Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Gelaran ketujuh

Posted: 22 Dec 2012 01:38 PM PST

PEMAIN skuasy nombor satu dunia Datuk Nicol David, merangkul gelaran Terbuka Dunia ketujuh selepas menumpaskan Laura Massaro dari England pada perlawanan akhir Kejohanan Skuasy Wanita Terbuka Dunia, semalam.

Menurut laman sesawang rasmi pertandingan itu, www.worldopensquash.com, pemain berusia 29 tahun dari Pulau Pinang itu menyingkirkan pemain pilihan ketiga itu dalam masa kurang setengah jam.


Pada perlawanan akhir di Camana Bay, Kepulauan Cayman, Nicol tidak berdepan masalah menumpaskan Laura, 11-6, 11-8, 11-6.

"Sukar untuk saya percaya," kata Nicol. "Saya puas hati. Laura bermain dengan baik dan berjuang untuk mendapat mata, saya tidak dapat berehat langsung. "Saya fokus pada perlawanan ini tapi perlu lebih cemerlang kerana mahu menang. Saya terlalu inginkan gelaran ini, menang sekali lagi di Kepulauan Cayman, gelaran dunia ketujuh, saya mahukan semuanya!" Nicol turut menghargai pengalamannya pada kejohanan itu.


"Terima kasih kepada penyokong di Cayman atas semangat mereka, lebih hebat berbanding tempat yang pernah kami kunjungi sebelum ini," katanya yang turut bercadang mengambil kesempatan untuk bersiar-siar di kepulauan itu sebelum pulang.


Laura yang terpaksa berpuas hati dengan keputusan itu, mengucapkan tahniah kepada Nicol.

"Saya bangga dapat mara ke final tapi sedikit kecewa kerana gagal menewaskannya," katanya.


"Anda perlu bekerja lebih keras untuk menewaskannya, dia jarang tewas dan saya mencari jalan melakukannya tapi dia berjaya mengatasi setiap gerakan saya.

"Saya mengharungi kejohanan serta pengalaman yang hebat. Tahniah kepada Nicol kerana menang satu lagi gelaran." Dengan kemenangan itu, Nicol mencipta sejarah tersendiri dan skuasy wanita untuk menjulang tujuh gelaran dunia. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/23


Semen Padang serius

Posted: 22 Dec 2012 01:35 PM PST

DERBY Minangkabau antara pasukan Negeri Sembilan menentang juara Liga Perdana Indonesia, Semen Padang kali ini bukan sekadar menyatukan semangat Nusantara sebaliknya menjadi medan untuk kedua-dua pasukan menguji pemain bagi menghadapi musim baru.

Jurulatih kecergasan Semen Padang, Irwan Shah berkata, pasukan itu memilih pemain terbaik untuk berdepan Skuad Rusa meskipun terpaksa membahagi dua pasukan dengan pasukan kedua kini berada di Acheh untuk menghadapi perlawanan akhir Piala Gabenor.


"Kami hormati dan hargai kehadiran Negeri Sembilan, sebab itu kami pilih menurunkan pemain terbaik menentang mereka," kata Irwan Shah.

Ini bermakna tiga pemain kebangsaan Indonesia berada dalam pasukan Semen Padang menentang Negeri Sembilan iaitu kapten Ellie Aiboy, Wahyu Wijiastanto dan Novan Setyo Sasongko.


Sementara ketua jurulatih Negeri Sembilan, Divaldo Alves yang hanya membawa 19 pemain berkata, beliau juga serius menghadapi perlawanan ini hingga mengetepikan pemain yang masih dibelenggu kecederaan.


"Perlawanan ini amat penting untuk mengukur keserasian dan persefahaman pemain. Menang atau kalah tidak penting tapi saya mahu melihat peningkatan kualiti permainan, sebab itu saya terus ketepikan pemain yang masih belum cergas dan mengalami kecederaan," kata Divaldo.

"Saya mahu pemain menguasai bola petang esok (petang ini) kerana mahu terapkan permainan sebenar pasukan." Antara pemain yang belum cergas dan tidak dibawa ke Padang adalah timbalan kapten, Nurhafiz Zamani Misbah, Mohd Zulfaizham KaIs, Mohd Radzuan Abdullah, Muszaki Abu Bakar, Mohd Firdaus Azizul dan Abdul Halim Zainal.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/23


Tak cukup satu

Posted: 22 Dec 2012 01:35 PM PST

DARAH, keringat dan air mata menjadi taruhan untuk membentuk karier dalam sukan profesional tapi di antara mereka ada yang berjaya dalam karier pilihan selain turut cemerlang dalam sukan lain.

IAN BOTHAM: Antara pemain kriket terhebat England, turut membuat 11 penampilan dalam Liga Bola Sepak mewakili Scunthorpe sebagai bek tengah.


MICHAEL JORDAN: Legenda bola keranjang, Jordan, dua kali beraksi dalam NBA tetapi gagal untuk cemerlang sebagai bintang Liga Utama Besbol.

BO JACKSON: Jackson adalah atlet pertama digelar All-star dalam dua sukan utama Amerika Syarikat, besbol dan bola sepak Amerika.


SONNY BILL WILLIAMS: Bintang All Blacks, Williams meneruskan kariernya dalam ragbi sebelum memburu kerjaya sebagai peninju heavyweight profesional. Rekod kemenangannya adalah 5-0 dengan 3 KO.


BROCK LESNAR: Sebelum terkenal di WWE, Lesnar adalah jaguh gusti amatur di kolejnya dan turut beraksi bersama pasukan NFL, Minnesota Vikings dan kemudiannya menyertai UFC, menjadi juara acara heavyweight dunia sebelum kembali ke WWE selepas kehilangan gelaran itu.

REBECCA ROMERO: Rebecca antara atlet Britain yang mempunyai pelbagai bakat dalam sukan, juara dunia dan pemenang pingat perak Olimpik dalam sukan mendayung sebelum beralih ke sukan berbasikal dan menjadi juara dunia dan Olimpik dalam sukan itu pula.


ALISTAIR OVEREEM: Atlet gabungan seni mempertahankan diri dari Belanda, Overeem pernah memenangi gelaran dunia MMA dan beralih ke kejohanan kickboxing terbesar dunia, Grand Prix Heavyweight Dunia K-1, menewaskan tiga daripada atlet kickboxing terbaik dunia dalam satu malam untuk menjulang gelaran Grand Prix.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/23


Rafiq lakar sejarah

Posted: 22 Dec 2012 01:34 PM PST

AKSI permainan di babak akhir antara pemain Kongres Tenpin Bowling Malaysia (MTBC), Muhd Rafiq Ismail dengan pemain Singapura, Danish Ramlan, Jumaat lalu berlangsung sengit, apabila setiap balingan mereka disambut dengan sorakan penonton di Sunway Mega Lanes.

Begitupun, tuah lebih memihak kepada Rafiq apabila mengungguli saingan Terbuka Remaja Lelaki Kejohanan Bowling All-Star Remaja Antarabangsa Milo ke-13 dengan catatan 235 jatuhan pin berbanding Danish, 231. Petang sama turut membawa tuah kepada seorang lagi pemain negara, Sin Li Jane yang bergelar juara Terbuka Remaja Wanita menewaskan seorang lagi pemain Singapura, Joey Yeo.


"Saya rasa gembira kerana sudah melakukan yang terbaik, tahun lalu saya hanya menduduki tangga kedua, kali ini saya buat lebih baik," kata Rafiq sebaik ditemui selepas pertandingan "Permainan agak mencabar kerana penyokong Singapura ramai, saya rasa sedikit tertekan tetapi mampu mengawal diri." Realitinya, pencapaian yang dilakar pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Indah tidak datang begitu saja. Bermula sejak berusia empat tahun di bawah kendalian abangnya Muhd Redza, 32, dia bagaikan tidak menoleh ke belakang, terus membina kekuatan untuk mengukuhkan permainannya.

Menurutnya, bermula dengan suka-suka, apatah lagi kafe keluarganya yang terletak di Flamingo, Ampang Jaya, memudahkannya menceburi sukan itu dan akhirnya minat itu bercambah begitu saja, apatah lagi dengan sokongan keluarganya. Turut menceburi sukan itu adalah adik bongsunya, Muhd Razidan.


Pencapaian sedia ada diperkukuhkan lagi dengan menyertai Skuad Khas MTBC yang memilih dan mengasuh pemain berbakat untuk mencungkil potensinya. Apa yang dicapai Rafiq ketika ini mungkin hasil daripada bimbingan selama dua tahun persatuan itu.


Malah, pelajar yang meminati gaya permainan jaguh senior, Zulmazran Zulkifli itu turut mengaku keberkesanan program selama dua tahun di bawah kendalian jurulatih kebangsaan, Holloway Cheah dan Steven Teng.

Selain Rafiq, turut berada dalam skuad ini adalah Nur Syazwani Sahar, 13, Victoria Chin, 17, Wan Nadzmi Fikri, 16, Tan Kean Hoong, 17, Timmy Tan, 18, Nora Liana Nastasia, 15 dan Syaffique Ikhwan, 17.


"Selepas ini, saya masih belum tahu sama ada boleh diserapkan ke pasukan elit, pelapis ataupun remaja kebangsaan. "Saya harap salah satunya menjadi milik saya," katanya ketika ditanya mengenai harapan selepas ini.

Holloway turut memuji persembahan Rafiq dan yakin pemain itu mempunyai masa depan yang cerah meskipun pada masa sama tidak mahu anak muda itu leka dengan pencapaian yang dimilikinya.


"Saya fikir Rafiq bermain dengan baik, bermain mengikut arahan jurulatih, tenang dan bersahaja. Rafiq adalah pemain berbakat, terbaik dan mempunyai masa depan," katanya.


"Jangan cepat naik angin, mesti tenang dan ikuti latihan dengan bagus dan disiplin, saya tidak mahu dia menganggap dirinya sebagai bintang. Di sini, kami bukan saja melatih teknik tetapi juga disiplin."

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/23


Ferguson optimis

Posted: 22 Dec 2012 01:32 PM PST

MANCHESTER: Pengurus Manchester United, Alex Ferguson yakin kunjungan ke Swansea City dalam saingan Liga Perdana Inggeris malam ini, adalah permulaan penting untuk perlawanan berikutnya.

United melangkah ke hujung minggu ini, enam mata di depan pasukan tangga kedua, Manchester City yang menanti kunjungan kelab tercorot, Reading, semalam.


Pasukan kendalian Ferguson kemudian berdepan Newcastle United dan West Bromwich Albion sebelum berkunjung ke Wigan Athletic pada 1 Januari.

Pengurus United itu percaya jika pasukannya, berada di kedudukan sama sewaktu pergi ke Stadium DW, mereka akan mengambil langkah besar dalam misi memburu kejuaraan kali ke-20.


"Kami jangka akan dicabar. Itulah kekuatan kami. Itulah sebabnya saya anggap Disember peluang mengumpul mata dan memastikan kami berada di puncak liga menjelang tahun baru.


"Pasti ada cabaran, Chelsea mungkin turut mencabar tapi saya lebih yakin, City dan kami akan bersaing sengit memburu kejuaraan." Pasukan Ferguson menang 10 daripada 11 perlawanan terakhir tapi beliau turut bangga dengan peningkatan Swansea yang kini di musim kedua Liga Perdana Inggeris.

Pengurusnya, Michael Laudrup menyambung pembangunan dilakukan Brendan Rodgers yang menyertai Liverpool musim ini dan Ferguson berkata, pasukannya tidak akan memandang rendah pasukan Wales itu.


"Kami lihat keputusan dicapai Swansea dan peningkatan yang ditunjukkan selaku kelab bola sepak dan apa yang mereka lakukan adalah penting bagi saya," katanya.

"Mereka cuba bermain dengan baik dan berani bermain bola sepak gaya mereka, itu sesuatu yang bagus. Pada peringkat ini, setiap perlawanan pasti mencabar kerana semuanya sengit dan pantas.


"Memanfaatkan skuad dan memilih pasukan yang tepat penting dan harap kami dapat melepasinya dan berada di kedudukan yang kini kami kuasai." Selepas United, Swansea akan berdepan Reading, Fulham dan Aston Villa.


Bagi Laudrup, paling penting adalah menewaskan Villa bagi memperbaiki kedudukan liga tapi beliau turut bercita-cita menewaskan United. "Penting untuk mendapatkan tiga mana daripada United, sama seperti menentang Reading," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/23


Tempoh genting Chelsea

Posted: 22 Dec 2012 01:31 PM PST

LONDON: Rafael Benitez mengaku Chelsea kini melalui fasa genting musim ini dalam usaha kembali merebut peluang untuk bergelar juara Liga Perdana Inggeris.

Skuad Benitez menduduki tangga ketiga menjelang Krismas tapi boleh berubah sebaik berdepan Aston Villa, malam ini.


Begitupun, Chelsea yang bermain selepas pesaing utama, mungkin jatuh ke tangga kelapan dan ketinggalan kepada pendahulu, Manchester United sebanyak 15 mata jika keputusan tidak menyebelahi mereka.

Misi Blues itu mulai pincang tanpa kapten, John Terry yang mengalami kecederaan dan terlepas keempat-empat perlawanan musim perayaan itu.


Memandangkan mereka menyertai final Piala Kelab Dunia hujung minggu lalu dan tewas 0-1 kepada Corinthians, Chelsea kurang satu perlawanan berbanding kelab lain di bahagian teratas liga.


Begitupun dengan hanya satu kemenangan dalam lapan perlawanan liga sejak dua bulan lalu, Chelsea jelas sudah hilang momentum dan perlu memulakan rentak kemenangan jika mahu terus bersaing dengan pendahulu.

Prospek berdepan Villa kelihatan lebih mencabar apatah lagi skuad Paul Lambert datang ke Stamford Bridge berbekal kemenangan 3-1 di Liverpool dan mengekalkan rekod enam perlawanan tanpa kalah.


Benitez sedar ancaman mereka tapi menegaskan beliau hanya bimbangkan pasukannya.

"Villa meraih keputusan baik dan mereka selesa dengan sistem tiga pertahanan dan dua sayap bertahan, mempunyai pilihan yang bagus untuk melakukan serangan balas kerana Christian Benteke adalah teraju utama mereka," kata Benitez.


"Begitupun keutamaan adalah pasukan kami dan apa yang cuba dilakukan. Kami menganalisis lawan tapi mahu mereka menyesuaikan diri dengan rentak kami berbanding sebaliknya.


"Ini tempoh genting. Ia penting kerana kami berpeluang meraih mata." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/23


No comments:

Post a Comment