Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Jodoh pemuda kudung Iraq

Posted: 28 Dec 2012 01:30 PM PST

LONDON: Tanpa kedua-dua tangan yang terpaksa dibuang akibat perang Iraq, tuah dialami Ali Abbas memang sangat menggembirakannya.

Dalam serba kekurangan itu, Ali berpeluang mengahwini gadis yang menjadi pujaannya sejak kecil. Kini menetap di Britain, Ali, 21, berkahwin dengan Ankam Hamza, 18, dalam majlis penuh emosi yang dilangsungkan selama dua hari di bumi kelahirannya.


Menceritakan pengalaman itu untuk kali pertama, Ali berkata, dia bukan saja tidak menyangka dapat menikahi Ankam, malah tidak menyangka terselamat dalam serangan peluru berpandu Amerika Syarikat (AS) di Baghdad sembilan tahun lalu.

Sebagai seorang daripada mangsa paling parah dalam perang Iraq, Ali tidak diberi banyak harapan untuk hidup bagi meraikan ulang tahun ke-13. Banyak pihak juga tidak menjangkakan Ali berpeluang menjadi seorang suami. Selain kehilangan kedua-dua tangan, Ali juga mengalami kesan melecur pada 60 peratus badannya.


Ali juga kehilangan 16 anggota keluarga, termasuk ibu bapanya. Gambar penderitaan Ali itu tersebar ke seluruh dunia dan dia menjadi wajah ikon bagi konflik berkenaan. Kata Ali, dia tidak sangka diberi peluang untuk terus hidup.


"Saya tak pernah membayangkan dapat mencintai seorang wanita dan yang paling pasti, tidak sangka ada peluang berkahwin," katanya. Menurut Ali, pada hari pernikahan, emosinya bercampur-baur antara sedih dan gembira.

Bagaimanapun, katanya, dia lebih terfikir bahawa dia sangat bertuah kerana dapat bertemu seorang wanita seperti Ankam.


"Memang saya tahu Ankam adalah pilihan tepat kerana dia tidak pernah membiarkan saya terfikir bahawa saya memiliki kekurangan.

"Apabila bersama Ankam, saya berasa seperti lelaki normal," katanya. Menurut Ali, dia sentiasa dibayangi tragedi pada 2003 itu dan ia turut mengubah hidupnya. Katanya, pada ketika tertentu, dia terdengar jeritan ahli keluarganya ketika bumbung dan siling rumah runtuh menimpa mereka akibat peluru berpandu AS. Ali bernasib baik kerana dikesan seorang jiran masih bernafas di bawah runtuhan bangunan berkenaan.


Selepas dikeluarkan, dia dikejarkan ke hospital.


Penderitaan Ali menyentuh perasaan berjuta orang di seluruh dunia apabila anggota perubatan di Iraq merayu supaya dia diterbangkan ke Kuwait bagi menjalani pembedahan menyelamatkan nyawanya. Akhirnya Ali diterbangkan ke Britain dan diberi bantuan tangan palsu di Hospital Ratu Mary di selatan London. Pada Jun 2010, Ali lulus ujian kewarganegaraan dan disahkan sebagai warga Britain. Sejak itu, Ali pulang ke Iraq beberapa kali untuk bertemu saudara-maranya yang terselamat dalam perang. Dalam kesempatan itu Ali diperkenalkan kepada Ankam yang pernah menjadi temannya ketika zaman kanak-kanak. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/29


Wanita bersalin selepas kereta dirempuh perompak di depan rumah

Posted: 28 Dec 2012 10:17 AM PST

LONDON: Seorang wanita bersalin selepas kereta dinaikinya dirempuh perompak yang melarikan diri dari rumahnya, lapor media semalam.

Ceri Fiddes, 33, sebelum itu dinasihati kakitangan hospital supaya pulang dan menunggu beberapa jam lagi walaupun dia mengalami tanda bakal bersalin.


Ketika Ceri dan suaminya, Daniel Fiddes menghampiri rumah mereka, seorang perompak menyerbu keluar, manakala rakan penjenayah itu menunggu di halaman.

Jurucakap polis berkata, Fiddes keluar dari kereta dan cuba menahan perompak terbabit.


Bagaimanapun, perompak terbabit melompat masuk ke kereta dan merempuh kenderaan Fiddes walaupun ketika itu Ceri ada di dalamnya. Jurucakap polis berkata, penjenayah terbabit melanggar kereta Fiddes berulang kali sebelum dapat melarikan diri dari rumah mangsa di Stoney Stratton.


"Apabila polis selesai membuat siasatan, Ceri mengalami kesakitan dan terpaksa dikejarkan ke hospital semula dua jam kemudian," katanya.

Dia akhirnya selamat melahirkan anak lelaki yang diberi nama Jude pada 6 Disember lalu. Menceritakan pengalaman itu, Ceri berkata, ia memang mengerikan.


Katanya, ketika keretanya dirempuh berkali-kali, dia terhuyung-hayang dan Jude hampir dilahirkan di dalam kenderaan.

"Selepas bersalin di hospital pun, saya terpaksa kembali semula ke situ kerana uri saya tidak keluar.


"Anda mungkin dapat membayangkan bagaimana kecohnya hari kami," katanya. - TS

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/29


4 beranak edar dadah ditahan

Posted: 28 Dec 2012 10:13 AM PST

BANGKOK: Polis menahan satu keluarga pengedar dadah di depan sebuah pusat beli-belah di wilayah Si Sa Ket semalam.

Dalam operasi membabitkan penyamaran anggotanya, polis berjaya memberkas Kongka Chaiyawong, 46, Boonruang Suwannagoot, 50, Pongsiri Suwannagoot, 28, dan Kraisak Suwannagoot, 23. Turut dirampas bersama mereka ialah 18,000 pil methamphetamine, wang tunai bernilai 1.3 juta baht (RM130,050), dua pistol dan peluru.


Siasatan mendapati anak tiri Chaiyawong iaitu Suwannagoot dan Suwannagoot adalah pengedar dadah utama yang menerima penghantaran dadah dari luar negara. Ibu kepada suspek, Boonruang bertanggungjawab melaburkan wang haram melalui pembelian tanah dan membuka pusat peranginan.

Polis berkata, kedua-dua anak suspek pengedar itu akan memberi ganjaran kepada sesiapa yang dapat membunuh anggota polis yang menahan mereka.


Keluarga itu didakwa dengan tuduhan memiliki dan mengedarkan methamphetamin serta memiliki senjata api tanpa lesen. Polis turut merampas aset keluarga itu yang bernilai RM400,156. - BP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/29


Warga Kuwait maut bergaduh berebut wanita

Posted: 28 Dec 2012 10:13 AM PST

JAKARTA: Seorang rakyat Kuwait dikenali sebagai Husain maut pagi semalam selepas ditikam di dada ketika bergaduh dengan tiga warga Iran di sebuah kafe di Menteng, Jakarta Pusat.

Ketua Polis Jakarta Pusat, Komisioner Kanan AR Yoyol berkata, pergaduhan berpunca daripada isu perebutan seorang wanita, lapor kompas.com.


Husain dikatakan meminta wanita yang datang dengan tiga warga Iran itu meninggalkan kafe berkenaan bersamanya menyebabkan pergaduhan tercetus.

Pengawal kafe itu cuba untuk campur tangan tetapi cedera akibat terkena objek tajam di tangan kanannya.


Menurut Yoyol dua daripada warga Iran itu sudah ditahan, manakala suspek ketiga masih bebas. - kompas.com

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/29


Korban ribut Wukong meningkat 11 orang

Posted: 28 Dec 2012 10:12 AM PST

MANILA: Jumlah kematian akibat ribut tropika yang melanda tengah Filipina pada hari Krismas meningkat kepada 11 orang, manakala ribuan lagi terpaksa meninggalkan kediaman mereka ekoran banjir dan tanah runtuh, kata pihak berkuasa semalam.

Ribut tropika Wukong menyebabkan kemusnahan baru hanya beberapa minggu selepas taufan Bopha melanda selatan negara itu, menjejaskan ramai penduduk dan membunuh lebih 1,000 orang.


Kebanyakan mangsa Wukong mati akibat lemas, manakala tiga lagi mati selepas sebatang pokok menghempap kediaman mereka, menurut pihak berkuasa majlis pemantauan bencana yang menambah dua lagi mangsa masih hilang.

Lebih 13,000 penduduk berada di pusat pemindahan ekoran banjir dan tanah runtuh yang disebabkan oleh ribut terbaru itu yang melanda kepulauan Samar, Leyte Cebu dan Panay.


Bagaimanapun, pegawai bencana daerah, Celeste Milan menyuarakan keyakinan bahawa jumlah kematian itu tidak meningkat lebih banyak kerana penduduk telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan sesetengahnya berpindah dari kediaman mereka sebelum ribut melanda. "Ia bukan seperti Bopha. Ribut ini lebih banyak membawa hujan. Bopha taufan yang lebih besar. Wukong hanya ribut tropika kecil," katanya. Wukong semakin lemah ketika bertiup keluar ke arah barat ke Laut China Selatan.


Usaha menyelamat masih diteruskan di kawasan di selatan Filipina di mana kebanyakan bandar terjejas akibat Bopha, taufan terkuat yang melanda negara itu tahun ini.

Filipina dilanda kira-kira 20 ribut utama atau taufan setiap tahun yang berlaku terutama ketika musim hujan antara Jun hingga Oktober. - MT

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/29


Changi kendali 50 juta penumpang

Posted: 28 Dec 2012 10:12 AM PST

SINGAPURA: Lapangan Terbang Antarabangsa Changi mengakhiri tahun ini dengan rekod baru dalam sejarah, mengendalikan lebih 50 juta penumpang.

Rekod pengangkutan itu dicapai dua tahun selepas lapangan terbang berkenaan mengendali 40 juta penumpang pada 2010.


Dalam tempoh dua tahun lalu, penumpang pengangkutan udara di Lapangan Terbang Changi semakin bertambah ekoran pilihan penerbangan tambang murah yang semakin meningkat dan permintaan tinggi kunjungan ke Asia. Bilangan penumpang yang berlepas, tiba dan singgah di Changi meningkat kepada 10.7 peratus tahun lalu dan bertambah sebanyak 10.1 peratus lagi pada 11 bulan pertama tahun ini.

Sebagai memperingati detik bersejarah itu, Kumpulan Lapangan Terbang Changi (CAG) semalam mengadakan acara keraian dengan kerjasama syarikat penerbangan nasional Indonesia, Garuda menyambut ketibaan pesawat GA824 dari Jakarta ke Singapura. Pesawat berkenaan mendarat di lapangan terbang itu pada jam 10.18 pagi dengan tembakan meriam air dan acara meriah. - ST

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/29


2 suspek rompak, gilis drebar teksi ditahan

Posted: 28 Dec 2012 10:11 AM PST

BANGKOK: Polis semalam menahan dua lelaki dan memburu suspek ketiga dipercayai terbabit dalam serangan kejam terhadap pemandu teksi wanita awal pagi Selasa lalu.

Polis berkata, tiga lelaki itu merompak dan menyerang Boonchuay Thongtae, 53, dengan mengelar tekaknya sebelum mencampakkan mangsa keluar dari teksinya dan menggilis tubuh mangsa. Dua suspek yang ditahan itu berusia 25 dan 17 tahun. Suspek ketiga yang berusia 22 tahun masih bebas.


Polis berkata, tiga suspek itu menahan teksi mangsa dan meminta dihantar dekat sebuah sekolah di Sala Thammasop, daerah Thawi Watthana di sini.

Apabila tiba di destinasi, seorang daripada suspek mengelar tekak mangsa dan merampas wang tunai 4,000 baht (RM400) miliknya sebelum menolaknya keluar dari kenderaan. Ketika melihat mangsa masih hidup dan cuba mendapatkan bantuan, mereka kemudian memandu teksi mangsa dan melenyek tubuhnya. - BP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/29


99 anggota polis Jakarta dipecat

Posted: 28 Dec 2012 10:11 AM PST

JAKARTA: Polis Jakarta memecat 99 anggotanya tahun ini atas pelbagai kesalahan, termasuk ponteng, penyalahgunaan dadah dan memeras ugut.

Ketua Polis Jakarta, Inspektor Jeneral Putut Eko Bayuseno berkata, angka itu meningkat berbanding 78 angota dipecat, tahun lalu.

Putut berkata, daripada jumlah yang dipecat, 91 adalah anggota polis tidak bertauliah, enam anggota polis bertauliah dan dua anggota polis prebet.

"Enam daripada mereka dipecat kerana meninggalkan pekerjaan, 18 kerana penyalahgunaan dadah dan enam dipecat kerana memeras ugut," katanya kepada wartawan, semalam.


Putut berkata, kesalahan lain adalah menyerang, mencuri, melakukan perbuatan yang mencemar institusi dan salah laku tatatertib.


Dalam sidang akhbar itu, Putut turut mendedahkan aduan awam terhadap salah laku anggota polis dan perkhidmatan, meningkat daripada 457 laporan, tahun lalu. - Jakarta Post

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/29


Sembunyi pil syabu dalam kemaluan

Posted: 28 Dec 2012 10:11 AM PST

CHIANG MAI: Polis menahan seorang wanita yang mengaku menyorokkan pil methamphetamine (syabu) berkilau dan berbau bunga melati di kemaluannya untuk dielak daripada dikesan pihak berkuasa.

Polis semalam berkata, Nahor Jader, 41, menyembunyikan 3,600 butir pil syabu berkilau dan berbau wangi ketika dia ditahan di hadapan sebuah sekolah.

Nahor berkata, dia menaiki bas dan menyembunyikan pil itu di dalam kemaluannya untuk mengelak daripada dikesan.

Dia membalut pil dengan pembalut gula-gula berbau wangi apabila tiba di destinasinya.


Nahor memberitahu polis, dia perlukan wang untuk menjamin suaminya, seorang pengedar dadah dari penjara.


Wanita itu berkata, dia sudah berkali-kali membawa dadah yang diterima daripada penjual dan memperoleh nombor telefon pembeli daripada suaminya dan banduan lain.

Polis percaya, pil syabu yang dirampas itu kepunyaan Chaiwayat Pornsakulpaisarn, ketua kumpulan dan pemilik kilang dadah syabu Lahu hitam di Myanmar. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/29


Mangsa rogol beramai-ramai Delhi masih kritikal

Posted: 28 Dec 2012 10:10 AM PST

SINGAPURA: Pelajar India yang menjadi mangsa rogol beramai-ramai, "bertarung nyawa" selepas mengalami serangan jantung dan kecederaan otak ketika pakar perubatan mengkritik keputusan menerbangkannya ke Singapura untuk rawatan.

Dalam buletin yang dikeluarkan sehari selepas mangsa tiba di Singapura, doktor di Hospital Mount Elizabeth berkata, wanita berusia 23 tahun itu mengalami jangkitan paru-paru dan dalam keadaan kritikal selepas serangan seksual di Delhi pada 16 Disember lalu.

Ketua Eksekutif Hospital Mount Elizabeth, Kelvin Loh, dalam satu kenyataan berkata: "Siasatan pasukan perubatan kami sebaik saja pesakit tiba mendapati, selain daripada serangan jantung, pesakit juga mengalami jangkitan di paru-paru dan perut, begitu juga kecederaan otak yang teruk."

Katanya, pasukan pelbagai kemahiran bekerja tanpa henti sejak pesakit tiba dan berusaha untuk menstabilkan keadaan mangsa untuk beberapa hari akan datang.


Mangsa, seorang pelajar di Delhi telah melalui tiga pembedahan di perut dan mengalami serangan jantung ketika di India.


Ia merupakan kenyataan pertama dibuat mengenai keadaan kesihatan mangsa.

Mangsa, yang namanya tidak boleh didedahkan atas sebab undang-undang, dirawat di Hospital Safdarjung di Delhi sejak dia dicampak dari sebuah bas selepas enam lelaki bergilir-gilir merogolnya dalam kenderaan itu.

Mangsa turut mengalami kecederaan teruk dalam usus akibat diserang dengan batang besi, menurut polis dan pendakwa raya.

Keputusan untuk menerbangkannya menggunakan pesawat ambulans diambil ketika mesyuarat Kabinet Perdana Menteri Manmohan Singh, Rabu lalu.

Seorang doktor daripada kumpulan pakar di India memberitahu akhbar The Hindu, mereka hanya ditanya sama ada selamat untuk memindahkan mangsa dan tidak ditanya sama ada ia jalan terbaik untuk pesakit - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/29


No comments:

Post a Comment