Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Dua kali gerai dirempuh

Posted: 13 Dec 2012 11:18 AM PST

KUANTAN: "Hanya dua minit memisahkan saya dengan maut kerana jika saya lambat sedikit meninggalkan dapur, sudah pasti nyawa saya melayang dirempuh kereta itu," kata Roziah Abdul Rahman, 33, pemilik gerai makan yang dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Bukit Setongkol, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, bahagian depan gerai makannya roboh, manakala dapurnya pula musnah sama sekali apabila MPV jenis Toyota Estima dinaiki pasangan suami isteri berkenaan merempuh gerainya yang dibuka sejak jam 3 petang.


Katanya, sebelum kejadian, dia baru selesai menyiapkan nasi goreng dipesan pelanggan, manakala suami, Ikhwan Nasir Jahudin, 37, berada di bahagian tepi gerai bersama anak keduanya, Nor Syafikah Ikhwan Nasir, empat tahun.

"Selepas masak, saya pergi ke arah anak bongsu saya (Nor Ain Aisyah, 16 bulan) yang berada di sofa di tepi dapur dan mengangkatnya ke dalam buaian bagi menidurkannya.


"Namun, beberapa saat kemudian saya mendengar bunyi brek kenderaan sebelum melihat sebuah kereta berwarna putih meluru laju ke arah gerai menyebabkan saya menjerit ke arah suami dan seorang pelanggan supaya melarikan diri," katanya.


Katanya, kereta berkenaan merempuh bahagian dapur sebelum terhenti di hadapan gerai dan apa yang membimbangkan, kereta itu berkemungkinan meletup kerana tong gas digunakan untuk memasak turut diseret dan melekat di bawah kenderaan berkenaan.

Roziah berkata, dia bersyukur keluarga tidak mengalami sebarang kecederaan, namun terkilan melihat gerai yang diusahakan sejak 13 tahun lalu musnah.


"Saya kecewa kerana pemandu yang merempuh gerai saya tidak meminta maaf sebaliknya terus meninggalkan gerai ini dengan menaiki sebuah kereta lain," katanya.

"Saya tidak pasti bila gerai kami ini akan dapat beroperasi semula memandangkan banyak barang terutamanya dapur, kerusi dan meja mengalami kerosakan," katanya ketika ditemui Harian Metro di tempat kejadian.


Sementara itu, Ikhwan berkata, dia tidak menyangka kejadian sama yang pernah berlaku dua tahun lalu berulang kembali dan lebih menyedihkan, kerosakan dan kerugian kali ini lebih teruk.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/14


Haid tak menentu bongkar rahsia

Posted: 13 Dec 2012 11:15 AM PST

SEGAMAT: Gara-gara bimbang kisah lampaunya bersama bekas teman lelaki dijaja rakan sekolah, seorang remaja perempuan berusia 18 tahun terpaksa membiarkan dirinya diperkosa dua kali oleh rakan lelaki berkenaan dalam tempoh sejam, 19 November lalu.

Dalam kejadian antara jam 8 hingga 9 malam itu, mangsa dikatakan diperkosa suspek di rumah keluarga mangsa di sekitar bandar ini.


Bagaimanapun, usaha mangsa menutup tragedi itu daripada pengetahuan keluarganya gagal apabila terpaksa memaklumkan kejadian itu kerana bimbang hamil selepas haidnya tidak menentu.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Hanafi Daud berkata, keluarga mangsa kemudian membuat aduan kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat sebelum suspek ditahan di rumah keluarganya, petang kelmarin dan kini direman bagi membantu siasatan.


"Berdasarkan laporan dibuat, mangsa mendakwa mengenali suspek setahun lalu ketika belajar bersama di sebuah sekolah menengah di daerah ini," katanya, semalam.


Menurutnya, mangsa mendakwa pada hari kejadian, suspek datang ke rumahnya dan mengajak melakukan hubungan seks, namun menolak permintaan itu.

Katanya, ketika kejadian, ibu bapa mangsa tiada di rumah dan suspek didakwa mengugut menjaja kisah lampau mangsa dengan bekas teman lelakinya kepada orang lain jika terus menolak permintaan itu.


"Mangsa mendakwa terpaksa membiarkan dirinya diperkosa suspek kerana tidak mahu kisah lampaunya dijaja. Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan mangsa sudah diarah menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Segamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/14


Dituduh rogol sampai mati

Posted: 13 Dec 2012 11:13 AM PST

BENTONG: Tanpa sebarang reaksi di wajahnya, Rabidin Satir, 42, yang digari bersama dua anggota polis di kiri kanannya, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan membunuh dan merogol sehingga membawa kepada kematian seorang gadis berusia 17 tahun di Kampung Ketari, di sini, pada 2009.

Dia yang berasal dari Tambunan, Sabah juga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Raub atas empat pertuduhan rogol terhadap dua kanak-kanak, dua remaja dan melakukan seks luar tabii terhadap salah seorang mangsa antara tahun 2009 dan 2011.

Bagi pertuduhan membunuh dan merogol remaja berusia 17 tahun itu, tiada pengakuan diambil. Rabidin juga digelar Rambo Bentong.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 17 Januari ini sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.


Rabidin didakwa membunuh mangsa di sebuah rumah di Kampung Ketari di sini antara jam 11.30 malam (7 Mac 2009) dan 1.50 tengah hari pada 8 Mac 2009.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/14


Ratap ayah ditindih bas

Posted: 13 Dec 2012 11:12 AM PST

KOTA BELUD: Seorang anak hanya mampu meraung melihat bapanya menggelupur sebelum menghembuskan nafas terakhir akibat dihempap bas ekspres yang rosak ketika mangsa memeriksa enjin kenderaan itu di Kampung Sarang, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8 pagi, mangsa dikenali sebagai Arasadi Pornah, 38, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di dada dan perut.

Sebelum kejadian mangsa bersama anak lelakinya berusia 16 tahun dalam perjalanan dari bandar ini menuju ke Kampung Sarang untuk mengambil rombongan perkahwinan ke Beaufort.

Menurut sumber, keluarga pengantin itu menyewa bas ekspres milik mangsa yang boleh memuatkan 44 penumpang bagi membawa ahli rombongan untuk ke majlis perkahwinan.


"Bagaimanapun sebaik tiba di lokasi kejadian bas dipandu mangsa mengalami masalah enjin, menyebabkan mangsa memberhentikan kenderaan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/14


Kejutan nikmati makan tengah hari

Posted: 13 Dec 2012 11:11 AM PST

GEORGETOWN: Sepasang warga emas termasuk seorang daripadanya yang rabun sedang menikmati makan tengah hari nyaris maut apabila rumah dua tingkat mereka musnah dalam satu kebakaran di Jalan Halaman Ariffin, di sini, semalam.

Ketika kejadian jam 1.30 tengahari, Tan Ah Chuan, 66, yang mengalami masalah penglihatan dan isterinya berusia 60-an, bernasib baik apabila terdengar jeritan jiran meminta mereka keluar dari rumah itu.


Menurut Ah Chuan, ketika itu dia makan tengah hari ditemani isterinya di tingkat bawah sebelum terhidu bau hangit.

"Selain bau hangit itu, kami juga terdengar pekikan jiran yang memberitahu ada kebakaran di tingkat atas rumah sebelum kami berdua bergegas keluar," katanya.


Menurutnya, mereka berdua yang menyewa di rumah berkenaan sejak 40 tahun lalu bernasib baik kerana segera keluar apabila terdengar jeritan orang ramai.


"Saya bersyukur kerana kami berdua sempat menyelamatkan diri. Mujurlah kejadian ini berlaku pada waktu siang, jika waktu malam dan kami tidur belum tentu terselamat," katanya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa yang juga pemilik rumah tumpangan yang berjiran dengan pasangan warga emas terbabit yang enggan dikenali berkata, dia lega kerana ketika kejadian tiada pelanggan di premisnya.


"Mujur hari ini tidak ada pelanggan di rumah tumpangan milik saya dan ketika kejadian saya berada berhampiran kawasan terbabit sebelum diberitahu jiran rumah saya turut terbakar.

"Saya dan anak lelaki bergegas pulang, tetapi tidak sempat berbuat apa-apa. Tingkat atas yang mempunyai lima bilik tumpangan turut musnah," katanya.


Sementara itu, Pegawai Kanan Bomba Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai, Shamsudin Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 1.43 tengah hari dan tiba di lokasi kejadian tujuh minit selepas itu.


"Kami dapat mengawal kebakaran sepenuhnya setengah jam selepas itu dan setakat ini punca serta kerugian kebakaran masih disiasat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/14


‘Saya masih trauma’

Posted: 13 Dec 2012 11:11 AM PST

ARAU: Kehidupan seorang pembantu kedai makan terus dibelenggu mimpi ngeri apabila masih teringat kejadian anak perempuan kesayangannya diculik sekumpulan lelaki yang memecah masuk ke rumahnya walaupun kejadian itu berlaku seminggu lalu.

Malah, Mazilan Md Isa, 28, mendakwa masih trauma kerana dihantui kejadian itu dan tambahan pula, dia turut cedera hampir seluruh badan ketika bergelut dengan lelaki terbabit bagi menyelamatkan Nur Fasha Adriana, 10.


Mazilan berkata, dia bersama ahli keluarganya sukar tidur malam kerana terbayang insiden yang hampir meragut nyawa demi menyelamatkan anaknya.

Menurutnya, ini berikutan pintu belakang rumah yang rosak akibat kejadian itu belum diperbaiki dan dibimbangi insiden sama berulang.


"Setiap malam saya sukar tidur lena memikirkan nasib anak perempuan saya, malah masih terngiang-ngiang suaranya menjerit meminta tolong pada malam itu walaupun dia kini di bawah jagaan saudara terdekat sementara kes ini diselesaikan," katanya.


Mazilan berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Agama Islam Perlis (Maips) menerusi Pengerusinya, Datuk Abu Bakar Ahmad, menyerahkan sumbangan RM500 dan barangan dapur bagi meringankan bebannya di rumahnya di Ulu Pauh, di sini, semalam.

Menurutnya, sebelum ini, keluarganya sering menghadapi gangguan daripada keluarga bekas isterinya yang dipercayai berdendam dengannya kerana kisah silam mereka.


"Saya sering mendapat gangguan daripadanya sejak setahun lalu terutama selepas berkahwin dengan isteri baru walaupun setiap hujung minggu saya membenarkannya berjumpa dengan anak kami.

"Memang saya tidak menyangka hingga ke tahap ini apabila dia sanggup menculik anak kami," katanya.


Menurutnya, dia kini merindui anak perempuannya, malah ibu bapanya, Md Isa Sulaiman, 72, dan Mariah Hamid, 55, masih trauma kerana dihantui kejadian ngeri yang menimpa mereka. Selain itu, katanya, dia kini tidak dapat bekerja bagi menampung kehidupan keluarga termasuk ibu bapanya akibat kecederaan dialaminya.


Sementara itu, Abu Bakar berkata, sumbangan berkenaan diserahkan melalui program Maips Peduli bagi membantu meringankan beban Mazilan selepas kisah penderitaannya dipaparkan di akhbar.


"Pihak Maips juga memberikan kelulusan 100 peratus atas permohonan bagi keluarga Mazilan bagi mendapatkan bantuan wang zakat memandangkan mereka hidup serba kekurangan," katanya.


Harian Metro sebelum ini melaporkan seorang bapa cedera parah dan terpaksa menerima 10 jahitan di tangan dan dagu akibat ditetak dengan pisau ketika cuba menyelamatkan anak perempuannya dengan berpaut di tingkap kereta suspek sebelum terjatuh selepas diseret lebih 100 meter.


Kejadian berlaku jam 1.30 pagi Sabtu lalu ketika anak lelaki itu sedang tidur nyenyak di rumah bersama nenek dan datuknya, manakala Mazlizan baru pulang daripada berniaga.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/14


Van dipandu laju hilang kawalan

Posted: 13 Dec 2012 11:08 AM PST

JITRA: Tujuh parah, manakala dua cedera ringan apabila van mereka naiki merempuh belakang sebuah bas ekspres yang sedang menunggu giliran membayar tol di Kilometer 30, Projek Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) di Plaza Tol Jitra, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, van berkenaan membawa tujuh kakitangan Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok dari Alor Setar ke pusat pengajian tinggi itu.


Kakitangan UUM terbabit bertugas di Bahagian Bendahari, Hal Ehwal Pelajar, Komputer dan Kolej Perniagaan dan mereka dipercayai menggunakan perkhidmatan van sewa itu sejak 20 tahun lalu untuk berulang alik dari Alor Setar ke Sintok, setiap hari.

Difahamkan, bas ekspres itu sedang menunggu giliran membayar tol sebelum pemandunya terdengar dentuman kuat dan mendapati sebuah van merempuh belakang bas berkenaan.


Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Ibrahim Mohd Yusof berkata, bas berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan menghala ke Kangar, Perlis untuk menghantar penumpang, manakala van itu dalam perjalanan menghantar kakitangan UUM ke Sintok.


"Berdasarkan siasatan, van berkenaan dipercayai dipandu laju dan hilang kawalan lalu merempuh belakang bas berkenaan.

"Jarak kemalangan itu hanya 20 meter dari plaza tol, tetapi tidak membabitkan kenderaan lain," katanya.


Ibrahim berkata, tujuh mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), untuk mendapatkan rawatan manakala dua lagi mangsa dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Jitra.

"Setakat ini, pemandu bas ekspres terbabit sudah membuat laporan berhubung kemalangan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai sehingga menyebabkan kemalangan.


"Punca kejadian masih disiasat dan kami belum mengambil keterangan daripada pemandu van terbabit berikutan sedang dirawat di HSB akibat cedera parah," katanya.


Sementara itu, Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Balai Jitra, Mohamad Darus berkata, pihaknya mengambil masa 15 minit untuk mengeluarkan lima mangsa yang tersepit dalam van berkenaan.


Beliau berkata, seramai tujuh anggota bomba terbabit dalam operasi menyelamatkan semua mangsa selepas menerima maklumat berhubung kemalangan itu.


"Kami tiba di lokasi lima minit kemudian dan terpaksa mengeluarkan semua mangsa melalui pintu belakang van disebabkan kedua belah pintu dan hadapan kenderaan itu remuk teruk.


"Kita turut menggunakan peralatan untuk menyelamat mangsa sebelum semua mereka dihantar ke hospital" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/14


Najib lega ramalan IMF

Posted: 13 Dec 2012 11:08 AM PST

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak lega dengan ramalan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) bahawa unjuran ekonomi negara bakal mengalami pertumbuhan kukuh tahun depan.

Beliau berkata, ekonomi Malaysia diramalkan stabil walaupun dalam keadaan tidak menentu ekonomi dunia masa kini. "Sangat baik apabila IMF menjangkakan ekonomi Malaysia kekal kukuh pada tahun depan walaupun dalam keadaan dunia yang tidak menentu," katanya dalam tweet terkininya di sini, semalam.


Beliau mengulas kenyataan wakil IMF, Rodrigo Cubero yang menjangkakan unjuran prospek ekonomi Malaysia kekal stabil tahun depan dengan disokong penggunaan domestik selain pelaburan yang kukuh. Beliau berkata, badan kewangan dunia itu menjangkakan permintaan domestik yang kukuh di Malaysia tahun depan.

Kerajaan sebelum itu menegaskan Malaysia dijangka mencapai pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setahun penuh sebanyak sekurang-kurangnya lima peratus atau lebih baik, sejajar dengan prestasi ekonomi yang positif dalam tiga suku pertama 2012.


Ekonomi berkembang sebanyak 5.2 peratus dalam suku ketiga 2012 yang dipacu permintaan domestik meskipun permintaan luar negara semakin lembap.


Peningkatan permintaan domestik disokong perbelanjaan sektor swasta manakala kelembapan ekonomi global menyebabkan permintaan luar negara yang sederhana.

Ekonomi China dijangka berkembang dengan teguh pada kadar pertumbuhan yang sangat tinggi dan ini akan memberi kesan kepada Malaysia sebagai rakan dagang terbesarnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/14


‘Wanita nilai tambah prestasi syarikat’

Posted: 13 Dec 2012 11:07 AM PST

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mahu sektor korporat merekrut ahli lembaga pengarah wanita dalam usaha meluaskan kepelbagaian di peringkat pembuat keputusan.

Perdana Menteri berkata, sudah tiba masanya semua pihak menerima hakikat bahawa kaum wanita adalah faktor nilai tambah kepada prestasi syarikat jika mereka berada dalam peringkat teratas dalam sektor berkenaan.


"Kajian oleh agensi perunding terkenal seperti Mckinsey, Bain dan Catalyst membuktikan bahawa golongan berkenaan menyumbang kepada peningkatan prestasi syarikat.

"Jika setiap CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) dan pengerusi lembaga pengarah dalam KLSE (Bursa Malaysia) melantik sekurang-kurangnya seorang wanita, kita akan memiliki lebih 500 wanita dalam syarikat senaraian awam, namun itu belum mencukupi kerana kita mahu 30 peratus," katanya dalam ucaptama pada program Chairman Power Breakfast di sini, semalam.


Teks ucapan beliau dibacakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala yang juga Ketua Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu).


Jun lalu, Kabinet meluluskan dasar sekurang-kurangnya 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan dalam sektor korporat.

Sektor berkenaan diberi tempoh peralihan selama lima tahun untuk meningkatkan bilangan wanita sebagai ahli lembaga pengarah dan memegang jawatan tertinggi di syarikat masing-masing.


Najib berkata, semua pihak harus mengakui kepelbagaian mampu memacu kepada peningkatan prestasi syarikat dan Malaysia mesti mengambil peluang ke atas keupayaan kaum wanita dalam membuat keputusan.

Dengan itu, kata beliau lagi, setiap rakyat Malaysia dapat menyumbang dengan lebih membina dalam usaha menjadikan negara ini berpendapatan tinggi pada 2020.


Dalam pada itu, beliau yang juga pemangku Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, bagi tujuan itu, seramai 220 wanita menyertai Program Pengarah Wanita anjuran kementerian berkenaan sebagai bukti bahawa golongan itu bersedia berperanan dalam sektor korporat.


"Saya ucapkan tahniah kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang menganjurkan program ini dengan fokus mahu mencapai sasaran melahirkan lebih 200 wanita berpotensi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/14


Ruang kemuka pandangan sedia Pelan Aspirasi Wanita

Posted: 13 Dec 2012 11:07 AM PST

IPOH: Wanita daripada pelbagai kaum diminta mengemukakan pandangan kepada Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga Kebangsaan (MPWK), bagi penyediaan Pelan Aspirasi Wanita pada masa hadapan.

Pengerusinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata, semua aspirasi itu akan dikumpulkan dalam tempoh dua bulan bermula semalam sebelum dianalisis dan diserahkan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak).


"Kita mengadakan satu jawatankuasa khas bagi mengumpul serta menganalisis aspirasi wanita pelbagai kaum di peringkat akar umbi untuk dikemukakan kepada Najib sebelum dihantar ke peringkat kementerian untuk tindakan susulan.

"Usaha itu adalah pendekatan baru yang dilaksanakan MPWK mengikut jejak kepemimpinan Perdana Menteri yang sering turun hingga ke akar umbi.


"Pada hari ini, kita melihat banyak pelan, program mahupun polisi dilahirkan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri (Najib) yang semuanya datang daripada permintaan akar umbi," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Aspirasi Wanita anjuran MPWK, di sini, semalam.


Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Noriah Kasnon; Pengerusi MPWK Perak, Datuk Hamidah Osman dan Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Kamilia Ibrahim.

Shahrizat berkata, pihaknya meminta MPWK di 222 kawasan Parlimen turun padang ke peringkat akar umbi bagi mengumpulkan aspirasi wanita pelbagai kaum di seluruh negara.


"Kita akan kumpul aspirasi itu bukan hanya membabitkan cadangan yang baik, tetapi meliputi kritikan dan teguran oleh golongan wanita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/14


No comments:

Post a Comment