Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Kiamat tak jadi

Posted: 21 Dec 2012 08:36 AM PST

LONDON: Jika anda masih hidup pada hari ini maka jelas ramalan kaum Maya bahawa dunia berakhir semalam ternyata silap.

Pakar mendapati bahawa kalendar Maya meramalkan semuanya berakhir tepat jam 11.11 malam semalam.


Bagaimanapun, hari ini dunia masih ada dan hari masih berterusan. Puluhan orang yang membanjiri Kampung Bugarach di Perancis kerana menyangka mereka berada di satu-satunya tempat paling selamat daripada kiamat boleh pulang ke kediaman masing-masing.

Di tempat persembunyian lain, termasuk peluang untuk menyewa kubu bawah tanah Josef Stalin dengan harga AS$1,500 (RM4,590), mereka juga boleh pulang ke rumah. Bagaimanapun, mereka yang menyewa kubu 210 kaki bawah tanah itu bernasib baik kerana akan memperoleh 50 peratus daripada bayaran itu kerana kiamat tidak berlaku.


Sementara itu, di Serbia, tempat perlindungan di Gunung Rtanj yang berbentuk piramid dibanjiri golongan fanatik. Legenda tempatan menyatakan gunung itu pernah menelan ahli sihir jahat yang hanya akan dibebaskan pada hari kiamat dalama bentuk bola api. Bahagian dalam gunung itu kononnya menjadi tempat selamat untuk berlindung kerana dipercayai ahli sihir terbabit akan memusnahkan seluruh dunia.


Sementara itu, beberapa lombong arang batu lama dibuka sebagai ruang selamat untuk puluhan yang tiba di situ.

Sirince, perkampungan kecil di Turki yang terkenal dengan wainnya, juga dianggap sebagai lokasi selamat ekoran kawasan itu hampir dengan tempat di mana Virgin Mary kononnya hidup hingga dia meninggal dunia.


Di China, ramalan itu sudah pun menimbulkan masalah apabila pihak berkuasa negara itu menahan lebih 900 orang minggu ini.

Sekumpulan penganut Kristian berdepan masalah apabila menyebarkan khabar angin mengenai dunia akan kiamat menerusi risalah, cakera padat, buku dan bahan lain yang kemudian dirampas.


Mereka yang ditahan dilaporkan adalah kumpulan Almighty God yang juga dikenali sebagai Eastern Lightning. Pihak berkuasa di Qinghai berkata, mereka melancarkan operasi terhadap kumpulan itu dengan mendakwa mereka menyerang Parti Komunis dan kerajaan. Imej palsu bandar raya Sydney ditawan meteor berapi dan makhluk gergasi tersebar luas di Internet.


Lima individu hippie, termasuk seorang yang mengacukan pistol Taser dihalang polis Perancis ketika mereka cuba memasuki Bugarach. Kampung di kaki banjaran Pyrenees itu dikatakan mengandungi garaj UFO yang akan membawa orang ramai keluar dari bumi ketika kalendar Maya berakhir. Pengikut hari kiamat di sini yakin bahawa tidak akan ada tarikh 22 Disember untuk semua kecuali mereka yang melarikan diri ke desa yang mempunyai 189 penduduk itu.


Jumlah itu meningkat tiga kali ganda semalam dengan 200 wartawan yang kebanyakannya mempercayai aliran New Age turut serta.


Bagaimanapun, 100 anggota polis yang membuat sekatan jalan raya berkata, tiada sesiapa pun dibenarkan masuk ke kampung itu sehingga hari Krismas. Sementara itu, Datuk Bandar Bugarach, Jean-Pierre Delord turut meminta golongan fanatik tidak memasuki kampung berkenaan.


"Kami tidak mahu orang ramai ke sini atas sebab tidak wajar dan kami tidak boleh bertolak ansur dengan jumlah pengunjung yang ramai," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/22


Model kahwini pembunuh kembar

Posted: 21 Dec 2012 08:30 AM PST

BUENOS AIRES: Seorang wanita Argentina memutuskan untuk berkahwin dengan lelaki yang membunuh kembarnya.

Perkahwinan itu diadakan dua tahun selepas kematian kembar wanita yang mempunyai kerjaya sebagai model itu. Edith Casas berkahwin dengan Victor Cingolani semalam di sel tempat Cingolani menjalani hukuman penjara 13 tahun kerana membunuh saudara kembarnya, Johana Casas yang juga model.


Johana dibunuh beberapa hari sebelum hari jadinya yang ke-20 pada 2010. Mahkamah mendapati Cingolani bersalah menembak mati Johana di bandar Pico Truncado, kira-kira 1,931 kilometer di selatan Buenos Aires.

Bagaimanapun, tindakan Edith diselar keluarganya yang menyifatkan dia sakit jiwa.


Mereka tidak menghadiri majlis perkahwinannya. Malah, bapa Edith, Valentin Casas berkata, dia tidak mahu mengakui Edith sebagai anaknya lagi. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/22


Penjara 12 tahun

Posted: 21 Dec 2012 08:28 AM PST

JAKARTA: Sekumpulan pendakwa raya menuntut supaya bekas ratu cantik yang kini menjadi ahli politik, Angelina Sondakh, dihukum penjara 12 tahun dan denda Rp500 juta (RM158,636) kerana terbabit dalam skandal rasuah Kementerian Belia dan Sukan.

Pendakwa raya Kresno Anto Wibowo ketika membaca tuntutan hukuman di Mahkamah Rasuah Jakarta berkata: "Dia didapati bersalah menyalah guna kedudukannya sebagai wakil Badan Belanjawan dan anggota pasukan petugas Suruhanjaya Sukan, seperti yang termaktub dalam Artikel 12 Undang-Undang Rasuah."

Kumpulan pendakwa raya menyifatkan Angelina bersalah menerima Rp12.58 bilion (RM4 juta) dan AS$2.35 juta (RM7.2 juta) sebagai ganjaran daripada Permai Group, syarikat kepunyaan bekas bendahari Parti Demokratiki, M. Nazaruddin yang memenangi tender untuk membina Kampung Atlet Jakabaring di Palembang, Sumatera Selatan.

Pendakwa raya juga menuntut supaya Angelina memulangkan semula wang yang diterima daripada Permai Group kepada negara.


Berdasarkan kepada fakta yang didedahkan dalam perbicaraan sebelum ini, pendakwa raya berkata Angelina menjalinkan hubungan dengan pengarah urusan kumpulan itu, Mindo Rosalina Manulang, juga defendan dalam kes berbabit.


Dalam perbincangan mereka, Angelina bersetuju untuk membantu kumpulan itu memperoleh tender berkenaan.

Dia meminta lima peratus daripada keuntungan projek sebagai ganjaran.

Angelina dan kumpulan peguamnya akan membentangkan rayuan mereka pada 3 Januari depan.- JP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/22


Pasangan dari Pattani edar syabu ditangkap

Posted: 21 Dec 2012 08:28 AM PST

BANGKOK: Sepasang suami isteri dari Pattani ditahan bersama 280,000 pil syabu bernilai 8.4 juta baht (RM839,321) di pintu tol Thanyaburi Selasa lalu.

Ketua Setiausaha Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik, Jeneral Pongsapat Pongcharoen memberitahu sidang media semalam, siasatan polis mendapati, Seri Chumpong, 39 dan isteri, Farida Mat-aree, 29, membawa dadah itu dari utara dan menyembunyikannya di Angthong dan Ayutthaya sebelum mengedarnya kepada penjual di Bangkok.


Polis menerima maklumat dan memantau pasangan itu di Lebuhraya Asia. Polis menemui dadah berkenaan di dalam kereta mereka selepas kenderaan pasangan itu ditahan.

Dalam siasatan susulan di kondominium di daerah Bang Kapi di Bangkok, polis turut menemui rekod jualan dadah.


Pasangan terbabit mengaku membawa dadah itu dari utara ke Angthong lebih sepuluh kali sejak dua tahun lalu dan memperoleh 700,000 baht (RM69,926) bagi setiap perjalanan itu. - BP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/22


Mati tertelan gigi palsu ketika minum

Posted: 21 Dec 2012 08:27 AM PST

SINGAPURA: Ajal memang tidak boleh dielak walaupun dengan kejadian yang tidak pernah diduga.

Ini yang berlaku pada Zhang Qishan, lelaki berusia 82 tahun yang meninggal dunia selepas tertelan gigi palsu ketika meminum susu.

Isterinya, Peng Ahchun berkata, dia melihat sendiri suaminya mati kerana tertelan gigi palsu itu.

"Dia tiba-tiba saja tersedak dan saya tidak tahu apa yang tidak kena," katanya kepada sebuah akhbar tempatan, semalam.


Peng yang sedar suaminya tertelan gigi palsu itu terus meminta lelaki itu memuntahkan kembali gigi itu tetapi dia terlalu lemah dan mukanya kemudian berubah menjadi biru.


Peng, 75, terus memanggil jiran dan menghubungi ambulans, namun tindakannya sudah terlambat. Suaminya telah meninggal dunia.

"Kadang-kadang perkara yang tidak diingini berlaku dalam hidup," katanya dengan sedih.

Menurut Peng, kesihatan suaminya memang lemah kerana mengalami kesukaran bernafas dan lemah jantung. - ST

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/22


Tentera didapati bersalah bunuh remaja

Posted: 21 Dec 2012 08:27 AM PST

BANGKOK: Mahkamah Jenayah Thai semalam memutuskan bahawa remaja lelaki berusia 14 tahun yang tidak menyokong mana-mana parti politik dibunuh oleh tentera pada 15 Mei, 2010.

Inkues itu memutuskan, Kunakorn Srisuwan ditembak mati oleh anggota tentera yang menjalankan operasi di bawah perintah Darurat.

Remaja itu ditembak di belakang dan peluru menembusi perutnya ketika tunjuk perasaan antikerajaan memuncak. - BP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/22


Penentang selar usaha damai Iran

Posted: 21 Dec 2012 08:26 AM PST

BEIRUT: Kumpulan penentang Syria menolak cadangan Iran untuk mengadakan rundingan di negara itu dan menyifatkannya sebagai langkah terakhir Teheran untuk menyelamatkan rejim Presiden Basyar al-Assad.

"Sebaik saja tentera Pembebasan Syria menang satu demi satu pertempuran dan juga dalam politik, rejim dan sekutunya akan cuba melakukan usaha politik yang lemah dan sudah terlambat," kata Pakatan Kebangsaan.

Kumpulan itu berkata, cadangan Iran adalah contoh usaha terdesak untuk selamatkan Basyar dan rejimnya.

Teheran yang menjadi sekutu paling kuat rejim itu menyenaraikan secara terperinci pelan damai enam perkara Ahad lalu, menurut laporan media Iran.


Rancangan itu tidak menyatakan kejatuhan rejim itu tetapi meminta 'semua bentuk keganasan dihentikan serta-merta dan tindakan ketenteraan diletakkan di bawah seliaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu."


Ia turut meminta sekatan terhadap Syria dibatalkan, memulakan dialog kebangsaan, penubuhan perubahan kerajaan dan pilihan raya bebas.

Pakatan Kebangsaan Syria berkata, cadangan Iran itu kelihatan seperti mementingkan keselamatan orang ramai, perpaduan dan kemerdekaan rakyat Syria.

"Tetapi, sekiranya Iran ikhlas, ia mampu membantu rakyat Syria mencapai tuntutan dan kepentingan mereka.

"Iran boleh melakukanya dengan menghentikan sokongan terhadap rejim Basyar, baik dari segi politik, ketenteraan dan ekonomi dengan mendesak rejim itu meninggalkan negara ini secepat mungkin," kata blok pembangkang itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/22


Tentera AS kencing mayat Taliban dipenjara 30 hari, turun pangkat

Posted: 21 Dec 2012 08:26 AM PST

WASHINGTON: Seorang anggota tentera Amerika Syarikat yang dibicarakan di Mahkamah Tentera kerana kencing pada mayat pejuang Taliban dijatuhkan hukuman penjara 30 hari, diturunkan pangkat dan gaji dipotong selama enam bulan.

Pasukan Marin Amerika Syarikat semalam mengumumkan, Staf Sarjan Joseph W Chamblin mengaku bersalah di hadapan hakim tentera.

Dia mengaku bersalah melakukan pencemaran, gagal menyelia anggota bawahannya dan bergambar dengan mangsa peperangan.

Perbuatan biadap Chamblin didedahkan Januari lalu menerusi video yang menunjukkan empat anggota tentera kencing pada tiga mayat anggotaTaliban.


Perbuatan itu dilakukan pada Julai 2011.


Satu siasatan jenayah dijalankan selepas itu.

Pada September 2012, Tentera mengumumkan Chamblin dan Staf Sarjan Edward W Deptola akan didakwa di Mahkamah Tentera.

Kes Deptola belum dibicarakan lagi. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/22


66 peratus rakyat Israel tolak negara Palestin

Posted: 21 Dec 2012 08:25 AM PST

BAITULMAQDIS: Dua pertiga rakyat Israel menolak penubuhan negara Palestin di Tebing Barat.

Hasil Kajian oleh Maagar Mohot yang disiarkan oleh akhbar Maariv menunjukkan 66 peratus rakyat Israel berkata mereka tidak menyokong penubuhan negara Palestin sementara jumlah yang menyokong hanya 11 peratus.

Hampir separuh atau 51 peratus berkata, mereka akan menyokong pembinaan penempatan baru Yahudi di kawasan sensitif di Tebing Barat yang dikenali sebagai E1, yang terletak antara Baitulmaqdis Timur dan kawasan penempatan Maaleh Adumim.

Sembilan peratus berkata, mereka menolak langkah berkenaan. Empat puluh peratus lagi tidak dapat membuat keputusan.


Tiga minggu lalu, Israel berkata ia merancang membina beribu-ribu rumah untuk penempatan baru di kawasan berkenaan.


Rancangan itu mendapat kecaman antarabangsa kerana ia akan menjejaskan penubuhan negara Palestin pada masa akan datang.

Dengan hanya lima minggu menjelang pilihan raya umum pada 22 Januari akan datang, kajian itu juga mendapati sokongan berterusan terhadap parti Likud-Beitenu pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu yang dijangka memenangi 37 daripada 120 kerus, kurang satu daripada kajian minggu lalu.

Parti Buruh, menguasai 20 kerusi, sementara parti nasionalis yang menyokong pembinaan penempatan Yahudi, Jewish Home, meningkat dari satu kepada 12 kerusi.

Parti ultra ortodoks, Shas hilang satu kerusi daripada 12. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/22


39 termasuk kanak-kanak, wanita maut dalam sengketa kaum

Posted: 21 Dec 2012 08:24 AM PST

MOMBASA: Tiga puluh sembilan orang termasuk kanak-kanak, dibunuh dalam satu keganasan kaum di wilayah Tana Delta, Kenya.

Kejadian itu meningkatkan kebimbangan keselamatan menjelang pilihan raya presiden, tahun depan.

Polis semalam berkata, kejadian itu mungkin serangan balas dendam selepas pertempuran antara petani puak Pokomo dan puak Orma yang berlaku Ogos lalu.

Kedua-dua puak itu bersengketa sejak beberapa tahun lalu kerana berebutkan kawasan ragut, kebun dan air di kawasan pesisir pantai.


Enam wanita dan 13 kanak-kanak antara yang mati sementara sembilan penyerang mereka turut maut.


Lebih 100 orang terbunuh dalam beberapa serangan di kawasan itu pada Ogos dan September lalu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/22


No comments:

Post a Comment