Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Dilanggar ketika lari

Posted: 26 Dec 2012 01:49 PM PST

PUCHONG: Kegembiraan tiga sahabat yang menjamu selera di sebuah restoran di bandar ini, bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka maut dilanggar sebuah kereta ketika cuba menyelamatkan diri daripada amukan dua kumpulan samseng disertai lebih 10 orang yang 'bertempur' di kawasan berkenaan, kelmarin.

Dalam kejadian jam 1 pagi itu, mangsa, Kenny Chuk, 20, yang parah di kepala dan badan disahkan meninggal dunia sebaik tiba di sebuah hospital swasta di kawasan berkenaan.


Rakan mangsa, See Yuk Hui, 22, berkata, ketika makan, mereka ternampak dua kumpulan bergaduh di kawasan berhampiran menyebabkan mereka bertiga melarikan diri dari restoran berkenaan.

"Bagaimanapun, Kenny dirempuh sebuah kereta ketika melarikan diri sebelum kami membawanya ke sebuah hospital swasta di kawasan berhampiran. Bagaimanapun, Kenny meninggal dunia sebaik tiba di hospital" katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Beliau berkata, dia tidak tahu punca kejadian itu, namun apa yang pasti keadaan bertambah buruk apabila dua kumpulan terbabit bergaduh dengan membaling kerusi dan meja selain bertumbuk.


Menurut See, bagi menyelamatkan diri, mereka melarikan diri dengan menyeberangi jalan ke tempat letak kereta sebelum Kenny dilanggar.

Sumber berkata, polis yang tiba di hospital dan tempat kejadian selepas menerima laporan orang awam menahan dua lelaki bagi membantu siasatan.


"Seorang daripadanya cedera dipercayai akibat bergaduh manakala seorang lagi adalah pemandu kereta yang melanggar mangsa.

"Sehingga kini, polis masih menyiasat sama ada pemandu kereta itu individu yang terbabit dalam pergaduhan itu atau tidak," katanya.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Deputi Superintendan Lam Chien Fei ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian itu namun enggan mengulas lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/27


Remaja serah diri

Posted: 26 Dec 2012 01:45 PM PST

KUALA LUMPUR: Seorang daripada tiga lelaki yang diburu polis kerana dipercayai ahli kumpulan samun kedai serbaneka sekitar ibu negara dan rakan jenayah seorang daripada suspek yang ditembak mati ketika menyamun di Taman Sri Rampai, di sini, minggu lalu ditahan polis.

Remaja berusia 19 tahun itu ditahan jam 9 pagi Sabtu lalu selepas tampil bersama abangnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) untuk menyerah diri ekoran polis menyebarkan gambarnya melalui media.


Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, remaja terbabit kini direman bagi membantu siasatan, namun dia bukan suspek yang meloloskan diri ketika kejadian samun di Taman Sri Rampai, 17 Disember lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/27


3 waris lelaki dicari

Posted: 26 Dec 2012 01:45 PM PST

KUALA LUMPUR: Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang mencari waris tiga lelaki yang meninggal untuk urusan menuntut mayat berkenaan.

Pengarah Hospital, Dr Sukumar Mahesan berkata, pihak hospital sudah berusaha mencari waris mangsa melalui alamat terakhir mereka, namun menemui jalan buntu.


Menurutnya, tiga lelaki yang meninggal itu ialah Zulkifli Abdullah, 66, meninggal dunia pada 17 September lalu, Mukol Kamalu, 58 dijumpai di Yekon Equipment Subang Permai di Shah Alam (meninggal pada 13 November) dan Jokfar Sanusi, 69, meninggal di Bagan Teochew, Pulau Ketam, Klang.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai waris mangsa boleh menghubungi Penolong Pegawai Perubatan Kanan, Jabatan Forensik HTAR, Mohd Radzai Mohd Illias di talian 03 33757000 sambungan 1305/1306.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/27


Bekas anggota kumpulan rap nafi nodai anak tiri

Posted: 26 Dec 2012 01:44 PM PST

AMPANG: Seorang bekas anggota kumpulan rap dihadapkan di Mahkamah Sesyen, di sini, tadi atas tuduhan merogol anak tirinya berusia 14 tahun, Februari lalu.

Lelaki berusia 37 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Roszianayati Ahmad.


Tertuduh yang memakai baju kemeja-T biru tiba di mahkamah jam 9.30 pagi ditemani ibu bapa dan beberapa rakannya. Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan jam 9 pagi, 9 Februari lalu di sebuah rumah di Taman Gombak Jaya, di sini.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (d) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat, jika disabit kesalahan.


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Dalina Ali tidak menawarkan jaminan disebabkan hubungan antara tertuduh dengan mangsa.


Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela merayu diberi jaminan kerana dia perlu menyara dua anak kandungnya.

Roszianayati membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin atas alasan lelaki terbabit yang dalam jaminan polis datang ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan rogol itu. Mahkamah menetapkan 25 Januari depan sebagai sebutan semula.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/27


Wanita kelar tangan cuba terjun apartmen

Posted: 26 Dec 2012 01:43 PM PST

CHERAS: Tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan seorang wanita warga Vietnam yang cuba terjun dari rumahnya dipercayai ingin membunuh diri di Apartmen Casaria, Taman Maluri, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, wanita yang berusia 20-an terbabit turut mengelar kedua-dua tangannya sebelum mahu terjun.


Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan, Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 2.56 petang yang memaklumkan kejadian itu.

"Pasukan bomba dan penyelamat dari Balai Pudu dikejarkan ke tempat kejadian dan mendapati seorang wanita sedang duduk di tepi tingkat dua apartmen itu.


"Anggota berkenaan meminta mangsa bertenang dan memujuknya supaya tidak terjun dan usaha itu berjaya setengah jam kemudian," katanya.


Beliau berkata, pemeriksaan ke atas wanita terbabit mendapati kedua-dua pergelangan tangannya luka dipercayai dikelar.

"Siasatan di tempat kejadian turut menemui sebilah pisau pemotong sayur dipercayai digunakan wanita terbabit," katanya.


Katanya, wanita terbabit diberi rawatan kecemasan sebelum dikejarkan ke hospital. Bagaimanapun, punca wanita itu bertindak demikian masih disiasat.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/27


No comments:

Post a Comment