Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Pengantin kejang

Posted: 12 Dec 2012 12:28 PM PST

JITRA: Majlis resepsi pasangan pelakon, Farid Kamil Zahari, 31, dan Diana Danielle Danny Beeson, 21, di Taman Tema Tasik Darulaman, di sini, semalam, menjadi kelam-kabut apabila pengantin perempuan mengalami kekejangan pada kaki kanannya selepas beramah-mesra dengan tetamu dan peminat.

Diana Danielle yang kini berbadan dua mengalami kekejangan pada kaki kanannya selama hampir 15 minit menyebabkan pasangan itu bergegas keluar meninggalkan majlis jam 3 petang.

Malah, usaha media menunggu hampir empat jam untuk menemu bual Farid termasuk isu pakaian istiadat pegawai pasukan keselamatan pada majlis resepsi pengantin perempuan di Putrajaya, 1 Disember lalu, gagal selepas pelakon terbabit beredar menaiki kereta.

Adik Farid, Fadzil Zahari, 29, berkata perkara itu amat dikesali dan tidak dapat dielakkan kerana Diana Danielle keletihan selepas berarak menemui peminat.


"Kami meminta maaf kerana terpaksa membatalkan sidang media seperti dijanjikan kerana kesuntukan masa dan Diana tidak sihat akibat mengalami kekejangan kaki," katanya ketika ditemui selepas majlis itu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/13


‘McGyver’ larikan motor tumpas

Posted: 12 Dec 2012 11:38 AM PST

KUALA LUMPUR: Hanya berbekalkan pemutar skru, seorang lelaki berumur 27 tahun mampu memecahkan kekunci motosikal sebelum melarikan motosikal dalam tempoh lima minit.

Bagaimanapun, kelicikannya itu terbongkar semalam selepas lelaki itu berjaya ditahan di Taman Tenaga, Cheras oleh sepasukan anggota dari Unit Kuatkuasa Khas Trafik Kuala Lumpur (U3K), ketika membuat Ops Samseng Jalan raya di sekitar ibu kota.


Ketua Unit Kuatkuasa Khas Trafik Kuala Lumpur (U3K), Asisten Superintendan Azmi Wahid berkata, sepasukan anggota U3K sedang membuat rondaan di sekitar kawasan Bandar Tasik Permaisuri sebelum nampak sebuah motosikal Honda Ex5 dalam keadaan mencurigakan, kira-kira jam 1.30 pagi.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati motosikal berkenaan menggunakan nombor plat palsu milik Proton Gen 2 dan pasukan berkenaan mengekori motosikal itu hingga ke kawasan Taman Tenaga.


"Kami nampak lelaki berkenaan meletakkan motosikal itu di tempat tersembunyi sebelum turun untuk makan.


"Ketika dia sedang lepak bersama rakannya, kami membuat tangkapan sebelum membawa lelaki itu bersama motosikal ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, siasatan mendapati motosikal berkenaan dilaporkan hilang di tempat letak motosikal di sebuah pasar raya di Taman Connaught pada 15 November lalu.


Katanya, lelaki berkenaan dipercayai menggunakan pemutar skru untuk memecahkan kekunci dan dia masih menggunakan pemutar skru untuk menghidupkan enjin.

Beliau berkata, lelaki berkenaan turut memiliki tiga rekod samun kenderaan sejak tahun 2007.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/13


Biar hukuman maksimum

Posted: 12 Dec 2012 11:37 AM PST

KUALA LUMPUR: "Jika didapati bersalah, mereka wajar dikenakan tindakan tegas semaksimum mungkin kerana penipuan itu membabitkan soal keselamatan dan nyawa ribuan pengguna jalan raya."

Demikian tegas Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia, Prof Datuk Seri Dr Shaharuddin Awang Yahya mengenai tindakan sebuah premis yang memproses dan membotolkan semula minyak pelincir motosikal terpakai sebelum dijual kepada pengguna.


Menurut beliau, selain bertujuan mengaut keuntungan berlipat kali ganda, tindakan itu menipu pembeli yang beranggapan mereka membeli minyak pelincir tulen.

"Bila sudah beli produk tulen dari jenama terkenal, pengguna sudah tentu mahukan prestasi terbaik pada enjin motosikal mereka tanpa menyedari mereka terdedah kepada pelbagai kemungkinan kecelakaan yang berlaku.


"Saya percaya, mungkin ada lagi premis yang menjalankan perniagaan sebegini dan pihak berkuasa perlu sentiasa melakukan pemantauan demi melindungi hak dan keselamatan pengguna," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Shaharuddin mengulas serbuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor terhadap sebuah premis di Bukit Lanchong, Shah Alam kelmarin yang menjual minyak pelincir motosikal terpakai.

Minyak terpakai yang ditapis menggunakan mesin khas itu dibotolkan sebelum dipasarkan ke kedai alat ganti motosikal di sekitar Lembah Klang menggunakan jenama terkenal dengan harga yang jauh lebih murah daripada harga ditetapkan pengeluar rasmi.


Mengulas lanjut, Shaharuddin berkata, KPDNKK juga boleh membantu pengguna daripada terus tertipu dengan mengumumkan nama syarikat tersebut, sekali gus mengelak daripada lebih ramai menjadi mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/13


Panik penjenayah seluk saku seluar

Posted: 12 Dec 2012 11:37 AM PST

JOHOR BAHRU: "Saya panik apabila penjenayah tiba-tiba menyeluk saku seluarnya kerana menyangka dia mahu mengeluarkan pistol sebelum terkejut apabila kedua-dua mereka terus melarikan diri," kata seorang pemandu teksi dikenali sebagai Woon, 54, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi di rumah keluarganya di Taman Johor Jaya, Woon berkata, dua penjenayah mengumpul jeriji besi pintu untuk menceroboh masuk sebelum dia terjaga daripada tidur apabila mendengar bunyi bising.


"Saya terus keluar dari bilik dan membuka pintu untuk memeriksa bunyi bising sebelum terkejut melihat dua lelaki berusia 30-an sedang mengumpil jeriji besi pintu.

"Kami bertiga melihat antara satu sama lain sebelum seorang daripada lelaki itu tiba-tiba menyeluk saku seluar," katanya.


Menurutnya, dia ketakutan kerana menyangkakan penjenayah cuba mengeluarkan pistol lalu menjerit meminta bantuan.


Katanya, kedua-dua penjenayah kemudian terus berpusing dan melarikan diri menaiki sebuah kereta diletakkan di depan rumah.

"Kereta dinaiki penjenayah sebuah kereta import, tetapi lupa jenisnya.


"Ketika kejadian, saya berada bersama seorang anak perempuan berusia 19 tahun dan bersyukur kerana tiada kejadian buruk menimpa kami," katanya.

Woon membuat laporan di Balai Polis Johor Jaya.


Sumber polis mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/13


Pak Long genap seabad

Posted: 12 Dec 2012 11:36 AM PST

BUKIT MERTAJAM: Seorang warga emas dari Kampung Tanah Liat Mukim 8 di sini, dianggap bertuah apabila masih dipanjangkan umur untuk meraikan ulang tahun kelahiran ke-100 pada tarikh keramat, semalam.

Dilahirkan 12 Disember 1912, Othman Daud mesra disapa Pak Long, masih sihat dan tidak menghidap sebarang penyakit, malah ingatan dan penglihatannya masih jelas.


Buktinya, dia masih mampu membaca dengan baik tanpa menggunakan cermin mata dan boleh menulis dalam tulisan Jawi.

Othman berkata, dia tiada sebarang petua khusus tetapi setiap hari bangun seawal jam 6.30 pagi dan memulakan rutin harian mengayuh basikal tua sejauh satu kilometer dari rumah untuk ke sawah diusahakan sejak zaman muda.


Katanya, dia pulang sekitar jam 11 pagi untuk makan tengah hari dan keluar semula ke sawah jam 3 petang.


"Pak Long tiada petua tapi sejak muda lagi suka makan pucuk ulam maman yang dibuat kerabu dan minum kopi 'O' serta air suam.

"Alhamdulillah, mungkin amalan ini membuatkan Pak Long kekal sihat dan dengan izin Allah dipanjangkan usia hingga ke hari ini," katanya pada majlis tahlil meraikan ulang tahun kelahirannya di kediamannya, semalam.


Anak sulung 12 beradik hasil perkongsian hidup pasangan Aishah Talib dan Daud Hasan yang sudah meninggal dunia itu kini tinggal bersama anak saudaranya, Faridah Ariffin, 44, yang juga ibu tunggal dan bekerja sebagai operator pengeluaran selain cucu saudaranya yang berusia 10 tahun.

Manakala, tiga saudaranya iaitu Mah, 97, Bedah, 71, dan Romlah, 75, berkahwin dan tinggal berasingan.


Meskipun sudah mencecah seabad, tidak sesekali terlintas baginya berumahtangga kerana takut melihat ramai berkahwin sering bergaduh hingga ada yang bercerai.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/13


‘Penduduk takut mahu keluar’

Posted: 12 Dec 2012 11:34 AM PST

BENTONG: "Penduduk di sini takut untuk keluar rumah, tapi saya tiada pilihan kerana bekerja di sebuah syarikat kawalan keselamatan.

"Saya yang terpaksa meninggalkan anak dan isteri pada waktu malam dan hampir setiap jam saya akan menelefon isteri, untuk memastikan mereka selamat atau pulang ke rumah untuk menjenguk jika berkesempatan." Demikian kata seorang penduduk Mohd Ismail Mohd Yunus, 39, mengenai kehadiran Rambo Bentong yang turut dikenali sebagai orang minyak di kalangan penduduk daerah ini sebelum dicekup polis 14 November lalu.


Menurutnya, walaupun banyak kawalan keselamatan kampung melalui Skim Rondaan Sukarela (SRS) dibuat di sebahagian besar kampung di Bentong, sebagai ketua keluarga, perasaan bimbang sentiasa ada terutama selepas mendapat tahu siapa sasaran kegemaran penjenayah berkenaan.

Mohd Ismail yang berasal dari Kampung Ketari, tetapi tinggal di Kampung Benus di daerah sama berkata, semua pihak berhati-hati dan tidak putus-putus berdoa agar pihak berkuasa dapat menjejaki dan segera menangkap suspek.


Apa tidaknya, lelaki itu dilaporkan melakukan jenayah dari satu kampung ke satu kampung, malah ada satu kes pecah rumah dan rogol di Kampung Gementi terletak hanya beberapa meter dari rumah mentua saya.


"Dari sudut positif pula, saya melihat semua penduduk kampung tidak kira bangsa sepakat mengawal keselamatan kampung menjelang malam," katanya.

Menurutnya, sebagai penduduk tempatan, dia bersyukur kerana pihak berkuasa turut berkongsi perasaan resah dan bersengkang mata dengan penduduk.


"Lebih manis lelaki itu akhirnya ditangkap, sekali gus membolehkan kami menarik nafas lega," katanya.

Seorang lagi penduduk, Chan Boon Nam, 66, berkata kehadiran penjenayah berkenaan meresahkan penduduk tempatan terutama mereka yang keluar ke kebun pada awal pagi.


Menurutnya, dia percaya beberapa das tembakan yang didengar pada awal pagi ketika pergi ke kebun dipercayai dilakukan lelaki berkenaan untuk menakut-nakutkan dia dan beberapa pekerja lain.


"Kadang-kadang sayur dan buah-buahan berterabur di tanah, tapi saya tak kisah, cuma geram apabila terdengar bunyi tembakan kerana takut ada yang cedera atau meninggal dunia.


"Ada satu ketika pekerja saya mendakwa terserempak lelaki pelik membawa senapang dan dia meminta mereka agar tidak takut menyebabkan pekerja saya menyangka lelaki itu Orang Asli," katanya.


Dia percaya kejayaan polis mengesan dan menahan seorang lelaki baru-baru ini merungkai kejadian itu kerana selepas berita penahanan dilaporkan, tiada lagi kes seumpamanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/13


Kewaja fail saman terhadap Pengarah JKMWPKL

Posted: 12 Dec 2012 11:33 AM PST

GOMBAK: Pusat Kebahagiaan Wanita dan Remaja (Kewaja) memfailkan saman fitnah terhadap Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKMWPKL), Noormah Abd Rauf dan Kerajaan Malaysia atas kenyataan yang didakwa memfitnah.

Pengerusi Kewaja, Yahya Mohamed Yusuf berkata, saman itu difailkan menerusi Raja Riza & Associates pada 7 Disember lalu merujuk satu artikel dikeluarkan sebuah akhbar tabloid bahasa Inggeris (bukan terbitan The New Straits Times Press) disiarkan pada 12 November lalu.


"Kenyataan pengarah itu adalah tidak benar yang membawa maksud Kewaja tidak pernah mengambil apa-apa langkah mendaftar dengan pihak berkuasa dan kononnya tidak pernah mendapat kelulusan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat," katanya di sini, semalam.

Menurutnya, tuntutan yang dikemukakan adalah ganti rugi am, teruk dan teladan serta permohonan maaf secara terbuka daripada pengarah JKMWPKL. Writ dan penyataan tuntutan dalam proses penyerahan dan ditetapkan pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 7 Januari 2013.


"Kenyataan itu juga memberi tanggapan pada orang ramai seolah kami bersalah. Buat masa ini tiada apa-apa perbincangan atau tindakan lain terhadap JKMWPKL dan hanya menghantar tuntutan saman fitnah ini," katanya.


Yahya berkata, tuntutan itu dibuat untuk membersihkan nama dan reputasi Kewaja. Namun, tiada jumlah wang ringgit yang dinyatakan dalam tuntutan itu.

Peguam, Shahir Ab Razak berkata, pihaknya bertindak menjelaskan tuntutan dalam saman fitnah itu dan mengambil langkah mengikut undang-undang.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/13


Libasan jiran mengamuk

Posted: 12 Dec 2012 11:33 AM PST

PENAMPANG: Seorang ibu dan dua anaknya berusia belasan tahun cedera di tangan dan leher akibat terkena libasan pisau jiran mabuk yang mengamuk selepas menceroboh masuk ke rumah mangsa di Kampung Nosoob, di sini.

Sebelum kejadian jam 5 petang, Ahad lalu, Innontin Indod, 49; anaknya, Reffinly dan Ronwill Jamuda, masing-masing berusia 19 dan 14 tahun menonton televisyen di ruang tamu.

Reffinly berkata, tiba-tiba lelaki terbabit yang juga jiran mereka menendang pintu rumah dan meluru masuk sebelum melibas pisau ke arahnya.

"Saya cuba mengelak, namun pisau itu terkena belakang leher dan pada masa sama, ibu yang melihat kejadian itu cuba membantu, namun ditikam di lengan," katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.


Dalam keadaan kelam-kabut, Reffinly berkata, ibunya sempat mengarahkan dia dan adiknya melarikan diri dan meminta bantuan penduduk kampung.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/13


Cemar kesucian

Posted: 12 Dec 2012 11:31 AM PST

KUALA LUMPUR: Tindakan pelakon, Farid Kamil mengenakan pakaian istiadat tentera pada majlis resepsi perkahwinannya menimbulkan rasa kecewa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan menyifatkannya mencemar 'kesucian' pakaian berkenaan apabila dipakai orang awam sewenang-wenangnya.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata, kejadian itu mendukacitakan pihaknya walaupun dengan niat tidak memudaratkan keselamatan.


Katanya, mengikut Seksyen 25 Kanun Keseksaan, Farid boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih tujuh bulan atau kedua-duanya sekali sekiranya disabit kesalahan menyalahguna pakaian seragam pasukan keselamatan.

Beliau berkata, ATM akan meneliti perkara itu dengan pihak-pihak lain sebelum mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap Farid.


"Jika melihat baju seragam istiadat yang dipakai Farid, ia boleh disalah erti sebagai memperlekehkan warga tentera selepas pangkat serta lencana dikenakan di baju dan juga topi berkenaan dipakai secara 'cacamarba'.


"Sekiranya Farid atau orang awam lain ingin mencuba mana-mana pakaian seragam ATM, mereka boleh membuat permohonan rasmi supaya cara pemakaiannya boleh diawasi pihak ATM sendiri seterusnya mengelakkan rasa tidak senang di kalangan warga tentera," katanya selepas Majlis Penyampaian Diploma Kursus Pemerintahan dan Staf Malaysia (KPSM) Siri 41/2012 di Dewan Bankuet Wisma Perwira ATM, Kem Kementerian Pertahanan, di Jalan Padang Tembak, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/13


Hab sukarelawan

Posted: 12 Dec 2012 11:30 AM PST

PUTRAJAYA: Malaysia akan dijadikan hab dan negara contoh dalam gerak kerja sukarela di kalangan rakyat berbilang kaum, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bagi tujuan itu, katanya, kerajaan akan menggerakkan aktiviti kesukarelaan kepada semua rakyat khususnya generasi muda sama ada dalam kerajaan, swasta mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sempena Tahun Kesukarelawan Negara 2013 bermula Januari depan.


"Dalam melangkah menjadi negara maju, kita bukan saja mahu maju dari segi ekonomi dan pembangunan fizikal, tetapi negara yang mempunyai rakyat hidup harmoni, berdaya saing dan mempunyai nilai baik serta murni seperti tanggungjawab dan obligasi kepada rakyat.

"Satu daripada sifat negara maju adalah kesediaan rakyat menawarkan bantuan secara sukarela kepada mereka yang memerlukan," katanya ketika berucap pada majlis meraikan 10 finalis pertandingan 1Malaysia for Youth (IM4U) 'My Uni Rocks' di pejabatnya di sini, semalam.


Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Dr Ali Hamsa.


Finalis terbabit ialah Lim Voon Huey dari Universiti Putra Malaysia (UPM); Sam Jia Pei (Universiti Sunway); Norhana Syamimi Che Nasir (Universiti Kuala Lumpur-Malaysia France Institute); Halim Othman (Universiti Pertahanan Malaysia); Nurul Jannah Ahmad (Universiti Kebangsaan Malaysia) dan Mohd Helmi Abdullah (Universiti Teknologi Mara).

Selain itu, Nor Hidayah Muhammad Asri (Universiti Malaysia Pahang); Mohamad Hanafie Kari (Universiti Malaysia Terengganu); R Peramathevan (Management & Science University) dan G Gomalah (AIMST University), dengan semuanya menerima hadiah wang RM10,000 untuk membiayai dan memulakan projek sukarelawan masing-masing.


Pertandingan dilancarkan 13 Oktober lalu diadakan melalui laman sosial facebook bertujuan mendapatkan cadangan mengenai aktiviti kesukarelawan yang inovatif dan berdaya maju.

Najib yang juga Pengerusi IM4U berkata, bagi merancakkan lagi aktiviti sukarelawan di negara ini, 100 Pusat Outreach IM4U akan diwujudkan di seluruh institusi pengajian tinggi (IPT) secara berperingkat tahun depan.


Menurutnya, kerajaan menyediakan sumbangan geran RM5,000 kepada setiap pusat outreach untuk menggerakkan aktiviti kesukarelaan.


"Pusat ini diwujudkan dengan mengggunakan kemudahan sedia ada di IPT masing-masing. Ia akan berfungsi sebagai pemangkin kepada lebih banyak aktiviti kesukarelawan di kalangan mahasiswa serta generasi di sekitar IPT.


"Malah segala aktiviti akan digerakkan secara tersusun dan berorganisasi," katanya.


Katanya, IM4U juga akan memberikan anugerah khas kepada pusat outreach paling aktif dan banyak menggerakkan aktiviti kesukarelawan di kalangan generasi muda dan mahasiswa.


Selain itu, katanya, Tokoh Sukarelawan IM4U juga akan diberi kepada individu paling banyak terbabit dan mengerakkan aktiviti kesukarelawan dalam negara.


"Jadi, saya menyarankan mahasiswa dan generasi muda supaya merebut peluang untuk mendaftarkan diri selaku penggerak dan aktivis sukarelawan IM4U di laman web IM4U," katanya.


Pada masa sama, beliau berkata, IM4U juga akan menganjurkan Konvensyen Sukarelawan Nasional 2013 pada Februari tahun depan bagi mengumpulkan semua sukarelawan aktif di negara ini untuk berbincang hala tuju gerakan sukarelawan di kalangan rakyat dan generasi muda.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/13


No comments:

Post a Comment