Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Tragedi tonton wayang

Posted: 22 Dec 2012 02:14 PM PST

DUNGUN: Kegembiraan empat sahabat menonton wayang di pusat beli-belah Mesra Mall di Kemasik, Kemaman, bertukar tragedi apabila dua daripada mereka maut selepas kereta dinaiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 87, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran kawasan rekreasi Hutan Rimba Bukit Bauk, di sini, kelmarin.

Dalam kemalangan jam 11.20 malam, Nurul Syazwani Roslan, 20, dari Kampung Panji Alam, Kuala Terengganu dan rakannya, Umi Fatihah Halim Shukri, 17, dari Rumah Murah Alur, Alor Lintang, Besut, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Dungun akibat cedera parah di kepala dan badan.


Nurul Syazwani menghembuskan nafas terakhir jam 2 pagi manakala Umi Fatihah jam 12.30 tengah hari semalam.

Rakan mereka, Hasrul Arif Jamal Abdul Nasir, 22, cedera parah di kepala dan badan, manakala Nazli Mohd Jusoh, 30, yang memandu kereta Proton Waja terbabit hanya cedera ringan.


Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dinaiki empat sahabat terbabit yang dalam perjalanan pulang ke Kuala Terengganu hilang kawalan selepas melalui satu selekoh sebelum bertembung dengan sebuah kereta Proton Wira Aeroback dari arah bertentangan.


Pemandu Proton Wira Aeroback, Mohd Jusoh Dollah, 40, berasal dari Taman Murni Perdana, Paka, dekat sini, cedera parah di muka dan patah kaki kanan.

Ketika kejadian, Mohd Jusoh dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas melapah daging lembu untuk majlis perkahwinan anak rakannya di Kampung Alur Tempoyak, di sini.


Rakan kepada empat sahabat terbabit, Amirul Haziz Marzelan, 23, berkata, sebelum kejadian, mereka bertolak ke Mesra Mall, Kemasik, jam 2 petang dengan menaiki dua kereta.

Menurutnya, selepas menonton wayang jam 10.40 malam, mereka bertolak pulang ke Kuala Terengganu dan keempat-empat mangsa menaiki sebuah kereta, manakala dia mengekori dengan memandu sebuah kereta lain bersama seorang lagi rakan, Mohd Hishammudin Zain Asmadi, 17.


Setibanya di tempat kejadian, dia terserempak kemalangan itu tetapi pada awalnya tidak menyangka ia membabitkan empat rakannya.


"Ketika itu hujan dan keadaan gelap, menyebabkan saya mengambil masa untuk mengenali kenderaan mereka.


"Namun, sebaik menyedari kenderaan terbabit milik rakan, saya segera memberhentikan kereta sebelum bergegas untuk memberi bantuan," katanya ketika ditemui di Hospital Dungun di sini, semalam.


Amirul berkata, Nazli berjaya keluar dari kenderaannya tetapi tiga rakannya tersepit di tempat duduk sebelum anggota bomba dan Jabatan Pertahanan Awam tiba memberi bantuan serta mengejarkan semua mangsa ke Hospital Dungun.


"Ketika bersama arwah Nurul Syazwani di Mesra Mall, dia banyak bercakap dan bergurau dengan kami, dan saya tidak menyangka kegembiraan itu berakhir dengan kejadian menyedihkan," katanya.


Usaha menemubual ibu Nurul Syazwani, Faridah Khamis, 40-an, gagal berikutan masih sedih dan terkejut dengan kemalangan yang menimpa anak keempat daripada lima beradik itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/23


Sempat tunjuk tempat sakit

Posted: 22 Dec 2012 02:10 PM PST

DUNGUN: Nurul Syazwani Roslan, 20, yang terbunuh selepas kereta dinaikinya terbabas sebelum merempuh kenderaan lain di Kilometer 87, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran kawasan rekreasi Hutan Rimba Bukit Bauk, di sini, sempat menunjukkan jari ke rusuk kirinya sambil mulutnya beberapa kali menyemburkan darah.

Seorang saksi yang ditemui, Mazlan Alwi, 45, berkata, dia bersama beberapa pengguna jalan raya lain tidak dapat mengeluarkan gadis terbabit yang ketika itu masih bernyawa kerana tersepit di tempat duduk sebelah pemandu.


"Dia menunjukkan jari ke rusuk kirinya, mungkin disebabkan rasa sakit pada bahagian itu," katanya.

Menurut Mazlan, dua penumpang belakang, Umi Fatihah Halim Syukri, 17, dan Hasrul Arif Jamal Abdul Nasir, 22, turut tersepit dan mengadu kesakitan, manakala pemandu kereta Proton Waja, Nazli Mohd Jusoh, 30, yang cedera berjaya keluar dari kenderaan terbabit sebelum bersandar di sebatang pokok berhampiran.


"Pemandu kereta Proton Wira Aeroback itu turut parah serta tersepit dalam kenderaannya," katanya.


Mazlan berkata, beberapa minit selepas itu kedua-dua agensi terbabit tiba di tempat kejadian dan berjaya mengeluarkan semua mangsa tersepit serta mengejarkan mereka ke Hospital Dungun untuk rawatan.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Waja dinaiki empat sahabat yang dalam perjalanan pulang ke Kuala Terengganu itu hilang kawalan dan bertembung dengan Proton Wira Aeroback dipandu Mohd Jusoh Dollah, 40, selepas melalui satu selekoh di tempat kejadian, jam 11.20 malam kelmarin.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan pihaknya menerima laporan dan meminta orang ramai berhati-hati melalui kawasan itu, berikutan jalan licin boleh menyebabkan mereka terbabas.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/23


Hanya duduk atas kerusi

Posted: 22 Dec 2012 02:08 PM PST

SATU ketika dulu, namanya menjadi sebutan penggiat filem dan drama. Siapa tidak kenal pelakon yang popular dengan watak antagonis, Karim Latiff, 76.

Beliau juga dikenali menerusi filem Ahmad Albab memegang watak Safar pada 1968.

Selepas empat dekad, Karim kini hanya mampu duduk di kerusi urut selepas mengalami masalah penglihatan dan tidak mampu berdiri lama selain sakit kencing manis dan asma.

"Beginilah kehidupan pak cik dan isteri. Kami tinggal di sini sejak 2000. Alhamdulillah, hasil kerja keras dan penat lelah, kami berjaya beli rumah (pangsa) ini. Meskipun tak mewah seperti orang lain, kami tetap bersyukur.


"Paling penting, anak tak melepaskan tanggungjawab dan sentiasa menjenguk kami meskipun semua ada keluarga," katanya ketika ditemui di Taman Al-Ridhuan, Hulu Klang, baru-baru ini.


Katanya, dia mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM300 sebulan.

"Disebabkan golongan orang kelainan upaya (OKU), saya mendapat keistimewaan tidak dikenakan bayaran ketika membuat pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Ditanya mengenai tanggapan masyarakat mengenai kehidupan anak seni yang dianggap mewah, Karim mempunyai pendapat tersendiri.

"Bagi saya, kehidupan sebagai anak seni sangat manis untuk dikenang. Zaman dulu tak sama dengan zaman sekarang, di mana bayaran untuk sebuah drama saja mencecah ribuan ringgit.

"Meskipun pernah berada bersama barisan pelakon popular, saya sentiasa menyimpan walaupun sikit. Sebab, saya fikir apabila hari tua, saya perlukan simpanan untuk diri dan keluarga," katanya.

Memulakan karier seawal usia lapan tahun sebagai penyanyi, Karim pernah memasuki pertandingan Bintang Radio pada 1950-an hingga ke peringkat akhir, namun nasib tidak menyebelahinya.

"Sewaktu zaman Jepun, saya banyak menyanyikan lagu Jepun dalam persembahan pentas.

"Saya mengikuti kumpulan Sandiwara Suria Negara dan menjelajah seluruh negara dengan mengadakan pementasan drama serta nyanyian," kata bapa kepada lima cahaya mata ini.

Pun begitu, disebabkan minat mendalam terhadap lakonan, dia berhijrah ke Studio Jalan Ampas, Singapura seorang diri ketika berusia 18 tahun untuk mengejar cita-cita bergelar bintang.

"Saya masih ingat, mulanya saya hanya berlakon untuk pementasan pentas. Waktu itu saya ditawarkan watak sebagai pelakon pembantu oleh Allahyarham A R Tompel di bawah syarikat miliknya, Sandiwara Kencana dengan bayaran RM3 sehari. Jika tiada bayaran, kami diberi makan nasi kawah secara percuma.

"Waktu itu, RM3 sangat berharga dan dikira mewah. Bayangkan saja, nasi campur ketika itu boleh dibeli dengan hanya 40 sen.

"Saya mula berlakon drama TV pada 1964 dan antara drama yang mempopularkan saya seperti siri Keluarga Tompel dan Potret Pekerti.

"Pada masa sama, saya bekerja di RTM sebagai pengalih suara untuk filem," katanya yang berasal dari Rembau, Negeri Sembilan.

Selepas muncul sebagai anak wayang, tawaran berlakon yang diterima semakin mencurah. Antaranya dia mendapat banyak tawaran daripada Merdeka Studio.

Antara filem lakonannya ialah Sumpah Pontianak, Samseng, Selendang Delima, Mashuri, Anak Bapak, Masam-masam Manis, Keluarga 69, Lain Jalan Ke Syurga serta Amuk Tok Nadim.

INFO:

NAMA: Abdul Karim Abdul Latiff
USIA: 76 tahun
ASAL: Rembau, Negeri Sembilan
ISTERI: Che Asma Hussain
ANAK: Izuddin Nizam, Izmir, Nur Iznita , Izhar dan Izralfiddin

FILEM: Silat Lagenda, Warna-Warna Hati, Mr Os, Penagih Dadah, Dayang Suhana, Enam Jahanam, Ahmad Albab, Gerimis, Anak Bapak, Keluarga 69, Do Re Mi dan Nasib Do Re Mi

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/23


Tak mahu bantuan

Posted: 22 Dec 2012 02:07 PM PST

"SAYA tak mahu belas kasihan tapi minta individu berkenaan memberikan hak yang sepatutnya menjadi milik saya serta rakan senasib," kata Abdullah Khalit Omar, 65, yang juga dikenali dengan JD Khalid.

Dia yang sebelum ini sering menghiasi drama serta filem arahan pengarah tempatan kini uzur dan menggunakan bantuan tongkat disebabkan kesan kemalangan 20 tahun lalu, sekali gus bergantung kepada isteri dan anak untuk meneruskan kelangsungan hidup.

"Hidup saya berubah secara drastik sejak kemalangan ketika pulang daripada penggambaran filem Changkat Buana di Gurun, Kedah.

"Saya koma selama sembilan hari dan langsung tidak mengenali isteri serta anak sebaik sedar... tentu saja saya tak dapat kembali ke dunia lakonan mencari rezeki.


"Biarpun pernah mendapat tawaran, memikirkan kesihatan tidak mengizinkan, saya menolak kerana tak mahu menjadi bebanan kepada orang lain," katanya yang pernah muncul dalam beberapa drama popular serta filem tempatan seperti Driving School dan Perempuan, Isteri dan ....


Katanya, biarpun sesukar manapun kehidupan, dia dan isteri lebih gemar berdikari dan memilih hidup menyendiri berbanding menjaja kesusahannya.

Menceritakan hidupnya dulu jauh lebih selesa berbanding sekarang, dia meluahkan rasa terkilan kerana tiada insentif tertentu buat artis veteran menjalani hidup pada usia emas.

"Hendak kata senang, hidup anak wayang seperti saya taklah segah mana digambarkan orang. Apabila tiba saat sukar seperti sudah tua dan keuzuran, terpaksa juga mengharapkan isteri dan anak.

"Namun sampai bila hendak menyusahkan anak, mereka juga ada kehidupan serta keluarga sendiri untuk ditanggung. Harapan saya, masih ada pihak sanggup membela nasib saya serta rakan lain," katanya yang menetap di flat Bukit Angkasa, Pantai Dalam.

INFO:

NAMA: Abdullah Khalit Omar
NAMA GLAMOR: JD Khalit
UMUR: 65 tahun
ASAL: Jempol, Negeri Sembilan

FILEM: Dadda Connection, Black Widow Wajah Ayu dan Perempuan, Isteri dan ...
DRAMA: Driving School

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/23


Perlu wang untuk buat imbasan, proses radioterapi

Posted: 22 Dec 2012 02:06 PM PST

"KAK Yan benar-benar perlukan wang itu bagi ujian imbasan. Sekarang, terus terang, Kak Yan hanya ada RM350 dalam tangan. Tak tahu nak cakap apa kerana keadaan kesihatan benar-benar tidak mengizinkan," kata seniwati Azean Irdawaty, 62, yang khuatir tidak dapat mengumpul wang mencukupi untuk menjalani ujian imbasan di Hospital Beacon, Petaling Jaya, pada 8 Januari depan.

Menurut Azean, dia memerlukan RM2,150 bagi melakukan ujian imbasan otak, dada, abdomen, darah, pelvis selain proses radioterapi.

Ujian itu penting bagi menentukan status penyakit kanser Lymphedema yang bukan saja menyerang tulang belakang, malah doktor menemui tumor dalam otaknya.

Selain itu, Pelakon Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) pertama pada 1980 itu turut disahkan menghidap kanser payudara tahap ketiga pada Jun 2007.


Azean menghidap Lymphedema iaitu kesan akibat pembedahan membuang 16 kelenjar yang dilakukan pihak hospital ketika menghadapi barah payudara sebelum ini.


Sebelum ini, Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dilaporkan bersedia meringankan beban kos rawatan ditanggung Azean ketika Pengerusi Lembaga Pemegang Amanahnya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengunjungi kediaman seniwati itu di Bandar Utama, Oktober lalu.

Januari lalu, dunia hiburan tanah air dikejutkan dengan khabar angin disebarkan pihak tidak bertanggungjawab di laman sosial twitter mendakwa Azean meninggal dunia. Akhirnya anak Azean tampil membuat kenyataan yang ibunya masih hidup dan sihat walafiat.

INFO:

NAMA SEBENAR: Azean Irdawaty Yusoef
TARIKH LAHIR: 27 Februari 1950
TEMPAT LAHIR: Alor Merah, Alor Setar, Kedah

FILEM: Esok Masih Ada, Langit Petang, Mama Oh Mama, Perjanjian Syaitan, Perempuan, Bintang Malam, Sutera Putih, Baginda, Layar Lara, Mami Jarum Kembali, Waris Jari Hantu

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/23


No comments:

Post a Comment