Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Perang DVD haram berbaloi

Posted: 20 Dec 2012 12:34 PM PST

KUALA LUMPUR: Perang ke atas penjualan cakera padat (CD), cakera padat video (VCD) dan cakera video digital (DVD) cetak rompak yang diisytiharkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) beberapa tahun menampakkan hasil apabila berlaku penurunan penjualan barangan terbabit antara 25 hingga 30 peratus.

Timbalan Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Muhamad Irwan Abdullah berkata, kejayaan itu hasil usaha berterusan penguat kuasa DBKL bagi membanteras penjualan barang larangan terbabit di ibu negara.


Beliau berkata, 68,791 CD, VCD dan DVD atau 205 kes berjaya dirampas tahun ini berbanding 74,471 keping atau 548 kes tahun lalu.

"Beberapa lokasi tumpuan seperti di Jalan Bukit Bintang, Jalan Sultan, Jalan Petaling, pasar malam dan pagi semakin kurang orang menjual CD, VCD dan DVD cetak rompak.


"Ini berikutan strategi kami menempatkan anggota di lokasi panas menyebabkan penjualannya semakin berkurangan," katanya pada sidang media selepas menyaksikan pelupusan CD, VCD dan DVD cetak rompak di sini, semalam.


Muhamad Irwan berkata, setakat ini tiada individu ditangkap dan didakwa.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/21


Barang kemas bertukar air

Posted: 20 Dec 2012 12:32 PM PST

PETALING JAYA: Seorang tukang cuci warga emas mendakwa ditipu seorang bomoh palsu kononnya mempunyai kebolehan menilik nasib dan membuang sial selepas pelbagai barang kemas serta wang RM1,000 yang dibungkus dalam kain untuk dijampi bertukar dua botol air mineral serta sekotak air.

Mangsa yang berusia 60 tahun bertemu wanita terbabit ketika ke pasar pagi di Taman Sri Sentosa, Jalan Klang Lama, sebelum diajak ke pasar raya di Taman Sri Manja, di sini, pada 8 Disember lalu.


Menurut sumber, mangsa mengikut wanita terbabit ke pasar raya berkenaan menaiki teksi. "Ketika dalam perjalanan, wanita terbabit mendakwa mampu menilik nasib dan memberitahu anak mangsa akan ditimpa bencana dalam masa terdekat sebelum menawarkan bantuan untuk membuang nasib malang itu. Katanya, mangsa yang percaya dengan dakwaan wanita terbabit pulang ke rumah di Taman Sri Sentosa dan mengambil rantai, gelang, cincin dan anting-anting serta wang RM1,000. "Wanita itu mengajak mangsa masuk dalam teksi bagi upacara menjampi barang kemas dan duit yang dibungkus dalam kain serta dimasukkan dalam sebuah beg," katanya.

Sumber berkata, selesai upacara, wanita terbabit menyerahkan semula bungkusan berisi barang kemas dan wang kepada mangsa serta menetapkan syarat supaya bungkusan itu tidak dibuka selepas 10 hari.


"Namun, selepas tempoh berkenaan berakhir, kelmarin, mangsa membuka bungkusan itu dan mendapati ia mengandungi dua botol air mineral dan sekotak air.


"Mangsa yang menyedari menjadi mangsa penipuan selepas barang kemas dan wang tunainya lesap membuat laporan di Balai Polis Petaling Jaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/21


Penyamun jatuh pangsapuri

Posted: 20 Dec 2012 12:32 PM PST

SELAYANG: Seorang lelaki yang dipercayai baru memecah masuk sebuah rumah maut apabila terjatuh dari tingkat tujuh pangsapuri Jemerlang, di sini, ketika cuba melarikan diri, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, lelaki terbabit terkejut selepas menyedari penghuni rumah berkenaan pulang sebelum melarikan diri melalui pintu belakang menggunakan saluran paip.


Bagaimanapun, lelaki terbabit gagal mengimbangkan badan lalu terjatuh ke tingkat empat.

Menurut sumber, lelaki terbabit maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.


Katanya, turut ditemui wang RM1,600, cincin dan kamera milik mangsa.


Mayat lelaki itu dibawa ke Hospital Selayang untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/21


28 laluan RapidKL operasi semula

Posted: 20 Dec 2012 12:31 PM PST

KUALA LUMPUR: Sebanyak 28 laluan bas RapidKL beroperasi semula di Hentian Akhir Bandar Pasar Seni mulai esok berikutan kerja menaik taraf Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selesai dilaksanakan.

Ketua Pegawai Operasi Bas RapidKL, Mohd Azam Omar berkata, bas RapidKL ke selatan termasuk Koridor Pudu, kekal beroperasi di hab bas berhampiran Mydin Sinar Kota.


"Antara laluan bas RapidKL yang beroperasi di Hentian Akhir Bandar Pasar Seni adalah laluan A dari Jalan Hang Kasturi (platform A1-A8), laluan C dari Jalan Sultan Mohamed (platform C1-C3) dan laluan D dari Jalan Sultan Mohamed (platform D1-D6)," katanya dalam kenyataan di sini, semalam. — Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/21


Tahan lori pindah diesel

Posted: 20 Dec 2012 12:31 PM PST

KAJANG: Satu sindiket penyelewengan diesel bersubsidi tumpas selepas sebuah lori yang memindahkan bahan bakar itu ditahan dalam serbuan di sebuah stesen minyak di Jalan Sungai Chua, di sini, tengah hari semalam.

Serbuan dilakukan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas 10,000 liter diesel dianggarkan berharga lebih RM20,000.


Menurut sumber, pihaknya menerima aduan awam berhubung aktiviti berkenaan sebelum membuat risikan sejak dua minggu lalu selain mengintip pergerakan lori terbabit bagi mengenal pasti stesen minyak yang menjadi pembekal mereka.

Sumber berkata, sepasukan anggota penguat kuasa mengekori lori itu jam 7 pagi sebelum mengesan beberapa stesen minyak di Kajang dan Semenyih yang dipercayai menjual bahan bakar kepada sindiket terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/21


No comments:

Post a Comment