Harian Metro: MetroPlus

Harian Metro: MetroPlus


‘Singapore Street’ serba ada

Posted: 13 Dec 2012 11:30 AM PST

SEREMBAN: Kedudukannya hanya terletak pada laluan kira-kira 100 meter panjang tetapi ia begitu popular bukan saja dalam kalangan penduduk di negeri ini, malah negeri berhampiran kerana keunikannya menjual 1001 barangan keperluan harian pada harga rendah dan munasabah.

'Singapore Street' yang terletak di tengah-tengah bandar ini begitu unik kerana deretan 14 kedai lama itu menjual aneka barangan termasuk keperluan harian yang dijual secara runcit dan borong hingga menyebabkan ia bagaikan sebuah pusat beli-belah.

Antaranya alat tulis, barangan plastik, aluminium, pinggan mangkuk, percetakan, barangan elektrik, barang mainan, permainan komputer, alat perhiasan diri dan ringkasnya semua barangan terdapat di situ termasuk keperluan untuk semua bangsa.

Singapore Street dikatakan dibuka sebelum Perang Dunia Kedua, malah ada premis di situ yang mencecah usia seabad.


Lokasinya terletak di belakang Wisma Dewan Perniagaan Melayu Negeri Sembilan iaitu bangunan kedua tertinggi selepas Wisma MAA di bandar ini.


Dengan harga dikenakan lebih murah berbanding di premis lain, Singapore Street bukan saja menjadi tumpuan peniaga kecil, pasar malam malah suri rumah tangga.

Disebabkan bekalan yang pelbagai, pelanggannya juga terdiri daripada pelbagai bangsa, tidak kira had umur, yang kecil, tua dan muda, setiap hari tertumpu di premis perniagaan di situ bagi mendapatkan barangan yang mereka inginkan.

Walaupun banyak pusat beli-belah moden dibina di bandar ini, Singapore Street tetap menjadi pilihan orang ramai lantaran pelbagai barangan yang mudah diperoleh di situ, hingga ada kalanya peniaga di situ tidak cukup tangan melayani pelanggan.

"Kita tidak perlu bersusah payah buat pasport untuk perjalanan jauh ke Singapura. Di Seremban pun ada," adalah antara ungkapan masyarakat tempatan mengenai Singapore Street yang terletak di Jalan Siow Loong Hin.

Peniaga barangan runcit, Kong Pan Seong, 60, mengakui Singapore Street menjadi tumpuan namun tidak ramai yang mengetahui sejarah bagaimana tempat itu dinamakan begitu rupa.

Dia yang berniaga di situ sejak 30 tahun lalu, berkata suatu ketika dulu banyak lori yang datang memunggah barangan perdagangan di situ dari Singapura hingga menyebabkan masyarakat setempat menamakan kawasan itu Singapore Street kerana kesibukannya.

"Saya difahamkan kedai di sini sudah wujud lebih 100 tahun. Keunikan kawasan ini kerana ia menawarkan 1001 barangan keperluan. Sikap semua peniaga di sini melayani pelanggan dengan baik dan sama rata tanpa mengira kaum menyebabkan orang ramai sukan berbelanja.

"Tidak hairanlah, Singapore Street sangat sibuk setiap hari, malah bertambah sibuk ketika masyarakat majmuk di negara ini bakal menyambut perayaan masing-masing, tidak kira hari raya, Tahun Baru Cina mahupun Deepavali dan Krismas kerana kadangkala pelancong asing juga turut membeli barangan di sini.

"Kalau cuti sekolah pun sibuk juga, tapi musim perayaan banyak orang datang cari bekalan tepung dan bahan untuk membuat kuih selain barangan plastik," katanya.

Kong berkata, walaupun jalan itu ditukar nama kepada Jalan Siow Loong Hin mulai 1970-an bersempena dengan nama seorang tokoh tempatan, kebanyakan penduduk setempat lebih mengenali Singapore Street.

Seorang lagi peniaga, Zuliawati Abdullah, 38, dari Pedas, Rembau, berkata semua barangan perniagaannya dibeli di Singapore Street kerana harganya lebih murah berbanding di tempat lain.

Dia yang menjalankan perniagaan makanan ringan sejak lebih 20 tahun lalu, mengakui Singapore Street menjadi pilihannya kerana semua barangan yang diperlukan terdapat di situ.

"Saya mengambil stok secara pukal dari kedai di kawasan ini sejak lebih 20 tahun lalu kerana perbezaan harga yang sedikit memberi keuntungan kepada saya.

"Murah sangat tidaklah, tapi kita dapat jimat 20 hingga 50 sen bagi satu produk makanan ringan. Itu sudah mencukupi," katanya ketika memilih pelbagai barangan makanan ringan pelbagai jenama dari sebuah kedai di Singapore Street.

Bagi Noriati Mohd Shah, 55, dari Ampangan berkata, walaupun dia bukan seorang peniaga, tetapi Singapore Street sering kali dikunjunginya untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan rumah kerana harga di situ boleh melakukan tawar menawar.

Menurutnya, ada kalangan peniaga yang boleh bertolak ansur dari segi harga, bagaimanapun bagi barangan yang tidak boleh ditawar, harganya masih dianggap rendah.

"Saya suka membeli barangan di sini kerana mudah diperoleh disebabkan hampir semua barangan termasuk tradisional seperti tudung saji rotan, periuk, termos air, kerusi, payung dan pelbagai alat mainan kanak-kanak ada dijual," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/14


Tak sabar tunggu surau baru

Posted: 13 Dec 2012 11:25 AM PST

SHAH ALAM: Penduduk Pangsapuri Rimba Jaya, Seksyen 16, di sini, gembira kerana bakal menerima sebuah surau bernilai RM500,000 dalam tempoh kurang empat bulan lagi.

Penduduk, Solahan Suratman, 50, berkata, penduduk tidak sabar untuk menerima surau berkenaan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peruntukan membina surau sewaktu majlis Sepetang Bersama Perdana Menteri di Rimba Jaya, 13 Januari lalu.


"Selepas Perdana Menteri berjanji memberi dana membina surau yang lebih luas dan selesa, pada awal tahun ini kami semua sangat teruja dan tidak sabar. Semua janji beliau sudah tertunai dan keperluan golongan rakyat tidak dipinggirkan di kawasan ini.

"Mulai tahun depan, penduduk di sini tidak perlu lagi bersesak menunaikan solat dan boleh mengadakan majlis keagamaan di surau sedia ada di bawah pangsapuri ini," katanya pada majlis perasmian pembinaan surau terbabit, baru-baru ini.


Turut hadir Penyelaras Barisan Nasional Parlimen Shah Alam, Datuk Ahmad Nawawi Md Zin; Penyelaras Dewan Undangan Negeri Batu Tiga, Zulkurnain Md Roslan dan Imam Satu Surau Al-Hijrah, Basar Atan.


Surau yang dikenali Surau Al-Hijrah itu boleh memuatkan lebih 400 jemaah dalam sesuatu masa.

Sementara itu, Ahmad Nawawi berkata, surau terbabit juga akan menerima sumbangan berbentuk bahan ilmiah dari pihak Yayasan Al-Bukhary bagi memudahkan penduduk setempat mendalami ilmu Islam.


"Dengan pembinaan surau ini, penduduk boleh mengeratkan silaturahim serta menambahkan lagi ilmu dengan menggunakan bahan ilmiah yang disumbangkan.

"Saya berharap dengan siapnya surau ini kelak, ia tidak dijadikan medan untuk berpolitik dan saya menyeru kepada ahli kariah untuk sama-sama mengimarahkan surau baru ini kelak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/14


Jalan berlopak ancam penunggang motosikal

Posted: 13 Dec 2012 11:25 AM PST

MELAKA: Permukaan bahu jalan yang berlopak di tepi jalan utama Batang Tiga, Klebang, bertentangan sebuah pasar raya di sini, dibimbangi boleh mengundang risiko kepada pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal.

Peniaga gerai minuman berhampiran mendakwa kewujudan beberapa lopak di tepi jalan berkenaan membahayakan keselamatan pengguna. Salasiah Yusof, 47, berkata, sesetengah lopak pada permukaan bahu jalan itu agak lebar serta dalam.


Menurutnya, ada motosikal hampir terbabas disebabkan terlanggar lopak.

Katanya, seorang penunggang motosikal hampir cedera selepas motosikalnya terbabas sebaik melalui atas permukaan berlopak di situ, baru-baru ini.


Katanya, lebih membimbangkan kalau hujan apabila lopak bertakung air menyebabkan kewujudannya tidak disedari pengguna.


"Sehubungan itu, pihak berkenaan diharap dapat meratakan lopak yang ada di sepanjang bahu jalan ini demi keselamatan dan keselesaan orang ramai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/14


Tupperware bantu 50 anak yatim, miskin

Posted: 13 Dec 2012 11:24 AM PST

KLANG: Seramai 50 anak yatim dan miskin dari Rumah Penyayang Hembusan Kasturi (RPHK) di Jalan Kapar, di sini, gembira menerima bantuan persekolahan disalurkan syarikat jualan langsung Tupperware Brands Malaysia Sdn Bhd (Tupperware), baru-baru ini.

Sumbangan berupa beg sekolah, bekas minuman dan makanan jenis Tupperware sebagai persiapan awal sebelum memasuki musim persekolahan baru tahun depan.


Pengarah Eksekutif Kanan Pusat Jualan Tupperware Lia Kayangan, Sahliah Kasmani berkata, sumbangan itu adalah program tahunan yang termasuk di dalam tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat jualan langsung berkenaan.

Katanya, menerusi bantuan diberikan, ia dapat membantu golongan kurang bernasib baik agar tidak tercicir dalam bidang pendidikan dan menjadi modal insan berilmu.


"Kami memilih RPHK kerana difahamkan rumah ini kurang menerima bantuan sebelum ini. Selain itu, keadaan asrama lelaki dan bilik belajar di sini juga tidak selesa kerana mereka hanya menggunakan kabin daripada kontena lama yang diubahsuai.


"Menerusi sumbangan ini, kami harap ia dapat menceriakan penghuni di RPHK selain dapat memberikan semangat baru kepada anak-anak di sini," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan sumbangan.

Sahliah berkata, pihaknya begitu tersentuh hati apabila melihat kehidupan yang ditanggung 15 pelajar lelaki apabila mereka tidur dalam keadaan berhimpit dalam bilik sempit dan panas di dalam kabin berkenaan.


Katanya, pengalaman itu bukan saja menarik hatinya untuk menyalur bantuan, namun ia juga menjadi satu pengalaman yang memberi pengajaran bermakna kepada seluruh wakil syarikat yang hadir kerana masih ada golongan yang tidak bernasib baik.

"Saya tidak dapat bayangkan sekiranya perkara ini berlaku kepada keluarga saya sendiri. Saya sebak menyaksikan kanak-kanak ini yang hidup dalam kedaifan, tetapi masih bersemangat untuk meneruskan kelangsungan hidup," katanya.


Sementara itu, Pengetua RPHK, Maryam Shafie berkata, pihaknya berterima kasih di atas keprihatinan Tupperware kerana sudi membantu kanak-kanak yang tinggal di rumah kebajikan berkenaan yang sudah dianggap seperti anaknya sendiri menjelang sesi persekolahan yang bakal bermula pada Januari nanti.


Katanya, segala sumbangan yang diberikan itu menceriakan kanak-kanak terbabit selain turut memberi sinar baru dalam kehidupan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/14


5,000 hadir

Posted: 13 Dec 2012 11:24 AM PST

RAWANG: Lebih 5,000 pengunjung menjayakan sambutan Karnival Koperasi Bandar Tasik Puteri (KOBTP), baru-baru ini.

Perasmian karnival disempurnakan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Selangor, Mohamad Kamil Hassan Hilmi. Hadir sama, Penolong Pengarah SKM Wilayah Hulu Langat/Gombak, Mahdzar Sharil Mohd Mahdzir dan Pengerusi KOBTP, Azman Sapian.


Pada majlis yang sama, Mohamad Kamil melancarkan baja kompos keluaran koperasi itu yang dinamakan 'Menjadi'.

Azman berkata, sambutan karnival itu bertepatan pada masanya bagi menghimpun ahli dan penduduk setempat sempena musim cuti sekolah ini dengan sebanyak 50 gerai jualan makanan, minuman, kraftangan, pakaian dan permainan disediakan kepada pengunjung.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/14


Taman tasik ‘port’ maksiat

Posted: 13 Dec 2012 11:24 AM PST

PORT DICKSON: Kawasan perumahan tersusun dengan prasarana serba lengkap menjadikan Bandar Springhill, di sini, sebuah penempatan idaman bagi setiap keluarga.

Bagaimanapun, kelebihan dimiliki sedikit tercalar akibat tindakan segelintir individu termasuk remaja menjadikan Taman Tasik Bandar Springhill sebagai 'port' melampiaskan nafsu dan melakukan perbuatan tidak bermoral.


Metroplus difahamkan, pihak berwajib dan penduduk setempat kerap melakukan rondaan di taman itu dan kerap menahan remaja sedang 'berseronok'.

Antaranya, mereka mengesan wujud kegiatan meminum minuman keras apabila terdapat botol arak bertaburan di kawasan itu.


Pengawal keselamatan, S Muniandy, 45, berkata, aktiviti tidak bermoral itu sudah lama berlaku dan dia kerap terserempak dengan perlakuan memalukan segelintir remaja dengan mendakwa kebanyakan mereka daripada luar kawasan perumahan berkenaan.


"Ada kalanya mereka datang berkumpulan dan apabila keadaan 'selamat' mereka akan mencari 'port' untuk melakukan adegan seterusnya. Pernah juga saya dimaki hamun kerana dikatakan mengganggu kegiatan mereka.

"Saya harap pihak berkuasa tempatan (PBT) melakukan rondaan lebih kerap di kawasan taman tasik ini supaya kegiatan remaja bermasalah ini dapat dibendung," katanya.


Tinjauan juga mendapati lampu jalan dan di sekeliling tasik tidak berfungsi dan keadaan itu dipercayai memudahkan kegiatan tidak bermoral dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

Tidak dapat dipastikan apakah lampu jalan rosak atau memang sengaja tidak dihidupkan pemaju perumahan, tetapi jika keadaan itu berterusan pasti menyulitkan keadaan dan menjejaskan imej kawasan sekitar yang cantik apatah lagi terdapat sebuah masjid dan universiti berhampiran yang dalam pembinaan.


Seorang sukarelawan tempatan, Murizan Mohammad, 35, berkata, dia sering terbabit operasi menahan pasangan remaja sedang melakukan perbuatan tidak bermoral di taman itu.


"Kebanyakan mereka yang melakukan perbuatan sumbang ini adalah remaja dari luar kawasan ini. Namun, ada juga anak penduduk di sini yang kami tangkap dan diserahkan kepada pihak surau untuk diambil tindakan.


"Pernah satu ketika apabila kami maklumkan kepada keluarga mereka, akhirnya kami pula dipersalahkan kononnya tindakan kami hanya memalukan mereka," katanya.


Menurutnya, sebagai sukarelawan dia hanya menjalankan tanggungjawab demi agama di samping tidak mahu kawasan taman terus tercemar dan menjadi lokasi remaja melakukan maksiat.


"Masalah sosial kalangan remaja 'ibarat duri dalam daging' dan jika tidak dibendung pasti mendatangkan masalah kepada penduduk setempat.


"Kami juga berharap PBT mengadakan rondaan lebih kerap lagi di kawasan ini. "Pemaju juga disarankan meletakkan pengawal keselamatan dan menyalakan lampu ketika malam. Sayang sekali, tempat yang cantik, tetapi jika tidak diselenggara dengan baik akan merosakkan pandangan mata," katanya.


Bagi pesara tentera, Khamis Kasbin, 60, berkata, masalah remaja 'terlampau' sejak sekian lama amat memalukan dan perlu segera ditangani.


Katanya, dia dan beberapa penduduk turut mengadakan rondaan tetapi kerana kekangan masa aktiviti itu tidak dapat dijalankan selalu.


"Kami mengharapkan pemaju tidak terlepas pandang permasalahan sosial remaja di sini kerana imej Bandar Springhill sebagai 'Bandar Pendidikan' akan tercemar.


"Perbincangan untuk mengatasi masalah ini boleh dilakukan dengan kerjasama Persatuan Penduduk Bandar Springhill dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) kawasan Port Dickson," katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Surau Al-Hijrah, Bandar Springhill.


Sementara itu, Pegawai Penguat Kuasa Mains Port Dickson, Md Isa Rosdi, berkata, pihaknya kerap menerima aduan kejadian maksiat di Taman Tasik Bandar Springhill khususnya membabitkan remaja Melayu dan beragama Islam.


"Bila pihak kami membuat operasi bersama PBT dan penduduk, pelaku maksiat ini dapat meloloskan diri kerana kawasan taman tasik ini besar dan banyak laluan keluar masuk. "Pihak kami amat berharap penduduk setempat membuat rondaan lebih kerap dengan menubuhkan Rukun Tetangga (RT) bagi mengekang gejala maksiat daripada berleluasa di kawasan berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/14


Bau busuk 10 tahun

Posted: 13 Dec 2012 11:23 AM PST

MASAI: Kira-kira 400 penduduk di Jalan Kempas 7 dan 10, Taman Megah Ria di sini, bukan saja terpaksa menghidu bau busuk setiap hari sejak 10 tahun lalu, malah berdepan ancaman nyamuk akibat sistem kumbahan tersumbat.

Suri rumah, Norhaini Abd Razak, 40, berkata, masalah berlarutan hampir 10 tahun itu sudah diadukan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), namun hingga kini masih tiada jalan penyelesaian.


"Masalah ini sudah berlarutan sejak 10 tahun lalu dan kini, ia semakin serius terutama tiga bulan kebelakangan ini.

"Kami sudah jemu membuat aduan, malah lebih menyakitkan hati apabila kontraktor sambil lewa ketika membuat kerja. Apakan tidak, tidak sampai seminggu air kumbahan melimpah semula ke jalan.


"Keadaan itu bukan saja menyebabkan bau busuk, malah menyukarkan laluan penduduk yang menggunakan jalan ini setiap hari," katanya.


Seorang penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Leong, 40, berkata, sistem kumbahan tidak diselenggara itu menjadi punca masalah kesihatan anaknya.

"Anak saya selalu demam dan hilang selera makan. Saya syak ia berpunca daripada Aedes yang membiak melalui air kumbahan yang bertakung sejak tiga bulan lalu.


"Sebahagian tandas di perumahan ini terjejas menyebabkan kami terpaksa kerja lebih masa setiap hari untuk membersihkan air bertakung," katanya.

Seorang lagi penduduk, R Renny, 39, berkata, bau meloyakan dan busuk itu menjejaskan aktiviti luar tiga anaknya.


"Ketiga-tiga anak saya hanya terperuk di dalam rumah dan tidak mahu untuk melakukan aktiviti atau bermain bersama rakan. "Malah, saya sendiri terpaksa cuci kereta dan motosikal setiap hari kerana tiada pilihan dan terpaksa melalui jalan dilimpahi air najis," katanya.


Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Mohamad Firdaus Abdul Hamid berkata, pihaknya sudah melakukan tinjauan ke lokasi terjejas dan pembaikan segera akan dilaksanakan dalam masa terdekat.


"Kami berharap penduduk bersabar sementara menunggu Bahagian Saliran dan Pengurusan Sungai Jabatan Kejuruteraan MBJB menyelesaikan masalah ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/14


Sarang ponteng

Posted: 07 Dec 2012 07:48 PM PST

KUALA LUMPUR: Taman Rimba Bukit Kerinchi, Pantai Dalam, di sini, yang dibuka, baru-baru ini, kini menjadi lokasi kaki ponteng pelajar dari sekolah berhampiran untuk melepak.

Lokasinya yang terpencil dan jauh dari kesibukan jalan utama menjadikan kawasan berkenaan sunyi dan ini menyebabkan segelintir pelajar sekolah menengah dan rendah mengambil kesempatan ke situ.


Tinjauan Metroplus pada jam 11 pagi di taman rimba itu baru-baru ini, mendapati terdapat sekumpulan remaja mandi-manda dan berbual-bual sambil merokok di pondok di situ.

Ketika ditanya mereka mendakwa berusia 11 hingga 17 tahun dan semuanya berasal dari perumahan berhampiran taman rekreasi berkenaan.


Menurut mereka, ibu bapa masing-masing tidak mengetahui apa yang dilakukan kerana bekerja dan pemerhatian juga mendapati pada jam 1 tengah hari kumpulan remaja itu bergerak pulang sama seperti waktu tamat persekolahan biasa.


Peniaga, Muhd Saiful Adnan, 20, berkata, walaupun baru pertama kali ke taman rimba itu, namun dia agak kesal apabila mendapati kawasan itu menjadi lokasi kaki ponteng pelajar sekolah.

Katanya, lokasi yang jauh daripada kawasan perumahan selain tiada kawalan ketat di taman itu menyebabkan mereka bebas keluar dan masuk ke pusat rekreasi itu.


"Sekiranya tiada pengawasan di kawasan itu, kami bimbang pelbagai jenayah lain dilakukan remaja kerana tiada siapa sedar perbuatan mereka kerana ia jauh daripada pandangan masyarakat.

"Malah, saya dapati sudah banyak kerosakan dilakukan di tandas selain terdapat kecurian seperti kipas," katanya.


Katanya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu bertindak lebih tegas menangani perkara ini bagi memastikan taman rimba itu terjaga dan memberi keselesaan kepada pengunjung.


Bagi Syed Ahmad Syuhaidi, 24, dia berkata, selain kawasan itu menjadi 'port' lepak pelajar yang ponteng, taman itu perlu diselenggara lebih baik bagi menarik orang ramai untuk berkunjung.


"Macam mana orang ramai hendak tahu kewujudan taman rimba ini kerana tanda lokasi tidak kelihatan, malah sepanjang laluan dari jalan utama pula dipenuhi sampah-sarap selain tiada bekalan air dan elektrik.


"Ramai kawan-kawan saya tidak tahu mengenai taman ini dan mereka terkejut sebaik mengetahui lokasinya terletak di Pantai Dalam," katanya.


Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Nasional, Prof Datuk Dr Mohamad Ali Hassan berkata, kerjasama semua pihak perlu bagi mengekang aktiviti ponteng di kalangan pelajar dan mereka berhak melaporkan kegiatan itu kepada pihak sekolah.


Katanya, kerjasama ibu bapa dan komuniti setempat melaporkan jika terdapat kejadian itu bagi rekod sekolah ia sekali gus mengekang perbuatan terbabit.


"Bagaimanapun, pihak sekolah juga boleh mengambil beberapa langkah untuk mengelakkan perkara ini berlaku antaranya dengan memanggil nama pelajar yang ponteng atau menaikkan nama pada laman web sekolah.


"Dengan ini, pelajar yang melakukan kesalahan itu sedar dan malu untuk mengulangi aktiviti tidak berfaedah," katanya ketika dihubungi.


Katanya, dasar 'sifar ponteng' juga perlu dilaksanakan kerajaan bagi menjadikan sekolah sebagai pusat ilmu seterusnya membudayakan pendidikan di kalangan pelajar.


Sementara itu, Pengurus Perancangan Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Dr Ismail Stapa berkata, sekiranya kegiatan ponteng itu berlaku di kawasan selenggaraan mereka, pemerhatian akan dilakukan pihaknya, namun tiada tindakan diambil berikutan perbuatan itu bukan di bawah bidang kuasa mereka.


Katanya, sekiranya mereka tidak mengganggu atau melakukan perbuatan vandalisme, pegawai yang ditugaskan di satu-satu kawasan riadah tidak boleh melakukan tindakan kecuali menasihat mereka supaya berkelakuan baik.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/28


No comments:

Post a Comment