Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Jacintha salahkan DJ, hospital

Posted: 16 Dec 2012 12:57 PM PST

LONDON: Jururawat yang membunuh diri selepas diperdaya dua hos radio, didakwa meninggalkan nota dan menyalahkan pemanggil dari Australia itu atas kematiannya. Menurut sumber yang rapat dengan keluarga Jacintha Saldanha, mangsa meninggalkan tiga nota sebelum menggantung dirinya.

Kata sumber itu, Jacintha menulis surat ringkas menyatakan rasa marahnya kepada dua penyampai radio Australia itu dan menyalahkan mereka atas tindakannya membunuh diri. Dalam surat lain, katanya, Jacintha, 46, mengkritik kakitangan hospital tempatnya bekerja.


"Jacintha menyebut dua nama untuk dipersalahkan," katanya. Jacintha ditemui mati dengan lehernya dijerut skaf di kediaman kakitangan Hospital King Edward VII di London, beberapa hari selepas dia menyedari diperdaya penyampai radio.

Dalam kejadian itu, dua penyampai terbabit, Mel Greig dan Michael Christian - menyamar sebagai Ratu Elizabeth dan Putera Charles untuk mendapatkan maklumat mengenai Kate Middleton.


Duchess of Cambridge itu ditempatkan di hospital berkenaan selepas mengalami masalah kesihatan akibat hamil. Difahamkan, seorang daripada penyampai radio itu menghubungi semula hospital berkenaan dan bercakap dengan Jacintha sambil mengaku menyamar sebelum itu.


Penyampai terbabit turut memaklumkan panggilan berkenaan akan disiarkan di stesen mereka. Pengakuan itu menyebabkan Jacintha "keliru dan gelisah." Kedua-dua penyampai radio itu meminta maaf atas tindakan mereka selepas Jacintha membunuh diri. Sementara itu, Hospital King Edward VII mendakwa, tiada mana-mana kakitangannya menyalahkan Jacintha kerana diperdaya. Malah, kata jurucakap hospital itu, mereka menyokong Jacintha.

Namun, hospital berkenaan percaya, ada antara rakan sekerja Jacintha memarahinya melalui e-mel.


Apabila rakan keluarga Jacintha itu ditanya sama ada mangsa dimarahi rakan sekerja kanannya, dia berkata: "Anda rasa bagaimana?" - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/17


Derita budak alami ketumbuhan 4kg di muka bakal berakhir

Posted: 16 Dec 2012 09:15 AM PST

KAMPALA: Seorang budak perempuan akan menjalani pembedahan membuang ketumbuhan sebesar bola sepak di muka sebelum ia mungkin meragut nyawanya.

Ketumbuhan itu mula kelihatan apabila Trinny Amuhirwe berusia empat setengah tahun dan pernah menjalani dua pembedahan di Uganda.


Namun, nasib belum menyebelahi Trinny, 8, apabila ketumbuhan tulang berkenaan berlaku semula selepas dibuang.

Ketika ini, ketumbuhan itu seberat kira-kira dua kilogram.


Akibatnya, satu daripada mata Trinny buta, manakala giginya tertolak dari tempat asal. Pembedahan kali ketiga Trinny akan dijalankan di Hospital Cromwell di London.


Doktor pakar di situ akan cuba membuang semua ketumbuhan berkenaan menggunakan teknologi terkini sebelum menstruktur semula muka Trinny.

Pembedahan dijangka berlangsung selama 15 jam. - TS

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/17


Lanza guna raifal tentera

Posted: 16 Dec 2012 09:13 AM PST

NEWTOWN (Connecticut): Pemuda yang menyerang sekolah kelmarin, menggunakan raifal untuk membunuh mangsa yang kebanyakannya berusia enam dan tujuh tahun, kata pihak berkuasa, semalam.

Sebelum ini, laporan menyatakan, Adam Lanza, 20, menggunakan dua pistol seperti yang biasa digunakan oleh anggota polis untuk menembak mati 20 kanak-kanak dan enam orang dewasa di Sekolah Rendah Sandy Hook di Newtown.


Namun, daripada siasatan polis di sekolah itu, pihak berkuasa buat pertama kali mendedahkan, senjata utama yang digunakan adalah raifal .233 Bushmaster yang direka untuk menembak musuh dalam peperangan.

Ketua Bedah Siasat Connecticut, H Wayne Carver dalam sidang akhbar berkata, daripada luka di badan mangsa, ia menunjukkan senjata yang digunakan adalah jenis raifal semi-automatik yang biasa digunakan dalam tentera.


Katanya, kebanyakan mangsa adalah "murid Tahun Satu yang memakai pakaian cantik" dan dia sendiri selesai memeriksa semua mayat yang mempunyai kesan tembakan antara tiga dan 11 kali di tubuh mereka.


Carver berkata, senjata itu adalah senjata pembunuh yang direka di mana peluru yang dilepaskan kekal dalam tubuh mangsa.

Polis Connecticut mula mendedahkan usia mangsa, termasuk pelajar berusia 16 berusia enam tahun tahun dan empat mangsa berusia tujuh tahun. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/17


Polis masih siasat motif serangan

Posted: 16 Dec 2012 09:13 AM PST

NEWTOWN (Connecticut): Polis masih menyiasat motif sebenar pembunuhan 20 kanak-kanak dan enam dewasa di sebuah sekolah oleh seorang penyerang, minggu lalu.

Polis juga belum mengumumkan identiti mangsa atau maklumat lain mengenai kejadian di Sekolah Rendah Sandy Hook sebaik saja kelas bermula, Jumaat lalu.


Motif penyerang yang dikenali sebagai Adam Lanza, 20, masih menjadi misteri besar.

Namun begitu, Jurucakap Polis Connecticut, Leftenan Paul Vance berkata, pegawai penyiasat mula menjalankan siasatan secara terperinci.


Ditanya sekiranya ada nota bunuh diri atau petunjuk lain yang dapat menerangkan apa yang berlaku dalam fikiran penyerang itu, Vance berkata "lokasi jenayah itu memberi beberapa bukti kukuh dalam siasatan kami." Katanya dalam sidang akhbar, pegawai penyiasat akan dapat menggunakan bukti itu untuk mendapatkan gambaran sebenar bagaimana dan yang lebih penting mengapa kejadian itu berlaku.


Selain daripada mangsa di sekolah, polis menemui mayat seorang wanita di rumah yang pernah diduduki oleh Lanza dan ibunya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/17


Ketua balai polis seludup dadah

Posted: 16 Dec 2012 09:12 AM PST

NAN (Thailand): Lima anggota polis dari balai polis di wilayah Nan, termasuk ketua balai, dipecat kerana didapati menyeludup satu juta pil syabu.

Timbalan Ketua Polis Bahagian 5, Mejar Jeneral Chamnan Roadriew berkata, lima yang ditahan adalah Ketua Balai Polis Ouan, Leftenan Kolonel Thammanoon Nakbua; Timbalan Ketua Penyiasat Pencegahan Jenayah, Leftenan Jittipong Sochai; Sarjan Mejar Atthapol Khamsaen dan Sarjan Mejar Sakkapong Chiangnoon.


Mereka dipecat serta merta.

Sebuah jawatankuasa ditubuhkan untuk menyiasat lima anggota polis berkenaan dan ketua mereka.


Kelima-lima berdepan dengan tindakan tatatertib dan dakwaan jenayah serius, katanya.


Semua anggota polis itu dikatakan ditahan ketika berada di dalam sebuah kereta yang diletakkan di Hotel Riverview Place di Jalan Uthong di wilayah Ayutthaya di mana kenderaan mereka diperiksa oleh anggota polis antinarkotik.

Satu juta pil syabu ditemui disembunyikan di dalam sebuah kereta peronda dan sebuah trak pikap Toyota di mana kelima-lima mereka ditahan.


Mereka dikatakan mengaku diupah dua juta baht (RM200,000) oleh pengedar dadah di Chiang Rai untuk menghantar pil berkenaan kepada pelanggan di tempat letak kereta di hotel itu.

Sumber memberitahu, Jittipong terlibat dengan kumpulan dadah utama ketika menjadi pegawai polis sempadan di Chiang Mai sebelum ditukarkan ke Ouan - BP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/17


1,020 korban Taufan Bopha

Posted: 16 Dec 2012 09:08 AM PST

MANILA: Jumlah mangsa maut dalam taufan kuat yang melanda Filipina awal bulan ini, melepasi 1,000 orang manakala beratus-ratus lagi belum ditemui, kata kerajaan, semalam.

Ketua Pertahanan Awam, Benito Ramos berkata, Taufan Bopha yang melanda pada 4 Disember lalu, menyebabkan 1,020 orang maut, terutama di selatan Pulau Mindanao di mana ia menyebabkan banyak tanah runtuh dan kerosakan teruk.


Sejumlah 844 orang masih hilang, hampir separuh daripada jumlah itu adalah nelayan yang keluar ke laut sebelum taufan melanda.

Ramos berkata, dia bimbang sebahagian besar yang hilang itu mungkin terkorban.


"Jumlah mangsa yang maut akan meningkat. Kami menemui banyak mayat yang tertimbus di bawah timbunan kayu dan sampah sarap, semalam," katanya.


Katanya, jumlah kematian akibat bencana alam Taufan Bopha adalah yang paling teruk yang melanda negara ini, tahun ini di mana ia mungkin lebih daripada 1,268 orang yang disahkan maut ketika Taufan Washi melanda selatan Filipina pada Disember tahun lalu.

"Kami sudah bersedia, cuma kami terbeban kerana kami tidak menjangka ia seteruk ini. Kali terakhir ribut taufan kuat melanda, adalah pada 1912," katanya.


Ramos berkata, banyak pusat pemindahan musnah akibat taufan itu.

Lebih 27,000 orang masih tinggal di pusat itu selepas hampir dua minggu taufan melanda dan usaha mencari mangsa maut dan hilang masih diteruskan, katanya.


Jurucakap tentera di bahagian teruk dilanda taufan itu, Kolonel Lyndon Paniza berkata, mereka tidak yakin akan menemui mangsa yang selamat. - MT

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/17


Posted: 16 Dec 2012 09:06 AM PST

SINGAPURA: Polis menahan seorang lelaki berusia 42 tahun kerana memecah masuk sebuah rumah dan mengelar dua penghuni flat itu dengan pisau.

Pada 15 Disember lalu, kira-kira jam 6 pagi, polis menerima maklumat mengenai seorang lelaki memecah masuk rumah flat HDB di Yishun dan mengelar isteri dan adik ipar pemilik rumah itu dengan pisau.


Suspek kemudian melarikan diri, tanpa membawa pisau itu.

Dalam masa 18 jam, anggota polis berjaya menemui suspek dan menahannya di Telok Blangah.


Lelaki itu akan didakwa atas kesalahan pecah masuk rumah pada waktu malam dan menyebabkan luka dengan cara berbahaya.


Jenayah pecah masuk rumah membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun dan atas kesalahan menyebabkan luka dengan cara berbahaya, lelaki itu boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda, sebatan atau semua sekali. - ST

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/17


Patriot agenda Barat cetus perang

Posted: 16 Dec 2012 09:05 AM PST

TEHERAN: Panglima Tentera Iran semalam memberi amaran kepada Ankara berhubung rancangan negara itu menghantar peluru berpandu buatan Amerika Syarikat (AS), Patriot, ke sempadan Turki - Syria.

Jeneral Hassan Firouzabadi berkata, langkah Turki itu adalah sebahagian daripada rancangan Barat "mencipta perang dunia." "Misil Patriot adalah ancaman dan setiap satu daripadanya menjadi titik hitam di atas peta bagi mencipta perang dunia," katanya kepada pegawai kanan pasukan keselamatan Iran.


Sebelum ini, Pertubuhan Pakatan Atlantik Utara (Nato) meluluskan permohonan Ankara menghantar Patriot ke sempadan negara itu bagi mengukuhkan sistem pertahanan Turki ketika hubungan dengan rejim Presiden Syria, Bashar al-Assad, terus tegang. Jerman, Belanda dan AS bersetuju menyediakan pelancar Patriot.

Agensi berita Isna melaporkan, Hassan yakin Barat memang cuba menghantar pelancar misil ke sempadan Turki - Syria. Kata Hassan, perkembangan itu sangat berbahaya kepada semua, termasuk masa depan Eropah. "Seorang tentera veteran dan penganalisis tiada masalah untuk menjangkakan perkara ini akan berlaku pada masa depan," katanya.


Selain Iran, Russia - satu lagi sekutu Bashar - turut membantah rancangan Turki. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/17


Bekas Presiden Mesir cedera jatuh dalam bilik mandi penjara

Posted: 16 Dec 2012 09:05 AM PST

KAHERAH: Bekas diktator Mesir, Hosni Mubarak, dilaporkan cedera selepas tergelincir dalam bilik mandi penjara, semalam.

Agensi berita Mena melaporkan, bekas Presiden Mesir yang menjalani hukuman penjara seumur hidup itu kini dirawat di hospital dalam penjara di selatan Kaherah kerana mengalami luka di kepala serta lebam.


Hosni, 84, menjadi pemerintah Mesir selama tiga dekad sebelum disingkirkan kebangkitan rakyat negara itu pada 11 Februari tahun lalu.

Dia dipenjara bersama bekas Menteri Dalam Negeri, Habib al-Adly, sejak Jun lalu selepas didapati bersalah gagal menghalang pembunuhan ke atas 850 penunjuk perasaan yang menentang mereka. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/17


Parti Mursi dakwa menangi undian

Posted: 16 Dec 2012 09:04 AM PST

KAHERAH: Kumpulan Islam yang menyokong perlembagaan baru Mesir semalam mendakwa pungutan suara dijalankan kelmarin memihak kepada mereka.

Bagaimanapun, pembangkang mendakwa, proses pungutan suara itu dicemari dan mahu menunggu keputusan akhir minggu depan sebelum membuat sebarang tindakan. Perselisihan dua kumpulan itu memburukkan lagi perpecahan politik Mesir yang kini memasuki minggu ketiga.


Parti Kebebasan Dan Keadilan yang dianggotai Presiden Mohamad Mursi berkata, 56.5 peratus daripada 51 juta pengundi menyokong perlembagaan itu.

Media Mesir turut melaporkan angka yang sama. Sementara itu, pembangkang Barisan Pembebasan kebangsaan berkata, mereka tidak mengiktiraf sebarang keputusan tidak rasmi.


"Kami akan menunggu keputusan rasmi dalam pengundian pusingan kedua Sabtu depan," kata gabungan itu melalui kenyataan media. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/17


No comments:

Post a Comment