negara-Negara Afrika tapi jika tidak berada di sana, saya akan menjadi penyokong kuat Maghribi," katanya.


Ketiadaan Taarabt dalam skuad kebangsaan akan membantu usaha QPR kekal di Liga Perdana Inggeris di bawah pengurus baru, Harry Redknapp. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/28


Cavani bukan untuk dijual

Posted: 27 Dec 2012 08:27 AM PST

ROME: Napoli menolak tawaran 55 juta euro (RM223 juta) terhadap penyerang, Edinson Cavani dengan pemilik kelab, Aurelio De Laurentiis membayangkan semangat pejuang pemain Uruguay itu menjadi kunci kelab memburu kejuaraan Serie A.

"Cavani adalah seorang pejuang lengkap dengan semangat terbaik Napoli dan penyokong kami. Itulah sebabnya saya menolak tawaran 55 juta euro," kata De Laurentiis tanpa mendedahkan kelab yang menawarkan jumlah itu.


"Cavani menjadi simbol kebangkitan kami. Jika saya mengekalkannya di sini ia bukan kerana wang tapi kerana sayangkan kelab," katanya mengenai pemain berusia 25 tahun itu yang sudah menjaringkan 13 gol liga musim ini.

Cavani hadir di Napoli selepas menghabiskan tiga musim bersama Palermo.


Napoli kini di tangga kelima Serie A, 10 mata di belakang pendahulu Juventus. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/28


Mancini kecam mutu pengadilan

Posted: 27 Dec 2012 08:27 AM PST

LONDON: Pengurus Manchester City, Roberto Mancini menempelak pengadil, Kevin Friend dan mendakwa kelabnya mungkin tidak perlu beraksi di Sunderland musim depan selepas kalah 0-1 pada pertembungan Liga Perdana Inggeris, kelmarin.

Juara bertahan, City kini tujuh mata di belakang Manchester United, mensia-siakan satu lagi kunjungan ke Sunderland selepas turut kalah pada perlawanan liga 1 Januari lalu.


"Mungkin pengadil makan terlalu banyak ketika Krismas," kata Mancini sebelum menambah Friend terlepas pandang kekasaran ke atas Pablo Zabaleta sebelum gol kemenangan pada minit ke-53 oleh pemain buangan City, Adam Johnson.

"Anda perlu bertanya pengadil kenapa ia diberikan, bukan saya. Saya lihat ia satu kekasaran yang nyata, mustahil dua pegawai (Friend dan penjaga garisannya) tidak melihatnya.


"Mungkin tahun depan kami tak datang ke sini. Kami tidak perlu menghabiskan wang." Pelawat lebih banyak menguasai babak pertama dengan percubaan Vincent Kompany terkena palang dan penjaga gol Sunderland, Simon Mignolet menyelamatkan dua percubaan berbahaya Yaya Toure dan David Silva.


Selepas rembatan Johnson pada babak kedua mengatasi penjaga gol Joe Hart, City berdepan masalah mencipta peluang dan Sunderland berjaya bertahan untuk memenangi perlawanan itu sekali gus melonjakkan mereka tujuh mata daripada zon penyingkiran.

"Kami mesti menjaringkan gol, penyerang kami perlu meningkat," kata Mancini. "Kami perlu mengubah sesuatu dalam pasukan kerana tidak boleh berterusan begini, kami tidak banyak menjaringkan gol.


"Kadang kala kami banyak melakukan hantaran dan fikir 'tak mengapalah, kami boleh menjaringkan gol lain kali' tapi kami tidak boleh begitu, dalam bola sepak ia tidak seperti itu. Kami mesti lebih berbisa dalam kawasan penalti lawan." Pasukan tangga kedua City akan bertemu Norwich City malam esok dan kemudian menanti kunjungan Stoke City, Selasa ini. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/28


Benitez puji aksi Mata

Posted: 27 Dec 2012 08:26 AM PST

NORWICH (England): Jurulatih Chelsea, Rafael Benitez memuji Juan Mata selepas gol kemenangannya di Norwich City membolehkan kelab London itu merapatkan kedudukan kepada empat mata berbanding pasukan tangga kedua, Manchester City.

Pemain tengah Sepanyol itu meraih gol ke-13 musim ini tujuh minit sebelum rehat di Carrow Road kelmarin pada perlawanan hambar yang menyaksikan tidak banyak peluang dicipta kedua-dua pasukan.


"Mata seorang pemain yang amat berbahaya dalam kotak dan juga luar kotak penalti. Kami amat gembira dengan persembahannya," kata Benitez yang menyaksikan anak buahnya membenam Aston Villa 8-0 pada perlawanan terdahulu.

"Persembahannya dan seluruh pasukan bagus dan kami kini menang tiga perlawanan berturut-turut. Dia bertindak cemerlang. Sekalipun tidak mendapat bola, dia tetap bekerja keras dan apabila kami menguasai bola, dia pasti mencetus perbezaan.


"Dia bijak dan gerakannya juga mengagumkan. Dia boleh bermain di mana saja, boleh ke kanan mencipta ruang dan ia sukar ditangani pemain tengah dan pertahanan lawan.


"Liga Perdana mempunyai ramai pemain yang bagus dan Mata salah seorang daripada mereka." Benitez tidak begitu jelas mengenai laporan akhbar menyatakan pemain antarabangsa England, Frank Lampard diberitahu boleh meninggalkan kelab itu bulan depan dan bukannya hujung musim ini, apabila kontraknya tamat.

"Bagi saya, amat mudah, ia adalah perbincangan peribadi antara Frank dan kelab," kata pengendali dari Sepanyol itu yang bertindak sebagai pengurus sementara selepas Roberto Di Matteo dipecat. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/28


Rooney rehat tiga minggu

Posted: 27 Dec 2012 08:26 AM PST

LONDON: Wayne Rooney mungkin terpaksa diketepikan antara dua hingga tiga minggu selepas lutut penyerang Manchester United itu tercedera ketika latihan menjelang pertembungan Liga Perdana Inggeris menentang Newcastle United, kelmarin.

Rooney tidak beraksi pada perlawanan yang dimenangi United 4-3 di Old Trafford dan pengurus, Alex Ferguson berkata, penyerang itu sudah pasti terlepas minggu cuti perayaan yang sibuk.


"Wayne cedera ketika latihan semalam (kelmarin), dia mungkin tidak bermain dua, tiga minggu," kata Ferguson.

"Dia mengalaminya ketika latihan hampir berakhir. Dia tercedera ketika cuba melakukan sepakan voli, ligamen di belakang lututnya kejang." United akan menanti kunjungan West Bromwich Albion malam esok dan bertandang ke Wigan Athletic, Selasa ini dalam usaha untuk menjarakkan jurang mata di puncak liga selepas memiliki kelebihan tujuh mata ke atas Manchester City.


Ketiadaan Rooney tidak menjejaskan serangan United dengan pemain Mexico, Javier Hernandez mengambil alih tempatnya dan menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-90 selepas Newcastle mendahului tiga kali.


Robin van Persie turut menyumbang gol, menjaringkan gol ke-13 dalam Liga Perdana musim ini untuk berkongsi kedudukan sebagai pendahulu penjaring terbanyak bersama Michu dari Swansea City. Rooney menjaringkan tujuh gol dalam liga musim ini, - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/28


Fergie gusar walau menang

Posted: 27 Dec 2012 08:26 AM PST

MANCHESTER: Manchester United kini memiliki kelebihan tujuh mata di persada Liga Perdana Inggeris selepas menewaskan Newcastle United, 4-3, kelmarin namun pencapaian itu bukannya semua positif buat Alex Ferguson dan pasukannya.

Selepas perlawanan itu, pengurus veteran itu mendedahkan, Wayne Rooney mengalami kecederaan ligamen lutut dan terpaksa diketepikan hingga tiga minggu, selepas mengetepikannya daripada perlawanan menakjubkan itu yang menyaksikan Newcastle mendahului tiga kali tapi akhirnya kecundang berikutan gol kemenangan Javier Hernandez pada minit ke-90.


Ferguson turut berdepan kesukaran pada perlawanan mendebarkan itu.

Beliau meluru masuk ke padang sebelum babak kedua dimulakan dan membantah pengadil Mike Dean, penolong pengadil Jake Collin dan pegawai keempat Neil Swarbrick mengenai keputusan menghadiahkan pasukan pelawat gol kedua pada minit ke-28.


Dean menolak keputusan Collin, yang sebelumnya mengangkat bendera tidak membenarkan gol itu kerana penyerang Newcastle, Papiss Cisse berada dalam kedudukan ofsaid apabila Danny Sinpson melakukan hantaran silang sebelum Jonny Evans menjaringkan gol sendiri.


"Ia satu keputusan yang teruk," kata Ferguson. "Dean tidak mendapat peluang untuk melihat semula ulang tayang tapi saya melihatnya dan ia jelas satu kesilapan. Dean berkata ia adalah gol sendiri dan tidak kisah sama ada pemain berada dalam keadaan ofsaid tapi apabila anda lihat semula ulang tayang, dia (Cisse) jelas mengganggu permainan.

"Ia jelas. Penjaga garisan betul mengangkat bendera kerana Cisse berada dalam kedudukan ofsaid apabila hantaran lintang dilakukan dan dia juga menolak lengan Jonny Evans.


"Jika ia bukannya satu gangguan, apa maksudnya gangguan? Itulah hujah yang saya berikan kepada Dean." Gol kedua itu membolehkan Newcastle mendahului semula selepas Evans menyamakan jaringan selepas gol pembukaan James Perch.

Patrice Evra menyamakan kedudukan kali kedua buat tuan rumah, dengan Cisse membolehkan Newcastle mendahului buat kali ketiga sebelum disamakan Robin van Persie dan kemudiannya Hernandez melengkapkan perlawanan luar biasa itu dengan gol kemenangan.


Tiga musim terakhir menyaksikan pasukan yang mendahului carta ketika Krismas memenangi kejuaraan dan kelebihan tujuh mata United dilihat terlalu unggul, di sebalik benteng pertahanan mereka terus mencetus masalah.


"Sudah tentu kami bimbang," kata Ferguson merujuk rekod pertahanan kelabnya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/28


No comments:

Post a Comment