Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Buka kereta tanpa bunyi

Posted: 28 Dec 2012 02:09 PM PST

KUALA LUMPUR: Menggunakan sejenis peralatan elektronik buatan Taiwan, seorang lelaki mampu mematikan sistem penggera kereta dengan mudah sebelum menyamun barang berharga dalam kenderaan terbabit.

Alat berkenaan dikatakan mampu memintas frekuensi sistem penggera kenderaan dan suspek dengan mudah masuk ke dalam kenderaan berkenaan selepas sistem penggera dimatikan, membolehkan pintu kereta dibuka tanpa bunyi.


Perkara itu terbongkar selepas polis menahan seorang lelaki berusia 36 tahun yang terbabit dengan jenayah samun kenderaan dalam serbuan di sebuah kondominium di Petaling Jaya, 13 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, pemeriksaan di rumah berkenaan menemui empat komputer riba, satu cakera keras mudah alih dan pelbagai dokumen atas nama individu lain dipercayai yang dicuri suspek.


"Modus operandi suspek ialah menunggu dalam kereta di parkir pusat beli-belah dan menggunakan alat berkenaan untuk memintas frekuensi penggera kereta mangsa.


"Sebaik berjaya membuka kereta mangsa, suspek mengambil barang berharga dalam kereta berkenaan sebelum melarikan diri," katanya.

Beliau berkata, mangsa hanya menyedari kenderaan mereka disamun apabila mendapati pintu kereta mereka terbuka atau kenderaan berkenaan tidak berkunci selain keadaan di dalamnya berselerak.


Katanya, siasatan lanjut mendapati suspek yang dibebaskan dari penjara awal tahun lalu, mempunyai sembilan rekod jenayah lampau.

"Siasatan mendapati suspek sudah beberapa kali melakukan jenayah ini dan tidak menolak kemungkinan ada individu lain yang melakukan samun menggunakan taktik sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/29


8 lelaki ditahan kes curi kedai 24 jam

Posted: 28 Dec 2012 02:07 PM PST

KUALA LUMPUR: Lapan lelaki termasuk seorang remaja berusia 17 tahun yang terbabit jenayah samun kedai serbaneka 24 jam, ditahan dalam operasi khas pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, Rabu lalu.

Dalam serbuan jam 11 malam itu, lima yang ditahan ialah anggota kumpulan samun terbabit manakala tiga lagi pembeli yang disyaki membeli barangan hasil samun mereka.


Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, semua yang ditahan berusia 17 hingga 44 tahun dan siasatan mendapati seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah.

"Serbuan serentak dilakukan di rumah mereka di empat lokasi berasingan iaitu dua di Sungai Besi manakala dua lagi di Keramat dan Seri Alam.


"Dalam serbuan itu, polis merampas dua parang, dua motosikal dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah samun serta pelbagai jenis rokok bernilai RM7,500," katanya.


Menurut Zainuddin, dengan tertangkapnya anggota kumpulan itu, polis menumpaskan sindiket samun kedai serbaneka 24 jam yang aktif di Lembah Klang, terutama di daerah Dang Wangi sejak September lalu.

Beliau berkata, modus operandi kumpulan terbabit ialah berlagak sebagai pelanggan yang ingin membeli kad prabayar telefon bimbit dan masuk dalam kedai tanpa membuka topi keledar bagi mengelak wajahnya dirakam kamera litar tertutup (CCTV).


"Ketika petugas kaunter kedai sibuk mengambil barang diminta, suspek mengacukan parang dan mengarahkannya membungkus semua rokok serta melarikan wang," katanya.

Katanya, suspek melarikan diri bersama seorang lagi rakan yang menunggu di luar kedai dengan motosikal.


Katanya, tangkapan itu menyelesaikan sekurang-kurangnya sembilan kes samun iaitu lima di Dang Wangi dan empat di daerah lain.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/29


Dakwaan tindas tak harus timbul

Posted: 28 Dec 2012 02:06 PM PST

SHAH ALAM: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kesal dengan dakwaan mereka menindas usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) susulan penjualan lapan unit kilang berkembar Taman IKS, Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang, baru-baru ini.

Pengurus Perhubungan Awam PKNS, Ishak Hashim berkata, dakwaan kononnya PKNS menindas pengusaha IKS terbabit tidak harus timbul memandangkan PKNS sudah menawarkan kepada penyewa terbabit untuk membeli lot kilang berkenaan sejak 2009.


Katanya, projek yang menempatkan 20 kilang satu setengah tingkat itu mula diduduki pada 15 Jun 2001 dengan enam unit dijual manakala baki 14 unit lagi disewakan.

Menurutnya, PKNS menawarkan pembelian kilang berkembar itu kepada penyewa yang majoritinya Bumiputera pada 10 April 2009 dan 17 Jun 2010.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/29


Telefon ayah ucap selamat hari jadi

Posted: 28 Dec 2012 02:05 PM PST

ALOR SETAR: "Dia menelefon saya jam 9 malam tadi (kelmarin) untuk mengucapkan selamat hari lahir kepada saya. Tak sangka itu kali terakhir saya berbual dengannya," kata Md Radzi Dahari, 47, bapa arwah Nor Fatimah Anis, 17, yang ditemui mati di rumahnya, awal pagi semalam.

Selain itu, Md Radzi berkata, dia turut menerima SMS daripada menantunya yang turut mengucapkan selamat hari jadi pada malam sebelum kejadian.


Md Radzi berkata, dia mengetahui berita kematian anaknya jam 8 pagi selepas dimaklumkan kakak ipar anak perempuannya itu.

Menurutnya, dia bersama keluarga yang tinggal di Kampung Hutan Palas, Kodiang, Jitra, bergegas ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini.


"Selepas dimaklumkan polis, baru saya tahu apa sebenarnya berlaku hingga menyebabkan kematian anak saya. Sebelum ini kakak ipar arwah menghubungi isteri saya memaklumkan arwah dan suaminya sering bertengkar.


"Tapi, saya tidak mengendahkannya kerana berpendapat itu hanya perselisihan faham biasa.

"Saya langsung tak sangka pertengkaran mereka itu berakhir dengan kematian anak saya, tapi saya reda," katanya yang berharap polis melakukan siasatan dengan teliti supaya individu yang bersalah dibawa ke muka pengadilan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/29


Kehidupan Pak Ya makin stabil

Posted: 28 Dec 2012 02:05 PM PST

KUALA LUMPUR: "Saya semakin gembira dan lega selepas mendapat pelbagai bantuan," kata pelakon veteran, Datuk Yahya Sulong atau Pak Ya.

Menurutnya, kehidupan beliau bersama isteri, Datin Alisah Ali, 65, semakin stabil menerusi sumbangan daripada persatuan artis dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).


"Saya bersyukur kerana bayaran sewa rumah yang tertunggak lapan bulan sudah diselesaikan dan saya masih dapat tinggal di sini," katanya ketika dihubungi, semalam.

Pelakon popular zaman 70-an ini menyatakan bayaran sewa rumahnya di Flat Sri Perak, Bandar Baru Sentul, di sini, dijelaskan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK).


"Menerusi bantuan diterima, saya dapat gunakan untuk membeli ubat dan menampung perbelanjaan harian," katanya yang pernah membintangi filem Putus Sudah Kasih Sayang arahan Tan Sri P Ramlee pada 1971 dan Gila-Gila (1979).


Kehidupan Pak Ya dihimpit kemiskinan mendapat perhatian ramai selepas dilaporkan Harian Metro pada 29 November lalu. Dalam laporan itu, Pak Ya memaklumkan dia gagal membayar sewa rumah RM124 sebulan pada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana tiada wang.

Pak Ya, 84, tidak lagi berlakon kerana mengalami masalah kesihatan akibat asma manakala isterinya menghidap kanser paru-paru. Beliau menerima bantuan daripada Persatuan Seniman Malaysia, Yayasan Artis 1Malaysia dan Persatuan Kebajikan Artis-Artis Veteran Malaysia termasuk Bahagian Baitulmal, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/29


No comments:

Post a Comment