Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Militan sasar petugas kempen antipolio

Posted: 19 Dec 2012 10:26 AM PST

PESHAWAR: Penyerang bersenjata meningkatkan serangan baru ke atas pekerja kesihatan yang membawa vaksin polio, semalam, menjadikan korban keganasan itu meningkat kepada sembilan orang.

Kejadian terbaru itu turut mendorong Unicef dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggantung kempen yang dibantah Taliban itu. Serangan semalam membabitkan seorang petugas wanita dan pemandunya yang ditembak mati di Charsadda, dekat Peshawar.


Pegawai polis Peshawar, Wajid Khan, berkata sebelum itu, seorang lagi pekerja kesihatan dalam keadaan kritikal selepas ditembak ketika memberikan titisan vaksin polio kepada orang awam "Dua lagi pasukan penyedia vaksin dijadikan sasaran di bandar Nowshera dan Charsadda, tetapi mereka tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Pakistan adalah satu daripada tiga negara di dunia yang masih berdepan wabak polio, tetapi usaha mengekang penyakit itu selalu diganggu akibat bantahan Taliban.


Beberapa kawasan yang dikuasai militan itu mengharamkan vaksin berkenaan diberi kepada orang awam. Sejak kempen disokong PBB dijalankan di seluruh Pakistan Isnin lalu, sembilan orang pekerja kesihatan terbunuh dalam serangan yang berlaku setiap hari. Seorang kakitangan maut ditembak di Karachi pada Isnin dan empat lagi dibunuh di bandar itu kelmarin.


Seorang lagi mangsa dibunuh di Peshawar. Khabar angin kononnya vaksin polio itu adalah taktik Barat meracuni umat Islam menghalang usaha mengatasi wabak berkenaan di Pakistan.

Kecurigaan program itu semakin menebal apabila seorang doktor membantu Agensi Perisikan Pusat (CIA) mengesan Osama bin Laden dengan berselindung di sebalik kempen membasmi hepatitis pada 2011. Kes polio menurun kepada 28 pada 2005 tetapi meningkat ketara kepada 198 pada 2011 - angka tertinggi sepanjang tempoh lebih sedekad. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/20


Gangnam Style picu kiamat?

Posted: 19 Dec 2012 10:10 AM PST

NEW YORK: Apakah hubungan antara ramalan kiamat akan berlaku esok dengan fenomena Gangnam Style milik penyanyi Korea Selatan, Psy?

Menurut ramalan kontroversi Nostradamus, jika angka klip video Gangnam Style mencecah satu bilion penonton, maka kiamat akan berlaku.


Siapa sebenarnya Nostradamus? Dia ialah penyair, peramal astrologi yang lahir di Perancis pada 1503. Namanya sangat terkenal selepas beberapa ramalannya menjadi kenyataan.

Beberapa ramalannya yang terkenal dan terbukti tepat ialah Revoulsi Perancis, Kebakaran di London, kematian Puteri Diana, kematian John F Kennedy dan tragedi pengeboman di Nagasaki, malah tragedi serangan 11 September di New York.


Berdasarkan turutan rekod itulah, dunia mulai cemas dengan ramalan dunia akan berakhir atau kiamat yang dijangka berlaku ketika penonton Gangnam Style di YouTube mencecah angka satu bilion. Mengapa Gangnam Style dan mengapa angka satu bilion? Berikut ialah ramalan Nostradamus mengenai akhir zaman.


"From the calm morning, the end will come when of the dancing horse the number of circles will be nine," Nostradamus, 1503.

"From The Calm Morning dirujuk oleh peramal sebagai negara Korea Selatan sebagaimana negara itu mendapat jolokan Calm Morning dalam bahasa Inggeris.


"Dancing Horse? Jelas sekali yang dimaksudkannya ialah Gangnam Style yang sememangnya berasal dari Korea Selatan. Bagaimana dengan maksud "Circle Will Be Nine?" Ungkapan ini masih diperdebatkan. Beberapa peramal berkata maksudnya ialah angka kosong iaitu jumlah penonton YouTube yang mengakses klip video Gangnam Style. Ia bermakna angka satu bilion yang memiliki sembilan kosong (bulatan) sama dengan ungkapan Nostradamus. Dalam erti kata lain apabila diterjemahkan kesimpulannya dalam bahasa Melayu, ramalan Nostradamus bermaksud: "Dari Korea Selatan, kiamat akan berlaku ketika tarian kuda menunjukkan bulatan hingga sembilan." Jadi, apakah ramalan Nostradamus bakal terbukti? Apa pun, ketika ini klip video Gangnam Style sudah ditonton sebanyak 971,518,818 dan kelihatan terus bertambah. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/20


Ramalan kiamat bawa keuntungan kepada perniagaan

Posted: 19 Dec 2012 10:09 AM PST

PARIS: Golongan yang taksub dan bimbang bahawa hari kiamat bakal terjadi esok mengikut ramalan kalendar Mayan pasti akan bergegas ke kawasan perlindungan terdekat.

Tetapi lebih ramai lagi, dari Delhi di India hingga ke Sydney di Australia, akan meraikan tarikh itu dengan berparti seolah-olah tidak akan ada hari esok. Satu perkara yang pasti: Daripada kubu bawah tanah hingga ke menu 'Akhir Dunia' atau lawatan ke destinasi selamat, ramalan kalendar Mayan bahawa dunia akan berakhir pada 21 Disember (dengan tamatnya era 5,000 tahun) telah membawa keuntungan dalam perniagaan di seluruh dunia. Di seluruh negara asal nenek moyang Mayan, meliputi negara Amerika Tengah, termasuk sebahagian Mexico, Belize, Guatemala, Honduras dan El Salvador, "The End of the World As We Know It", atau TEOT membawa keuntungan kepada pelancongan. Lokasi purba kaum Mayan akan dipenuhi dengan aktiviti esok, menganjurkan gambaran semula upacara ritual, persidangan dan pertunjukan bunyi dan cahaya.


Di tempat lain, tidak ada kekurangan tempat berlindung atau tempat suci untuk mengadakan perayaan yang membimbangkan itu sepanjang malam.

Di Brazil, mereka yang percaya kiamat akan berlaku, dijangka bersesak-sesak ke sebuah desa di Alto Paraiso, tempat yang dipenuhi dengan 'tenaga mistik', sebagaimana kepercayaan tradisi tempatan yang bersiap sedia untuk menghadapi kiamat. Perayaan antiArmageddon akan berlangsung di Island of the Sun, di tengah Tasik Titicaca di Bolivia yang tertinggi di dunia, tempat pengasas kerajaan Inca dipercayai dilahirkan.


Penduduk Serbia yang percaya kiamat akan berlaku esok meramalkan Gunung Rtanj yang berbentuk piramid akan bersinar malam esok. Kampung di Sirince di barat Turki turut menjadi tarikan golongan peramal apabila semua 400 hotel di kawasan itu ditempah sepenuhnya. Virgin Mary dikatakan naik ke syurga dari situ. Begitu juga dengan Kampung Cisternino di Itali yang cantik disebutkan seorang guru India sebagai kawasan selamat apabila kiamat berlaku. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/20


Bakso tidak ditanggung halal

Posted: 19 Dec 2012 10:07 AM PST

JAKARTA: Majlis Ulama Indonesia (MUI) sukar menentukan status halal bakso di pasaran negara itu kerana urusan jual beli daging di pasar terdedah kepada percampuran daging lembu dan babi.

Ketua Hariannya, Maruf Amin, berkata kemungkinan itu berlaku kerana tidak semua pasar menyediakan lot khas yang memisahkan daging halal dan haram. "Kami sukar menentukan status halal itu kerana aliran proses daging lembu tidak dikawal.


"Peralatan digunakan peniaga juga tidak boleh dipastikan sama ada benar-benar terpisah atau tidak," katanya.

Turut menjadi pertimbangan, kata Maruf, adalah mesin pengisar yang digunakan untuk semua jenis daging.


"Keadaan itu menyebabkan ada kemungkinan berlaku percampuran antara daging lembu dan babi," katanya. Menurut Maruf, isu percampuran daging lembu dan babi memang merugikan peniaga.


Bagaimanapun, katanya, tanggungjawab memisahkan jual beli daging halal dan haram di pasar terletak pada pihak berkuasa tempatan.

Justeru, kata Maruf, pihak berkenaan sepatutnya mengambil langkah sewajarnya bagi mengatasi isu berkenaan.


"MUI tidak ada kuasa mengatur urusan jual beli daging di pasar," katanya.

Sementara itu, Pengarah Lembaga Penyelidikan Makanan, Ubat-ubatan dan Kosmetik MUI, Lukmanul Hakim, berkata daripada kira-kira 50,000 produk bakso, hanya 100 mendapat sijil halal daripada badan itu. Katanya, sijil dikeluarkan selepas seluruh proses pengeluaran berkenaan diselidik.


Menurut Lukmanul Hakim, banyak yang tidak lulus kerana diberi makanan yang mungkin terdedah kepada percampuran daging lembu dan babi.


"Daging babi juga direndam dengan darah lembu bagi mengurangkan warna pucat, sekali gus menjadikan ia kelihatan seperti daging lembu," katanya. - Kompas.com

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/20


Abhisit, Suthep mungkin berdepan 700 tuduhan cuba membunuh

Posted: 19 Dec 2012 10:07 AM PST

BANGKOK: Ketua Jabatan Siasatan Khas (DSI) Thailand akan bermesyuarat dengan polis dari bahagian lain bagi mempercepatkan siasatan lebih 700 kes cubaan membunuh yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva, dan timbalannya, Suthep Thaugsuban.

Ketua Pengarah DSI, Tarit Pengdith, berkata mesyuarat itu diadakan bagi meminta semua pihak yang berkenaan menyegerakan semakan ke atas dokumen mengenai kes berkenaan. "Penyiasat kemudian akan merujuk kes itu kepada pendakwa raya sebelum dakwaan cubaan membunuh itu difailkan terhadap Abhisit dan Suthep," katanya.


Menurut Tarit, kes kira-kira 1,500 orang yang cedera dalam ketegangan politik pada April dan Mei 2010 itu akan dibahagikan kepada dua kategori, masing-masing membabitkan cedera ringan dan serius. Bagi kes kecederaan serius, Abhisit dan Suthep berdepan tuduhan cuba membunuh, manakala bagi kecederaan ringan, mereka didakwa bagi kesalahan melakukan serangan fizikal ke atas orang awam.

Sementara itu, sumber berkata, kira-kira 700 orang cedera parah dalam keganasan berkenaan.


"Justeru, Abhisit dan Suthep akan menghadapi kira-kira 700 tuduhan cubaan membunuh di mahkamah," katanya. Sumber itu berkata, Tarit meminta kes kecederaan dibahagikan kepada empat kumpulan, berdasarkan kepada tarikh dan lokasi. "DSI mungkin menunggu sehingga sesi parlimen akan datang berakhir pada 19 April sebelum mendakwa Abhisit dan Suthep," katanya. - The Nation

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/20


Mahkamah tolak permohonan Gloria sambut Krismas di luar penjara

Posted: 19 Dec 2012 10:06 AM PST

MANILA: Bekas Presiden Filipina yang kini dipenjara, Gloria Arroyo, akan menyambut Krismas di hospital tentera selepas mahkamah menolak permohonannya mendapatkan cuti sementara, kata pegawai semalam.

Petugas mahkamah khas antirasuah, Sandra Palugay, berkata Gloria tidak dibenarkan keluar dari Pusat Perubatan Peringatan Veteran bagi menyambut perayaan berkenaan tetapi tiada alasan didedahkan. Gloria, 65, membuat permohonan supaya diberi pelepasan bagi tempoh 21 Disember ini hingga 7 Januari depan.


Gloria didakwa menyelewengkan wang negara bernilai AS$8.8 juta (RM26.9 juta) ketika menjadi presiden antara 2001 hingga 2010. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/20


Penduduk Sleman bantah gereja tidak berdaftar

Posted: 19 Dec 2012 10:06 AM PST

SLEMAN: Ratusan anggota pertubuhan Islam Yogyakarta mengadakan demonstrasi di depan pejabat pemerintah daerah Sleman mendesak kerajaan bertindak ke atas gereja tidak berdaftar, semalam.

Jurucakap kumpulan itu berkata, sebelum ini mereka beberapa kali mengajak pihak gereja terbabit berunding tetapi gagal.


Organisasi Islam tempatan kemudian menghantar surat kepada pengurusan gereja berkenaan bagi menyampaikan teguran mereka.

"Sekali lagi usaha itu gagal dan kini kami menyerahkan masalah berkenaan kepada pihak kerajaan tempatan," katanya. Tinjauan mendapati, gereja yang dipertikaikan itu beroperasi sejak dua tahun lalu dan pada asalnya adalah rumah persendirian.


Sementara itu, Ketua Derah Sleman, Sri Purnomo, berkata gereja berkenaan memang dibuka tanpa kebenaran.


Katanya, gereja itu pernah mengemukakan permohonan kepada kerajaan tempatan tetapi ditolak. "Gereja itu tidak memenuhi syarat ditetapkan, termasuk kesesuaian persekitaran," katanya. - Republika

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/20


Ketua Daerah Garut bersalah amal poligami tanpa izin

Posted: 19 Dec 2012 10:06 AM PST

TAROGONG KIDUL: Ketua Daerah Garut, Aceng Fikri, didapati bersalah melanggar undang-undang poligami kerana mengahwini seorang remaja berusia 17 tahun dalam pernikahan tidak berdaftar, kata Dewan Perwakilan Daerah Garut, semalam.

Ketua Jawatankuasa Khas yang menyiasat kes itu, Asep Lesmana Ahlan, berkata Aceng bersalah kerana gagal mendaftarkan pernikahan itu seperti sepatutnya. "Pernikahan itu juga berlangsung tanpa kebenaran isteri Aceng, Nurrohimah," katanya.


Pernikahan Aceng dengan Nurrohimah dikurniakan tiga cahaya mata. Kata Asep, sebagai suami, Aceng juga perlu mendapatkan kebenaran mahkamah sebelum mengamalkan poligami. Aceng mengahwini Fani Oktora pada 14 Julai lalu dengan mengaku duda.

Bagaimanapun, Fani diceraikan empat hari kemudian atas alasan Aceng mendapati wanita itu bukan lagi anak dara selepas malam pertama. Perceraian itu turut mencetuskan kontroversi apabila Aceng cuma menggunakan khidmat pesanan ringkas. - JP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/20


17 terbunuh dalam rusuhan penjara Mexico

Posted: 19 Dec 2012 10:05 AM PST

DURANGO: Sebelas banduan dan enam pengawal terbunuh dalam pertempuran bersenjata di sebuah penjara di utara Mexico, semalam.

Pegawai keselamatan Durango berkata, keganasan berlaku apabila banduan di penjara bandar Gomez Palacio cuba melarikan diri dari pusat tahanan berkenaan. Katanya, loceng amaran dibunyikan sebaik saja banduan merusuh dan melepaskan tembakan ke arah menara pengawal serta wadar penjara. "Dalam kekecohan itu, sekumpulan banduan cuba melarikan diri melalui terowong dan pagar belakang.


"Pada peringkat awal, wadar melepaskan tembakan amaran ke udara tetapi banduan membalas dengan menembak mereka," katanya. Akhirnya, kata jurucakap itu, tentera dikejarkan ke penjara berkenaan bagi menghentikan cubaan meloloskan diri serta mengawal keadaan. Sejak dua tahun lalu, 521 banduan melarikan diri dalam 14 insiden keganasan di Mexico. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/20


Ahli Parlimen Likud yakin Israel mampu musnahkan Iran

Posted: 19 Dec 2012 10:05 AM PST

TEL AVIV: Ahli parlimen dari Parti Likud, Danny Danon, berkata Israel mampu membinasakan Iran dengan mudah bagi menghalang negara itu memiliki senjata nuklear.

Kata Danon, Israel sedia bertindak sendiri ke atas Iran bagi mencapai matlamat berkenaan. "Kami akan melakukan apa yang perlu, termasuk menggunakan tentera, kerana program Iran itu bukan saja menjadi ancaman kepada Israel, tetapi juga rakyat Amerika Syarikat," katanya. Justeru, kata Danon, AS perlu terbabit dalam konflik berkenaan jika Israel menyerang Iran.


Merujuk kepada sejarah, Danon berkata, konflik di antara Israel dan Arab sentiasa berpihak kepada rejim Zionis itu. "Kami melakukannya di Iraq pada 1981 dan kami sedia melakukan perang yang sama ke atas Iran," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/20


No comments:

Post a Comment