Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Bilik judi wanita

Posted: 15 Dec 2012 05:20 AM PST

KUALA LUMPUR: Bagi menarik tahi judi wanita, sebuah pusat judi Internet di Plaza Pudu, di sini, dikesan menyediakan bilik khas dilengkapi sofa merah jambu sesuai dengan warna kelembutan golongan berkenaan.

Bagaimanapun, taktik mereka terbongkar kelmarin hasil operasi Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Bukit Aman bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya di enam premis judi Internet di kawasan berkenaan bermula jam 9.30 malam.


Operasi diketuai Superintendan Amir Rasid Derani itu membawa kepada penahanan sembilan tahi judi wanita, seorang daripadanya berusia lewat 50-an.

Amir berkata, hasil risikan pihaknya, enam premis berkenaan diserbu secara serentak dan ratusan alat komputer judi dirampas bersama wang tunai berjumlah RM4,979.


Menurutnya, siasatan mendapati sebuah daripada premis itu menyediakan suasana kondusif dan bilik khas selesa untuk kaki judi wanita.


"Pemilik premis sanggup menghabiskan wang menyediakan ruang berjudi eksklusif, selain menyediakan ruang berasingan antara lelaki dan wanita mengikut kesesuaian mereka.

"Selain itu, makanan seperti nasi lemak dan minuman disediakan kepada pelanggan bagi memastikan mereka berjudi lebih lama di premis itu," katanya.


Beliau berkata, turut ditahan 10 penjaga premis dan puluhan tahi judi lelaki, manakala kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/15


AES rakam 274,000 imej pesalah

Posted: 15 Dec 2012 05:15 AM PST

KUALA LUMPUR: Kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) merakam 274,000 imej pesalah lalu lintas yang memandu melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat di 14 lokasi panas sehingga 10 Disember lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Ismail Ahmad berkata, jumlah itu termasuk imej yang disahkan JPJ, didakwa di mahkamah dan menjelaskan bayaran, selain yang masih dalam proses semakan serta pengesahan sebelum saman dikeluarkan.


Katanya, walaupun jumlah berkenaan tinggi, sejak ia mula beroperasi pada 23 September lalu, purata imej yang dirakam menunjukkan penurunan setiap hari.

"Berlaku penurunan jumlah imej yang dirakam antara 30 hingga 70 peratus mengikut lokasi tertentu.


"Oleh kerana jumlah imej dirakam makin menurun, secara logiknya AES berjaya mendidik pengguna mematuhi peraturan lalu lintas kerana bimbang kesalahan mereka dirakam," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya Pada Musim Perayaan 2012 kali ke-3 sempena Krismas anjuran Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM) di Plaza Tol Sungai Besi, di sini, semalam.

Hadir sama Presiden LPKPM, Datuk Seri Dr Saharuddin Awang Yahaya.


Menurut Ismail, sehingga kini lebih 10,000 pemandu menjelaskan saman AES, termasuk yang didakwa di mahkamah.

Sementara itu, dalam kempen berkenaan, LPKPM dengan kerjasama JPJ dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya mengedarkan 200 risalah dan kit keselamatan kepada pengguna sebagai usaha mendidik mereka mematuhi undang-undang jalan raya, selain memastikan keselamatan ketika memandu.


Lokasi kempen itu adalah yang terakhir. Sebelum ini ia diadakan di Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Jalan Duta.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/15


Kanak-kanak setahun maut jatuh sungai

Posted: 15 Dec 2012 05:14 AM PST

TAWAU: Gara-gara ditinggalkan bersendirian di bilik air, seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun maut selepas terjatuh ke dalam Sungai Tawau di Kampung Titingan, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 malam, Andi Masrudi yang dijaga abangnya berusia lapan tahun dipercayai terjatuh dan lemas kerana rumah yang mereka diami terletak berhampiran tebing sungai.


Menurut jiran, Mardiah Sabri, 41, ketika kejadian, dia baru pulang dari bandar dan terdengar jeritan beberapa jiran lain mengatakan seorang kanak-kanak terjatuh ke dalam sungai.

"Ibu bapa mangsa keluar bekerja dan meninggalkan dua anak lelaki dalam rumah berkenaan.


"Ketika kejadian, mangsa ditinggalkan bersendirian di bilik air dan abangnya mengambil tuala dalam rumah sebelum memandikan kanak-kanak itu," katanya ketika dihubungi, semalam.


Bagaimanapun, Mardiah berkata, sekembalinya daripada mengambil tuala, abangnya mendapati Andi tiada di bilik air.

"Kanak-kanak berkenaan mengesyaki mangsa keluar dari bilik air dan terjatuh ke dalam sungai kerana rumah mereka berhampiran sungai.


"Kerana terlalu panik, kanak-kanak terbabit memaklumkan jiran sebelum kejadian ini dilaporkan kepada pihak bomba dan penyelamat," katanya yang membuat laporan itu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Tawau, Rudy Fredzek berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 8.35 malam dan mengarahkan sepasukan anggota bersama sebuah jentera ke lokasi terbabit.


"Operasi mencari mangsa bermula kira-kira jam 8.40 malam, namun mayatnya ditemui orang ramai jam 11 malam," katanya ketika ditemui, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/15


Bayi perempuan dalam kotak sampah

Posted: 15 Dec 2012 05:13 AM PST

KAPAR: Misteri kotak yang disangka sampah dan diletakkan di hadapan pintu sebuah rumah kebajikan di Batu 3, Taman Mewah, di sini, membawa kepada penemuan seorang bayi perempuan yang masih hidup dan cukup sifat.

Individu tidak bertanggungjawab itu turut meletakkan susu, ubat, pakaian serta sekeping nota dalam bahasa Cina yang diletakkan di dalam kotak itu.


Menurut sumber, wanita yang juga pekerja rumah kebajikan berkenaan menemui kotak itu kira-kira jam 4 pagi sewaktu tiba di rumah berkenaan untuk memulakan tugas.

Kata sumber, melihat kotak diletakkan di hadapan pintu rumah, dia cuba untuk mengalihkan tetapi hairan apabila menyedari kotak berkenaan berat.


"Hairan dengan kandungan kotak berkenaan, wanita terbabit kemudian membuka kotak itu dan terkejut sejurus menemui seorang bayi perempuan yang masih hidup di dalam kotak berkenaan.


"Bimbang keadaan sekitar yang sejuk, wanita terbabit segera membawa bayi malang itu masuk ke dalam rumah sebelum membuat laporan di Balai Polis Bukit Raja," katanya.

Sumber berkata, sebaik menerima laporan daripada wanita terbabit, polis segera ke rumah kebajikan berkenaan dan memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah itu.


Menurutnya, berdasarkan rakaman CCTV, polis mendapati kotak berkenaan diletakkan seorang wanita di hadapan rumah kebajikan sebelum meninggalkan kawasan itu.

"Bagaimanapun polis sukar mengecam wajah wanita yang meletakkan kotak berkenaan memandangkan gambar pada CCTV itu tidak jelas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/15


70,000 pemandu teksi dapat bantuan TR1MA

Posted: 15 Dec 2012 05:12 AM PST

SHAH ALAM: Kira-kira 70,000 pemandu teksi dan kereta sewa di seluruh negara sekali lagi akan menerima bantuan tayar Teksi Rakyat 1 Malaysia (TR1MA), dijangka sekitar Jun tahun depan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, Kerajaan Pusat setuju melaksanakan pemberian TR1MA pusingan kedua itu selepas mendapat reaksi positif pemandu teksi yang memerlukan bantuan itu bagi meringankan beban kos penyelenggaraan teksi.


"Hal ini dimaklumkan dalam Dewan Negara supaya TR1MA diteruskan dan Perdana Menteri setuju dengan cadangan untuk beri kali kedua.

"Ini juga bukti nasib pemandu teksi banyak terbela dan ramai mendapat subsidi sejak kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib (Razak).


"Kalau kita hendak bagi tayar percuma sekarang, memang tidak boleh sebab tayar yang Kerajaan Pusat berikan sebelum ini tentu masih elok. Kalau tayar ini digunakan setiap hari pun, sekurang-kurangnya setahun baru ia rosak atau botak.


"Selain itu, kita beri insurans kepada pemandu teksi bagi menjamin nasib keluarga jika berlaku kemalangan atau kecacatan kekal kepada pemandu teksi," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama Persatuan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Bandaraya Shah Alam (PTKSSA), di sini, semalam.

Jun lalu, pemandu teksi mendapat manfaat menerusi pemberian subsidi tayar sebanyak RM520 membabitkan kos RM35 juta, sekali gus mengurangkan beban pemandu teksi di seluruh negara.


Najib turut mengumumkan Skim Insurans Perlindungan Kemalangan Diri kepada pemandu teksi, menerusi dana lebih RM1 juta.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/15


10 premis ‘kebal’

Posted: 15 Dec 2012 05:12 AM PST

PETALING JAYA: Lebih 10 premis yang dikesan menjalankan aktiviti perjudian Internet dan pelacuran di Pusat Perniagaan Mentari, Bandar Sunway, di sini, dipercayai 'dipayung' pihak tertentu berikutan masih kebal undang-undang walaupun berpuluh kali diserbu polis sejak Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, sebanyak 67 serbuan dilakukan Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya membabitkan premis perjudian terbabit, manakala 144 terhadap pusat pelacuran di kawasan sama sehingga semalam.


Menurutnya, disebabkan premis sama masih tidak serik dan meneruskan operasi walaupun diserbu berulang-kali, pihaknya membuat permohonan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memotong bekalan elektrik, namun usaha itu dipandang sepi.

"Kita minta kerjasama TNB memotong bekalan elektrik di 239 premis yang menjalankan aktiviti tidak bermoral itu di daerah ini, termasuk 10 di Pusat Perniagaan Mentari.


"Namun, masih tiada pemotongan dilakukan setakat ini, menyebabkan premis terbabit rancak meneruskan kegiatan terbabit seolah-olah tidak takut dengan undang-undang," katanya pada sidang media di sini, semalam.


Arjunaidi berkata, pihaknya turut meminta kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) membatalkan lesen pengusaha premis yang melanggar syarat perniagaan.

"Bagaimanapun, kita dapati lesen perniagaan pengusaha premis terbabit yang dibatalkan selepas diserbu akan membuat permohonan baru atas nama orang lain dan membuka semula perniagaan mereka.


"Malah, pemilik premis yang diserbu juga sukar dikenakan tindakan berikutan tidak mempunyai lesen serta menjalankan kegiatan secara haram," katanya.

Beliau berkata, pihaknya mempertingkatkan pemantauan dan operasi penguatkuasaan secara komprehensif dalam membanteras aktiviti perjudian Internet dan pelacuran yang semakin menular di seluruh daerah ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/15


Najib hadir majlis kahwin

Posted: 15 Dec 2012 05:12 AM PST

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak semalam hadir ke majlis perkahwinan anak perempuan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di Kompleks Sukan Bukit Kiara, di sini.

Ketibaan Perdana Menteri berpakaian baju Melayu hijau muda, yang ditemani anak perempuannya Nooryana Najwa, disambut oleh Ahmad Shabery.


Beliau yang meluangkan masa sejam beramah mesra dengan tetamu, turut bergambar kenangan bersama pasangan mempelai Nurkhalida Ahmad Shabery dan pasangannya, Qaiyum Hasnul. Kedua-dua mereka berusia 25 tahun.

Seramai 4,000 jemputan menghadiri majlis perkahwinan itu, yang turut dihadiri bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, menteri dan timbalan Kabinet dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Zolkples Embong.


Nurkhalida adalah anak sulung daripada dua beradik dan bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Segambut, manakala suaminya yang juga anak kedua daripada lima beradik bekerja sebagai penyelia di sebuah pasar raya.


Pasangan pengantin yang berpakaian sedondon songket kuning lembut itu, dinikahkan oleh Ahmad Shabery di Masjid As-Shafie Taman Maluri, semalam. — Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/15


Suspek pengebom di Filipina disahkan rakyat Malaysia

Posted: 15 Dec 2012 05:11 AM PST

KUALA LUMPUR: Lelaki yang ditembak mati di Davao, Filipina, oleh polis negara itu apabila dikatakan dalam percubaan meletupkan bom buatan sendiri di bandar berkenaan malam kelmarin, disahkan rakyat Malaysia berasal dari Kedah.

Latar belakang lelaki berusia 26 tahun itu diperoleh berdasarkan maklumat pada pasportnya yang ditemui polis Filipina.


Pengarah Pasukan Petugas Khas (Operasi/ Anti Pengganas) Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya menerima maklumat awal dan perkara itu masih dalam siasatan.

"Menurut pihak berkuasa Filipina, Mohd Noor Fikrie Abd Kahar adalah rakyat Malaysia. Dia ditembak mati malam kelmarin kerana membawa bom dan bertujuan meletupkannya di bandar itu.


"Kami juga difahamkan, dia menganggotai kumpulan militan Jemaah Islamiah (JI) dan berada di sana selama beberapa bulan.


"Buat masa ini, hanya seorang rakyat kita ditembak mati kerana menganggotai kumpulan militan terbabit," katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut Fuzi, pihaknya akan cuba memastikan identiti lelaki itu dan mengumpul maklumat terperinci sebelum sebarang tindakan diambil.


"Jika benar dia rakyat Malaysia, kita akan usahakan supaya mayatnya dibawa pulang ke negara ini. Bagaimanapun, ia bukan proses mudah.

"Buat masa ini, kita akan menjalankan siasatan dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Filipina sehingga identitinya dapat dikenal pasti," katanya.


Mohd Noor Fikrie dikatakan menginap di sebuah hotel di Davaobersama isterinya yang juga warga negara itu.


Bagaimanapun, ketika dalam proses mendaftar keluar, dia melarikan diri apabila didekati polis dan mengancam ingin meletupkan bom yang dibawa menerusi telefon bimbitnya.


Hasil siasatan, polis Filipina menemui bom buatan sendiri diperbuat daripada mortar 60mm dalam beg sandang isterinya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/15


Datuk K stabil

Posted: 15 Dec 2012 05:11 AM PST

KUALA LUMPUR: "Datuk K makin stabil dan akan menjalani rawatan lanjut di sini (New Zealand) buat sementara waktu. Keadaannya tidak membimbangkan," itu antara khidmat pesanan ringkas (SMS) kiriman Datin Zaitun Mohamad Jiwa ketika dihubungi Metro Ahad, semalam.

Zaitun, pemilik syarikat produksi Global Station Sdn Bhd yang juga kakak Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa (Datuk K) berkata, dia tidak dapat menjawab panggilan telefon berikutan suasana dalam wad tidak membenarkannya berbuat demikian.

Datuk K yang juga suami Datuk Siti Nurhaliza Tarudin cedera apabila motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya terbabit dalam kemalangan jalan raya di Queensland, New Zealand, Khamis lalu.

Zaitun bersama Siti kemudian bergegas ke New Zealand untuk menziarahi Datuk K. Cubaan untuk mendapat ulasan daripada Siti tidak berjaya.


Sementara itu, kakak ipar dan juga pengurus Siti, Rozi Abdul Razak menyatakan, Siti menghubunginya menerusi laman twitter dan memberitahu sudah bertemu suaminya di hospital.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/15


‘Tak ketepi adat Melayu’

Posted: 15 Dec 2012 05:10 AM PST

KUANTAN: Bergelar doktor bukan alasan untuk Dr Mohamad Razali Kamid, 43, mengetepikan adat budaya Melayu dan bersandarkan kepada itu, dia mengambil keputusan mengadakan majlis berendoi dan cukur jambul untuk anak ketiganya, Puteri Lavina Chenta yang berlangsung di Hotel Vistana, di sini, semalam.

Mohamad Razali mempunyai alasan sendiri untuk mengadakan majlis itu secara besar-besaran kerana sekian lama menanti, impian untuk mempunyai anak perempuan berakhir dengan kehadiran Puteri Lavina Chenta, dua bulan lalu.


"Majlis ini diadakan untuk berkongsi kegembiraan atas kelahiran anak ketiga saya dengan sanak saudara kami daripada sebelah saya dan isteri.

"Dalam masa sama, kami mahu meneruskan tradisi ini yang sejak kebelakangan ini jarang diamalkan masyarakat Melayu, terutama yang tinggal di bandar," katanya.


Majlis itu dijalankan mengikut upacara tradisional yang sebenar dan dimulakan dengan nyanyian marhaban serta qasidah sebelum rambut anaknya dipotong.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/15


No comments:

Post a Comment