Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Serbegeth cadang Kim Swee

Posted: 16 Dec 2012 12:56 PM PST

BEKAS pemain kebangsaan dan pengkritik bola sepak, Serbegeth Singh berpendapat sudah tiba masanya tugas mengendalikan skuad Harimau Malaya diserahkan kepada Ong Kim Swee berikutan kegagalan ketua jurulatih, Datuk K Rajagobal mempertahankan kejuaraan Piala AFF 2012.

Menurut Serbegeth atau turut dikenali dengan panggilan Shebbie, pandangan disuarakan itu bukan hanya berasaskan kepada kegagalan di Piala AFF baru-baru ini, sebaliknya ia mengambil kira prestasi skuad negara yang merosot selepas bergelar juara rantau Asia Tenggara dua tahun lalu.


Bagi Penasihat Global kelab Liga Kejuaraan, Blackburn Rovers itu, skuad kebangsaan sepatutnya meningkat ke satu tahap yang lebih tinggi namun ia sebaliknya berlaku di bawah pimpinan Rajagobal.

"Selepas kita menjuarai Piala AFF, kita masih lagi dalam era eksperimen pemain, sepatutnya kita sudah melangkah ke satu tahap lagi, tapi sebaliknya kita seperti masih 'meraba-raba'.


"Kita melakukan eksperimen dengan mengharapkan kita boleh berada di kemuncak prestasi dua tahun kemudian. Untuk maju ke depan, kita harus memiliki jurulatih yang boleh meningkatkan prestasi pasukan yang kita miliki sekarang dan bukannya membentuk pasukan baru.


"Jangan fikir pandangan saya ini satu kritikan, sebaliknya ia satu persoalan yang harus kita bincangkan bersama, adakah Rajagobal mampu meneruskan tugas sebagai ketua jurulatih kebangsaan?" katanya yang dihubungi Arena Metro semalam.

Shebbie yang kini berada di London mengakui tidak boleh memberi ulasan terperinci mengenai permainan skuad kebangsaan dalam kejohanan AFF kali ini kerana hanya melihat sebahagian aksi menerusi YouTube.


Namun berdasarkan pemerhatiannya dalam tempoh dua tahun selepas Malaysia menjadi juara kali pertama Piala AFF, skuad kebangsaan berada dalam era kemerosotan selepas gagal melayakkan diri dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2014, kejatuhan ranking negara berikutan beberapa aksi buruk dalam aksi persahabatan antarabangsa yang dianggap tidak penting oleh Rajagobal.

Rajagobal, 56, dianggap jurulatih tempatan paling berjaya apabila membimbing skuad negara memenangi pingat emas Sukan Sea Laos 2009 serta Piala AFF 2010 di Jakarta dengan menewaskan Indonesia menerusi agregat 4-2.


Biarpun menyaksikan anak buahnya tersingkir di peringkat separuh akhir menerusi agregat 3-1 di tangan Thailand pada kejohanan Piala AFF Khamis lalu, Rajagobal masih mahu meneruskan misi utamanya iaitu kelayakan Piala Asia 2015 bermula Februari depan.


Manakala Kim Swee yang terkenal dengan kepakarannya menggilap pemain muda seperti Mohd Nazmi Faiz Mansor, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Gary Steven Robbart pula menggalas misi mempertahankan pingat emas Sukan Sea Myanmar tahun depan selepas kejayaan di Jakarta tahun lalu.


"Dua masalah timbul jika Rajagobal terus menjadi jurulatih iaitu adakah pemain percaya dengan kemampuannya serta tekanan daripada penyokong sendiri," jelas Shebbie.


Ketika ditanya kenapa jurulatih Harimau Muda A, Kim Swee yang menjadi pilihannya, bekas pemain pertahanan kebangsaan itu berkata: "Sudah tiba masanya untuk Kim Swee diberikan tanggung jawab lebih besar. Kita kena tahu, kejayaan bola sepak negara berasaskan kepada sistem pembangunan bola sepak di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).


"Kim Swee cukup arif dengan sistem ini kerana beliau membimbing Harimau Muda A yang memiliki ramai pemain yang bagus. Jika beliau diberi peluang, beliau boleh menggabungkan dua pemain dari dua generasi iaitu generasi pemain Rajagobal dan generasi pemain Harimau Muda A yang ada sekarang. Dengan dua generasi ini kita boleh memiliki satu pasukan yang mantap. Tapi masalahnya siapa yang boleh menggantikan tempat Kim Swee bersama Harimau Muda? Bagaimanapun, Shebbie mengingatkan agar sumbangan dan kepakaran yang dimiliki Rajagobal tidak boleh diketepikan begitu saja.


"Rajagobal banyak berjasa kerana sudah membawa kita ke satu tahap baru, mungkin beliau boleh dilantik menjadi penasihat teknikal untuk melihat keseluruhan sistem termasuk skuad belia. Kerana beliau juga pernah membimbing skuad belia sebelum ini," jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/17


Garcia gah

Posted: 16 Dec 2012 08:43 AM PST

HAYUNAN konsisten dengan membenam 11 birdie pada aksi terakhir Terbuka Iskandar Johor 2012 memastikan bintang golf Sepanyol, Sergio Garcia muncul juara buat pertama kali mengetepikan pencabar terdekat, Jonathan Moore dari Amerika Syarikat dengan kelebihan tiga pukulan pada saingan akhir di Kelab Golf Horizon Hills, semalam.

Garcia, yang berada di ranking ke-20, mencatat 65 pukulan 11 di bawah par berjaya mengumpul 198 pukulan keseluruhan 18 di bawah par tatkala pada hari kedua, prestasinya agak merudum apabila berada di tangga ketujuh sebelum bangkit mempamerkan aksi penuh bergaya untuk membawa pulang wang tunai AS$317,000 (RM968,435) dalam kejohanan yang menawarkan wang tunai keseluruhan AS$2 juta (RM6.2 juta).


"Sungguh menarik apabila menamatkan saingan musim 2012 dengan kejuaraan dan ia pasti beri lebih keyakinan kepada saya untuk memulakan saingan pada Master Qatar tahun depan. Apapun kejayaan ini cukup mencabar terutama permainan terganggu akibat hujan sepanjang tiga hari.

"Situasi ini jelas mengganggu konsentrasi namun saya berjaya mengekalkam momentum dengan mempamerkan aksi konsisten ketika berdepan fairway yang lecak namun apabila berada di green, pukulan ke lubang tidak beri masalah untuk mencatat sebelas birdie," kata Garcia.


Moore yang diletak sebagai pemain bukan pilihan melonjak dari tangga ke-28 ketika hari pertama dan kedua menamatkan saingan di tangga kedua dengan catatan 15 di bawah par 201 keseluruhan manakala Thongchai Jaidee, ketiga dengan 14 di bawah par 202 pukulan.


Saingan merebut Senarai Merit Jelajah Asia menyaksikan Thaworn Wirachant dari Thailand unggul selaku Pemain Terbaik Asia musim ini selepas pernah merangkul kejayaan pada 2005 apabila mencatat 11 di bawah par 201 pukulan keseluruhan mengetepikan pencabar terdekat, Marcus Fraser dari Australia. "Impian jadi kenyataan malah saya berusaha untuk beraksi dengan baik sepanjang saingan ini biarpun sering terganggu apabila hujan namun perlu mengekalkan momentum selepas Marcus mengatasi saya di hari kedua.

"Saya gembira kerana dapat beraksi tenang tanpa lakukan kesilapan untuk merangkul Senarai Merit buat kali kedua," kata Thaworn.


Dalam pada itu pemain golf amatur negara, Gavin Kyle Green muncul pemain terbaik negara biarpun berusia 18 tahun hingga mampu menamatkan saingan di tangga ke-19 selepas mencatat tujuh di bawah par 209 pukulan mengatasi pemain profesional negara, S Sivachandran, Danny Chia, R Nachimuthu dan Sukree Othman.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/17


Kelly pertahan gelaran kali ketiga

Posted: 16 Dec 2012 08:42 AM PST

PEMAIN golf kebangsaan Kelly Tan mempertahankan gelaran juara kategori remaja perempuan buat kali ketiga berturut-turut pada Kejohanan Golf Cabaran Tan Sri Muhyiddin 2012 (TSM 2012) di Glenmarie Golf and Country Club, semalam.

Pada pusingan terakhir, dia melakukan 67 pukulan, lima bawah par untuk mengumpul 201 pukulan, 15 di bawah par selepas tiga pusingan bermula Jumaat lalu.


Di sembilan lubang pertama, Kelly berjaya membenam satu birdie pada par-5 lubang ketiga dan seterusnya membenam eagle pada par-5 lubang keenam dan pada sembilan lubang berikutnya, dia melakukan pukulan birdie berturut-turut di lubang ke-11 dan 12.

Kejayaan itu membolehkan Kelly menerima biasiswa berjumlah RM30,000 dan trofi kejohanan daripada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, pengasas kejohanan itu.


Pemain berusia 19 tahun dari Johor itu juga berjaya melakar pukulan selubang pada pusingan kedua, kelmarin, sekali gus membawa pulang hadiah motosikal elektrik Modenas.


"Sebenarnya, bukan mudah untuk merangkul gelaran juara namun hasil latihan konsisten sebelum ini telah membantu mencipta kemenangan hari ini (semalam).

"Saya tidak menyangka dapat melakukan pukulan selubang itu. Kali terakhir saya pernah melakukan pukulan selubang ialah dua tahun lalu," kata Kelly.


Bagi kategori lelaki, Mohd Wafiyuddin Abd Manaf berpuas hati apabila mengungguli kejohanan itu buat julung kali.

"Saya amat bersyukur dengan pencapaian kali ini. Selepas empat tahun mencuba, ini adalah kejayaan terbaik saya. Tahun ini adalah yang terakhir saya sertai kejohanan ini. Saya akan memanfaatkan biasiswa yang diterima dengan sebaik-baiknya," kata pemain berusia 21 tahun dari Kedah itu. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/17


MM Bike Centre juarai Endurance Kapcai

Posted: 16 Dec 2012 08:41 AM PST

BERJAYA melakukan 99 pusingan dalam tempoh dua jam menyaksikan pasukan MM Bike Centre muncul juara kategori 100cc pada Kejohanan Endurance Kapcai Edisi Ke-5 di Litar Sukan Bermotor Antarabangsa Melaka (MIMC) Ayer Keroh, semalam. Pasukan itu turut mencatat masa terpantas 1:03.07s sepusingan mengatasi lapan pasukan lain.

Manakala pasukan B & J Motorsport menduduki tangga kedua dengan 88 pusingan dan 1:07s diikuti MBC-MMW Racing Team ketiga (63) dan 1:06s pada aksi sebelah pagi.


Sementara itu dalam saingan kelas 2 (120cc), Amat Ayam Amin Motor menamatkan saingan dengan 110 pusingan sekadar berada di tangga kedua dipintas Raden Motorsport dari Kampung Pulai, Melaka pula dengan 111 pusingan untuk muncul juara dan ketiga TNS Racing Team.

Dalam kategori kelas 3 (150cc), pasukan FRMC 2 muncul juara walaupun pertarungan terpaksa dihentikan ketika usia perlumbaan mencecah 1 jam 35 minit berikutan hujan lebat.


FRMC 2 yang menamatkan 80 pusingan diisytihar pemenang diikuti Seong Racing kedua dan AHM LMC Racing Team 1, ketiga.


Hadiah disampaikan Pengarah Cawangan Pembangunan Sukan Rekreasi KBS Abd Aziz Abd Rahman dan Penolong Pengarah Sukan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka, Zailani Siran.

Hadir sama Ketua Koordinator kejohanan Raja Zaini Raja Mohd dan Pengurus Projek Eizwar Supiar.


Kejohanan anjuran Kementerian Belia dan Sukan serta MAM itu menetapkan setiap pasukan dianggotai empat pelumba dengan perlumbaan selama dua jam untuk menamatkan saingan.

Tujuh pasukan dari setiap kelas layak ke perlumbaan akhir di Litar Antarabangsa Sepang pada 23 dan 24 Februari depan.


Pemenang setiap kelas di perlumbaan akhir akan bertanding secara percuma di Kejohanan SIC Ninja Cup 2013 dengan pemenang diberi tempat wildcard Moto 3 MotoGP Sepang 2014.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/17


Kedah iktiraf Mansor

Posted: 16 Dec 2012 08:40 AM PST

NAIB Presiden Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA), Datuk Mansor Ismail dinobatkan sebagai tokoh pemimpin sukan negeri Kedah sekali gus membawa pulang trofi dan wang tunai RM2,000 dalam Anugerah Sukan untuk Semua (Asus), malam kelmarin.

Pengiktirafan itu adalah atas sumbangan beliau dalam pelbagai bidang sukan antaranya sukan permotoran, pelayaran dan udara terutamanya di sekitar Langkawi.


Pemilihan berkenaan dibuat berdasarkan ketokohan, keupayaan memimpin dan mencapai tahap kualiti kepimpinan cemerlang mana-mana individu yang terbabit dalam sukan, rekreasi, kecergasan dan waja diri.

Mansor berkata, beliau tidak pernah mengimpikan pengiktirafan seperti itu kerana selama ini aktiviti sukan yang diceburinya adalah untuk pembangunan masyarakat terutama penduduk Langkawi.


Menurutnya, platform sukan mampu mengharumkan nama negara di pentas dunia selain sebagai satu medium untuk mempromosikan negara ke peringkat dunia dan secara tidak langsung menarik kehadiran pelancong asing.


Beliau berharap badan-badan korporat menyalurkan sumber kewangan dalam pembangunan sukan di negeri itu terutama Langkawi berikutan pulau peranginan itu mampu dijadikan pusat latihan pelayaran yang baik.

"Lokasi Langkawi serta kemudahan infrastruktur mampu melahirkan lebih ramai pelayar bertaraf dunia, namun ia harus dimulakan dengan pembinaan kemudahan sukan itu," katanya.


Majlis itu dirasmikan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir sekali gus menyampaikan hadiah kepada penggiat sukan negeri. Hadir sama, Pegawai Kemajuan Negeri Kedah, Datuk Azmi Lateh.

Pada majlis itu, Persatuan Karate Kedah berjaya menggondol anugerah persatuan sukan terbaik berikutan pencapaian cemerlang sepanjang tahun lalu sekali gus membawa pulang wang tunai RM2,000 berserta trofi.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/17


Milo terus komited lahir generasi sihat

Posted: 16 Dec 2012 08:40 AM PST

MILO cukup sinonim dengan aktiviti riadah membabitkan belia tanah air, buat kali kelima mereka sekali lagi terbabit memeriahkan Cabaran Bakat Futsal Hulu Bernam selaku penaja utama program anjuran Jawatankuasa Penganjur Hulu Bernam Selatan pada 29 Disember ini.

Kejohanan menawarkan hadiah wang tunai dan barangan keseluruhan dianggarkan bernilai lebih RM8,000. Juara membawa pulang RM2,000, trofi, pingat, barangan iringan manakala naib juara RM1,000 dan tempat ketiga serta keempat masing-masing RM400.


Yuran penyertaan RM150 sepasukan dan tarikh tutup penyertaan seminggu sebelum kejohanan. Sebagai galakan 20 pasukan yang mengesahkan penyertaan awal bakal menerima baju-T Milo percuma. Penganjur terpaksa mengehadkan jumlah penyertaan hanya 48 pasukan saja menyertainya dengan menggunakan pendekatan 'siapa cepat dia dapat'.

Pengurus Pemasaran Sukan Nestle, Ng Ping Loong berkata pihaknya yakin program itu akan mendapat sambutan hangat di kalangan belia berdasarkan rekod penganjuran sebelum ini.


"Berdasarkan sambutan program, saya yakin kejohanan edisi kelima ini pasti mendapatkan sambutan hebat memandangkan sukan futsal menjadi pilihan utama belia negara ini.


"Paling penting anak muda dapat pengalaman berharga dalam hidup mereka melalui program seperti ini," katanya. Pengarah Program, Abd Arif Abdullah berkata program itu juga bermotifkan semangat perpaduan agar dapat diperkasakan.

"Kami sentiasa berusaha menjadikan kejohanan bagi semua pasukan dan berterima kasih kepada Nestle serta Figos kerana menjadi penaja utama buat kali kelima berturut-turut," katanya. Borang penyertaan boleh dimuat turun melalui www.syoknyasukan.com atau menghubungi Abd Arif di talian 019-3414083, 019-6972567 dan 019-2208681.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/17


Peluang si cilik pamer bakat main bola

Posted: 16 Dec 2012 08:39 AM PST

KANAK-kanak bawah 12 tahun berpeluang mempamerkan bakat bola sepak masing-masing dengan menyertai Kejohanan Bola Sepak Perpaduan 7 Sebelah Bawah 12 Tahun bertemakan Samba Bola dijadual berlangsung pada 23 Disember ini bertempat di Kompleks Sukan Rakan Muda, Alor Gajah, Melaka.

Program anjuran Kelab Sukan SportsUnite dirasmikan oleh legenda bola sepak negara, Datuk Soh Chin Aun turut dihadiri Pengerusi Kelab SportsUnite, Datuk Dina Rizal dan mendapat kerjasama Milo, Figos dan Revive.


Menariknya penyertaan adalah percuma, terbuka kepada 24 pasukan dan mengikut prinsip 'siapa cepat dia dapat'.

Demi memperkasakan semangat perpaduan, setiap penyertaan mesti mempunyai sekurang-kurang dua pemain berlainan kaum sebagai syarat utama.


Menurut Chin Aun: "Saya gembira dengan inisiatif SportsUnite yang menekankan kepentingan perpaduan melalui sukan. Ini satu langkah baik demi memajukan sukan bola sepak negara. Saya menyokong penuh objektif penganjur dalam mempromosikan perpaduan melalui sukan." Maklumat lanjut boleh menghubungi Pengarah Teknikal, Melvin di talian 019 6662171 dan borang penyertaan boleh dimuat turun melalui facebook.com/sportsunite atau www.syoknyasukan.com.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/17


Amir tewaskan Molina

Posted: 16 Dec 2012 08:38 AM PST

LOS ANGELES: Peninju Britain, Amir Khan kembali melakar kemenangan selepas berdepan dua kekalahan berturut-turut sebelum ini, menamatkan pertarungan 10 pusingan menentang peninju Amerika yang belum pernah ditewaskan, Carlos Molina dalam kategori light-welterweight, semalam.

Amir (27-3, 19 KO) mendominasi setiap pusingan dan selepas memberitahu Molina beliau hampir menamatkan perlawanan itu selepas pusingan kesembilan, pengadil Jack Reiss menghentikan perlawanan pada pusingan ke-10 apabila menyaksikan perlawanan itu makin tidak seimbang.


Sebelum perlawanan, peninju dari Bolton itu merancang untuk menggunakan gaya yang lebih konservatif di bawah bimbingan jurulatih baru, Virgil Hunter selepas pendekatan yang terlalu agresif membawa kepada kekalahan mengejutkan di tangan peninju Amerika, Danny Garcia, Julai lalu.

Bagaimanapun perlawanan bermula seperti biasa buat pemenang pingat perak temasya Olimpik dan juga bekas juara dunia di Arena Memorial Sports apabila Amir mengatasi Molina (17-1-1, 7 KO) dengan kombinasi gayanya tersendiri.


Amir pada satu ketika menggunakan pendekatan cuba berlengah-lengah selepas melancarkan serangan hingga memberi ruang kepada Molina untuk menyerang balas namun peninju Britain itu berjaya mengelak daripada serangan dan kembali menguasai pertarungan.


Memasuki pusingan kelima, Amir, menyedari dia menguasai pertarungan itu, mula beraksi dengan lebih tenang dan menyerang dengan cara lebih efektif menerusi tumbukan pantas yang digunakan untuk memerangkap lawan sebelum melancarkan serangan lebih padu.

"Saya fikir saya terperangkap dalam rancangan permainan saya apabila terpaksa menyerang dengan tumbukan pantas," kata Amir. "Carlos mendapat peluang untuk melancarkan tumbukan dan kemudiannya saya fikir lebih baik saya mengikut apa yang sudah dirancang sebelum ini," katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/17


Lochte cipta rekod baru dunia

Posted: 16 Dec 2012 08:36 AM PST

ISTANBUL: Bintang Amerika, Ryan Lochte meneruskan aksi luar biasa pada kejohanan renang 'short course' dunia apabila mencipta rekod baru dunia, 50.71s dalam acara 100 meter individu rampaian separuh akhir.

Jumaat lalu, juara lima emas Olimpik itu memecahkan rekod 200m rampaian individu untuk merangkul emas keempatnya di kejohanan itu.


Dia sebelum ini memecahkan rekod dunia dalam acara kupu-kupu dan meneruskan penguasaannya pada tiga acara berikutnya. Perenang Australia, Kenneth To merekod catatan kedua terpantas dengan 51.47s dan George Bovell dari Trinidad dan Tobago, ketiga 51.66s.

"Saya turun dalam acara 200m kuak lentang akhir (sebelum 100m rampaian akhir) semalam, jadi saya tahu jika saya mahu mencipta rekod lagi, waktunya yang tepat adalah malam ini," kata Lochte yang mengatasi rekod dunia dicipta perenang Slovenia, Peter Mankoc pada 2009 sebelum ini dengan kelebihan 0.05s.


"Saya sedar masih ada ruang untuk memperbaiki catatan ini." Dalam acara 200m rampaian individu wanita, perenang China, Ye Shiwen mula melancarkan serangan pada baki 25m terakhir untuk merangkul emas dan menyentuh dinding penamat dengan catatan 2:04.64s yang juga rekod baru kejohanan. Ia adalah emas pertamanya di kejohanan itu selepas sebelum ini sekadar membawa pulang tiga perak. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/17


Sengat Klose

Posted: 16 Dec 2012 08:36 AM PST

ROME: Lazio merapatkan jurang lima dengan pendahulu Serie A, Juventus selepas Miroslav Klose menjaringkan gol kemenangan lewat permainan 1-0 ke atas pencabar kejuaraan Inter Milan, awal pagi semalam.

Jaringan kemenangan pemain antarabangsa Jerman pada minit ke-82 itu, gol ke-10 miliknya musim ini, melonjakkan Lazio ke tangga keempat dengan 33 mata, berkongsi mata bersama Napoli manakala pasukan di tangga kedua, Inter mensia-siakan peluang untuk merapatkan jurang satu mata dengan skuad juara bertahan kendalian Antonio Conte.


"Kami mempamerkan permainan baik dan berhak untuk mendahului sebelum Lazio menjaringkan gol, tapi itulah bola sepak," kata jurulatih Inter, Andrea Stramaccioni.

"Kami tidak bernasib baik dengan keputusan perlawanan ini. Klose pemain yang bagus dan dia menjaringkan gol menarik namun kami tidak sepatutnya kalah. Dengan permainan yang kami tunjukkan, kami berhak mendapat keputusan lebih baik." Dalam satu lagi perlawanan, Antonio Di Natale memastikan Udinese yang beraksi dengan 10 pemain meraih satu mata apabila meledak gol penyamaan pada minit ke-89 menentang Palermo yang menyebabkan kelab Sicily itu hanya memiliki kelebihan satu mata daripada zon penyingkiran.


Beraksi di Rome, pasukan tuan rumah lebih banyak bertahan dan Inter miliki peluang terbaik pada minit ke-63 apabila percubaan Freddy Guarin terkena tiang.


Permainan bertukar rancak selepas itu dengan sepakan Antonio Cassano berjaya diselamatkan penjaga gol Lazio, Federico Marchetti dan Yuto Nagatomo pula gagal menyempurnakan bola lantunan semula di depan gawang.

Inter sekali lagi mengasak dan kali ini sepakan lencong Rodrigo Palacio jauh tersasar.


Dengan baki 11 minit, Klose terlepas peluang terbaik apabila dia gagal mengawal bola dalam kotak penalti lantas melegakan penjaga gol Inter, Samir Handanovic.

Bagaimanapun dia menebus kehampaan itu apabila mendapat bola umpanan bijak Stefano Mauri dan menewaskan Handanovic menerusi rembatan deras. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/17


No comments:

Post a Comment