Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Si Belang gagal terbang

Posted: 17 Dec 2012 11:35 AM PST

LEICESTER: Satu rancangan seorang pembunuh dan seorang ketua dadah melarikan diri dari penjara dengan helikopter berjaya digagalkan pengawal.

Ketua kumpulan dadah, Mark Osborne dan pembunuh, Wayne Collins merancang untuk melarikan diri dari Penjara Gartree di Leicester, tempat yang pernah menyaksikan satu-satunya tindakan melarikan diri dari penjara di Britain pada 1987.


Bagaimanapun, pengawal di penjara Kategori B itu mendapat maklumat mengenai rancangan itu dan bertindak ke atas kedua-dua banduan dengan memakaikan mereka pakaian berbelang yang biasa diberikan kepada tahanan yang berpotensi melarikan diri.

Menurut akhbar Daily Star, mereka dipindahkan ke penjara kawalan ketat, Osborne ke Whitemoor di Cambridgeshire dan Collins ke Full Sutton di Yorkshire Timur.


Satu sumber penjara memberitahu akhbar itu: "Osborne dan Collins merancang melarikan diri dan mengutip dana sejak beberapa bulan lalu." Pasangan itu dipercayai membayar operasi itu menerusi hasil perniagaan dadah dari dalam dan luar penjara.


Osborne, 29, dan abangnya, Tony pernah terbabit membekalkan kokain bernilai ratusan ribu paun di kawasan Romford di Essex.

Mereka mengupah Collins untuk membunuh Mark Tredinnick di depan anaknya berusia empat tahun pada Jun 2007.


Osborne menggunakan telefon diseludup masuk ke bilik kurungannya untuk mengarah pembunuhan Tredinnick, 39.

Mangsa ditembak sembilan kali selepas diserang hendap di Romford di depan teman wanitanya, Kerri Ann Shanahan dan anak mereka.


Tredinnick berhutang kepada Osborne yang dipenjarakan kerana kesalahan mencederakannya ketika pembunuhan itu. Dia percaya Tredinnick mencuri dadahnya.


Adik beradik Osborne itu dan Collins dihukum penjara seumur hidup atas kesalahan membunuh Tredinnick pada 2009.


Rayuan mereka ditolak dan ia mendorong mereka melarikan diri dari penjara.


Sumber itu berkata lagi: "Mereka dipercayai masih terbabit dalam perniagaan dadah dan dikatakan berusaha mendapatkan orang luar menerbangkan sebuah helikopter dan mendaratkannya di perkarangan penjara," kata sumber. - DS

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/18


Mayat hakim Ukraine ditemui tanpa kepala

Posted: 17 Dec 2012 08:28 AM PST

KIEV: Mayat tanpa kepala seorang hakim Ukraine yang terkenal di peringkat antarabangsa sebagai pengumpul barangan antik, isteri, anak dan teman wanita anaknya ditemui di apartmen mereka di bandar Kharkiv, kata polis, semalam.

Menteri Dalam Negeri, Vitaly Zakharchenko dipetik oleh media tempatan sebagai berkata, beberapa barangan antik hilang dari rumah Volodymyr Trofimov, 58, yang memiliki koleksi syiling yang jarang ditemui, pingat tentera dan patung China.


Menurut kenyataan yang dikeluarkan kementerian itu, hasil siasatan yang dijalankan dari semua sudut merumuskan: "jenayah itu dirancang dengan teliti." Akhbar Segodnya memetik pendakwa raya sebagai berkata, kes yang dikendalikan hakim sebuah mahkamah daerah itu sejak beberapa tahun lalu hanya membabitkan pembayaran alimoni, jenayah kecil dan pungutan hutang.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/18


Penyebar hari kiamat ditumpas

Posted: 17 Dec 2012 08:28 AM PST

BEIJING: China menahan berpuluh-puluh orang sesetengahnya anggota kumpulan kultus dalam operasi besar-besaran bagi mematahkan khabar angin mengenai kedatangan kiamat, lapor media, semalam.

Pihak berkuasa di lima kawasan berasingan menahan 52 orang kerana menyebarkan khabar angin kononnya kiamat berlaku pada 21 Disember ini.


Agensi berita Xinhua melaporkan, dakwaan itu dibuat kerana kepercayaan mereka kepada kalendar suku Maya.

Jangkaan "kiamat" mendapat laporan meluas di China, antara lain disebabkan kejayaan filem Hollywood, 2012, yang dihasilkan berdasarkan ramalan suku Maya. Antara yang ditahan termasuk 34 orang di wilayah Fujian dan dua di Wuhan ketika mereka menyebarkan risalah mengenai "kiamat" di tempat awam.


Polis Chongqing berkata, khabar angin mengenai "kiamat" itu tersebar menyebabkan masalah kepada orang ramai dan mengganggu keamanan. Sebuah kumpulan Kristian yang dikenali sebagai Almighty God dan dilabel media tempatan sebagai kultus sesat turut menjadi sasaran.


Laporan menyebut, puluhan orang ditahan minggu lalu. Seramai 37 anggota kumpulan itu ditahan di Qinghai.

Mereka meramalkan, "tiga hari kegelapan" bermula pada 21 Disember ini. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/18


‘Mental’ sebab ibu

Posted: 17 Dec 2012 08:25 AM PST

NEWTOWN: Ibu pemuda yang menembak mati 26 murid dan kakitangan sebuah sekolah rendah di Amerika Syarikat memainkan peranan besar menyebabkannya mengalami sakit jiwa teruk.

Rakan dan keluarga ibu Adam Lanza, menggambarkan Nancy sebagai paranoid yang terlalu percaya dunia berada di ambang kemusnahan ekonomi.


Wanita itu dilaporkan bergelut untuk menyelamatkan diri dengan menyimpan stok makanan, minuman dan senjata di rumah besarnya di Connecticut yang didiami bersama anaknya berusia 20 tahun itu.

Nancy, 52, digolongkan sebagai 'prepper,' gelaran untuk mereka yang bersiap sedia menghadapi kemusnahan dalam masyarakat bertamadun. Dia menjadi begitu taksub dengan senjata dan mengajar Adam serta abangnya, Ryan, cara menembak serta membawa mereka ke lapang sasar tempatan.


Tindakannya itu membawa padah Jumaat lalu apabila Lanza memulakan pembunuhan dengan menembak ibunya di atas katil.


Dia melepaskan empat das tembakan pada kepala wanita itu, dipercayai ketika Nancy tidur, sebelum membawa tiga senjata ke Sekolah Rendah Sandy Hook di Newtown, Connecticut dan menembak mati 20 murid dan enam kakitangan.

Ibu saudara Lanza berkata, Nancy tidak bergantung kepada orang lain dan mereka banyak bercakap mengenai cara dia membuat persiapan untuk menghadapi keruntuhan ekonomi.


Menurutnya, bekas kakak iparnya itu begitu teliti memastikan dia sentiasa bersenjata dan tidak merahsiakan bahawa dia mempunyai koleksi senjata. Ia bukan setakat dua pistol dan raifal separuh automatik yang digunakan dalam pembunuhan berkenaan, malah dua senapang memburu tradisional.

Dia akan bercakap dengan penuh bangga mengenai senjata berkenaan di bar tempatan serta menunjuk-nunjukkan senjata itu kepada tukang kebunnya.


"Dia memberitahu saya, dia gemar menembak," kata Dan Holmes, tukang kebun Nancy.


Menurutnya, Nancy sering pergi ke lapang sasar bersama kedua-dua anaknya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/18


Peluru Lanza cukup untuk bunuh semua murid

Posted: 17 Dec 2012 08:25 AM PST

NEWTOWN: Penembak yang membunuh 20 kanak-kanak di Sekolah Rendah Sandy Hook awal pagi Sabtu lalu dilengkapi ratusan peluru, kata pegawai keselamatan, semalam.

Menurut pegawai polis Connecticut, Paul Vance, Adam Lanza membawa peluru berkenaan untuk digunakan bersama raifal tentera dan dua pistol.


Katanya, peluru itu termuat dalam pelbagai magazin peluru berkeupayaan tinggi dengan setiap satu mempunyai 30 butir. Ia cukup untuk membunuh semua murid.

"Lanza juga membawa senjata keempat sebagai simpanan iaitu senapang pendek yang ditinggalkan dalam keretanya," katanya.


Semakin banyak maklumat diketahui mengenai Lanza ketika orang ramai menghadiri majlis perkabungan mangsa serangan berkenaan, semalam.


Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama, turut mengunjungi bandar Newtown bagi menenangkan penduduk di situ yang terkejut dengan kejadian berkenaan. Polis mengesahkan identiti penyerang sekolah itu sebagai Lanza, 20, untuk kali pertama semalam.

Vance berkata, Lanza masuk ke kawasan sekolah dan melepaskan tembakan ke arah murid dan kakitangan menggunakan raifal Bushmaster AR 15.


"Bushmaster digunakan Lanza dalam serangan di sekolah berkenaan, manakala pistol digunakan untuk menembak dirinya sendiri," katanya. Menurut Vance, semua kanak-kanak yang maut berusia antara enam hingga tujuh tahun.

Namun, motif serangan itu masih belum diketahui. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/18


Pemuda mengamuk bunuh diri: Polis

Posted: 17 Dec 2012 08:24 AM PST

NEWTOWN: Polis Connecticut secara rasmi mengesahkan identiti penyerang Sekolah Rendah Sandy Hook pada Sabtu lalu sebagai Adam Lanza, 20.

Polis turut mengesahkan Lanza mati akibat membunuh diri.


Pegawai polis Connecticut, Paul Vance berkata, sebelum mengamuk, Lanza menembak mati ibunya, Nancy, di rumah mereka.

"Nancy terbunuh akibat beberapa das tembakan," katanya. Menurut Vance, Lanza membunuh diri dengan pistol, manakala serangan di sekolah rendah itu menggunakan raifal Bushmaster AR-15 .223 caliber.


Bagaimanapun, senjata yang membunuh Nancy tidak disahkan Vince. Dua pistol turut dibawa Lanza ke sekolah itu, iaitu Glock 10 mm dan Sig Sauer 9 selain dilengkapi peluru berkeupayaan tinggo.


Vance enggan memberi sebarang petunjuk sama ada polis setakat ini mengetahui motif serangan itu. "Kami tidak mempunyai alasan spesifik lagi," katanya.

Menurutnya, di sekolah itu polis menemui ratusan peluru serta sejumlah kelopak peluru kosong. Polis belum mengesahkan berapa das tembakan dilepaskan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/18


Tragedi mesti dihenti

Posted: 17 Dec 2012 08:24 AM PST

NEWTOWN: Presiden Amerika Syarikat (AS) semalam berjanji menggunakan semua kuasanya memastikan tragedi amuk di Newtown, Sabtu lalu tidak berulang.

"Kita tak boleh terima kejadian sebegini sebagai rutin. Kita sebagai satu negara berdepan dengan beberapa soalan sukar. Tragedi ini mesti dihentikan dan untuk menghentikan mereka, kita mesti berubah," katanya di majlis perkabungan mangsa serangan di bandar itu. Obama juga menyampaikan takziah seluruh rakyat kepada keluarga mangsa dan berkata, AS menyertai mereka meratapi kehilangan orang tersayang. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/18


Gaji gabenor RM203,000

Posted: 17 Dec 2012 08:23 AM PST

JAKARTA: Satu kajian Forum Indonesia untuk Ketelusan Belanjawan (FITRA) mendapati, Gabenor Jawa Timur, Soekarwo, merupakan pegawai kerajaan tempatan memperoleh pendapatan paling tinggi tahun ini, iaitu Rp642.36 juta (RM203,796) sebulan.

Pemerhati belanjawan itu berkata, selepas Soekarwo, dua lagi gabenor; Gabenor Jawa Barat, Ahmad Heryawan, memperoleh pendapatan Rp603.42 juta (RM191, 584) sebulan dan Gabenor Jawa Tengah, Bibit Waluyo pula menerima Rp438.09 juta (RM139,098) sebulan.


Gabenor Awang Faroek Ishak untuk Kalimantan Timur, wilayah yang kaya dengan hasil bumi, mendapat tempat keempat dengan pendapatan Rp344.08 juta (RM109,249) sebulan, manakala Gabenor Sumatera Utara, Gatot Pujo Nugroho di tempat kelima dengan pendapatan Rp327.25 (RM103,901) sebulan. Pengkaji FITRA, M Maulana berkata, Gabenor Jakarta, Joko 'Jokowi' Widodo yang mempunyai pendapatan Rp1.2 bilion (RM381, 008) sebulan, tidak layak untuk senarai status pengurusan pentadbiran istimewa Jakarta.

Kelima-lima gabenor itu menerima purata pendapatan Rp 5.65 bilion (RM1.8 juta) dari belanjawan negara tahun ini. Menurut data Bank Dunia, Keluaran Dalam Negara Kasar Perkapita Indonesia adalah pada Rp33.67 juta (RM10,683) tahun lalu.


Maulana berkata, angka gaji itu menunjukkan kemajuan ekonomi tempatan.


Menurut Peraturan Kerajaan dan Dikri Presiden, setiap gabenor menerima gaji tetap Rp8.4 juta (RM2,666) sebulan.

Namun begitu, gabenor boleh menerima pendapatan tinggi hasil daripada insentif dan elaun operasi.


Undang-undang menetapkan elaun operasi dibayar berdasar pendapatan tempatan (PAD). Satu lagi cara pengiraan adalah, gabenor di wilayah yang menerima pendapatan lebih daripada Rp500 bilion (RM1.6 juta) dibolehkan menerima elaun operasi Rp1.25 bilion (RM396,872) atau 0.15 peratus daripada pendapatan wilayah.

Penyelaras FITRA, Uchok Sky Khadafi berkata, cara sama digunakan untuk mengira elaun lain. - Jakarta Post

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/18


Remaja bunuh, bakar kekasih

Posted: 17 Dec 2012 08:23 AM PST

BANGKOK: Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun didakwa kerana membunuh teman wanitanya yang sekali ganda lebih tua daripadanya dan membakar mayatnya di sebuah bilik sewa di daerah Bang Khen, di sini, kelmarin.

Wanita berusia 40 tahun itu dikenali sebagai Pataraporn Prueksasri, penduduk wilayah Songkhla.


Mayatnya ditemui di biliknya di kondominium Thanommit Park di Jalan Watcharapol pada jam 1 pagi.

Polis berkata, tubuh Pataraporn ditutup dengan tuala dan akhbar, kemudian dibakar.


Satu paket arsenik, dua botol bir kosong dan sebotol cecair pembersih tandas ditemui di sebelah mayat.


Polis di Balai Polis Khan Na Yao berkata, Warawut Phetchai, 19, mengaku berkelahi dengan Pataraporn dalam marah dan cemburu, dia mencekik mangsa hingga mati dan membakar mayatnya.

Pengawal keselamatan di Luangrit Puangtapa berkata, penduduk memaklumkan mengenai kebakaran di bilik Pataraporn pada jam 12.30 tengah malam.


Dia memecah pintu besi dan pintu kayu untuk masuk ke rumah itu. Katanya, Pataraporn sudah mati ketika dia masuk.

Mangsa pegawai di Jabatan Tanah cawangan Chatuchak. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/18


Penduduk Bali meningkat 4.22 juta

Posted: 17 Dec 2012 08:22 AM PST

JAKARTA: Bali mengalami ledakan penduduk. Data terbaru dari agensi wilayah menunjukkan jumlah penduduk di pulau itu mencecah 4.22 juta, kenaikan daripada 3.89 juta dua tahun lalu.

Gabenor Bali, Made Mangku Pastika berkata: "Buat masa ini, populasi penduduk mencecah 4.22 juta. Ia peningkatan menakjubkan. Saya percaya ia bukan saja disebabkan peningkatan kelahiran tetapi juga urbanisasi. Ramai orang mahu berpindah ke Bali kerana ekonominya yang semakin baik." Data terdahulu dari Agensi Statistik Pusat menunjukkan dalam tempoh masa sepuluh tahun (2000-2010), Bali merekodkan pertumbuhan penduduk tertinggi sejak 50 tahun, meningkat 2.15 peratus daripada 3.15 juta kepada 3.89 juta.


Kadar pertumbuhan dalam empat dekad terdahulu, tidak pernah melebihi dua peratus. Antara 1961 dan 1971, populasi di pulau itu meningkat 1.75 peratus sementara antara 1971 dan 1980, ia meningkat 1.69 peratus.

Dalam tempoh masa 1980-1990, pertumbuhan menjadi perlahan kepada 1.18 peratus dan dalam dekad selepasnya, 1990 hingga 2000, ia meningkat 1.26 peratus.


Selama lima dekad, pertumbuhan penduduk mencecah 118.5 peratus, iaitu pertambahan daripada hanya 1.78 juta orang pada 1961 kepada 3.89 juta penduduk pada 2010. - Jakarta Post

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/18


No comments:

Post a Comment