Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


‘Kami mangsa dendam along’

Posted: 27 Dec 2012 12:15 PM PST

KUALA LUMPUR: Hasrat sepasang suami isteri berpindah ke rumah yang baru dibeli Februari lalu terbantut apabila diganggu along yang memburu pemilik lama rumah dua tingkat itu selepas tidak membayar hutang along terbabit.

Pasangan terbabit yang menunggu 20 tahun untuk membeli rumah sepatutnya mendiami rumah berkenaan Ogos lalu, namun akibat takut dengan gangguan along, mereka membatalkan niat itu.


Mangsa Jonathan Rasiah, 46 dan isteri, Serene Rasiah, 39, diganggu along sejak Mac lalu ketika rumahnya di Bandar Kinrara 4, dekat Puchong, dalam proses pengubahsuaian disimbah cat merah.

"Saya menghubungi pemilik lama dan dia mengaku membuat pinjaman daripada along serta berjanji membayar hutang itu bagi menghentikan gangguan terbabit.


"Pemilik lama menyerahkan semua nombor telefon along terbabit sebelum saya membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan saya dan isteri," katanya ketika sidang media di pejabat Biro Pengaduan Awam MCA, di Jalan Ampang, di sini, semalam.


Beliau berkata, hidupnya kembali tenang selama sebulan, namun along terbabit sekali lagi mengganggu mereka sebulan selepas itu dengan menyimbah cat dan kejadian berlarutan sehingga Mei apabila pagar rumahnya dirantai dua kali.

"Bukan itu saja, along terbabit memaksa kontraktor yang membuat pengubahsuaian rumah kami supaya menghentikan kerja mereka dengan mendakwa rumah berkenaan berada dalam keadaan tidak selamat.


"Kami sepatutnya berpindah masuk sejak Ogos lalu, bagaimanapun, kejadian ini membantutkan niat kami untuk menduduki rumah yang kami beli itu," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, pihaknya menggesa peminjam along terbabit membayar hutangnya segera sekiranya tidak mahu identitinya didedahkan.


"Tahun ini saja, kami merekodkan 588 kes membabitkan along dengan jumlah kerugian RM38.7 juta dan jumlah ini sangat membimbangkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/28


Sukar kawal api parkir berlapis

Posted: 27 Dec 2012 12:10 PM PST

KUALA LUMPUR: Penduduk rumah flat termasuk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar ibu negara diancam bahaya ekoran sikap kebanyakan penghuninya yang tidak mengambil berat isu keselamatan terutama ketika berdepan insiden kebakaran.

Sikap penghuni yang sering meletakkan kenderaan mereka secara tidak tersusun dan berlapis hingga menghadang laluan, menyukarkan anggota keselamatan untuk menjalankan operasi sekiranya berlaku kecemasan.


Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman berkata, pihaknya sering berdepan masalah sedemikian dan khuatir sekiranya ia tidak ditangani segera menjadi lebih buruk termasuk mungkin membabitkan kehilangan nyawa.

"Antara insiden terbaru yang kami alami ialah ketika operasi memadam kebakaran sebuah kediaman di Flat Sri Kelantan pada sambutan Krismas lalu.


"Dalam kejadian itu, bomba menerima panggilan kecemasan jam 11.05 pagi dan segera ke lokasi kejadian, namun jentera bomba mengalami kesukaran untuk masuk akibat kenderaan awam tidak diletakkan secara teratur selain kehadiran gerai makanan di bahu jalan," katanya di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/28


3 beranak berpantang ajal

Posted: 27 Dec 2012 12:10 PM PST

MERSING: Tiga beranak yang menaiki sebuah kereta terselamat dalam kemalangan di Kilometer 16, Jalan Endau-Mersing, dekat sini, walaupun kereta berkenaan remuk teruk, semalam.

Mangsa, Siti Norfazlina Zaini, 25, yang memandu Proton Inspira bersama dua anaknya, Siti Norfatiah Mohd Shukri, 4, dan Siti Norfatirah, 16 bulan, terselamat walaupun kenderaan itu berpusing beberapa kali sebelum terbabas dalam semak, jam 10.30 pagi.


Dalam kejadian itu, Siti Norfazlina luka di kepala, Siti Norfatiah cedera ringan di kaki manakala Siti Norfatirah tidak cedera.

Suami Siti Norfazlina, Mohd Shukri Mohammad, 34, berkata, ketika kejadian dia berada di Sekolah Kebangsaan Sawah Datuk.


"Saya menghadiri mesyuarat guru sebagai persiapan sesi persekolahan dan bersyukur walaupun kereta rosak teruk, isteri dan anak terselamat.


"Keadaan mereka stabil dan dijangka dibenarkan keluar selepas proses rawatan selesai," katanya ketika ditemui di Hospital Mersing.

Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Mohd Nor Rasid berkata, berdasarkan maklumat awal, mangsa terperanjat kerana mendapati ada kelopak air di tengah jalan.


"Mangsa membrek sebelum kereta dipandunya hilang kawalan. Kami menasihati pengguna jalan raya berhati-hati ketika memandu memandangkan keadaan jalan licin akibat hujan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/28


Dibiar mati kesejukan

Posted: 27 Dec 2012 12:08 PM PST

DARO: Selepas bertarung nyawa 19 jam, seorang bayi perempuan tidak cukup bulan yang ditemui dalam keadaan hanya dibalut plastik lutsinar dan ditinggalkan kesejukan di bawah rumah seorang penduduk di Kampung Baru Daro, di sini, akhirnya meninggal dunia, kelmarin.

Bayi malang itu disahkan meninggal dunia jam 8 malam selepas pelbagai usaha menyelamatkannya dilakukan pihak hospital gagal berikutan keadaannya dipercayai tidak cukup bulan selain kesejukan.

Sumber berkata, bayi itu ditemui seorang penduduk yang terdengar tangisan dari bawah sebuah rumah pada jam 1 pagi.

"Individu itu mendapati bayi perempuan itu masih bertali pusat selain badan masih berlumuran darah.


"Lebih menyedihkan apabila bayi itu bukan saja dibuang seperti sampah, malah dibiarkan tanpa seurat benang dan hanya dibungkus dengan plastik lutsinar.

"Individu terbabit terus memaklumkan kepada penduduk kampung sebelum membuat laporan polis," katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/28


Bayi mangsa dera masih koma

Posted: 27 Dec 2012 12:07 PM PST

KANGAR: Keadaan bayi perempuan, Sofia Juliana, yang terlantar koma di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Fauziah (HTF), dekat sini, akibat komplikasi dalaman dipercayai didera bapa kandungnya masih tidak menunjukkan sebarang perubahan.

Bayi berusia 38 hari itu yang dimasukkan ke wad ICU HTF sejak jam 11 pagi 24 Disember lalu dipercayai diperlakukan dengan kasar oleh bapanya yang juga warga Thailand apabila melambung dan menggoncang mangsa dengan kuat.


Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Zull Aznam Haron berkata, siasatan awal polis mendapati tiada sebarang kesan kecederaan pada tubuh bayi itu, namun mangsa masih tidak sedarkan diri berikutan mengalami komplikasi dalaman.

"Ketika ini, keadaan mangsa dilaporkan masih belum menunjukkan apa-apa perubahan dan masih koma sejak dimasukkan ke HTF," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, di sini, semalam.


Zull Aznam berkata, bapa mangsa berusia pertengahan 20-an yang disyaki mendera bayinya ditahan jam 4.50 petang hari sama dan kini direman hingga hari ini selepas ibu bayi berusia 23 tahun membuat laporan di Balai Polis Padang Besar.


Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku apabila suspek disyaki menggoncang dan melambung mangsa berulang kali agar berhenti menangis walaupun ditegur isterinya, tetapi wanita itu turut dimarahi serta dipukul.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/28


No comments:

Post a Comment