Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


‘Kami tuntut perubahan!’

Posted: 28 Dec 2012 09:50 AM PST

BOSAN dengan kepimpinan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang sekian lama tidak berubah, sekumpulan peminat setia bola sepak tempatan tampil mendesak agar rombakan besar-besaran dilakukan badan induk itu termasuk meminta Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah mengundur diri secara terhormat.

Bukan mahu bertindak biadap atau menderhaka, namun selepas sekian lama menyaksikan cerita sama 'disajikan' skuad negara pada pentas antarabangsa serta saingan liga domestik yang sering berubah format tapi tidak menunjukkan sebarang peningkatan, kumpulan yang rata-ratanya peminat setia bola sepak tempatan itu akhirnya memberanikan diri mendesak FAM melakukan rombakan besar-besaran.


Wakil kumpulan yang menggelarkan diri mereka 'Presiden FAM Sila Letak Jawatan' (PFSLJ) itu, Alfadli Awaluddin berkata, beliau serta rakan seperjuangan hanya mempunyai satu niat, membela dan berjuang demi kebaikan bola sepak tempatan.

"Sejak 28 tahun lalu (sepanjang kepimpinan Presiden FAM), kita sering diceritakan kesalahan barisan pemain, jurulatih serta soal teknikal apabila gagal dalam satu-satu kejohanan tapi apa yang kita tidak sedar ialah kegagalan itu banyak berpunca daripada pengurusan, pentadbiran dan struktur FAM sendiri.


"Contohnya seperti yang kita semua sedia maklum, skuad negara gagal mempertahankan Piala AFF dan episod sama berlaku iaitu kesalahan ditujukan kepada jurulatih serta pemain sedangkan sebenarnya pengurusan FAM harus bertanggungjawab," katanya.


Justeru itu, beliau berharap Presiden FAM perlu berundur bagi memberi peluang kepada individu lain mengemudi badan induk itu dengan pada masa sama mengharapkan berlakunya rombakan besar-besaran dalam FAM.

"Bukan kami tidak menghargai sumbangan Presiden tapi kadangkala kita perlukan idea baru bagi merancang masa depan bola sepak tempatan.


"Kekalahan membabitkan skuad negara sesuatu yang biasa bagi kami semua dan selama 28 tahun kami sering disajikan dengan kegagalan. Cukuplah semua ini," katanya.

Alfadli turut menggariskan empat sebab utama mengapa tampuk FAM perlu dirombak.


Pertama, Liga Malaysia (Liga-M) didakwa Gred D dan tidak berdaya saing selain menganggap prestasi pasukan kebangsaan tiada hala tuju apabila mempersoalkan pendirian FAM yang menegaskan ranking tidak penting dan berasa pelik apabila badan induk itu hanya menetapkan sasaran sama di Sukan Sea dan Piala AFF tanpa berani menetapkan sasaran lebih tinggi.


Alfadli juga berkata, sistem bola sepak tempatan tiada visi dan misi yang jelas serta mendakwa pengurusan FAM tidak cekap serta tiada akauntabiliti.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/29


Beckham masih tenang

Posted: 28 Dec 2012 09:46 AM PST

LONDON: David Beckham tidak tergesa-gesa untuk berpindah ketika bekas bintang Manchester United itu mempertimbangkan beberapa tawaran pasukan dari seluruh dunia.

Beckham meninggalkan LA Galaxy awal bulan ini selepas kontraknya berakhir dan membantu kelab dari California itu memenangi Piala MLS dan kini mencari kelab tepat bagi menamatkan kariernya yang penuh gemilang.


Bekas pemain tengah Real Madrid berusia 37 tahun yang menghabiskan lima tahun di Los Angeles, dikaitkan dengan QPR di England dan AS Monaco di Perancis, selain pasukan dari China dan Australia.

Seorang jurucakap Beckham berkata, bekas kapten England itu bercadang mempertimbangkan pilihannya sepanjang tempoh cuti dan tidak terdesak untuk membuat keputusan dalam masa terdekat.


"Ada beberapa tawaran serius dari beberapa kelab di seluruh dunia," kata jurucakap itu.


"David tidak terburu-buru untuk membuat keputusan, yang penting adalah satu keputusan tepat seperti yang dilakukannya sebelum ini.

"Ia masih satu proses awal. David seronok menghabiskan masa bersama keluarganya sepanjang tempoh cuti." Difahamkan laporan di Perancis menyatakan Beckham menuntut bayaran tinggi untuk berpindah ke Monaco sebagai tidak tepat.


Monaco, kini menduduki tangga kedua Ligue 2, dilatih bekas pengurus Chelsea, Claudio Ranieri yang sebelum ini menyatakan minatnya membawa Beckham ke kelab itu dan disokong jutawan Russia, Dimitri Rybolovlev. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/29


Villa pemain penting Barca

Posted: 28 Dec 2012 09:46 AM PST

MADRID: David Villa anggota penting skuad Barcelona, kata rakan sepasukan di kelab dan skuad kebangsaan, Andres Iniesta berikutan spekulasi penyerang Sepanyol itu mungkin berhijrah ketika pasaran perpindahan pemain bulan depan.

Laporan terbaru media Britain menyatakan jurulatih Chelsea, Rafael Benitez mahu mengambil Villa secara pinjaman hingga hujung musim ini untuk menyertai rakan senegara, Fernando Torres di barisan serangan kelab Liga Perdana Inggeris itu.


"Saya tidak tahu jika ia satu kemungkinan, saya tidak fikir begitu," kata Iniesta. "Secara peribadi, saya tidak mahu dia pergi kerana Villa seorang pemain penting buat Barca." Villa kembali beraksi awal musim ini selepas patah kaki pada saingan Piala Kelab Dunia Disember tahun lalu namun tidak tampil secara kerap di bawah kendalian jurulatih baru Barca, Tito Vilanova.

Pemain berusia 31 tahun itu, penjaring terbanyak Sepanyol, hanya beraksi dalam kesebelasan utama enam kali daripada 17 perlawanan La Liga dan satu daripada enam perlawanan Liga Juara-Juara, menjaringkan lima gol secara keseluruhan, semuanya dalam liga.


Dia menyertai Barca dari Valencia pada hujung musim 2009-10 dan membantu mereka menjuarai La Liga dan Liga Juara-Juara pada musim pertama, menjaringkan gol ketiga Barca ketika menang 3-1 ke atas Manchester United pada perlawanan akhir di Stadium Wembley. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/29


McCarthy terkilan

Posted: 28 Dec 2012 09:45 AM PST

JOHANNESBURG: Peluang penyerang Afrika Selatan berusia 35 tahun, Benni McCarthy membuat kemunculan semula pada Piala Negara-Negara Afrika tidak menjadi kenyataan selepas mengalami kecederaan, kelmarin.

Laporan media menyebut penjaring terbanyak Afrika Selatan itu terpaksa menarik diri kerana kecederaan hamstring dan tidak mungkin sembuh sepenuhnya bagi kejohanan itu yang bermula 19 Januari ini.


McCarthy beberapa kali dibelenggu masalah berat badan dalam kariernya namun mempamerkan kebangkitan baru-baru ini apabila kembali beraksi untuk Orlando Pirates. Dia menjaringkan gol penting musim lalu ketika kelab itu memenangi kejuaraan liga pada hari terakhir musim Mei lalu.

Dia kembali ke Afrika Selatan pada pertengahan 2011 selepas gagal menyerlah bersama West Ham United.


Afrika Selatan turut menggugurkannya sebelum menjadi hos Pusingan Akhir Piala Dunia 2010.


Namun, prestasi mantao dalam tempoh 12 bulan lalu membolehkannya menerima panggilan semula ke pasukan Afrika Selatan, September lalu. Mereka terdesak untuk mencari penjaring gol berbisa selepas persembahan hambar.

McCarthy, dengan 31 gol dalam 80 perlawanan, beraksi kali pertama dalam tempoh dua tahun September lalu pada perlawanan persahabatan menentang Brazil namun mengalami kecederaan hamstring beberapa minit selepas masuk ke padang di Sao Paulo.


Kecederaannya bertambah buruk sejak mula cedera September lalu dan terpaksa menarik diri kelmarin ketika Afrika Selatan memulakan kem latihan tiga hari di Johannesburg. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/29


Hart tiup semangat

Posted: 28 Dec 2012 09:45 AM PST

NORWICH (England): Joe Hart memberitahu rakan sepasukan di Manchester City supaya melupakan kekalahan di tangan Sunderland sebaliknya fokus untuk menghidupkan kembali peluang merebut kejuaraan apabila bertemu Norwich, malam ini.

Juara Liga Perdana Inggeris itu ketinggalan tujuh mata berbanding pendahulu Manchester United selepas tewas 0-1 kepada Sunderland Rabu lalu dan kini berdepan kunjungan sukar menentang Norwich yang liat untuk dijinakkan di Carrow Road.


Norwich sudah mengalahkan Arsenal dan Manchester United musim ini dan satu lagi kejutan mampu merencatkan usaha City mempertahankan kejuaraan.

Namun Hart, penjaga gol England menegaskan, masih ada kemungkinan untuk memenangi kejuaraan ketika City mampu bangkit daripada ketinggalan musim lalu dan akhirnya mengatasi United pada hari terakhir musim.


"Kami pernah mendahului, United juga mendahului, ia tidak terjamin ketika itu," katanya.


"Kami adalah sebuah pasukan juara, ia sukar dan menyedihkan tapi kami perlu meneruskan saingan. Ia sukar untuk mendahului begitu juga jika mengejar.

"Kami pernah ketinggalan tapi kami buktikannya hujung tahun lalu. "Kami hanya perlu percaya dengan diri sendiri.


"Kami baru separuh saingan musim dan masih terlalu jauh untuk menamatkannya. "Kami perlu hadir pada perlawanan berikutnya dan memberikan yang terbaik seperti biasa.

"Anda akan berdepan kejutan sepanjang musim tapi perlu mengatasinya dan menanganinya pada perlawanan berikutnya.


"Ia satu kempen yang amat panjang dan masih ada banyak perlawanan perlu ditempuhi serta banyak mata ditawarkan." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/29


Cazorla laung amaran ancam Magpies

Posted: 28 Dec 2012 09:45 AM PST

LONDON: Santi Cazorla melaungkan amaran kepada lawan betapa gandingannya bersama Mikel Arteta dan Jack Wilshere di bahagian tengah kini semakin mengancam menjelang aksi di gelanggang sendiri bertemu Newcastle United, awal pagi esok.

Arsenal mencatat tiga kemenangan berturut-turut pada saingan Liga Perdana Inggeris dengan ketiga-tiga pemain tengah itu beraksi bersama ketika bertemu West Bromwich Albion, Reading dan Wigan Athletic hingga mampu mencetak enam gol.


Keputusan itu membantu Arsenal naik seketika ke tangga ketiga liga walaupun kini merudum ke tangga ketujuh selepas perlawanan bertemu West Ham United terpaksa ditangguhkan kerana mogok pengangkutan awam di London.

Namun dengan kunjungan Newcastle ke Stadium Emirates, Cazorla yang juga pemain tengah antarabangsa Sepanyol percaya aksi lebih baik akan dipamerkan rakan sepasukan, Wilshere yang menandatangani kontrak baru bersama kelab itu hingga 2018 pada awal bulan ini.


"Setiap hari kami mula membina persefahaman. Saya gemar beraksi dengan mereka. Arteta lebih kepada seorang pemain taktikal yang begitu penting.


"Dia sentiasa berada di posisi tepat untuk menutup ruang terbuka yang kami tinggalkan. Sementara Wilshere adalah seorang pemain yang hebat.

"Saya tidak begitu mengenalinya kerana apabila saya tiba, dia mengalami kecederaan tapi setiap hari saya mula faham mengapa dia begitu diperlukan di sini," katanya.


"Wilshere adalah seorang pemain berpotensi. Setiap hari keyakinannya meningkat. "Dia melupakan kecederaan sebelum ini dan pemain penting yang dapat memberikan impak besar." Wilshere sudah melakukan lapan penampilan dalam saingan Liga Perdana Inggeris sejak kembali beraksi Oktober lalu walaupun belum menjaringkan gol pada saingan liga. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/29


Tekad pikat hati Fergie

Posted: 28 Dec 2012 09:44 AM PST

MANCHESTER: Penyerang Manchester United, Javier Hernandez berharap gol kemenangan sumbangannya pada pertengahan minggu lalu dapat memikat hati Alex Ferguson untuk sekali lagi memberi peluang kepadanya beraksi pada perlawanan menentang West Bromwich Albion, malam ini.

Penyerang antarabangsa Mexico itu meledak gol kelima liga musim ini yang membantu United mencipta kemenangan dramatik 4-3 ke atas Newcastle United, Rabu lalu.


Wayne Rooney diketepikan bagi pertembungan di gelanggang sendiri dengan West Brom dan mungkin tidak beraksi selama tiga minggu kerana kecederaan lutut manakala Danny Welbeck terlepas perlawanan menentang Newcastle dan tidak pasti sama ada dapat pulih segera atau sebaliknya.

Bagaimanapun, jika Welbeck cergas sepenuhnya, Hernandez sudah mencuba yang terbaik bagi membuktikan layak untuk diturunkan bergandingan di samping Robin van Persie. "Tanyalah kepada semua pemain di dunia, pasti mereka akan beritahu mahu beraksi pada setiap perlawanan. Tapi apabila beraksi bersama kelab gergasi dunia, pasti ada persaingan.


"Saya juga perlu beraksi dengan baik kerana ada lima penyerang yang pasti mahu beraksi pada setiap perlawanan. Yang penting saya perlu buktikan sedia untuk diturunkan pada bila-bila masa." Pertahanan United, Rio Ferdinand pula berkata, Hernandez memiliki sifat seorang pejuang kerana pemain itu tidak pernah putus asa.


"Saya tidak kisah jika penyerang sentiasa terlepas peluang asal saja mereka mampu beraksi baik di depan gol.

"Hernandez tidak pernah putus asa, dia sentiasa berusaha melakukan yang terbaik," katanya.


Pemain pertahanan, Nemanja Vidic direhatkan ketika bertemu Newcastle dan dijangka kembali beraksi menentang West Brom ketika United masih mencari jalan untuk memantapkan benteng pertahanan yang mudah dibolosi. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/29


Hukuman Cole, Gibson dibatal

Posted: 28 Dec 2012 09:44 AM PST

LONDON: Hukuman gantung terhadap penyerang West Ham, Carlton Cole dan pemain tengah Everton, Darron Gibson dibatalkan selepas mereka dibuang padang ketika saingan Liga Perdana Inggeris di Upton Park, Sabtu lalu.

Cole dibuang padang oleh pengadil Anthony Taylor kerana mengasari Leighton Baines dan Gibson juga dilayangkan kad merah kerana melakukan tindakan sama ke atas Mark Noble ketika Everton menang 2-1.


Everton mengemukakan rayuan hukuman penggantungan tiga perlawanan terhadap Gibson pada malam perayaan Krismas dan mengumumkan hukuman itu ditarik balik selepas melalui proses pendengaran kes di Persatuan Bola Sepak (FA) Inggeris.

Kad merah Cole juga dibatalkan sekali gus bermakna dia boleh diturunkan apabila West Ham menentang Reading, malam ini.


"FA mengesahkan kad merah dilayangkan kepada Carlton Cole dan Darron Gibson dibatalkan.


"Kedua-dua pemain dibuang padang pada perlawanan Liga Perdana Inggeris antara West Ham dan Everton di Upton Park, Sabtu lalu.

"Penggantungan tiga perlawanan mereka sudah digugurkan dan kenyataan secara bertulis akan dikeluarkan selepas ini," umum FA. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/29


Fakrullah tekad bangkit

Posted: 28 Dec 2012 09:27 AM PST

PELUMBA berusia 22 tahun, Ahmad Fakrullah Alias tidak mahu menjadikan kemalangan yang menimpanya tahun lalu sebagai alasan untuk mengundur diri daripada arena berbasikal negara.

Malah pemenang pingat emas acara kejar-mengejar individu Sukan Malaysia (Sukma) 2011 itu berharap, ia menjadi titik tolak untuk dia terus melakar kejayaan mencipta nama sebagai pelumba pecut lebuh raya terbaik negara di Le Tour de Langkawi (LTdL) seiring dengan Anuar Manan dan Mohd Harrif Salleh.


Katanya, misinya kini adalah menempatkan diri dalam kelompok sembilan terbaik terlebih dulu dalam senarai pendek pelumba yang akan terpilih ke LTdL oleh ketua jurulatih lebuh raya negara, Aminuddin Sulaiman.

"Buat masa ini prestasi saya bertambah baik selepas pulih sepenuhnya daripada kemalangan tempoh hari. Saya juga baru pulang menyertai Tour of Vietnam dan Alhamdulillah kayuhan semakin menampakkan perkembangan positif. "LTdL sasaran utama saya. Saya mahu melepasi pemilihan sembilan pelumba terbaik dulu sebelum memikirkan rancangan seterusnya. Saya tidak boleh leka kerana pelumba muda sekarang ini juga kuat-kuat," katanya yang akan menyarung jersi negara di LTdL buat kali kedua sekiranya terpilih.


Selain Mohd Rizuan Zainal yang menjadi pesaing terdekatnya sebagai pelumba pecut dalam skuad, Fakrullah berkata, pelumba muda sekarang semakin menyerlah namun pengalaman yang membezakan antara yang lama dan baru.


LTdL yang berlangsung dari 21 Februari hingga 2 Mac ini membabitkan 10 peringkat sejauh 1,427.6 kilometer bermula dengan peringkat pertama dari Kangar, Perlis ke Kulim, Kedah dan tamat di Terengganu.

Hingga kini, seramai empat pelumba bakal menjadi taruhan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), terdiri daripada Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi, Amir Mustafa Rusli, Mohd Rauf Nur Misbah dan Rizuan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/29


Yuzy terus kekal senarai pelumba

Posted: 28 Dec 2012 09:26 AM PST

SHAHROL Yuzy Ahmad Zaini tidak akan melakukan sebarang rombakan terhadap barisan pelumbanya bagi menghadapi saingan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2013 berikutan kejayaan yang dicapai sepanjang musim lalu.

Pengurus berpengalaman itu terus menaruh kepercayaan terhadap Mohd Zaqhwan Zaidi yang menamatkan saingan CP130 di tempat kelima keseluruhan untuk sekali lagi membawa cabaran dalam kelas perdana itu bersama gandingan sebelum ini, Wan Mohd Hadri Wan Mukhtar manakala Mohd Amirul Ariff Musa bakal menggalas tanggungjawab mempertahankan takhta keseluruhan CP115 miliknya.


Yuzy percaya barisan pelumbanya mampu mencapai objektif pasukan untuk bersaing bagi merebut gelaran juara keseluruhan individu dan berpasukan dalam kedua-dua kategori.

Pada masa sama, mereka turut meletak sasaran untuk mencatat kejayaan dalam saingan Kejuaraan Motosikal Asia Petronas (ARRC) bagi kategori Underbone 115cc.


"Selepas muncul juara CP115, beralih ke kelas lebih tinggi mungkin langkah yang baik buat Amirul. Namun kami mempunyai perancangan lebih besar untuknya. Kami mahu dia terus menyesuaikan diri dan memahami jentera 115cc kerana mahu dia bersaing mengejar mahkota keseluruhan Underbone 115cc. "Lebih kerap dia menunggang jentera 115cc ini, pasti lebih baik keputusan yang mampu dicapai," kata Yuzy. "Zaqhwan seorang pelumba yang kuat. Walaupun masih muda, dia sudah membuktikan mampu menjadi pencabar utama dan dapat menyaingi pelumba lebih berpengalaman selepas berjaya meraih tiga kedudukan podium termasuk dua gelaran juara.


"Kami tidak menetapkan sasaran tinggi pada musim lalu namun pada musim 2013 ini, kami yakin dia sudah cukup bersedia dan bertambah matang untuk mengejar gelaran juara keseluruhan individu dan berpasukan bersama Wan Mohd Hadri yang turut mempamerkan peningkatan sepanjang beraksi dalam kategori CP130." Mengulas saingan musim baru, Yuzy menjangkakan saingan pastinya lebih mencabar buat semua pasukan. "Setiap pasukan pasti mahu merapatkan jurang perbezaan sebelum ini dan sudah tentu akan menjadikan saingan musim depan lebih mendebarkan. Namun pada ketika ini kami sudah mempunyai formula tepat untuk digunakan bagi meraih apa yang dihajati."

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/29


No comments:

Post a Comment