Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Makin sukar

Posted: 10 Dec 2012 07:28 AM PST

KUNJUNGAN skuad negara ke Bangkok untuk menghadapi perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF, semalam tidak banyak bezanya bagi pengendali Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal ketika situasi kini seakan-akan tidak memihak kepada anak buahnya.

Seperti perlawanan separuh akhir pertama kelmarin yang berkesudahan seri 1-1, ketua jurulatih negara itu masih berdepan masalah kehilangan beberapa tonggak utama menjelang pertemuan timbal balik bertemu anak buah Winfried Schafer di Stadium Supachalasai.


Pemain seperti Wan Zack Haikal Wan Nor serta Mohd Shakir Shaari pada pendapat Rajagobal hampir pasti tidak dapat diturunkan.

Namun Rajagobal tetap tenang walaupun mengetahui lawannya mempunyai skuad terbaik untuk diturunkan pada Khamis ini selain kelebihan beraksi di halaman sendiri.


"Semua perlu faham, kami tidak mempunyai lima tonggak akibat kecederaan dan keputusan seri bagi saya sesuatu yang cukup baik dengan komitmen tinggi ditunjukkan setiap pemain.


"Kalau dibandingkan dengan Thailand, mereka dapat turunkan semua pemain utama. Kita perlu bersikap positif," katanya.

Hasrat meraih bekalan selesa pada separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin lebur selepas Thailand berjaya mengikat kedudukan sekali gus perlawanan timbal balik Khamis ini dilihat lebih memihak kepada Thailand.


Tapi Rajagobal tidak panik, sebaliknya berkata, barisan pemainnya sudah mengetahui apa yang perlu dilakukan apabila bertemu anak buah Schafer sekali lagi.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/10


Messi ledak sejarah

Posted: 10 Dec 2012 07:22 AM PST

MADRID: Rekod jaringan terbanyak dalam setahun milik lagenda bola sepak Jerman, Gerd Mueller yang bertahan selama 40 tahun akhirnya dipecahkan Lionel Messi kelmarin selepas penyerang Barcelona itu menjaringkan dua gol pada minit ke-85 dan 86 ketika menewaskan Real Betis 2-1.

Pemain berusia 25 tahun dari Rosario, Santa Fe, Argentina itu mengukuhkan peluangnya mencatat satu lagi rekod andai dianugerah Ballon d'Or buat kali keempat berturut-turut.


Kehebatan menggelecek, keserasian bersama pasukan dan kekerapan menjaringkan gol menjadikannya pemain lebih sempurna.

Malah dia membuktikan dirinya mampu terus menyerlah pada majlis anugerah sukan yang menawarkan hadiah terbesar dengan tiga kejuaraan Liga Juara-Juara dan lima kejuaraan La Liga.


Messi juga dua kali memenangi anugerah pemain terbaik Piala Dunia Fifa selain menjadi pendahulu senarai penjaring terbanyak Barcelona dengan 283 gol dalam semua kejohanan.


Berbekal kebolehan semula jadinya itu, Messi langsung tiada bandingan dalam sukan ini namun kelincahan kakinya bersama Barcelona itu tidak pernah menjadi ketika bersama pasukan kebangsaan.

Messi menjaringkan 31 gol dalam 76 perlawanan bersama Argentina, satu rekod yang mengecewakan dan tidak mampu menyelamatkan negaranya dari tersingkir di suku akhir Piala Dunia 2010 dan Copa America yang dianjur negaranya tahun lalu.


Pengkritik sering mengatakan Messi tidak boleh dibandingkan dengan Pele mahupun Diego Maradona semata-mata kerana kehebatannya bersama kelab, melainkan dia meninggalkan kesan mendalam pada kejohanan utama antarabangsa.

Peluang untuk Messi melakukannya adalah pada Piala Dunia Brazil 2014 pada usia 26 tahun dan dia mesti berada dalam kedudukan terbaik untuk menunjukkan bakatnya pada kejohanan paling berprestij itu.


"Saya masih menaruh impian bergelar juara dunia dan menjulang Copa America bersama pasukan kebangsaan," kata Messi.


"Saya tahu apa yang perlu dilakukan dan yakin mampu melaksanakannya." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/10


Malam gemilang Falcao

Posted: 10 Dec 2012 07:21 AM PST

MADRID: Radamel Falcao mengalami satu malam yang tidak dapat dilupakannya selepas menjaringkan lima gol buat Atletico Madrid yang menewaskan Deportivo Coruna sekali gus muncul pemain pertama melakukannya dalam La Liga sejak sedekad lalu.

Fernando Morientes muncul pemain terakhir menjaringkan lima gol dalam satu perlawanan bersama Real Madrid pada pertemuan menentang Las Palmas pada Februari 2002 dan Falcao membaharui pencapaian itu sewaktu Atletico membelasah Depor, 6-0 sekali gus membolehkan mereka kekal di tangga kedua, enam mata di belakang pendahulu, Barcelona.


"Saya pernah jaringkan lima gol dalam satu perlawanan ketika masih kecil di Bogota," kata penyerang Colombia yang dikenali sebagai "harimau" dalam laman web Atletico.

"Saya juga pernah jaringkan empat gol ketika bermain untuk Porto, menentang Villareal namun tidak pernah lakukan lima ketika bergelar profesional.


"Saya teruja datang ke Atletico. Ada cabaran peribadi untuk bermain dalam liga hebat ini.


"Saya gembira berada dalam pasukan kuat dan membantu meningkatkan kemampuan sebagai seorang profesional" Falcao kini berada di tempat kedua senarai penjaring La Liga dengan 16 gol daripada 15 perlawanan, tiga gol di depan Cristiano Ronaldo (Real Madrid) dan tujuh gol di belakang Lionel Messi (Barcelona).

Bagaimanapun, banyak kelab kaya Eropah pasti cuba memikatnya selepas ini.


Penyerang 26 tahun itu juga mula dikaitkan dengan pasukan seperti Paris St Germain, Chelsea dan Manchester City, juga musuh setempat, Real Madrid. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/10


Saingan rebut status jaguh kelab Asia

Posted: 10 Dec 2012 07:21 AM PST

TOYOTA (Jepun): Pertembungan Ulsan Hyundai dari Korea Selatan dan Sanfrecce Hiroshima dari Jepun dalam saingan Piala Dunia Kelab, esok bakal menentukan pasukan mana lebih layak mendabik dada di Asia.

Pemenang perlawanan antara juara Liga Juara-Juara AFC dan juara Liga J di Toyota itu merebut tempat kelima kejohanan selepas kedua-dua pasukan tewas di suku akhir, kelmarin.


"Ini adalah cabaran getir dan kami mahu tunjukkan bola sepak Jepun lebih baik daripada Korea," kata pemain sayap Hiroshima dari Croatia, Mihael Mikic.

Perlawanan itu meningkatkan lagi ketegangan membabitkan pasukan kebangsaan kedua-dua negara yang bergelar gergasi bola sepak Asia, pada Olimpik London lalu.


Kelmarin, Ulsan tewas 1-3 kepada juara Concacaf, Monterrey dari Mexico manakala Hiroshima tumpas kepada juara Afrika, Al Ahly dari Mesir.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/10


Aksi Nasri dikritik

Posted: 10 Dec 2012 07:20 AM PST

MANCHESTER: Pengurus Manchester City, Roberto Mancini mengkritik tindakan Samir Nasri serta Mario Balotteli selepas pasukannya tewas kepada seteru utama, Manchester United kelmarin.

City tewas 2-3 hasil sepakan percuma Robin van Persie pada minit ke-92 mengesahkan kemenangan United di Stadium Etihad meskipun Pablo Zabaleta hampir meranapkan impian United apabila menjaringkan gol penyamaan pada lewat permainan.


Sepakan percuma Van Persie mengenai hujung kaki kiri Nasri yang dilihat cuba mengelak dari terkena bola manakal Balotelli terus berjalan menuju ke bilik persalinan selepas dikeluarkan pada minit ke-52. Carlos Tevez yang menggantikan Balotelli pula bertindak keluar daripada membina benteng pertahanan ketika Van Persie mahu melakukan sepakan percuma tapi Mancini menafikan beliau mengarahkan pemain antarabangsa Argentina itu keluar dari benteng itu.

"Ia sepakan percuma yang amat berbahaya. Saya tidak tahu kenapa Tevez keluar dari benteng tetapi kami memang melakukan kesilapan," katanya.


Tindakan Tevez itu menyebabkan City hanya membina dinding pertahanan menerusi tiga pemain saja tapi Mancini berkata, tindakan Nasri agak menghairankan.


"Pada sepakan percuma terakhir itu, kami hanya meletakkan tiga pemain membina benteng pertahanan.

"Adakah benar tiga pemain? Jumlah itu sebenarnya seperti kurang daripada tiga pemain. Kami tidak membina benteng dengan baik," katanya.


"Kami mendominasi separuh masa kedua tapi tewas pada saat akhir dan ia memang sukar untuk diterima.

"Dalam sejarah bola sepak, ada pasukan gagal meraih sebarang kejuaraan kerana faktor ini. Saya kecewa kami tidak menang kali ini." Mancini juga kecewa dengan penampilan Balotelli yang kembali tersenarai dalam kesebelasan utama selepas bermula di bangku simpanan pada dua perlawanan terdahulu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/10


Liverpool cemerlang tanpa Suarez

Posted: 10 Dec 2012 07:18 AM PST

LONDON: Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers percaya aksi cemerlang ketika membantu pasukan mencatat kemenangan 3-2 ke atas West Ham, membuktikan pasukannya mampu beraksi tanpa kelibat Luis Suarez.

The Reds beraksi di Upton Park tanpa Suarez kerana pemain antarabangsa Uruguay itu memenuhi hukuman gantung satu perlawanan sekali gus Liverpool dijangka bakal berdepan tugas sukar.


Namun skuad Rodgers yang dibarisi pemain kurang berpengalaman, meletakkan Shelvey di posisi serangan dan pemain berusia 20 tahun itu nyata mampu beraksi dengan baik.

Bekas pertahanan West Ham, Glen Johnson meletakkan Liverpool di depan sebelum sepakan penalti Mark Noble dan gol sendiri Steven Gerrard menyaksikan West Ham mendahului perlawanan pada hujung babak pertama.


Bekas pemain West Ham, Joe Cole menyamakan kedudukan pada minit ke-76 dan Shelvey muncul watak utama untuk gol kemenangan apabila memberi tekanan kepada pemain pertahanan, James Collins yang kemudiannya melakukan kesilapan menjaringkan gol sendiri tiga minit kemudian.


"Shelvey luar biasa," kata Rodgers. "Anda sendiri dapat saksikan bagaimana dia memikul tugas sebagai penyerang.

"Di sini kami sering memberikan tumpuan kepada pemain penyerang sedangkan pemain lain juga mampu memikul tugas itu.


"Shelvey baru berusia 20 tahun tapi beraksi cemerlang di bahagian tengah serta naik ke bahagian serangan menjadi pemain yang begitu berbahaya dalam kotak penalti." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/10


Moyes enggan dabik dada

Posted: 10 Dec 2012 07:17 AM PST

LIVERPOOL: David Moyes menegaskan masih terlalu awal untuk melabel Everton sebagai antara pasukan pilihan untuk menempah tiket ke saingan Liga Juara-Juara selepas skuad kendaliannya naik ke tangga keempat liga hasil kemenangan dramatik 2-1 ke atas Tottenham.

Anak buah Moyes hanya tinggal beberapa minit untuk tewas di Goodison Park kelmarin dalam usaha mengejar gol tunggal Tottenham yang dijaringkan Clint Dempsey pada babak kedua.


Tetapi pemain tengah dari Afrika Selatan, Steven Pienaar berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-90 sebelum penyerang Croatia, Nikica Jelavic menjaringkan gol kemenangan pada lewat permainan untuk membolehkan Toffees mengatasi Spurs dalam perebutan tempat ke Liga Juara-Juara.

Ketika Moyes percaya Everton berhak untuk berada di kedudukan semasa, beliau tidak mahu terbawa-bawa dengan keinginan begitu tinggi untuk beraksi di pentas Eropah.


"Masih terlalu awal bercakap mengenai tiket saingan utana Eropah. Tetapi kedudukan sekarang sememangnya amat membanggakan kami.


"Kedudukan ini belum selamat kerana tidak mustahil kami jatuh ke pertengahan liga. Memang amat menarik tapi kami perlu kekalkan prestasi semasa.

"Pemain menunjukkan karakter sebenar. Kemenangan seperti ini mampu membawa pasukan mara lebih jauh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/10


DNA menang

Posted: 10 Dec 2012 07:16 AM PST

MANCHESTER: Wayne Rooney percaya aksi menarik Manchester United ketika menewaskan jiran setempat, Manchester City hasil semangat tinggi untuk menang yang dijana pengurus Alex Ferguson.

Barisan Ferguson dikenali sebagai pasukan yang lewat membuat kebangkitan tapi pertarungan mendebarkan di Stadium Etihad, kelmarin, menjadi sebaliknya apabila Pablo Zabaleta menjaringkan gol penyamaan City pada minit ke-86.


Sepakan rendah itu menjadikan kedudukan 2-2 selepas Yaya Toure merapatkan kedudukan selepas dua gol awal Rooney pada babak pertama, namun sepakan percuma Robin van Persie memastikan kemenangan mutlak United.

Kejayaan United yang juga kekalahan pertama City dalam saingan liga musim ini, memastikan mereka memiliki kelebihan enam mata ke atas pesaing setempat itu selepas 16 perlawanan.


Biarpun kemenangan itu cukup dramatik, Rooney mengaku gol lewat itu seperti DNA dalam kelab yang tidak boleh dikatakan sebagai tidak sengaja.


"Ada kemahuan dan kesungguhan dalam kelab dan di bawah Sir Alex, kami tidak pasti akan tewas," kata Rooney.

"Ini bukan satu kebetulan kerana kami kerap menang dengan gol lewat. Kami tahu ia mungkin berlaku pada masa kecederaan. Anda harus terus menyerang." Kejayaan itu satu kepuasan buat United ketika mengimbas kembali persaingan dengan City musim lalu apabila skuad Roberto Mancini menang 6-1 dan 1-0 dab memastikan mereka menjulang gelaran liga pertama dalam tempoh 44 tahun.


"Ia hari paling bermakna buat kami untuk mendahului enam mata dan menewaskan pencabar utama selepas insiden yang berlaku tahun lalu," ulas Rooney. "Kami menunggu detik ini. Kami tahu ia cukup bermakna bagi setiap pemain dan penyokong.

"Kami akan meraikannya. Mereka memiliki rekod hebat di sini dan ia satu perasaan yang hebat." Rooney membuka jaringan pada minit ke-16 menerusi sepakan padu yang memerangkap penjaga gol Joe Hart sebelum menambah gol kedua pada minit ke-29 hasil hantaran Rafeal dari sebelah kanan.


Gol kedua itu yang ke-150 dalam Liga Perdana bagi pemain berusia 27 tahun itu menjadikan dia pemain termuda melakukannya, di samping kekal penjaring terbanyak perlawanan setempat dengan 10 gol. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/10


FA siasat insiden berdarah Ferdinand

Posted: 10 Dec 2012 07:14 AM PST

MANCHESTER: FA Inggeris menyiasat insiden yang menyebabkan pemain Manchester United, Rio Ferdinand cedera akibat dibaling duit syiling dari arah tempat duduk penonton ketika kelabnya menewaskan Manchester City, 3-2 kelmarin.

Muka bek tengah itu berdarah ketika meraikan jaringan kemenangan Robin van Persie pada masa kecederaan di Stadium Etihad.


"Ia cukup mengecewakan selepas pertarungan hebat itu dan kami membincangkannya secara serius," kata jurucakap FA.

"Kami akan berkerjasama dengan kelab dan pihak berkuasa untuk mengenalpasti siapa yang bertanggungjawab. Kami akan menyokong hukuman berat termasuk mengenakan penggantungan seumur hidup.


"Kami mengutuk perbuatan ini kerana ia mendedahkan pemain kepada kecederaan. Amat menyedihkan apabila menyaksikan Ferdinand meninggalkan padang dengan luka di atas matanya." FA akan berkerjasama dengan polis Greater Manchester dan menunggu laporan penasihat kawalan penonton serta pengadil, Martin Atkinson.


Polis turut melancarkan siasatan terhadap insiden itu manakala City menulis surat memohon maaf kepada Ferdinand.

"Kami minta maaf," kata jurucakap kelab. "Kami juga mengecam perbuatan individu terbabit. Kami lihat rakaman CCTV dengan polis dan anggota keselamatan.


"Kami akan menyokong penuh apa juga siasatan yang dijalankan dengan harapan orang yang bertanggungjawab itu dikesan secepat mungkin." Ferdinand juga menceritakan insiden itu dalam Twitter: "Keputusan cemerlang, 3 mata! Hebat! Balingan yang hebat kepada siapa membalingnya! Tidak percaya ia hanya tembaga 2p... sepatutnya syiling 1 pound!" Pengurus City, Roberto Mancini mendakwa tidak melihat insiden itu tapi mengecam pelakunya.

"Saya tidak lihat dan tidak tahu apa yang berlaku," katanya dalam bahasa Itali. "Kami menerima sokongan padu penyokong tapi tidak setuju dengan orang yang melakukannya. Ia tidak baik." Seorang penyokong yang memakai baju City dihalang penjaga gol Joe Hart apabila berlari di atas padang ke arah Ferdinand selepas gol van Persie.


Ferdinand kemudian berterima kasih kepada rakan sepasukan England itu.


"Saya hormati Joe Hart yang menghalang lelaki bodoh itu!" katanya dalam Twitter.


Pengurus United, Alex Ferguson menyifatkan insiden itu cukup dikesali.


"Amat mendukacitakan apabila penyokong berlari ke dalam padang selepas duit syiling terkena mata Rio," katanya kepada televisyen kelab, MUTV.


"Menyedihkan. Perlawanan hebat ini tidak harus melalui insiden itu." City tidak pernah tewas di gelanggang sendiri dalam saingan Liga Perdana sejak dua tahun lalu dan kekalahan itu memberi kelebihan enam mata buat United untuk terus mengukuhkan cengkaman di puncak liga. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/10


Selangor diuji Gladiators

Posted: 10 Dec 2012 07:13 AM PST

JUARA lima kali Piala FA, Selangor berdepan tugas getir pada pusingan pertama Piala FA 2013 selepas diundi bertemu juara Liga Perdana musim ini, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 25 Januari.

Pada majlis undian Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam, juara Piala FA dua kali, Perak turut meniti laluan berliku selepas diundi menentang pasukan kelab dibarisi ramai pemain kebangsaan iaitu Johor FC yang kini dikenali sebagai Darul Takzim FC.


Juara dan naib juara Piala FA musim ini iaitu Kelantan dan Sime Darby FC mendapat 'bye' pada pusingan pertama.

Kelantan, juara tiga piala musim lalu berdepan laluan sukar selepas dijadual menentang naib juara Liga Super, LionsXII FC dari Singapura pada pusingan kedua manakala Sime Darby FC bertemu pemenang perlawanan T-Team dan Perlis.


Sejumlah 12 pasukan masing-masing dari Liga Super dan Liga Perdana layak menyertai Piala FA musim depan bersama lima pasukan Liga FAM serta satu pasukan jemputan, Preach Khan Reach dari Kemboja.


FAM turut mengekalkan format pertandingan Piala FA iaitu format kalah mati pada pusingan pertama (25 Januari) dan pusingan kedua (26 Februari) sebelum perlawanan timbal balik untuk peringkat suku akhir dan separuh akhir yang dijangka berlangsung pada April dan Mei.

Pada majlis undian itu 12 pasukan yang bakal bersaing dalam Liga Super dan Liga Perdana musim depan turut diperkenalkan. Antara pasukan baru membuat penampilan ialah juara Liga FAM, SPA Putrajaya FC dan pemenang tempat ketiga liga itu, UiTM FC serta Kedah yang tewas kepada Pahang apda perlawanan penentuan ke Liga Super.


Dua pasukan baru yang bersaing dalam Liga Super bermula sehari kemudian ialah juara Liga Perdana, ATM dan Pahang.

Sebelum itu, Liga Malaysia bermula secara rasmi pada 5 Januari menerusi perlawanan merebut Piala Sumbangsih antara juara Piala Malaysia, Kelantan dan juara Liga Perdana, ATM di venue yang belum ditetapkan FAM. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/10


No comments:

Post a Comment