Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Jadilah antara 4 juta pembaca Harian Metro

Posted: 30 Dec 2012 11:08 AM PST

Ajal budak jatuh tingkat lapan

Posted: 29 Dec 2012 02:52 PM PST

JOHOR BAHRU: "Saya menghampiri Dinesh dan melihat dia masih bernyawa. Apabila memanggil namanya, mata dia masih bergerak," kata B Devakumar, 22, bapa Dinesh Kumar, 4, kanak-kanak yang mati selepas terjatuh dari tingkat lapan di Blok Cemara 2, kuarters Hospital Permai di sini, jam 7 malam kelmarin.

Menurutnya, dia hanya menyedari kejadian menimpa anak sulung daripada tiga beradik itu apabila pulang ke rumah selepas membeli barangan dapur dan meletak motosikal di bangunan itu.


Katanya, ketika itu dia terkejut melihat sekumpulan penduduk berkumpul berhampiran surau di tingkat bawah dan lebih terkilan apabila mendapati anaknya, Dinesh Kumar, terbaring kaku berlumuran darah.

"Saya panik dan tidak percaya ia anak saya lalu berlari menaiki lif bagi mendapatkan kepastian isteri yang berada di rumah.


"Ketika itu saya melihat isteri turun ke tingkat bawah sambil menangis dan membawa dua adik Dinesh Kumar," katanya.


Devakumar berkata, akibat kejadian itu, anaknya dipercayai patah leher, namun dilihat masih bernyawa ketika dihampiri keluarganya.

Menurutnya, yang mengecewakan, ambulans hanya tiba selepas 45 minit kemudian, menyebabkan anaknya lewat menerima pertolongan kecemasan.


Katanya, malah doktor yang memeriksa anaknya menyatakan Dinesh Kumar sudah meninggal dunia.

"Saya tinggal di sini selama setahun bersama abang ipar yang bekerja di Hospital Permai dan kami mendaftar masuk ke sini secara sah.


"Sebelum ini, beberapa kali kami membuat aduan berhubung ketiadaan jeriji di tingkap rumah seluruh bangunan, kecuali tingkat bawah. Kami berbuat demikian kerana bimbangkan keselamatan anak.


"Bagaimanapun, kami difahamkan, usaha memasang jeriji tidak dapat dilakukan kerana tidak dibenarkan pihak atasan," katanya.


Devakumar berkata, dia tidak menjangka anaknya menjadi mangsa apabila terjatuh daripada tingkap bilik ketika isterinya, V Jayadurka, 22, yang juga suri rumah, mandi di bilik air.


"Saya difahamkan, beberapa saksi melihat Dinesh menjenguk ke luar sebelum sebahagian badannya tersepit antara tingkap.


"Keadaan itu tidak mungkin berlaku jika tingkap mempunyai jeriji. Akibat kecuaian pengurusan, anak saya meninggal dunia.


"Saya berharap pengurusan akan membaiki kelemahan bagi mengelak kejadian sama berulang," katanya ketika ditemui di bilik mayat di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, semalam.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Beh Eng Lai berkata, siasatan awal mendapati mangsa membuka sendiri tingkap bilik di rumahnya.


Menurutnya, mangsa dipercayai terjatuh dari bilik dan cedera parah di kepala.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/30


Jadilah antara 4 juta pembaca Harian Metro

Posted: 30 Dec 2012 11:08 AM PST

Maut ditetak mak cik

Posted: 29 Dec 2012 02:49 PM PST

BALING: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut akibat ditetak ibu saudara di rumah neneknya di Kampung Kejai, Tawar, di sini, semalam.

Dalam kejadian 11.30 pagi, Muaz Idris dikatakan bermain di beranda rumah sebelum didatangi ibu saudara berusia 36 tahun yang tiba-tiba menetaknya di kepala, tangan kanan serta lutut dengan sebilah golok, menyebabkan kanak-kanak itu rebah.


Mangsa yang cedera parah meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Kulim (HK).

Difahamkan, suspek yang mengalami masalah mental sejak 20 tahun lalu dan masih mendapatkan rawatan di hospital.


Keluarga mangsa yang bekerja di Perlis dikatakan pulang ke Kampung Kejai, di sini, sejak petang kelmarin untuk mengubati anak mereka yang demam.


Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hasan berkata, pihaknya menerima panggilan jam 12.10 tengah hari dan bergegas ke lokasi kejadian.

"Siasatan awal mendapati mangsa yang bermain seorang diri di beranda rumah tiba-tiba didatangi ibu saudara yang membawa sebilah golok lalu menetaknya.


"Ibu mangsa yang juga adik suspek berusia 30 tahun yang datang membantu turut cedera di leher dan tangan akibat ditetak.

"Suspek yang cuba melarikan diri kemudian ditahan ahli keluarganya dan penduduk kampung sebelum diserahkan kepada polis," katanya yang ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling, di sini, semalam.


Menurutnya, suspek ditahan reman tujuh hari mulai semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/30


Jadilah antara 4 juta pembaca Harian Metro

Posted: 30 Dec 2012 11:08 AM PST

Malang berganda si lumpuh

Posted: 29 Dec 2012 02:48 PM PST

CHUKAI: "Sudahlah lumpuh, rumah pula ditenggelami air dan paling menyedihkan, 20 lembu yang diternak keluarga hilang dibawa arus deras, selain kebun sayur diusahakan turut musnah," kata Baharom Muhamed, 34, antara mangsa banjir yang berlindung di Pusat Pemindahan Felda Seberang Tayor, dekat sini, kelmarin.

Dia yang lumpuh dari pinggang ke bawah berkata, air mula naik di kawasan rumahnya di Kampung Seberang Tayor Hulu, dekat sini, jam 3 pagi Selasa lalu, sebelum dia dan keluarga dipindahkan ke balai raya berhampiran.


"Tidak sampai dua jam kami berlindung di situ, saya, isteri dan lima anak dipindahkan pula ke Pusat Pemindahan Felda Seberang Tayor berikutan air semakin naik.

"Air sedalam 10 meter menenggelami rumah kami, menyebabkan semua 20 lembu yang diternak keluarga dihanyutkan arus deras.


"Kami hanya sempat menyelamatkan dokumen penting manakala barangan berharga, termasuk perabot, ditenggelami air.


"Kebun sayur diusahakan isteri juga musnah akibat banjir paling besar pernah melanda kampung ini," katanya yang lumpuh akibat kemalangan sejak tiga tahun lalu.

Isterinya, Zaleha Ali, 39, berkata dia, ibu dan abang iparnya kerugian RM40,000 akibat kehilangan 20 lembu yang dihanyutkan arus deras.


"Kami memang orang susah, ditimpa pula musibah, jadi bertambah sukar kehidupan kami sekarang apabila hilang punca pendapatan sampingan.

"Maklumlah suami tidak boleh bekerja, jadi saya terpaksa mencari inisiatif lain dengan menternak dan bercucuk tanam.


"Kami bernasib baik kerana Jabatan Kebajikan Masyarakat memberi bantuan kepada suami sebanyak RM150 sebulan dan bantuan sebagai penjaga kepada saya sebanyak RM200 sebulan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/30


Jadilah antara 4 juta pembaca Harian Metro

Posted: 30 Dec 2012 11:08 AM PST

Bapa mahu tunggang motor

Posted: 29 Dec 2012 02:46 PM PST

KEPALA BATAS: "Kami sudah ajak bapa naik kereta bersama ke Bertam, tapi dia enggan kerana mahu menunggang motosikal bersama ibu tiri," kata J Jacqulin, 35, anak kedua mangsa ragut, A Josop, 65, yang maut selepas motosikal ditunggangi hilang kawalan akibat diragut di Jalan Permatang Manggis, malam kelmarin.

Ibu kepada lima cahaya mata itu berkata, bapa dan ibu tirinya, A Alaise, 52, keluar terlebih dulu dari rumah jam 7.15 malam bagi menghadiri majlis hari lahir sepupu mereka di Dewan Serbaguna Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Bertam, dekat sini.


Jacqulin bersama abangnya, J Charles Dorney, 40, adik, J Jassy, 31, serta ahli keluarga lain masih berada di rumah tetapi bersiap untuk keluar ke majlis sama.

Bagaimanapun, mereka dikejutkan dengan panggilan memaklumkan bapa mereka terbabit kemalangan dan meninggal dunia.


"Kali terakhir saya jumpa bapa, dia seperti biasa, malah sempat singgah di kedai dekat rumah membeli gula-gula sebelum terbabit kemalangan. Menjadi kebiasaan dia singgah di kedai itu.


"Bapa suka berdikari dan tak mahu menyusahkan anak. Semua perkara, jika boleh, dia mahu lakukan sendiri," katanya ketika ditemui di perkarangan bilik mayat Hospital Kepala Batas, semalam.

Jacqulin berkata, dia sedih kerana 11 tahun lalu mereka kehilangan ibu dan kini kehilangan bapa pula.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/30


Jadilah antara 4 juta pembaca Harian Metro

Posted: 30 Dec 2012 11:08 AM PST

Laluan rahsia edar DVD cetak rompak

Posted: 29 Dec 2012 02:46 PM PST

JOHOR BAHRU: Sekumpulan penjual cakera padat digital (DVD) cetak rompak pelbagai filem tempatan dan luar negara sanggup merangkak memasuki laluan rahsia menuju ke stor simpanan di sebuah pasar raya di Pandan, di sini, setiap kali memenuhi permintaan pelanggan mereka bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Taktik licik itu terbongkar apabila premis mereka diserbu Kementerian Dalam Negeri (KDN) jam 8 malam kelmarin, dengan rampasan 500,000 keping DVD bernilai keseluruhan RM3.5 juta di lapan premis di pasar raya itu.


Selain merangkak melalui laluan rahsia, pengusaha DVD berkenaan sanggup mengeluarkan belanja besar untuk menggunakan alat kawalan jauh serta kata laluan bagi mengambil stok serta jenis DVD diminta pelanggan.

Mereka dipercayai sanggup berbuat demikian berikutan pasar raya berhampiran Pasar Borong Pandan itu sering dikunjungi pelancong asing, terutama Singapura dan Indonesia, serta pelanggan tempatan yang membeli pelbagai DVD cetak rompak, termasuk lucah.


Setiausaha Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan KDN Putrajaya, Razak Drahman berkata, dalam Operasi Pandan itu, pihaknya menyerbu tujuh premis menjual pelbagai jenis DVD filem tempatan dan luar negara di pasar raya terbabit.


Menurutnya, operasi dijalankan hasil risikan selama dua minggu dianggotai 30 pegawai KDN Putrajaya.

Katanya, pemeriksaan mendapati peniaga menjual filem tanpa mempamerkan Sijil Perakuan B, selain menawarkan DVD lucah kepada pelanggan membabitkan pelancong asing serta penduduk tempatan.


"Hasil serbuan itu, kami merampas 500,000 keping DVD bernilai keseluruhan RM3.5 juta di lapan premis di pasar raya ini.

"Siasatan mendapati, mereka beroperasi sejak lebih setahun lalu dan kami dapati, sebelum ini premis sama pernah diserbu dan dikenakan tindakan," katanya.


Razak berkata, peniaga terbabit menggunakan pelbagai taktik bagi mengaburi pihak berkuasa, terutama membina stor penyimpanan barangan rahsia di sebalik rak DVD.


Sebuah premis didapati dilengkapi laluan rahsia menuju ke stor simpanan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/30


No comments:

Post a Comment