Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Komplot bunuh Bieber gagal

Posted: 13 Dec 2012 10:22 AM PST

LOS ANGELES: Satu rancangan sulit untuk menculik, memotong kemaluan dan membunuh penyanyi pop remaja, Justin Bieber, berjaya digagalkan polis.

Menurut laporan media semalam, rancangan itu sepatutnya dilaksanakan ketika Bieber, 18, mengadakan konsert di Madison Square Garden, New York, bulan lalu.


Sumber berkata, dua lelaki ditahan dan seorang daripadanya didapati memiliki sepasang gunting pemangkas di dalam kereta.

Kata sumber, suspek dikenali sebagai Mark Staake dan anak saudaranya, Tanner Ruane.


"Staake dan Ruane diupah untuk membunuh Bieber oleh seorang banduan, Dana Martin, yang kini menjalani hukuman penjara selama 978 tahun atas kesalahan merogol dan membunuh," katanya. Martin sebelum ini disabitkan kesalahan merogol dan membunuh seorang remaja perempuan berusia 15 tahun pada 2000.


Menurut sumber, Staake adalah rakan satu penjara Martin dan rancangan itu dibuat ketika mereka sama-sama ditahan di Las Cruces, New Mexico.

Selain Bieber, katanya, Staake turut dilatih untuk membunuh tiga individu lain.


Sumber lain berkata, Martin menawarkan imbuhan bernilai AS$2,500 (RM7,600) bagi setiap zakar mangsa yang diserahkan Staake dan Ruane kepadanya.

Katanya, Staake dan Ruane merancang menculik Bieber sebelum membunuh penyanyi itu menggunakan tali leher.


"Mereka juga akan memotong kemaluan Bieber," katanya. Sementara itu, polis berkata, Martin dipercayai terlalu taksub kepada Bieber, malah dia turut memiliki satu tatu yang sama seperti yang ada di kaki penyanyi Kanada berkenaan. Kata polis, Martin mengarahkan Staake melaksanakan "pembunuhan dan memotong kemaluan Bieber serta pengawal peribadi selebriti terbabit." Bagaimanapun, rancangan itu terdedah apabila Martin sendiri membocorkan maklumat mengenainya kepada polis, membolehkan pihak berkuasa kemudian menahan Staake di Vermont.


Ruane pula diberkas ketika dalam perjalanan ke New York. Kata polis, mereka mencuri dengar perbualan Ruane ketika dia menghubungi Martin.


Dalam perbualan itu, kata sumber, Ruane meminta maaf kerana banduan terbabit rancangan mereka belum dijalankan seperti sepatutnya.


Sementara itu, ibu Ruane, Kristin Cashman, menganggap kes itu "mengarut." - TS

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/14


Jacintha gantung diri dengan skaf dari almari pakaian, tinggal 3 nota

Posted: 13 Dec 2012 10:19 AM PST

LONDON: Seorang jururawat yang membunuh diri selepas diperdaya menjawab panggilan palsu dua hos radio Australia baru-baru ini ditemui tergantung dari almari pakaian di apartmennya, kata polis semalam.

Mayat Jacintha Saldanha ditemui 7 Disember lalu, hanya beberapa hari selepas dia diperdaya dua hos radio yang menyamar sebagai Ratu Elizabeth dan Putera Charles.


Hos radio itu, Mel Grieg dan Michael Christian, menyamar untuk mendapat maklumat mengenai rawatan Kate Middleton. Mereka menghubungi Hospital King Edward VII pada ham 5.50 pagi (waktu Britain).

Walaupun tidak meyakinkan, Jacintha menyambung panggilan itu kepada jururawat di wad Kate sebelum mereka dimaklumkan mengenai keadaan Duchess Of Cambridge itu.


Dalam keterangannya kepada koroner semalam, Cif Inspektor James Harman berkata, Jacintha menggantung dirinya menggunakan sehelai skaf. "Kecederaan turut dikesan pada pergelangan tangannya," katanya. Menurut Harman, polis menemui tiga nota ditinggalkan Jacintha di apartmen berkenaan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/14


Kembar derita penyakit tulang rapuh

Posted: 13 Dec 2012 10:19 AM PST

LONDON: Sepasang kembar bakal menghadapi masa depan yang kabur apabila disahkan menghidap Osteogenesis Imperfecta (OI) yang menyebabkan tulang mereka sangat rapuh.

Bayi dari Cambuslang, South Lanarkshire itu dikenali sebagai Amy dan Ava Cowan, baru berusia lima bulan.


Penghidap OI boleh berdepan masalah patah tulang berkali-kali dan mungkin mengalaminya ratusan kali sepanjang hidup. OI jarang dihidapi dan hanya dihidapi seorang daripada setiap 15,000 penduduk Britain. Sementara itu, ibu kembar terbabit, Charmaine, berkata Amy dan Ava sangat sukar dijaga.

"Tidak kira bagaimana ada berhati-hati, tulang mereka mungkin patah," katanya. Melalui X-ray pertama kembar itu yang dijalankan sejurus selepas dilahirkan, kata Charmaine, doktor mengesan 12 tulang patah dan bayi terbabit sangat sukar dialihkan. Kata Charmaine, keadaan itu memang menyedihkan kerana dia memang tidak tahan melihat anak-anaknya menanggung kesakitan.


Justeru, Charmaine, 29, dan suaminya, John, 30, terpaksa mengambil langkah tambahan setiap kali menguruskan Amy serta Ava. "Satu hari, saya memandikan Ava dan perlahan-lahan menggosok lengannya apabila ia tiba-tiba patah.


"Saya menjerit memberitahu suami dan kami membawa Ava ke hospital," katanya. Namun, masalah tidak berakhir di situ.

Hanya lima minit selepas kembali ke rumah, kaki Amy pula patah ketika dia bergerak-gerak di atas katilnya. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/14


Guru mengaku nabi ditahan

Posted: 13 Dec 2012 10:16 AM PST

KALIMANTAN: Polis di timur Kalimantan menahan seorang guru agama yang mengisytiharkan dirinya sebagai nabi dan memperdaya pengikutnya agar memberikan dia wang serta membenarkannya melakukan hubungan seks dengan isteri mereka.

Kira-kira 50 orang menjadi pengikut Bantil, 48, yang tinggal di sebuah desa di Kutai Timur.


Polis mendedahkan, pengikut Bantil diberitahu mereka perlu membayar zakat kepadanya untuk menyucikan diri daripada dosa.

Pengikut yang tidak mampu berbuat demikian diarah agar membenarkan dia meniduri isteri mereka sebagai kaedah lain penyucian.


"Kami menahan suspek selepas menerima laporan penduduk," kata Ketua Polis Kutai Timur, Adjutan Komisioner Kanan Budi Santoso kepada Jakarta Globe. "Setakat ini, hanya seorang pengikut dilaporkan diperdaya oleh penipu itu apabila menyerahkan 170 juta rupiah (RM53,949) untuk menyucikan dosanya. "Kami mengesyaki puluhan isteri pengikutnya tidur dengan suspek untuk disucikan. Kami masih melakukan siasatan lanjut mengenainya," katanya.


Bantil mengakui meniduri isteri pengikutnya untuk menyucikan dosa mereka sejak 2006. - JG

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/14


Indonesia digesa kemuka bantahan rasmi kepada Malaysia

Posted: 13 Dec 2012 10:15 AM PST

JAKARTA: Seorang ahli Parlimen menggesa kerajaan Indonesia agar mengemukakan bantahan rasmi kepada kerajaan Malaysia di Kuala Lumpur ekoran artikel dalam akhbar negara itu yang merujuk bekas Presiden BJ Habibie sebagai pembelot dan "anjing imperialisme".

Artikel yang ditulis oleh bekas Menteri Penerangan, Zainudin Maidin dan diterbitkan dalam akhbar Utusan Malaysia membandingkan ketua pemimpin pembangkang Malaysia, Anwar Ibrahim dengan Habibie. "Kita mesti membantah terhadap tulisan sedemikian kerana ia merendahkan imej Pak Habibie. Pemimpin kedua-dua negara patut saling menghormati antara satu sama lain," kata Teguh Juwarno daripada Partai Amanat Nasional (PAN) sebelum mesyuarat pleno Dewan Perwakilan semalam. - JP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/14


Pembangkang mahu pilihan raya kecil

Posted: 13 Dec 2012 10:14 AM PST

SINGAPURA: Parti pembangkang Singapura semalam menggesa Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengadakan pilihan raya kecil selepas Speaker Parlimen meletakkan jawatan secara tiba-tiba ekoran mempunyai hubungan sulit.

Gesaan itu dibuat kurang daripada 24 jam selepas Michael Palmer, 44, mengakui secara terbuka dan mengumumkan peletakan jawatannya daripada kerusi Parlimen dan sebagai anggota Parti Tindakan Rakyat (PAP). Mengakui "melakukan kesalahan serius" itu, bapa kepada seorang anak itu yang dilantik sebagai Speaker pada Oktober tahun lalu berkata, dia mengundurkan diri "untuk mengelak memalukan PAP dan Parlimen". Akhbar tempatan semalam memaparkan foto Laura Wong, 33, pekerja komuniti yang sudah berkahwin sebagai kekasih Palmer dalam skandal seks terbaru yang melanda republik itu.


Pembangkang segera menggesa Hsien Loong agar mengadakan pilihan raya kecil untuk mengisi kerusi Palmer di kawasan Punggol East.

"Kami menggesa Perdana Menteri agar mengadakan pilihan raya kecil segera bagi memastikan kawasan Punggol East diwakili secara demokrasi," kata Pengerusi Parti Rakyat Singapura, Lina Chiam dalam satu kenyataan. - ST

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/14


3 lagi nelayan hanyut selepas dilanda Taufan Bopha diselamat

Posted: 13 Dec 2012 10:14 AM PST

MANILA: Pesawat yang menjalankan operasi mencari, berjaya mengesan tiga nelayan Filipina yang hanyut di laut ketika pihak berkuasa meningkatkan gerakan mencari 261 mangsa yang hilang lebih seminggu selepas Taufan Bopha mengorbankan ratusan penduduk di selatan negara itu.

Indonesia turut menghantar kapal untuk menyertai operasi mencari nelayan terbabit yang mungkin dihanyutkan ke Laut Celebes dari Lautan Pasifik di selatan Pulau Miindanao, kata jurucakap tentera daerah, Kapten Severino David. Seramai 35 nelayan diselamatkan sejak tiga hari lalu, termasuk tiga yang ditemui Selasa lalu dalam sebuah bot kecil yang hanyut kira-kira 255 kilometer di timur wilayah Davao Oriental, kawasan Taufan Bopha melanda pada 4 Disember lalu.


Pesawat yang terbang pada altitud rendah berjaya mengesan mereka dan memberikan maklumat kepada kapal penyelamat.

Walaupun lemah dan dinyahhidrat, sesetengah daripada mereka masih mampu memberikan isyarat kepada pesawat menggunakan cermin.


"Ketika taufan melanda, mereka mungkin hilang arah dan kehabisan minyak," katanya. Lebih 300 nelayan berada kira-kira 220 kilometer diperairan di timur wilayah Davao Oriental sejak awal Oktober. Angin dibawa Taufan Bopha dengan kelajuan 210 kilometer sejam menyukarkan mereka untuk pulang ke pantai. - MT

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/14


Seludup ganja guna meriam

Posted: 13 Dec 2012 10:14 AM PST

PHOENIX: Penyeludup menggunakan meriam untuk menembak tin berisi ganja seberat 38 kilogram dari seberang sempadan Mexico dekat San Luis, Arizona, kata pegawai semalam.

Jurucakap Polis Peronda Sempadan Amerika Syarikat, Kyle Estes berkata, "Kami tidak pernah melihat cara begini. Kami pernah melihat mereka menggunakan lastik besar tetapi tidak seperti ini."

Estes menganggarkan ganja itu bernilai AS$42,500 (RM129,809).

Katanya, cubaan penyeludupan itu gagal apabila ejen Polis Peronda Sempadan AS menemui 33 tin ganja di kawasan kira-kira 150 meter dari pagar sempadan di bahagian AS yang belum sempat diambil oleh penyeludup, minggu lalu.


Anggota polis menyiasat kawasan seluas 320 kilometer di barat daya Phoenix dan menemui tangki karbon dioksida yang digunakan untuk menembak objek dari meriam, katanya.


Penyeludup semakin kreatif untuk cuba menyeludup barang haram masuk ke AS dan dalam masa yang sama pihak berkuasa AS meningkatkan usaha menghalang penyeludupan di sempadan.

Pihak berkuasa AS menambahkan lagi pagar, anggota peronda dan menggunakan teknologi baru termasuk menggunakan dron risikan untuk mengetatkan lagi keselamatan di sepanjang sempadan Arizona dengan Mexico sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Penyeludup dadah pula semakin kreatif untuk menyeludup dadah, termasuk melekatkan ganja pada pesawat kecil dan menembaknya melepasi pagar sempadan dengan menggunakan lastik cara lama.

Tiada tangkapan dibuat berhubung dengan cara terbaru ini. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/14


Dagangan haram hidupan liar bernilai RM58 bilion setahun

Posted: 13 Dec 2012 10:13 AM PST

BERLIN: Laporan yang dikeluarkan oleh Dana Hidupan Liar Dunia (WWF) berkata, perdagangan haram hidupan liar bernilai sekurang-kurangnya AS$19 bilion (RM58 bilion) setahun, menjadikannya perdagangan haram keempat terbesar di dunia selepas narkotik, pemalsuan dan pemerdagangan manusia.

Laporan yang dikeluarkan kelmarin menyatakan, penjenayah terancang melihat perdagangan haram hidupan liar sebagai memberi keuntungan tinggi dan berisiko rendah kerana kerajaan tidak memberi keutamaan tinggi dan tidak melaksanakan tindakan yang efektif.

Duta Jerman ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Peter Wittig berkata, permintaan tinggi untuk sumbu badak dan gading gajah menggalakkan pemburuan haram, iaitu satu jenayah terancang.

Ia juga menyebabkan banyak spesies haiwan terancam hampir pupus.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/14


Pelajar berang nama kolej ditukar nama Malala

Posted: 13 Dec 2012 10:13 AM PST

MINGORA: Pegawai kerajaan Pakistan berkata, beberapa ratus pelajar berhimpun dan membantahnama kolej mereka ditukar sempena nama aktivis pelajar sekolah perempuan yang ditembak oleh Taliban dengan alasan ia akan membawa risiko keselamatan.

Anggota kumpulan Taliban menembak dan mencederakan Malala Yousufzai, 15, Oktober lalu di Mingora, bandar utama di barat daya Lembah Swat kerana mengkritik kumpulan militan itu dan menyokong pendidikan untuk budak perempuan.

Pegawai Kanan di Swat, Kamran Rehman berkata, kira-kira 300 pelajar mengambil bahagian dalam bantahan di Kolej Sarjana Muda Kerajaan Malala di Mingora.

Katanya, mereka merosakkan papan tanda bertulis nama baru kolej itu, mengoyakkan gambar Malala, memboikot kelas dan memecahkan tingkap bas kolej.


Kamran berkata, dia menyiasat sama ada ada kumpulan bermotif politik yang bertanggungjawab. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/14


No comments:

Post a Comment