Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Usah buang!

Posted: 26 Dec 2012 07:39 AM PST

SEBAGAI peneraju pasukan Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal perlu mengambil kira idea dan cadangan diluahkan beberapa jurulatih negeri terutama membabitkan barisan pemain yang layak beraksi di pentas antarabangsa.

Cadangan menyenaraikan beberapa muka lama yang mampu mengubah corak persembahan perlu dinilai untuk kemajuan pasukan negara.


Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, Rajagobal perlu berfikiran terbuka untuk menerima setiap cadangan yang dilemparkan.

Menurutnya, untuk kejayaan pasukan negara istilah siapa yang lebih hebat dan pakar seharusnya tidak wujud sebaliknya kerjasama mengumpul kekuatan itu lebih mustahak.


"Saya lihat banyak cadangan daripada beberapa jurulatih yang mungkin boleh diguna pakai Rajagobal terutama selepas pasukan negara gagal melangkah ke final Piala AFF.


"Dalam hal ini, saya tidak menyebelahi mana-mana jurulatih, yang lebih penting, pasukan negara mampu mencatat kejayaan membanggakan di pentas antarabangsa," katanya di Kuantan, semalam.

Tengku Abdullah berkata, selepas gagal menyerlah pada saingan Piala AFF, Rajagobal perlu bangkit memastikan misi Harimau Malaya melangkah ke pusingan akhir Piala Asia 2015 di Australia tercapai.


Dua aksi kelayakan berdepan Qatar pada 6 Februari dan Yaman pada 22 Mac tahun depan akan menjadi kayu pengukur masa depan jurulatih itu bersama skuad negara.

Menurutnya, walaupun ada cadangan menggunakan khidmat jurulatih import, FAM tidak mungkin berbuat demikian dalam masa terdekat kerana beberapa faktor seperti pemilihan individu sesuai memikul tugas itu.


"Dalam pemilihan jurulatih import, kita tidak boleh bertindak terburu-buru, banyak perkara perlu diteliti jika ingin melihat pasukan negara meraih kejayaan." Berhubung kegagalan Harimau Malaya pada saingan Piala AFF, Tengku Abdullah mengaku amat kecewa dengan prestasi dipamer terutama selepas harapan menggunung diletakkan terhadap skuad kebangsaan.


"Kegagalan itu bukan saja membuatkan saya kecewa tapi turut dikongsi semua rakyat Malaysia yang ingin melihat Harimau Malaya sekali lagi menjulang kejuaraan.


"Namun harapan menggunung itu tidak kesampaian, kini persoalannya adakah episod sama akan berulang pada saingan Piala Asia 2015."

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/26


‘Fikir panjang pilih Liga China’

Posted: 26 Dec 2012 07:35 AM PST

SHANGHAI: Jika benar Frank Lampard ingin berpindah dari Chelsea ke China, dia perlu memikirkan dulu pengalaman dilalui bekas rakan sepasukan, Nicolas Anelka dan Didier Drogba.

Masalah bayaran gaji, masalah luar padang serta perbezaan budaya menyebabkan ramai bintang asing yang menyertai Liga Super China mahu keluar, ada kalanya berlaku selepas beberapa bulan tiba kerana gagal menyesuaikan diri.


Bekas penyerang Perancis, Anelka muncul pemain ternama dunia pertama ke China apabila disambar Shanghai Shenhua dengan bayaran �175,000 (RM865,308) seminggu, 10 bulan lalu.

Kemudian Drogba menyertainya dengan bayaran lumayan mencecah �200,000 (RM988,899) seminggu.


Bagaimanapun Anelka, 33, mula berasa tidak selesa dan berbincang dengan kelab terbabit untuk keluar dan tindakannya itu juga dikatakan akan diikuti Drogba.


Akhbar Sukan Oriental melaporkan, Drogba belum menerima gaji bulan ini disebabkan masalah di kalangan ahli lembaga pengarah manakala Shenhua memberitahu AFP ahli lembaga pengarah kini berbincang untuk membatalkan baki kontrak pemain itu.

Drogba setidak-tidaknya mencatat kejayaan di padang dengan menjaringkan lapan gol dalam 11 perlawanan untuk kelab itu menamatkan musim terkini di kedudukan kesembilan daripada 16 pasukan. Anelka pula sekadar menjaringkan tiga gol sepanjang musim.


Situasi berbeza dihadapi Anelka yang tidak mendapat sokongan padu peminat sepanjang kerjayanya di China sejak tiba pada Februari. Ketika itu dia mendakwa berpindah ke China bukan kerana wang.

Punca sebenar akan didedahkan tidak lama lagi. Ketua jurulatih Shenhua, Jean Tigana yang juga bekas pengurus Fulham dipecat berikutan pemberontakan pemain selepas hanya lima perlawanan.


Anelka yang pendiam dan malu berdepan media digelar 'Le Sulk' di England mungkin masih terkejut selepas diberi peluang menggantikan Tigana.


Seminggu kemudian, Anelka menjadi tajuk utama akhbar apabila mengugut untuk meninggalkan Shenhua selepas pemilik kelab hanya memberinya peluang memimpin satu perlawanan selepas bekas pemain kebangsaan Perancis itu diarah supaya menyerahkan tugas kepada bekas jurulatih Argentina, Sergio Batista. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/26


Del Piero ikrar bantu Sydney FC

Posted: 26 Dec 2012 07:34 AM PST

SYDNEY: Masa depan tidak menentu Alessandro Del Piero di Australia hampir selesai apabila bekas penyerang kebangsaan Itali itu berikrar untuk terus bersama Sydney FC.

Anggota skuad juara Piala Dunia itu yang disambut meriah ke kelab itu gagal menghalang Sydney daripada menjunam ke tangga terbawah Liga-A.


Namun Del Piero, 38, selepas perbincangan melanjutkan kontrak mewah selama setahun, menafikan khabar angin dia akan meninggalkan liga itu musim ini.

"Segala-galanya jelas untuk saya dan kelab," kata bekas penyerang Juventus yang mengalami kecederaan hamstring baru-baru ini kepada media tempatan, kelmarin.


"Kami boleh perbaharui kontrak lebih awal. Saya tidak berasa tertekan di sini. Saya mahu berikan segala pengetahuan dan tumpuan sepenuhnya untuk setiap perlawanan." Del Piero bersama pengurusan termasuk adiknya, Stefano bekerja keras untuk berbincang melanjutkan kontrak musim kedua dalam Liga A.


"Adik saya ada berbincang mengenainya," kata Del Piero mengenai kontrak itu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/26


Dua pemain Zambia disingkir

Posted: 26 Dec 2012 07:34 AM PST

LUSAKA: Zambia hanya menggugurkan dua pemain daripada skuad yang membantu negara itu menjuarai Piala Negara-Negara Afrika tahun lalu dalam usaha jurulatih, Herve Renard mempertahankan kejuaraan itu di Afrika Selatan bulan depan.

Renard menamakan barisan kemungkinan 26 pemainnya untuk ke kejohanan itu pada Isnin, skuad sama yang diharapkan ketika Zambia memenangi gelaran itu buat kali pertama.


Pemain disingkir adalah pertahanan, Nyambe Mulenga yang tidak mempamerkan prestasi terbaik sejak mengalami kecederaan pertengahan tahun ini dan pemain sayap, Clifford Mulenga yang disingkir akibat masalah disiplin pada kejohanan di Equatorial Guinea dan Gabon awal tahun ini.

Penyerang berpangkalan di Belanda, Jacob Mulenga yang terpaksa diketepikan kerana kecederaan pada kejohanan lalu, kembali memperkuatkan pasukan dan dijangka mengetuai jentera serangan Zambia yang bersaing dalam kumpulan C menentang Burkina Faso, Habsyah dan Nigeria. Perlawanan pertama mereka pada 21 Januari. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/26


Sterling pilih England

Posted: 26 Dec 2012 07:32 AM PST

LONDON: Bintang muda Liverpool, Raheem Sterling memilih untuk mewakili England pada peringkat antarabangsa sekalipun boleh beraksi buat negara kelahirannya, Jamaica.

Pemain sayap berusia 18 tahun itu, baru-baru ini menandatangani kontrak sambungan lima tahun bersama Liverpool, meraih cap pertama bersama pasukan senior England ketika kecundang 2-4 di tangan Sweden pada perlawanan persahabatan bulan lalu.


"Ia satu impian menjadi kenyataan," kata Sterling mengenai aksi bersama England di Stockholm. "Ketika berusia 15 tahun, saya masih ingat berdoa untuk dipanggil menyertai skuad B-16.

"Untuk mendapat panggilan skuad senior beberapa tahun kemudian adalah perkara terbaik pernah berlaku terhadap saya." Selepas melakukan penampilan sulung bersama England, dia masih boleh memilih beraksi buat Jamaica, negara yang ditinggalkannya ketika berusia enam tahun dan FA negara itu masih cuba memujuknya mewakili mereka.


"Saya berasal dari Jamaica tapi tiada sesiapapun cuba memaksa saya," kata Sterling yang mewakili England di semua peringkat umur sejak B-16.


"Saya tidak boleh menolak panggilan England kerana membesar dengan sistem remaja Inggeris dan meningkat dari situ. Saya harap mampu mempamerkan aksi lebih baik lagi." Keputusan Sterling, sekalipun bukannya satu kejutan, pasti satu tamparan buat Jamaica selepas presiden persekutuan bola sepak negara itu, Horace Burrell berbincang dengan pemain itu Oktober lalu.

Namun ia menjadi rangsangan buat bos England, Roy Hodgson kerana memberikannya lebih banyak pilihan bagi kelayakan Piala Dunia Brazil 2014.


"Saya tidak boleh mengubahnya," kata Sterling, kini pemain utama Liverpool di bawah kendalian Brendan Rodgers dan menjadi kesayangan peminat di Anfield.

"Amat bagus buat saya dipanggil dan melakukan penampilan sulung bersama England. Dari sekarang, 100 peratus saya akan bersama England." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/26


Masa depan Bosingwa kabur

Posted: 26 Dec 2012 07:32 AM PST

LONDON: Masa depan pertahanan antarabangsa Portugal, Jose Bosingwa bersama kelab bermasalah Liga Perdana Inggeris, QPR kini tidak menentu selepas pengurus kelab, Harry Redknapp enggan mengesahkan sama ada dia akan bermain lagi buat kelab itu.

Bosingwa mencetus kemarahan Redknapp dan penyokong apabila enggan duduk di bangku pemain simpanan bagi perlawanan Liga Perdana menentang Fulham awal bulan ini, menyebabkannya didenda gaji dua minggu, �130,000 (RM643,000) oleh pengurus dan digugurkan daripada skuad bagi perlawanan menentang Newcastle, hujung minggu lalu.


Redknapp mengaku insiden itu masih bermain di fikirannya.

"Ia mengganggu fikiran saya apabila seorang pemain tidak mahu duduk di bangku pemain simpanan apabila kami berdepan masalah," kata pengendali bangsa Inggeris berusia 65 tahun itu.


"Kami kini menghadapi masalah. Pemilik dan penyokong melihat pasukan kalah saban minggu dan tiba-tiba ada seseorang yang tidak mahu duduk di bangku pemain simpanan.


"Dia (Bosingwa) berkata: 'Saya tidak mahu duduk di bangku simpanan'. Dia fikir dia terlalu bagus untuk duduk di situ. Itulah yang mengganggu saya pada perlawanan itu.

"Saya sudah berdepan satu atau dua insiden yang mengganggu fikiran saya.


"Saya akan menilai situasi kami pada masa akan datang sebelum membuat keputusan muktamad." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/26


Rafa rancang beli Villa

Posted: 26 Dec 2012 07:31 AM PST

LONDON: Rafael Benitez merancang satu pembelian berani pada Tahun Baru dengan cubaan membawa penyerang Barcelona, David Villa ke Stamford Bridge.

Pengurus sementara Chelsea itu sedia menawarkan �12 juta (RM59.3 juta) kepada kelab gergasi Nou Camp untuk mendapatkan pemenang Piala Dunia itu bulan depan.


"Kami bekerja keras untuk mencari pemain yang bagus Januari ini," katanya.

Tindakan Blues mungkin mencetus saingan empat penjuru bersama Manchester City, Liverpool dan Arsenal apabila pasaran perpindahan pemain dibuka semula.


Namun Benitez percaya peluang Villa beraksi di samping rakan baiknya, Fernando Torres akan memberi kelebihan buat Chelsea.


Pemain Sepanyol itu sebelum ini mengaku dia dan Torres terlalu akrab di dalam dan luar padang.

Villa, 31, tidak gembira kerana memanaskan bangku pemain simpanan musim ini sekalipun terlepas aksi selama lapan bulan tahun ini selepas kakinya patah. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/26


Nasib malang Lampard

Posted: 26 Dec 2012 07:31 AM PST

LONDON: Frank Lampard dimaklumkan oleh pengurusan kelab disayanginya, Chelsea supaya mencari sendiri kelab baru.

Legenda Blues itu menjaringkan gol dari jarak 23 meter dan menerima sorakan gemuruh penyokong setia Stamford Bridge ketika mengetuai pasukannya membelasah Aston Villa, 8-0, hujung minggu lalu.


Namun pemain berusia 34 tahun itu dimaklumkan kariernya bersama Blues sudah berakhir dan dia boleh mencari pasukan baru pada 1 Januari ini.

Sumber dalaman Stamford Bridge mengesahkan perkara itu semalam.


"Frank amat hampa. Dia ingin terus bermain buat Chelsea tapi mereka memberitahunya supaya mencari kelab baru ketika pasaran perpindahan pemain Januari ini. "Dia bagaikan tidak percaya. Apa yang dia ingin lakukan adalah bermain untuk Chelsea. Kelab ini terlalu bermakna buatnya," katanya.


Namun kesetiaannya terhadap kelab itu tidak berbalas dan Blues tidak mengambil kira khidmat setia Lampard.

Dalam tempoh itu, dia membantu Chelsea memenangi Liga Juara-Juara, tiga kejuaraan Liga Perdana, empat Piala FA dan dua Piala Liga.


Kontrak Lampard berakhir musim panas depan dan dia berharap persembahan di padang mampu mengekalkannya di kelab itu. Namun pemain tengah England itu diberitahu sebelum perlawanan menentang Villa Ahad lalu dia boleh meninggalkan kelab itu.

"Frank mengabdikan dirinya buat kelab terutama penyokong dan gembira jika dapat beraksi di Stamford Bridge hingga bersara.


"Selepas apa yang dilakukannya terhadap Chelsea, dia tidak percaya dengan cara kelab membuangnya tanpa sebarang perasaan.


"Sesiapa saja yang menyaksikan persembahannya menentang Villa sedar dia adalah pemain pertama yang patut berada dalam senarai pasukan.


"Aksi yang dipamerkan Lampard pada perlawanan itu selepas mengetahui kelab tidak mahukan lagi khidmatnya membuktikan dia seorang pemain profesional sejati." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/26


Michu pikat jurulatih Sepanyol

Posted: 26 Dec 2012 07:30 AM PST

LONDON: Penjaring gol terbanyak Swansea City, Michu dijangka melakukan penampilan sulung bersama Sepanyol awal tahun depan berikutan permulaan sensasi kariernya dalam Liga Perdana Inggeris.

Vicente del Bosque, jurulatih juara Eropah dan dunia, Sepanyol, memberitahu televisyen Sepanyol pemain berusia 26 tahun itu akan bermain pada perlawanan persahabatan menentang Uruguay pada 6 Februari di Doha.


Penyerang Celta Vigo, Iago Aspas yang kini dikaitkan dengan Swansea selepas pengurus Michael Laudrup menyatakan minat untuk mengambilnya, akan menyertai Michu dalam skuad kebangsaan Sepanyol.

"Aspas dan Michu akan beraksi (menentang Uruguay)," kata Del Bosque.


Michu cemerlang sejak berhijrah dengan harga AS$3.2 juta (RM9.8 juta) dari Rayo Vallecano pada musim panas lalu apabila mendahului senarai penjaring Liga Perdana dengan 13 gol daripada 18 perlawanan.


Dia mengatasi bintang Manchester United, Robin van Persie selepas menjaringkan gol penyamaan ketika seri 1-1 di gelanggang sendiri menentang pendahulu liga itu, hujung minggu lalu.

Aspas mungkin berada dalam senarai pemain dikehendaki Laudrup pada pasaran perpindahan pemain bulan depan namun jangkaan harga sekitar AS$13 juta (RM39.8 juta) mungkin menyukarkan Swansea. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/26


NS tekad bangkit

Posted: 26 Dec 2012 07:30 AM PST

SELEPAS kecundang pada aksi pertama di tempat lawan, Negeri Sembilan bertekad mempamerkan persembahan lebih mantap apabila melayan kunjungan juara Liga Perdana Indonesia (IPL), Semen Padang pada perlawanan persahabatan kedua Siri Nusantara di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Ahad ini.

Pada aksi pertama di Stadium Agus Salim, skuad Hoben Jang Hoben tunduk 1-2 kepada Semen Padang dan kali ini mereka bertekad untuk bangkit mempertahankan reputasi dengan memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri.


Ketua jurulatih, Divaldo Alves berkata, sekalipun ia hanya perlawanan persahabatan, beliau tidak mahu pemain beraksi sambil lewa dan mempamerkan kekuatan sebenar dengan mencipta kemenangan di depan penyokong sendiri.

Beliau berkata akan menurunkan barisan terbaik pada perlawanan itu berbanding pada aksi pertama apabila segelintir pemain utama tidak dapat beraksi kerana kurang cergas yang menyaksikan Negeri Sembilan tempang hingga membolehkan Semen Padang mendahului 2-0 sebelum penyerang import, Emanuel De Porras, menjaringkan gol tunggal.


"Saya tidak suka kalah lebih-lebih lagi di laman sendiri dan saya harap pemain bangkit dengan aksi lebih mantap dan mempamerkan kekuatan sebenar pada perlawanan kedua.


"Melalui sokongan padu penyokong, saya yakin pemain dapat mempamerkan persembahan lebih meyakinkan untuk mencipta kemenangan," katanya.

Menurut pengendali berasal dari Portugal itu, kemenangan amat penting kerana ia akan menjadi penanda aras kepada kekuatan pasukan selepas membuat persiapan rapi menghadapi saingan Liga M 2013, 8 Januari ini.


"Kami dalam persiapan fasa akhir sebelum mengharungi Liga M yang berbaki kurang dua minggu, justeru kami perlu memanfaatkan ruang yang ada bagi memperkemaskan pasukan." Divaldo turut menerima pujian jurulatih Semen Padang, Suhatman Imam yang mendakwa kekuatan Negeri Sembilan lebih baik berbanding Selangor dan juara tiga piala musim lalu, Kelantan tapi mengaku masih banyak perlu diperkemaskan bagi memastikan kejayaan dalam Liga M.

"Kami tidak boleh cepat puas hati kerana pasukan belum diuji sepenuhnya tambahan pula cabaran Liga M dijangka lebih kompetitif yang menuntut setiap pemain memberikan persembahan terbaik secara konsisten bagi menjamin kejayaan." Bagi musim 2013, Negeri Sembilan menyandarkan harapan kepada dua pemain import, De Porras dan William Paul Modibo sambil dibantu pemain tempatan berpengalaman antaranya Eddy Helmi Abdul Manan, Mohd Fauzi Nan, Mohd Hamsani Ahmad, Abd Ghani Rahman, Azmeer Yusof, Idris Karim, S Sivanesan, Norhafiz Zamani Misbah, Rashid Mahmud, Ahmad Shakir Md Ali dan Mohd Firdaus Azizul.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/26


No comments:

Post a Comment