Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Mangsa rogol mati

Posted: 29 Dec 2012 02:30 PM PST

SINGAPURA: Seorang pelajar India yang menjadi mangsa rogol beramai-ramai dalam sebuah bas di New Delhi hingga mencetuskan tunjuk perasaan besar-besaran di seluruh negara itu, meninggal dunia di sebuah hospital di sini, semalam.

Di New Delhi, polis tambahan dikerah bersiap sedia menghadapi demonstrasi lebih besar menjelang kepulangan mayat mangsa berusia 23 tahun itu.


Perdana Menteri India mendahului ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menggesa penunjuk perasaan menyalurkan kemarahan mereka secara membina.

Menurut doktor di Singapura, pelajar berkenaan meninggal dunia pada jam 4.45 pagi (waktu Malaysia), hampir dua minggu selepas serangan itu yang mengejutkan penduduk India.


"Organnya gagal berfungsi akibat kecederaan teruk pada tubuh dan otak," kata Kelvin Loh, Ketua Eksekutif Hospital Mount Elizabeth.


Mangsa dirogol oleh sekumpulan enam lelaki mabuk secara bergilir-gilir selepas dia menaiki sebuah bas pada 16 Disember lalu.

Mereka juga memukulnya dengan besi sebelum mencampakkan pelajar itu dan seorang rakan lelaki dari bas yang sedang bergerak.


Dia dibawa ke Singapura dengan pesawat Khamis lalu dengan segala perbelanjaan ditanggung oleh kerajaan India. Tindakan itu dikritik oleh beberapa doktor di negara berkenaan yang menyifatkannya sebagai usaha untuk mengalihkan perhatian orang ramai ketika bantahan terhadap serangan itu meningkat.

Pesuruhjaya Tinggi India di Singapura, TCA Raghavan berkata, keluarga mangsa begitu kecewa dengan kematiannya. Kelmarin, seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun, membunuh diri dengan mengelar lehernya selepas dirogol secara bergilir-gilir oleh tiga lelaki. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/30


33 penagih maut minum ubat batuk

Posted: 29 Dec 2012 02:27 PM PST

LAHORE: Sekurang-kurangnya 16 orang, kebanyakannya penagih dadah, mati selepas minum ubat batuk bertoksik.

Kematian mula berlaku Rabu lalu di bandar di Gujranwala, kira-kira 70 kilometer ke utara Lahore.


"Kami menerima 54 pesakit yang mengadu keadaan mereka semakin teruk selepas minum ubat batuk dan 33 orang sudah meninggal dunia," kata Ketua Perubatan bandar itu, Anwar Aman.

Mangsa berusia antara 20 hingga 40 tahun dan kebanyakannya mempunyai sejarah menagih dadah.


Menurut Anwar, orang yang bertanggungjawab menjual ubat batuk itu masih belum dikenal pasti.


Sekurang-kurangnya 19 orang mati di Lahore selepas minum ubat batuk serupa, bulan lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/30


Ariel, Luna Maya kini rakan niaga

Posted: 29 Dec 2012 02:26 PM PST

JAKARTA: Penyanyi, Ariel dan selebriti, Luna Maya membuat kejutan apabila kedua-duanya dikatakan kembali menjalinkan hubungan semula selepas percintaan mereka terputus sebelum ini.

Bagaimanapun, hubungan mereka kali ini hanya terbatas pada perniagaan saja.


Ariel, bekas penyanyi kumpulan Peterpan yang dibebaskan dari penjara beberapa bulan lalu baru-baru ini memulakan perniagaan kasut, ARL, sementara Luna sudah lama terlibat dengan perniagaan pakaian, LM for Hardware.

Dia dipenjara kerana terbabit dalam video porno bersama Luna dan seorang lagi selebriti, Cut Tari, "Hubungan kami hanya berkait dengan perniagaan," katanya malu-malu, lapor Tabloidnova.com.


Ariel sengaja memilih Luna sebagai rakan perniagaan kerana bekas kekasihnya itu mempunyai pengalaman dalam bidang berkenaan. - BT

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/30


Janet Jackson peluk Islam

Posted: 29 Dec 2012 02:26 PM PST

DOHA: Penyanyi, Janet jackson dilapor bertunang secara sulit dengan bilionair Qatar, Wissam Al-Mana dan pasangan itu merancang berkahwin di bandar raya ini pada 2013.

Menurut majalah hiburan UsWeekly, Wissam menghadiahkan adik Michael Jackson itu sebentuk cincin yang amat mahal, membuatkan Janet terlalu bimbang dan sentiasa memastikannya ia disimpan dengan selamat.


Bilionair itu yang keluarganya terbabit dalam perniagaan hartanah dan media ialah Pengarah Urusan Perniagan Al Mana Retail yang mewakili A/X Armani Ex- change. Dia juga adalah pemegang saham dalam Saks Fifth Avenue.

Pasangan berkenaan dikatakan akan berkahwin dalam satu majlis secara Islam.


Pengarang terkenal Turki, Adnan Oktar yang juga dikenali sebagai Harun Yahya berkata, Janet sudah memeluk Islam dan memilih untuk merahsiakannya daripada peminat.


Menurut sumber dalaman, majlis perkahwinan itu akan menjadi acara terbesar dalam sejarah.

Ia termasuk rancangan Janet untuk membawa semua anggota keluarga dan rakannya dengan menaiki pesawat persendirian bagi menghadiri majlis itu.


Mereka dilapor akan membelanjakan kira-kira RM9 juta untuk membawa 500 tetamu dari seluruh dunia sementara Wissam akan menghadiahkan mereka jam Rolex berharga RM30,000 setiap seorang.

"Wissam akan berbelanja besar apabila mengahwini Janet kelak. Ia akan menjadi majlis perkahwinan abad ini." kata sumber itu.


Pasangan itu berkenalan pada Disember 2009 selepas Janet membuat persembahan istimewa di Asia Barat.


Penyanyi berusia 46 tahun itu yang pernah berkahwin dua kali, sebelum ini menegaskan tidak ada salahnya wanita bercinta dengan lelaki muda selagi kedua-duanya bahagia. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/30


Mujahidin mahu perintah Syria

Posted: 29 Dec 2012 02:25 PM PST

BEIRUT: Kumpulan jihad, Barisan Al-Nusra berkata semalam, pemerintahan Islam mesti dilaksanakan di seluruh Syria selepas penggulingan Presiden Bashar al-Assad.

Kumpulan itu yang dilabel oleh Amerika Syarikat sebagai pengganas, turut menuduh Washington berusaha mengekalkan kerajaan Bashar.


Al-Nusra yang mendakwa bertanggung jawab terhadap kebanyakan serangan berani mati sepanjang konflik di Syria sejak 21 bulan lalu, dianggotai oleh pejuang yang sebahagian besarnya warga asing.

Dalam rakaman audio yang dimuatnaikkan di Internet semalam, Ketua Al-Nusra, Abu Mohammed Al-Jawlani berulang kali menegaskan, kumpulan jihad mesti memerintah Syria selepas kejatuhan Bashar.


"Kejatuhan rejim itu akan meninggalkan kekosongan dan kumpulan Islam adalah yang terbaik untuk mengisi kekosongan itu," kata Abu Mohammed.


Dalam mesejnya bertajuk: 'Rakyat Syria, kami korbankan jiwa kami untuk anda,' beliau berkata: "Kami menawarkan kepada anda darah kami untuk mempertahankan agama dan tanah anda. Kami akan terus melakukan pengorbanan selepas ini.

"Kami akan terus berkorban untuk membolehkan rakyat Syria menjalani kehidupan dengan bermaruah dan memiliki semula apa yang diambil daripada mereka, sehingga mereka boleh hidup di bawah pemerintahan panji Islam," katanya.


Beliau turut menyelar masyarakat antarabangsa, khususnya Amerika Syarikat.

"Barat tidak sepatutnya dibiar meraih keuntungan hasil daripada pengorbanan yang telah kita lakukan," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/30


Tak kesal bunuh majikan

Posted: 29 Dec 2012 02:24 PM PST

JEDDAH: Seorang amah warga Afrika berkata, dia tidak menyesal membunuh majikannya.

Dalam keterangan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Arab Saudi semalam, wanita berkenaan berkata: "Saya juga tidak takut kerana kamu tidak boleh bertindak ke atas saya, kecuali menghantar saya pulang ke negara asal saya." Pembantu rumah berkenaan menikam majikannya berulang kali Selasa lalu ketika lelaki berusia kira-kira 50 tahun itu tidur. Dia mengaku menikam mangsa lebih 20 kali. Dua anak majikannya melarikan diri apabila mendengar wanita itu menjerit dan melihatnya mengamuk.


Seorang daripada mereka cedera selepas dihentak dengan seterika oleh wanita itu.

Amah berkenaan juga mengaku merancang membunuh dua anak majikannya itu, kata polis. - AN

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/30


80,000 wanita cari kerja di Makkah

Posted: 29 Dec 2012 02:24 PM PST

JEDDAH: Lebih 100,000 belia Arab Saudi berusaha mendapatkan pekerjaan di Makkah dan dari jumlah itu, 80 peratus daripada mereka adalah wanita.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sumber Manusia, Ayman Beshawari berkata, 30 peratus daripada wanita berkenaan memiliki ijazah sementara yang lain hanya sijil sekolah menengah atau rendah.


Menurutnya, perkembangan itu agak rumit kerana kebanyakan pekerjaan di bandar suci itu adalah dalam sektor perhotelan dan pelancongan.

Masyarakat Saudi masih belum dapat menerima kehadiran wanita dalam kedua-dua sektor itu kerana mereka terpaksa bergaul dengan lelaki. Ia juga memerlukan sokongan pihak berkuasa untuk membolehkan wanita bekerja dalam sektor berkenaan. Ayman bagaimanapun berpendapat, wanita boleh bekerja di kedua-dua sektor itu sebagai penyambut tetamu, kerani dan pegawai di meja pertanyaan, serta restoran yang tidak memerlukan mereka bergaul bebas dengan lelaki. - SG

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/30


No comments:

Post a Comment