Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Generasi Google hilang kreativiti

Posted: 26 Dec 2012 08:09 AM PST

LONDON: Seorang daripada pereka cipta terkemuka Britain memberi amaran, "generasi Google" yang terlalu bergantung kepada Internet untuk sebarang maklumat berdepan kemungkinan mengalami "kematian otak."

Pencipta radio wind up (radio berkuasa manual), Trevor Baylis, berkata kanak-kanak semakin hilang daya kreativiti serta kemahiran praktikal kerana terlalu banyak menghabiskan masa di depan skrin komputer. Kata Baylis, 75, dia bimbang generasi pereka cipta akan datang akan hilang dan kebanyakan anak muda hari ini tidak mampu berusaha sendiri untuk melakukan sesuatu.


"Namun, kanak-kanak boleh mengembalikan kemahiran penting itu jika sekolah menggunakan mainan praktikal seperti Meccano," katanya.

Meccano adalah alat mainan menggunakan pelbagai jenis bahan terpakai, seperti kepingan keluli, skru dan nat.


Ia perlu digabungkan antara satu sama lain bagi membina pelbagai objek. Kata Baylis, kanak-kanak perlu diajar melakukan sesuatu dengan tangan, bukan bergantung kepada telefon bimbit atau komputer. "Memang mereka perlu menggunakan komputer dari semasa ke semasa, tetapi ada terlalu ramai yang menggunakan alat itu secara berlebihan.


"Mereka bergantung kepada carian Google dan ramai kanak-kanak akan menjadi seperti mati otak jika terlalu bergantung kepada Internet kerana mereka tidak mampu melakukan sendiri mengikut cara lama," katanya. Mengenang semula bagaimana dia menjadi pereka cipta, Baylis berkata, dia bermula seawal usia lima atau enam tahun.

Ketika perang, katanya, dia tidak bersekolah dan sering merayau di kawasan rumahnya di Southhall, Middlesex, untuk mengumpul bahan terbuang. "Satu hari, saya bertemu seorang wanita yang menghadiahkan sekotak besar barang.


"Dalam perjalanan pulang, rasa ingin tahu mendorong saya membuka kotak berkenaan di pertengahan jalan dan mendapati ia adalah satu set besar Meccano," katanya. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/26


Pelanggan Asda terlepas denda kerana kesalahan lucu

Posted: 26 Dec 2012 07:45 AM PST

LONDON: Gara-gara terlalu terdesak untuk membeli-belah, seorang pemandu tergamak meninggalkan keretanya di kawasan meletak troli pasar raya Asda.

Pemandu terbabit cuma dikenali sebagai Jim bersusah-payah memasukkan kereta Peugot 107 miliknya ke kawasan sempit itu selepas mendapati tiada lagi kawasan meletak kenderaan yang kosong. Tindakan Jim itu menarik perhatian orang ramai.


Walaupun sepatutnya didenda �75 (RM371), kakitangan Asda di Nuneaton, Warwickshire, memaafkan Jim selepas mendapati kesalahan itu sangat lucu. Jim berkata, dia ke pasar raya itu hanya untuk membeli minuman keras.

"Kenderaan terlalu banyak dan saya terfikir meletakkan kereta saya di tempat troli kerana ia memang kosong," katanya. Jim mengakui dia mengalami kesukaran untuk keluar dari keretanya.


"Ketika mahu pulang, ramai orang, termasuk pengurus pasar raya, mengerumuni kereta saya," katanya. - TS

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/26


65,000 aktivis prosenjata api mahu Morgan diusir

Posted: 26 Dec 2012 07:44 AM PST

NEW YORK: Lebih 65,000 orang penduduk Amerika Syarikat (AS) mendesak supaya wartawan dan hos televisyen, Piers Morgan, diusir dari negara itu kerana mengkritik pelobi prosenjata api dalam rancangannya.

Satu petisyen dalam laman sesawang Rumah Putih menuduh personaliti televisyen dari Britain itu memperlekeh "hak warga AS." Sebarang petisyen yang menarik sokongan lebih 25,000 orang di laman sesawang berkenaan dijamin mendapat reaksi daripada kerajaan AS.


Minggu lalu, Morgan mengkritik aktivis menyokong pemilikan senjata api yang menjadi tetamu rancangan dikendalikannya di stesen CNN.

Kritikan itu dibuat ekoran serangan maut ke atas Sekolah Rendah Sandy Hook di Newtown, Connecticut, 15 Disember lalu.


Dalam rancangan dikendalikannya, Morgan menggelar Ketua Eksekutif Persatuan Pemilik Senjata Api Amerika, Larry Pratt, sebagai "bodoh," "berbahaya" dan "lelaki memiliki ketololan luar biasa" selepas berhujah, lebih banyak senjata api diperlukan bagi mengatasi jenayah.


Dalam satu lagi debat mengenai isu kawalan senjata api, Morgan menempelak pakar ekonomi, John Lott, sebagai "penipu" apabila membincangkan pola jenayah senjata api di negara asing, termasuk Britain. - TS

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/26


29 polis mati ketika bertugas

Posted: 26 Dec 2012 07:43 AM PST

JAKARTA: Badan Pemerhati Polis Indonesia (IPW) mendakwa kurangnya profesionalisme dalam organisasi Polis Nasional menyumbang kepada kematian 29 pegawainya yang terbunuh ketika bertugas pada tahun ini.

IPW merekodkan bilangan pegawai polis yang terbunuh tahun ini lebih tinggi berbanding tahun lalu apabila 20 pegawai maut ketika bertugas.


Menurut data yang dikeluarkan IPW, serangan penjenjayah turut menyebabkan 14 pegawai polis cedera parah.

Insiden terbaru di mana pegawai polis terbunuh ialah Khamis minggu lalu ketika kejadian berbalas tembakan antara anggota Briged Bergerak (Brimob) dan kumpulan lelaki bersenjata di Kampung Kalora, Poso, Sulawesi Tengah. Insiden itu menyebabkan empat pegawai polis maut dan dua lagi cedera parah.


"Pada awal tahun ini, saya menjangka polis akan terus menjadi sasaran penjenayah dan pengganas kerana pasukan itu tidak mengubah kaedah latihan dan pendidikannya," kata Pengerusi IPW, Neta S Pane.


Data daripada IPW juga menunjukkan dua pegawai polis mati dibakar orang awam.

"Pegawai polis yang mati dibakar belum pernah berlaku. Ini turut menandakan kegagalan polis untuk memperbaiki perkhidmatan mereka," katanya. Neta merujuk kepada insiden di Kampung Lau Bakeri, Deli Serdang di utara Sumatera pada 26 Februari lalu apabila dua pegawai polis dibakar selepas diserang sekumpulan orang awam yang berang. - JP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/26


Dua pelancong Russia dirogol, rompak

Posted: 26 Dec 2012 07:42 AM PST

CHON BURI: Dua pelancong Russia mendakwa mereka dilarikan dengan sebuah kereta di Pattaya sebelum dirogol serta dirompak, kata polis.

Dua pelancong wanita Russia itu yang dikenali sebagai Maria dan Ananstasis membuat laporan mengenai kejadian itu di balai polis Pattaya kira-kira jam 5 pagi semalam.


Mangsa berkata, mereka sedang berjalan pulang ke hotel sebelum dipaksa masuk ke dalam trak pikap oleh seorang lelaki bersenjatakan pistol dan pisau, sementara dua lagi lelaki menunggu dalam kenderaan itu. Suspek memandu ke arah daerah Sattahip sebelum memberhentikan kenderaan di kawasan hutan tepi jalan. Mereka memaksa kedua-dua mangsa menanggalkan pakaian sebelum memperkosa mereka. Ketiga-tiga suspek kemudian melarikan diri dan meninggalkan mangsa di tepi jalan. Wang tunai bernilai 3,700 baht (RM369) dan telefon pintar milik mangsa turut dilarikan.

Mangsa kemudian meminta bantuan daripada penduduk kampung berhampiran hutan itu untuk ke balai polis. - BP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/26


Lelaki maut dibelasah kerana disangka penyebab kebakaran

Posted: 26 Dec 2012 07:42 AM PST

MANILA: Penduduk yang berang membelasah seorang lelaki hingga mati dan membaling batu ke arah anggota bomba selepas penempatan setinggan terbakar menyebabkan ribuan orang hilang tempat tinggal.

Satu lagi kejadian kebakaran pada Hari Krismas di ibu negara Filipina itu juga menyebabkan tujuh orang maut, kata pihak berkuasa semalam. Seorang penduduk dibelasah hingga mati oleh beberapa jirannya selepas dia menjerit mengatakan dia yang menyebabkan kebakaran di penempatan setinggan di pinggir bandar San Juan itu, kata pegawai kanan bomba, Domingo Cabog.


Lelaki itu dilaporkan mabuk dan tidak bertanggungjawab terhadap kebakaran itu. Cabog berkata, kebakaran bermula dalam sebuah kediaman di mana beberapa kanak-kanak bermain dengan api lilin..

Kira-kira 5,000 orang hliang tempat tinggal dan 13 cedera dalam insiden itu.


Mereka yang cedera termasuk anggota bomba dan seorang sukarelawan yang terkena batu dilontar penduduk yang tidak sabar dan cuba merampas hos bomba untuk menyelamatkan rumah mereka.


Ketika anggota bomba berhempas-pulas memasuki lorong sempit di kawasan itu, seorang daripada mereka dicederakan penduduk sebelum diselamatkan polis.

Dua kenderaan bomba turut rosak dalam keganasan itu. "Hari ini Krismas dan ramai penduduk di sini mabuk," kata Cabog sambil menambah sesetengah penduduk turut mengacukan pisau.


Sementara itu, di bandar raya Quezon, kebakaran sebelum waktu Subuh membunuh seorang doktor haiwan dan enam lagi anggota keluarganya yang terperangkap dalam kediaman mereka. - MT

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/26


Remaja tipu polis bimbang kekasih ditahan

Posted: 26 Dec 2012 07:42 AM PST

SONGKHLA: Seorang remaja menipu anggota polis mengenai kecederaan dialami bagi melindungi teman lelakinya daripada ditahan dan dipenjarakan kerana memukulnya berulang kali.

Polis semalam menerima laporan bahawa seorang pelajar diserang di depan sekolahnya di daerah Had Yai.


Polis mendapati remaja perempuan berusia 17 tahun itu mengalami kecederaan di muka sambil berdiri di sebelah teman lelakinya yang berusia 16 tahun di tempat kejadian.

Apabila disoal, mangsa memberitahu polis dia cedera kerana motosikal yang ditunggang teman lelakinya terjatuh. Bagaimanapun, beberapa pelajar yang menyaksikan kejadian itu memberitahu polis teman lelaki remaja terbabit yang memukulnya berulang kali. Mereka memberitahu remaja lelaki terbabit menampar muka mangsa beberapa kali, menarik rambutnya dan apabila dia terjatuh, remaja lelaki itu kemudian menendangnya berulang kali.


Pelajar berkenaan berkata, mereka tidak dapat menghalang remaja itu daripada menghentikan tindakannya lalu menghubungi polis.


Remaja perempuan terbabit akhirnya mengakui dia dipukul teman lelakinya itu. Dia berkata, dia menipu kerana tidak mahu teman lelakinya dipenjarakan.

Polis kemudian menghubungi ibu bapa remaja perempuan itu, tetapi mereka memutuskan untuk tidak mendakwa remaja lelaki terbabit. - BP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/26


Budak berkecai dituai mesin

Posted: 26 Dec 2012 07:41 AM PST

KANCHANABURI: Seorang remaja lelaki yang membantu menuai tebu terbunuh dalam nahas mengerikan membabitkan mesin penuai tumbuhan itu.

Polis menerima laporan mengenai kematian mangsa dikenali sebagai Watchara Chaisit, 14, tengah hari semalam.


Remaja terbabit bekerja di ladang tebu di tambon Takhram En, di daerah Tha Maka. Polis yang tiba di tempat kejadian terkejut mendapati beberapa bahagian tubuh manusia bertaburan di ladang berkenaan. Kepala mangsa yang terputus dan perutnya yang terburai ditemui dalam mesin penuaian tebu. Pemilik ladang itu, Arthit Thananuparbpan, 38, memberitahu polis, remaja berkenaan baru saja bekerja di situ. Pengendali mesin penuaian yang dikenali sebagai Kai melarikan diri selepas kejadian itu.

Tugas mangsa adalah mengutip tebu yang dipotong mesin penuaian itu sebelum memunggahnya ke dalam trak. Dia baru seminggu bekerja di ladang itu.


Rakan sekerja mangsa berkata, mereka berlima bekerja bersama-sama. Mereka tidak menyedari kemalangan itu hingga menemui bahagian tubuhnya dalam mesin penuai berkenaan. Mereka mengesyaki mangsa menyelinap ke dalam rimbunan pohon tebu untuk berehat dan dia mungkin terlelap sebelum dituai bersama batang tebu. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/26


Penjual sayur warga emas kritikal dibakar perompak remaja

Posted: 26 Dec 2012 07:41 AM PST

KHON KAEN : Seorang penjual sayur berusia 70 tahun dibakar perompak yang menceroboh masuk ke kedainya di daerah Muang malam semalam, kata polis.

Pemilik kedai itu, Pai Sri-Mahong dikejarkan ke hospital dengan kesan melecur teruk di muka dan tubuhnya.


Doktor memberitahu 80 peratus daripada tubuh mangsa melecur dan dia berada dalam keadaan kritikal. Menantu mangsa, Chantiwa Sri-Mahong memberitahu polis, dia mendengar jeritan lalu bergegas ke kedai ibu mentuanya dari tingkat dua bangunan rumah kedai itu. Dia kemudian mendapati ibu mentuanya terbaring di atas tanah dan tubuhnya terbakar. Menurut saksi, seorang remaja cuba mengambil wang di kaunter bayaran kedai dan bergaduh dengan mangsa yang memarahi remaja itu. Remaja terbabit kemudian menyimbah mangsa dengan petrol lalu membakarnya sebelum melarikan diri. - BP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/26


Kadar kematian akibat nahas jalan raya di Brunei menurun

Posted: 26 Dec 2012 07:41 AM PST

BANDAR SERI BEGAWAN: Korban kemalangan jalan raya menurun secara ketara tahun ini berbanding tahun lalu yang mencatat bilangan tertinggi dalam tempoh lima tahun.

Keadaan ini menunjukkan kempen kerajaan berkesan secara beransur-ansur. Dengan sistem markah dimerit djangka berkuatkuasa tahun depan, pihak berkuasa berharap kadar kemalangan semakin berkurangan. Sebanyak 28 kematian akibat nahas jalan raya direkod sejak awal tahun ini hingga 18 Disember lalu berbanding 47 tahun lalu yang tertinggi dalam tempoh 2008 hingga tahun ini. - BT

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/26


No comments:

Post a Comment