Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Wanita Arab-Israel meninggal dunia pada usia 124 tahun

Posted: 23 Dec 2012 07:40 AM PST

TEL AVIV: Seorang wanita Arab warga Israel dilaporkan meninggal dunia pada usia 124 tahun.

Sekiranya disahkan, ia bermakna wanita itu dalah wanita paling lama hidup, lapor media Israel.

Mariam Amash dari Kampung Arab di Jisr al-Zarqa, kira-kira 400 kilometer dari utara Tel Aviv, meninggalkan 10 anak dan kira-kira 300 cucu dan cicit, menurut ynet, versi internet akhbar terlaris Israel, Yedioth Ahronot.

Kad pengenalan Israelnya menunjukkan dia dilahirkan pada 1888.


Buat masa ini, orang tertua yang pernah disahkan dan didokumenkan ialah Jeanne Calment dari Perancis (1875-1997) yang meninggal dunia ketika berusia 122 tahun.


Beberapa bulan lalu, Mariam memberitahu ynet bahawa dia memang berusia 124 tahun dan dia masih ingat tahun dia dilahirkan tetapi tidak tarikh tepatnya.

Maka, kerani yang mengeluarkan kad pengenalannya berpuluh-puluh tahun lalu meletakkan 00.00.1888 sebagai tarikh dia dilahirkan dalam dokumen pengenalan itu.

"Jadi, keluarga saya akan mengadakan majlis keraian dan memberi hadiah pada setiap akhir tahun," katanya.

Berita mengenai Mariam ini diketahui selang seminggu selepas Buku Rekod Guinness mengesahkan Jiroemon Kumura, lelaki berusia 115 tahun dari Jepun sebagai lelaki tertua hidup di dunia selepas wanita dari Amerika Syarikat, meninggal dunia pada usia 115 tahun. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/23


Mangsa simbah asid jadi ‘jutawan’

Posted: 23 Dec 2012 07:37 AM PST

NEW DELHI: Mangsa yang selamat daripada serangan asid ketika masih remaja, memenangi tempat pertama, sekali gus menjadi jutawan, dalam rancangan kuiz televisyen paling popular di India.

Sonali Mukherjee, melecur teruk di muka disebabkan serangan itu yang berlaku ketika dia berusia 17 tahun dan keluarganya menggunakan semua wang mereka untuk rawatannya.

Namun wanita berusia 27 tahun dari New Delhi ini mungkin akan dapat membayar kos rawatan pembedahan plastik apabila memenangi kuiz Who Wants to be a Milionaire versi India.

Sonali yang diserang oleh lelaki yang meminatinya, memenangi Rs25 lakhs (RM148,444), tampil di rancangan itu bersama aktres Bollywood dan bekas Ratu Dunia, Lara Dutta.


Hos rancangan itu, Amitabh Bachchan memuji Sonali kerana berani tampil di rancangan itu.


Katanya: "Haknya untuk keadilan dinafikan, malah dia merayu supaya nyawanya diambil. Itu juga dinafikan kerana eutanasia diharamkkan di negara ini.

"Dia membuat keputusan untuk tidak berdiam diri dan menderita sendirian.

"Kisahnya adalah kisah keberanian yang tinggi. Negara ini memuji dia dan begitu juga kami.

Sonali yang telah melalui pembedahan sebanyak 22 kali sejak serangan pada 2003 berkata, kemenangannya itu bertepatan untuk rawatan yang akan dilaluinya selepas ini.

Dia adalah pelajar cemerlang di Dhanbad, di wilayah Jharkhad ketika diserang dengan bahan kimia dikenali sebagai Tezaab, yang biasanya digunakan untuk membersihkan peralatan berkarat.

Penyerangnya memecah masuk rumahnya dan menyimbah asid ke mukanya ketika dia tidur.

Sonali kini separuh buta dan pekak disebabkan kecederaannya.

Sejak serangan itu, dia tidak langsung menerima dana untuk rawatan dan awal tahun ini dia menulis surat kepada kerajaan India, mengugut untuk membunuh diri sekiranya tidak mendapat bantuan kerajaan.

Penyerangnya kini diikat jamin selepas dipenjara hanya empat bulan dan mereka tidak didakwa dengan betul atas jenayah yang dilakukan. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/23


Hadiah Krismas Suri Cruise RM74,000

Posted: 23 Dec 2012 07:36 AM PST

HOLLYWOOD: Sebagai anak perempuan kepada dua bintang terbesar dunia, Suri Cruise boleh dapat apa saja.

Jadi ketika memilih hadiah untuk anak perempuannya yang berusia enam tahun itu, Katie Holmes nampaknya langsung tidak teragak-agak.

Katie dilaporkan membeli rumah mainan Victoria berharga 15,000 pound (RM74,188) yang dikatakan akan diletakkan di laman rumah mereka.

Rumah mainan Grand Victoria mewah dari laman web Sweet Retreat Kids itu lengkap dengan bekalan air dan bekalan elektrik.


Pilihan tambahan lain termasuk, 'lampu terbenam, loteng untuk bermain, bilik cahaya, bilik media, dapur, ruang makan, interkom bersambung dengan rumah, garaj untuk menyimpan kereta mainan, pagar kayu putih dan lanskap.'


Laman web itu menambah, memandangkan ketinggiannya kira-kira dua meter, orang dewasa juga boleh bermain di dalamnya.

Dan sudah tentu, rumah mainan itu bukan satu-satunya hadiah yang diterima daripada ibunya, bintang Dawson Creek, untuk Krismas ini.

Menurut The Sun, Suri juga akan menerima hadiah iPad dan kereta Mercedes Benz versi kanak-kanak berharga 6,000 pound (RM29,675).

Seorang yang suka berfesyen, Suri juga akan menerima antaranya, baju baru seperti kot berbulu Chloe dan gaun Ralph Lauren.

Tapi, nampaknya Katie terpaksa menunggu untuk memberi hadiah itu buat sementara waktu kerana bapa Suri, Tom Cruise baru-baru ini mendedahkan dia akan bersama Suri meraikan hari Krismas.

Selain Suri, kakaknya Isabella dan abangnya Connor akan bersama di kediaman aktor itu di Los Angeles. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/23


2 kali cuba bunuh diri

Posted: 23 Dec 2012 07:34 AM PST

LONDON: Jururawat yang membunuh diri selepas menjawab panggilan palsu mengenai isteri Putera William, Kate Middleton, pernah cuba membunuh diri dua kali musim sejuk lalu.

Jacintha Saldanha yang menggantung dirinya selepas menerima panggilan palsu daripada dua pengacara radio Australia yang menyamar sebagai Ratu Elizabeth dan Putera Charles, cuba membunuh diri Disember lalu dengan mengambil beberapa pil secara berlebihan ketika mengunjungi keluarganya di India.


Dia berjaya diselamatkan selepas dikejarkan ke hospital tetapi mengulangi cubaannya sembilan hari kemudian dengan cuba terjun dari sebuah bangunan.

Jacintha, 46, menghabiskan masa beberapa hari di unit rawatan rapi sebelum menerima rawatan psikiatrik dan dinasihat memakan ubat penenang.


Sebuah akhbar India yang mendedahkan mengenai cubaan membunuh diri itu juga melaporkan, keluarga Jacintha berkata, jururawat itu terlalu malu selepas menerima panggilan palsu itu. Dia bagaimanapun tidak menceritakannya kepada suami atau anaknya sebelum kematiannya walaupun berbual dengan mereka menerusi telefon beberapa kali.


Menurut keluarganya di Mangalore, selatan India, Jacintha hanya memberitahu suaminya, Ben Barboza bahawa dia menjadi tumpuan berita beberapa hari sebelum bertindak membunuh diri.

Mayatnya ditemui tergantung di kuartersnya di Hospital King Edward VII pada 7 Disember lalu. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/23


Tarikh baru kiamat pada 1.1.2017?

Posted: 23 Dec 2012 07:33 AM PST

LONDON: Selepas kiamat tidak berlaku pada Jumaat lalu, muncul pula sekumpulan pengikut ajaran sesasat yang mendakwa, ia akan berlaku empat tahun lagi.

Tarikh baru kiamat, menurut kumpulan The Sword of God Brotherhood ialah pada 1 Januari 2017.


Kumpulan itu mendakwa 'Nabi Gabriel' memberitahu mereka bahawa kiamat akan berlaku pada tarikh berkenaan dan hanya anggota kumpulan itu saja akan terselamat sementara yang lain akan musnah dalam 'neraka.' Kenyataan itu dibuat selepas ribuan orang terpedaya dengan kepercayaan kononnya dunia akan musnah Jumaat lalu, seiring dengan hari terakhir dalam kalendar kuno kaum Maya. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/23


Abu Bakar tak arah serang

Posted: 23 Dec 2012 07:32 AM PST

JAKARTA: Jurucakap Jemaah Anshorut Tauhid (JAT), Son Hadi berkata, ulama, Abu Bakar Basyir tidak pernah membenarkan pengeboman dan serangan gereja pada malam perayaan hari Krismas.

"Abu Bakar tidak akan mengizinkan tindakan seperti itu," katanya, ketika dihubungi semalam.

Son juga menafikan khabar angin yang mengatakan pengikutnya pergi berjumpa Abu Bakar untuk meminta izin melakukan serangan pada malam perayaan Krismas hari ini.

Katanya, kebelakangan ini, mereka yang melawat Abu Bakar di penjara, dipantau dengan ketat.


"Kami memantau sesiapa saja yang mengunjungi Abu Bakar, malah kami juga tahu setiap perbualan mereka," katanya.


Jemaah Anshorat mengehadkan pelawat Abu Bakar dan jarang orang luar dari JAT dibenarkan menemui ulama itu.

Son berkata, JAT tidak akan melakukan aktiviti kawalan seperti yang dilakukan oleh kumpulan lain.

Katanya, mereka tidak akan ikut mengawal gereja ketika penganutnya melakukan ibadah.

"Kami tidak terlibat dalam apa bentuk aktiviti keselamatan pun," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/23


Penduduk Bangkok akan belanjar besar

Posted: 23 Dec 2012 07:31 AM PST

BANGKOK: Jumlah perbelanjaan warga kota Bangkok menjelang Tahun Baru dikatakan kira-kira 21.3 bilion baht (RM2.13 bilion), naik 12 peratus berbanding tahun lalu.

Jumlah itu adalah berdasarkan kajian Pusat Kaji Selidik Kasikorn yang dilakukan pada 1 hingga 10 Disember lalu dengan membabitkan 544 responden berusia antara 15 dan 55 tahun, lapor akhbar The Nation, semalam.


Hasil kajian itu mendapati perbelanjaan makanan dan minuman akan mencecah 6 bilion baht (RM600 juta) atau 28.2 peratus, 4.5 bilion baht untuk membeli hadiah kepada ibu bapa dan anggota keluarga lain, 3.9 bilion baht untuk hadiah dan cendera hati dan 2.8 bilion baht untuk hadiah kecemerlangan. - The Nation

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/23


SBY didakwa gagal tangani diskriminasi, kekerasan

Posted: 23 Dec 2012 07:31 AM PST

JAKARTA: Jaringan Kaji Selidik Indonesia menyatakan, kes diskriminasi dan kekerasan di bawah pemerintahan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono meningkat berbanding tahun sebelumnya.

Pengarah Yayasan Deni, JA Novriantoni Kahar ketika membentangkan hasil kaji selidiknya di Jakarta semalam berkata: "Presiden masih mengabaikan kepentingan memberi rasa aman dan keadilan kepada rakyat."

Katanya, ketika di bawah pemerintahan Susilo, sejak 2004 hingga 2012, berlaku 1,483 kes kekejaman dengan purata 210 kes setahun.

Ketika di bawah pemerintahan BJ Habibie, Abdurrahman Wahid dan Megawati Soekarnoputri, iaitu 1998 hingga 2004, berlaku 915 kes dengan purata 150 kes setiap tahun.


Katanya, data kekejaman dan diskriminasi ini diperoleh dengan melakukan penelitian kualitatif sepanjang 1998 hingga 2012.


Mereka turut melakukan perbincangan fokus kumpulan di tujuh wilayah. Penelitian dilakukan pada 14 hingga 17 Disember lalu.

Data yang diperoleh selama 14 tahun menunjukkan berlaku 2,398 kes kekejaman dan diskriminasi.

Kes kekejaman paling banyak berlaku adalah disebabkan perbezaan agama iaitu 66 peratus.
Serangan etnik di tempat kedua dengan 20 peratus, kekejaman terhadap wanita (15 peratus) dan kekejaman seks (lima peratus). - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/23


Suspek pembunuhan 4 anggota Brimob ditahan

Posted: 23 Dec 2012 07:30 AM PST

JAKARTA: Polis menahan lelaki yang mereka syak terlibat dalam pembunuhan empat anggota polis daripada Unit Operasi Khas Briged Bergerak (Brimob) di Poso, Sulawesi Tengah.

Suspek yang dikenali sebagai Mutun atau Dani, ditahan di Kampung Tibo di Daerah Donggala, kira-kira 250 kilometer dari Poso.

Ketua Polis Sulawesi Tengah, Brigadier Jeneral Dewa Parsana semalam berkata: "Daripada kad pengenalannya, Mutun tinggal di Kampung Tambarana, Poso yang terletak tidak jauh dari tempat kejadian."

Serangan itu berlaku pada 20 Disember lalu.


Menurut Dewa, hasil soal siasat mendapati Mutun tahu bagaimana anggota Brimob itu diserang hendap, tetapi Dewa enggan mendedahkan peranan Mutun dalam pembunuhan itu.


Tiga anggota polis dikelar dan tiga lagi cedera apabila 10 penduduk menyerang 10 anggota unit Brimob ketika mereka meronda di Kampung Kalora, Daerah Poso Pesisir Utara. Seorang mangsa yang parah dalam serangan itu meninggal dunia semalam.

Ia adalah kejadian terbaru dalam beberapa siri keganasan di wilayah itu yang berpunca daripada konflik perbezaan agama antara 1998 dan 2000 yang menyebabkan beribu-ribu orang terbunuh. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/23


No comments:

Post a Comment