Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Budak disamun dalam surau

Posted: 19 Dec 2012 09:14 PM PST

KUALA LUMPUR: Biarpun berada dalam surau, seorang kanak-kanak lelaki masih menjadi mangsa jenayah apabila dia bukan saja dipukul sebaliknya turut disamun dua lelaki dalam kejadian di sebuah kawasan perumahan di Sungai Besi, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, mangsa, Mohd Fairuez Irwan Shah, 11, bukan saja cedera di kepala sebaliknya kehilangan telefon bimbit yang dihadiahkan bapanya, Zulkifli Ibrahim, 49, sempena hari lahirnya pada tahun lalu.


Ketika kejadian, Fairuez menunggu di surau berkenaan bagi menunaikan solat Zuhur. Anak kelima daripada enam beradik itu berkata, dia dan ahli keluarganya dididik bapa supaya menunaikan solat di surau atau masjid sejak berumur 10 tahun. Menceritakan semula kejadian itu, Fairuez berkata, dia yang menunggu masuk waktu solat didatangi dua lelaki berusia 20-an.

"Saya kenal seorang saja..lagi seorang saya tidak kenal. Sebaik datang, mereka rampas telefon bimbit saya. Belum sempat berkata apa-apa, lelaki itu menumbuk dan memukul saya.


"Mereka mengarahkan saya supaya pulang ke rumah," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.


Fairuez berkata, dia memaklumkan kejadian itu kepada abangnya selepas pulang ke rumah manakala bapanya mengetahui kejadian itu selepas pulang dari tempat kerja jam 11 malam.

"Saya dibawa ayah ke hospital untuk mendapatkan rawatan," katanya.


Katanya, akibat kejadian itu, dia kini trauma untuk pergi ke surau atau masjid sendirian.

"Namun, jika ditemani ahli keluarga atau ayah, saya akan pergi," katanya. Katanya, dia sudah membuat laporan di Balai Polis Sungai Besi, di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut.


Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Arasa ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/20


Advertorial: PLUS perkenal WOW untuk banteras penipuan lebuh raya

Posted: 19 Dec 2012 09:13 PM PST

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah melancarkan perkhidmatan 'bengkel bergerak' Workshop on Wheels (WOW) sebagai strategi dan pendekatan terbaru syarikat mengelakkan pengguna lebuh raya menjadi mangsa penipuan syarikat trak tunda dan bengkel yang tidak bertanggungjawab.

"Pihak kami telah menerima banyak maklumat dan aduan daripada pengguna lebuh raya yang telah menjadi mangsa penipuan syarikat trak tunda dan bengkel apabila kenderaan mereka mengalami masalah dan terkandas di lebuh raya. Justeru, PLUS bekerjasama dengan pihak AAM bagi mengelakkan pengguna terus menjadi mangsa pihak yang tidak bertanggungjawab," kata pengarah urusan merangkap ketua pegawai eksekutifnya, Datuk Noorizah Abd Hamid.

Pada ketika ini, PLUS tidak mempunyai kuasa dari segi undang-undang untuk menghalang trak-trak tunda memasuki lebuh raya, mengakibatkan pengguna lebuh raya yang terkandas terdedah kepada risiko penipuan pihak tidak bertanggungjawab.

Selain perkhidmatan sedia ada oleh PLUSRonda ketika ini, perkhidmatan asas yang diberikan oleh WOW seperti menunda kenderaan ringan (Kelas 1) ke plaza tol, kawasan rehat atau hentian sebelah, memeriksa dan membaiki kerosakan kecil diberikan secara percuma kepada pengguna lebuh raya apabila menghubungi talian bebas tol PLUSLine 1800 88 0000 atau menggunakan telefon kecemasan.


"Sebaik menerima maklumat daripada pengguna, pasukan PLUSRonda akan diarahkan untuk ke lokasi di mana anggotanya akan memeriksa, membuat penilaian dan cuba membaiki kerosakan kenderaan tersebut. Sekiranya kerosakan tidak dapat dibaiki, PLUSRonda akan menghubungi semula Pusat Kawalan Trafik PLUS sebelum unit WOW dikerah ke lokasi untuk memberikan bantuan seterusnya," jelas Noorizah.


Selain itu, WOW turut menyediakan perkhidmatan membaiki dan menukar alat ganti kenderaan seperti bateri kereta, radiator, kipas dan lain-lain dengan caj yang berpatutan. Semua kerja ini akan dikendalikan di lokasi selamat di lebuh raya tanpa perlu keluar dari kawasan lebuh raya dan membayar kos tundaan. Walau bagaimanapun, sekiranya pengguna masih mahu menghantar kenderaan mereka ke bengkel pilihan masing-masing, mereka boleh berbuat demikian dan kos ditanggung oleh pengguna itu sendiri.

"Bagi mengelakkan kekeliruan dan keraguan pengguna, caj menukar alat ganti kenderaan dipaparkan dengan jelas pada kenderaan unit WOW untuk pengguna membuat penilaian sendiri," terangnya.

Fasa Pertama WOW akan meliputi laluan Seremban-Johor Bahru dan boleh diperolehi 24 jam setiap hari. Ia akan diperluaskan ke laluan-laluan lain di rangkaian lebuh raya PLUS secara berperingkat.

"Secara puratanya, 121 kenderaan mengalami kerosakan di laluan Seremban-Johor Bahru pada hari-hari biasa. Pada musim-musim perayaan dan cuti panjang pula, jumlah tersebut meningkat kepada 189 di laluan yang sama," ujar beliau.

Faktor kemanusiaan punca utama kemalangan kenderaan berat

Faktor kemanusiaan dikenal pasti sebagai punca utama berlakunya kemalangan yang membabitkan kenderaan berat seperti lori dan bas di lebuh raya, dengan kira-kira 82 hingga 86 peratus dalam tempoh dari tahun 2007 sehingga Ogos lalu.

Beliau berkata, "Berdasarkan rekod PLUS, sebanyak 7 peratus daripada jumlah kenderaan yang menggunakan rangkaian lebuh raya PLUS sejak tahun 2007 hingga Ogos lalu adalah terdiri daripada lori. Namun begitu, lori menyumbang 18.2 peratus daripada 52,585 kemalangan yang berlaku di lebuh raya PLUS dalam tempoh tersebut."

Menurut Noorizah, bas pula menyumbang kira-kira 1.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kenderaan yang menggunakan lebuh raya PLUS sejak tahun 2007 hingga Ogos lalu. Daripada jumlah keseluruhan kemalangan di lebuh raya PLUS dalam tempoh yang sama, bas menyumbang 2.2 peratus.

"Secara keseluruhannya, tabiat memandu dan sikap pemandu lori dan bas seperti memandu terlalu laju, mengantuk, letih dan tidak menyelenggara kenderaan dengan baik semata-mata untuk mengejar trip dan keuntungan adalah punca utama berlakunya kemalangan," tambahnya.

Menyedari kepentingan untuk memberi lebih kesedaran terhadap kepentingan menghormati had fizikal dan kemampuan pemandu serta kemampuan kenderaan yang dipandu, PLUS menganjurkan Seminar Keselamatan Hormati Had Anda atau Respect Your Limits untuk operator dan pemandu kenderaan berat sejak tahun 2008.

"Sehingga kini, kira-kira 4,000 pemandu serta operator kenderaan berat telah mengikuti seminar ini di seluruh negara. Seminar ini memberi pendedahan kepada kumpulan sasar tentang tip-tip pemanduan selamat, penyelenggaraan kenderaan, keselamatan jalan raya dan bantuan kecemasan," katanya lagi.

Seminar yang berlangsung selama sehari ini disampaikan oleh pakar-pakar kenderaan berat termasuk Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan PLUS sendiri. Ianya akan diperluaskan ke semua negeri di Semenanjung Malaysia sehingga penghujung tahun ini.

Gempak MUFORS sasar remaja bermotosikal

PLUS kini mensasarkan remaja bermotosikal sebagai ejen perubahan kepada isu keselamatan yang melibatkan kumpulan ini menerusi program Gerakan Motosikal Pencetus Amalan Keselamatan (Gempak MUFORS).

Sejak dimulakan pada penghujung tahun 2011, program ini telah dihadiri lebih 1,000 remaja bermotosikal yang berumur di antara 16 hingga 25 tahun.

Selain didedahkan dengan teknik bantuan kecemasan ketika berlaku kemalangan motosikal, peserta turut diberi peluang mempelajari beberapa aspek penting pemanduan motosikal seperti pengendalian, keseimbangan, kelajuan, teknik membrek dan sebagainya oleh pakar-pakar keselamatan jalan raya.

Menurut ketua komunikasi korporat PLUS, Mohd Nizam Ismail berkata, "GEMPAK MUFORS merupakan inisiatif PLUS menjadikan golongan remaja dan belia berumur dari 16 tahun hingga 25 tahun yang menunggang motosikal sebagai duta keselamatan jalan raya, seterusnya mengurangkan kadar kemalangan yang melibatkan kumpulan ini di lebuh raya. Justeru, PLUS akan terus memainkan peranannya sebagai ejen perubahan terhadap keselamatan jalan raya menerusi program-program sebegini untuk menjadikan jalan raya lebih selamat untuk semua."

Twitter Plustrafik sedia maklumat terkini trafik lebuh raya

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini di semua lebuh raya kendalian PLUS menerusi perkhidmatan Twitter di www.twitter.com/plustrafik.

Menurutnya, perkhidmatan Twitter PLUSTrafik merupakan salah satu daripada langkah PLUS untuk memaklumkan pengguna lebuh raya tentang keadaan trafik terkini di rangkaian lebuhraya Utara-Selatan, ELITE, NKVE, Lebuhraya Persekutuan Laluan 2, Linkedua, lebuh raya Seremban-Port Dickson, Jambatan Pulau Pinang dan lebuh raya Butterworth-Kulim.

Sejak disediakan pada Januari 2011, PLUSTrafik kini diikuti lebih 106,000 pengguna.

"Jumlah ini semakin meningkat setiap hari dan ini membuktikan perkhidmatan PLUSTrafik mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai," katanya.

"Menguruskan hampir 1,000 kilometer lebuh raya adalah tugas yang mencabar. Oleh itu, kami perlu mempelbagaikan saluran untuk memaklumkan orang ramai tentang keadaan trafik di lebuh raya kendalian kami. Selain mengikuti PLUSTrafik, maklumat trafik terkini turut dipaparkan di papan tanda elektronik yang disediakan di lokasi-lokasi strategik sepanjang lebuh raya. Orang ramai juga boleh menghubungi talian PLUSLine 1800 88 0000 yang beroperasi 24 jam setiap hari," tambah Nizam.

Selain daripada itu, orang ramai juga berpeluang mengikuti perkembangan terkini serta pelbagai promosi PLUS menerusi laman Twitter KembaraPLUS.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/20


Sejam keluar mayat tersepit

Posted: 19 Dec 2012 11:35 AM PST

KUALA LUMPUR: Anggota bomba dan penyelamat mengambil masa sejam untuk mengeluarkan mayat seorang pemandu van yang tersepit dalam kemalangan di Jalan Sungai Besi, awal pagi semalam.

Kejadian jam 5 pagi itu dipercayai berlaku selepas van Nissan Vanette yang dipandu Loh Hoi Keong, 37, hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh pembahagi jalan.


Jurucakap polis trafik berkata, Loh dari Flat Sri Sabah, Jalan Cheras maut di tempat kejadian akibat tersepit di tempat duduk.

Katanya, van berkenaan kemungkinan dipandu laju menyebabkan ia hilang kawalan ketika melalui satu selekoh di jalan berkenaan.


"Akibatnya, van itu terbabas dan merempuh pembahagi jalan sebelum melanggar sebatang pokok di tepi jalan," katanya.


Katanya, keadaan depan van yang remuk menyebabkan anggota polis gagal mengeluarkan mangsa meskipun cuba dibantu orang awam.

"Mayat mangsa dikeluarkan dengan bantuan bomba dan penyelamat yang tiba di lokasi 10 minit kemudian," katanya.


Beliau berkata, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Jalan Tun Razak ke Cheras.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/20


Kaji isu bina kondo dekat kuil

Posted: 19 Dec 2012 11:35 AM PST

SHAH ALAM: Orang ramai khususnya masyarakat India boleh menarik nafas lega apabila Kerajaan Selangor mengumumkan pelantikan ahli jawatankuasa bebas untuk mengkaji isu pembinaan kondominium 29 tingkat berhampiran kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, semalam.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, lima individu yang dilantik itu mempunyai pelbagai latar belakang pendidikan dan pekerjaan bagi membolehkan kajian mengenai pembangunan di Batu Caves dibuat secara bebas dan profesional.


Mereka ialah Orang Besar Daerah Klang, Datuk Abdul Ghani Pateh Akhir, Pakar Bedah Neuro, Dr M Nachiappan, bekas Pesuruhajaya Kehakiman, Datuk Ranita Hussien, pakar undang-undang pembinaan, Harbans Singh dan ahli geologi, Tan Boon Kong.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/20


Cari anak tapi tak jumpa

Posted: 19 Dec 2012 11:34 AM PST

SEBERANG JAYA: "Puas saya cari arwah di kawasan kemalangan termasuk hutan berhampiran lebuh raya, tetapi tidak jumpa," kata Said Ibnu Salam G M Ismail Maricar, 47, bapa Muhammad Aslam Maricar, 3.

Menurutnya, hanya Tuhan yang tahu bagaimana perasaannya apabila mendapati Muhammad Aslam tiada di tempat kejadian sejurus selepas kemalangan.


Said Ibnu Salam berkata, dia tidak menyedari anaknya itu sudah diseret kenderaan lain ketika tercampak keluar dari kereta dinaikinya sehingga dia menerima panggilan telefon daripada kenalannya yang meminta dia segera ke Hospital Seberang Jaya (HSJ), di sini, kerana anaknya sudah ditemui.

"Saya segera ke Hospital Seberang Jaya dan menyangka arwah selamat, namun setibanya di situ luluh hati saya melihat keadaannya dalam keadaan menyayat hati," katanya yang ditemui di HSJ, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/20


No comments:

Post a Comment