Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Dapat layanan buruk

Posted: 11 Dec 2012 08:45 AM PST

PADANG macam sawah padi! Itu nada kecewa disuarakan pengurus skuad kebangsaan, Datuk Seri Subahan Kamal selepas melihat padang latihan yang digunakan Harimau Malaya di Bangkok, semalam.

Penganjur Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) menyediakan padang di Jaran Buraprat untuk skuad kendalian Datuk K Rajagobal menjalani latihan namun ia tidak seperti yang diharapkan.


Keadaan permukaan padang yang berlopak, rumput tebal boleh mengundang kecederaan kepada pemain dan lebih mengecewakan, padang awam itu tanpa tempat persalinan dan bilik air.

Bagi Subahan, beliau tidak menyangka AFF dan juga Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) memberi layanan buruk kepada skuad kebangsaan yang dianggap boleh menjejaskan persiapan menghadapi Thailand pada separuh akhir kedua Piala AFF esok.


"Saya amat kecewa dengan padang latihan disediakan. Ketika Thailand datang ke Kuala Lumpur pada aksi pertama separuh akhir, kami beri layanan baik dengan menyediakan anggota polis dan stadium latihan tertutup tapi di sini mereka beri padang sawah kepada kita.


"Tindakan mereka langsung tiada semangat kesukanan, ini hanya merugikan masa latihan skuad kebangsaan di sini," katanya.

Skuad kebangsaan tiba di Bangkok kelmarin, sehari lebih awal bagi melakukan persiapan rapi selepas seri 1-1 pada pertemuan pertama di Kuala Lumpur, Ahad lalu.


Menurut Subahan, beliau sudah mengemukakan laporan kepada AFF dan FAT mengenai masalah itu.

"AFF sudah dimaklumkan tapi dengan tempoh singkat ini, mereka gagal menyediakan padang lain," katanya.


Sementara itu, Rajagobal mengaku kecewa keadaan padang membahayakan selain tidak dapat menilai tahap pemain yang cedera.


"Saya takut dengan keadaan padang teruk ini akan mencederakan pemain dan sebab itu mereka hanya memanaskan badan saja.


"Senario ini mengganggu persiapan pasukan tapi kami tidak boleh terlalu memikirkan masalah ini dan saya mahu semua pemain kekal fokus," katanya.


Peluang terakhir Rajagobal merencana strategi adalah pada sesi latihan rasmi di Stadium Supachalasai, hari ini.


Mengulas kecederaan pemain, beliau berkata, Mohd Shakir Saari dan Wan Zack Haikal Wan Noor masih belum pasti dapat diturunkan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/12


Felda sambar pemain ternama

Posted: 11 Dec 2012 08:40 AM PST

KETIKA beberapa pasukan lain gah mempersiapkan pasukan apabila menyambar pemain bertaraf bintang, Felda United FC tidak mahu ketinggalan membentuk skuad terbaik bagi mengelak menjadi skuad belasahan pada saingan Liga M musim depan.

Usaha mendapatkan khidmat pemain berpengalaman tetap menjadi sasaran apabila berjaya mendapatkan pemain kebangsaan, Amar Rohidan.


Pemain lain yang memiliki reputasi tinggi yang turut menganggotai skuad itu adalah Ahmad Fauzi Shaari, Mohd Helmi Eliza Alias dan Khaironnisam Shahabudin Hussain yang dilantik sebagai kapten.

Ketua jurulatih, K Devan berkata, skuad bimbingannya kali ini dianggotai sebahagian besar pemain muda namun mereka mampu menggalas cabaran saingan musim depan.


Katanya, dua pemain import dari Afrika Selatan dan Amerika Selatan yang beraksi di posisi penyerang dan pertahanan sudah dikenal pasti tapi nama mereka belum dapat diumumkan kerana dijangka sampai dalam tempoh terdekat.


"Saya belum dapat umum nama mereka kerana belum lagi sampai di sini. Bagaimanapun, kedua-dua mereka sudah didaftarkan bersama pemain tempatan lain pada 6 Disember lalu.

"Saya yakin pemain import itu mempunyai keupayaan untuk memantapkan lagi pasukan bagi merealisasikan sasaran pengurusan," katanya.


Menurut Devan, persiapannya sebaik mengambil alih tugas daripada E Elavarasan bulan lalu berjalan lancar dan sudah merancang untuk mengadakan tujuh perlawanan persahabatan bermula dengan menentang ATM.

Bekas pengendali Johor FC musim lalu itu berazam membawa Felda United FC ke tahap lebih cemerlang musim depan.


"Saya harap melalui gabungan pemain berpengalaman dan muda, Felda United FC mampu menjadi pencabar terkuat sama ada pada saingan Liga Super, Piala FA mahupun Piala Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/12


Rebutan Piala KL

Posted: 11 Dec 2012 08:40 AM PST

PERSATUAN Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) akan menganjurkan Kejohanan Empat Penjuru bagi merebut Piala Kuala Lumpur (Piala KL) bermula dari 14 hingga 20 Disember ini.

Berlangsung di padang Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), kejohanan itu akan disertai empat pasukan dari Liga Super, Liga Perdana dan Liga FAM.


Terengganu yang dibimbing E Elavarasan adalah satu-satunya pasukan Liga Super selain NS Betaria, Perlis serta Kuala Lumpur.

Pusingan awal akan berlangsung dari 14 hingga 18 Disember sebelum penentuan tempat ketiga dan keempat serta final akan berlangsung 20 Disember ini.


Wakil KLFA, P Saravanan berkata, pertandingan itu adalah bagi mempersiapkan pasukan, terutama Kuala Lumpur menjelang sepak mula saingan Liga Perdana musim depan.


"Kami amat berbesar hati untuk menganjurkan kejohanan ini buat kali pertama. Dengan penampilan pasukan seperti Terengganu, ia diharap dapat menarik kehadiran orang ramai.

"Selain itu, kejohanan ini juga bagi membolehkan ketua jurulatih baru, Stanislav (Lieskovsky) menguji barisan pemainnya termasuk dua pemain import dari Slovakia," katanya.


Juara kejohanan julung kali dianjurkan itu akan membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000 sementara naib juara RM5,000.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/12


‘Beri mereka peluang’

Posted: 11 Dec 2012 08:39 AM PST

SABAR dan berikan mereka masa. Begitulah nasihat jurulatih Perak, Mohd Azraai Khor Abdullah kepada peminat Seladang yang bagaikan tiada kesabaran selepas menyaksikan aksi longgar dua awang import, Rafael Souza Silva Novais dan Karim Rouani pada perlawanan persahabatan menentang Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Sabtu lalu.

Berikutan itu mereka menggunakan pelbagai saluran untuk mengecam dan mengkritik pengurusan pasukan gara-gara tidak berpuas hati.


Justeru nasihat Azraai agar peminat tidak terlalu cepat menghukum dua anak buahnya itu yang baru menyertai latihan pasukan beberapa hari lalu.

"Kedua-dua pemain baru dua hari menyertai latihan pasukan. Berilah mereka masa untuk mendapat sentuhan dan persefahaman dengan rakan sepasukan.


"Tidak adil mengecam dan mengkritik mereka sedangkan mereka baru saja menyertai pasukan," katanya yang kesal dengan pelbagai tohmahan dilemparkan kepada pegawai pasukan.


"Saya tidak kisah dengan cemuhan tapi ada pandangan yang keterlaluan dan tidak sepatutnya dibuat. Kita baru di peringkat persiapan. Beri peluang saya menyediakan pemain.

"Saya yakin mereka juga pemain berwibawa kerana pernah mewakili dan beraksi dalam liga luar," katanya.


Azraai yang mengikuti seminar dua hari anjuran FAM di Kuala Lumpur menafikan Perak mengambil khidmat pemain sisa buangan Pahang dan PKNS.

"Pahang mahu mengambil pemain Brazil itu tapi atas sebab tertentu tidak mengambilnya hingga menyebabkan ejen membawanya ke Perak.


"Manakala pemain dari Perancis itu pernah bermain dalam liga di Hungary dan kemudian BEC Tero Sasana. Saya yakin dia pemain berwibawa."

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/12


Lebur rekod Grand Slam

Posted: 11 Dec 2012 08:39 AM PST

PARIS: Pembabitan Serena Williams dalam jelajah tenis wanita dunia sudah berusia tiga dekad tapi dia kekal dominan dan sasarannya kini untuk mengatasi rekod Grand Slam milik Martina Navratilova dan Chris Evert tahun depan.

Pemain Amerika Syarikat itu, yang akan berusia 32 tahun September depan, menamatkan aksi tahun ini dengan menduduki ranking ketiga dunia.


Dia berada dalam kelas tersendiri pada babak kedua 2010, menjuarai Wimbledon, Olimpik, Terbuka AS dan kemudian melengkapkannya dengan kemenangan bergaya dua set ke atas Maria Sharapova pada final Kejohanan WTA.

"Saya rasa mampu meningkat lagi," kata Serena yang sudah mengumpul 15 kejuaraan perseorangan Grand Slam, kurang tiga daripada koleksi kejuaraan Martina dan Chris dengan hanya rekod Steffi Graf 22 kejuaraan kelihatan agak sukar untuk digapai.


"Apabila tiba harinya saya rasa tidak boleh meningkat lagi, itulah harinya saya patut menggantung raket." Sesudah terlepas aksi 12 bulan pada 2010 dan 2011, akibat darah beku dalam paru-paru yang mengancam nyawanya, dia tumpas pada pusingan keempat Terbuka Australia.


Biarpun memenangi kejuaraan gelanggang tanah liat di Charleston dan Madrid, kekalahan mengejutnya pada pusingan pertama di tangan Virginie Razzano pada Terbuka Perancis adalah detik terburuk pada acara Grand Slam dan kelihatan kariernya menuju penamat.

Namun dia kembali bersemangat berdepan kejohanan Wimbledon pada Jun apabila merangkul kejuaraan kelima di Kelab Seluruh England pada perlawanan akhir sengit mengalahkan Agnieszka Radwanska.


Sekali lagi di Wimbledon Serena yang tidak pernah lekang dengan kontroversi, meraikan pingat emas Olimpik dengan melakukan 'crip walk', tarian yang dikaitkan dengan budaya ganas Amerika. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/12


Detik tepat bersara

Posted: 11 Dec 2012 08:39 AM PST

MANILA: Pengulas media Filipina menggesa peninju Manny Pacquaio bersara selepas kekalahan teruk di Las Vegas dan ada yang menyamakannya dengan Muhammad Ali yang mengalami penyakit Parkinson.

Peninju itu yang akan berusia 34 tahun Isnin ini bagaimanapun berazam untuk terus berjuang. Namun ramai yang berasa sangsi kerana selepas lebih 18 tahun, atlet yang pernah dianggap antara peninju terhandal dunia itu sudah tidak mampu lagi bertahan.


Pacquaio, seorang wira kebangsaan, dijinak pencabar dari Mexico, Juan Manuel Marquez di Las Vegas, Sabtu lalu lantas mengalami kekalahan kedua berturut-turut.

"Pacquaio berdepan kesukaran dan akhirnya dia jelas tidak mampu lagi untuk melakukan tumbukan padu," tulis kolumnis sukan, Recah Trinidad dalam akhbar Daily Inquirer Filipina.


Pacquaio yang miskin ketika remaja dan kini sudah kaya raya, kalah secara kontroversi kejuaraan welterweight Pertubuhan Tinju Dunia (WBO) di tangan peninju Amerika, Timothy Bradley Jun lalu.


Penganalisis TV, Ronnie Nathanielsz berkata, ketika Pacquaio cuba untuk menebus kekalahannya, ada kemungkinan dia menerima terlalu banyak tumbukan menyebabkannya senasib dengan jurulatihnya dari AS, Freddie Roach yang juga bekas peninju. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/12


Torres kecewa

Posted: 11 Dec 2012 08:38 AM PST

YOKOHAMA (Jepun): Penyerang Sepanyol, Fernando Torres menganggap kejayaan muncul juara Piala Kelab Dunia tidak mampu mengubat kekecewaan dan memadam aib Chelsea tersingkir awal pada kempen Liga Juara-Juara, musim ini.

Kelab gergasi Inggeris itu yang berdepan perlawanan separuh akhir di Jepun, esok muncul juara bertahan pertama tersingkir di peringkat kumpulan dalam sejarah kejohanan berprestij itu.


Ia melengkapkan detik memalukan buat Chelsea apabila mereka turut merudum dalam kempen Liga Perdana Inggeris dan pengurus popular, Roberto Di Matteo dipecat.

"Ia tidak mampu mengatasi kegagalan dalam Liga Juara-Juara, ia dua perkara berbeza," kata Torres.


"Muncul juara musim lalu umpama satu mimpi dan kami ingin melakukannya sekali lagi dengan muncul pasukan pertama menjuarainya buat dua musim berturut-turut dan kami amat kecewa tersingkir di peringkat kumpulan.


"Kini kami perlu melupakan Liga Juara-Juara dan fokus terhadap Piala Kelab Dunia. Tidak banyak peluang bermain dalam pertandingan ini dan kami perlu serius. Tidak mustahil kami boleh bermain satu pertandingan lagi?" Torres, juara Piala Dunia bersama Sepanyol pada 2010 berkata, kejohanan itu menawarkan peluang kepada pemenang Liga Juara-Juara 2012 itu untuk bergelar juara dunia sekalipun persembahan mereka tidak menentu.

"Ini adalah untuk kelab. Anda tanyakan orang Amerika Selatan. David Luiz (pertahanan) menunjukkan kepada saya video penyokong Corinthians di lapangan terbang. Penyokong bersorak untuk pasukan mereka dan turut pergi ke Jepun memberikan sokongan.


"Di Eropah, mungkin kami tidak begitu mempedulikannya dan bagi sesetengah orang ia tidak begitu bermakna tapi bagi saya ia bermakna dan ini bukannya satu percutian, ini adalah Piala Dunia.

"Seronok kerana dapat terbabit dan mungkin anda boleh berkata anda adalah juara dunia." Blues yang bertanding buat julung kali pada Piala Kelab Dunia, akan berdepan kelab Mexico, Monterrey di Yokohama pada separuh akhir esok. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/12


Platini tetap bantah guna teknologi garisan gol

Posted: 11 Dec 2012 08:38 AM PST

KUALA LUMPUR: Presiden Uefa, Michel Platini kekal dengan pendiriannya menentang penggunaan teknologi garisan gol yang mula digunakan pada Piala Kelab Dunia oleh Fifa sambil menyifatkan perbelanjaan teknologi berkenaan lebih baik digunakan bagi pembangunan sukan itu.

Pertembungan antara Sanfrecce Hiroshima dan Auckland City di Yokohama minggu lalu, menjadi perlawanan pertama pada Piala Kelab Dunia menggunakan teknologi itu selepas Fifa akhirnya setuju mengikut arus kemajuan abad ke-21.


Presiden Fifa, Sepp Blatter pernah meragui penggunaan teknologi itu namun mengubah pendirian selepas satu kontroversi membabitkan perlawanan berprofil tinggi, namun Platini langsung tidak berganjak dengan pendapatnya.

Beliau yang berada di Kuala Lumpur untuk menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) bagi menjalin kerjasama dengan Konfederasi Bola Sepak Asia berkata, beliau tidak akan menurut tindakan Blatter.


"Teknologi garisan gol itu tidak dipersoalkan tapi yang menjadi persoalan adalah teknologi itu," katanya. "Mana permulaan penggunaan teknologi dan di mana anda akan mengakhirinya? "Untuk menggunakan teknologi garisan gol, wang sebanyak 50 juta euro (RM198 juta) digunakan dalam tempoh lima tahun. Saya lebih selesa menggunakan wang itu untuk pembangunan bola sepak peringkat akar umbi berbanding dilabur untuk teknologi yang mungkin hanya membabitkan kontroversi satu atau dua gol setahun," tegas Platini. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/12


Lazio terlepas peluang hambat Juve

Posted: 11 Dec 2012 08:38 AM PST

ROME: Pasukan tangga keempat, Lazio terlepas peluang untuk mengejar pendahulu Juventus apabila seri 0-0 dengan Bologna pada perlawanan Serie A Itali, awal pagi semalam dan kini ketinggalan lapan mata.

Permainan Bologna tidak menarik tapi efektif, membendung asakan Lazio yang cuba mencipta peluang pada babak pertama demi meraih kemenangan di tempat lawan.


Tuan rumah bagaimanapun menyekat setiap gerakan perancang tengah Brazil, Hernanes dan pemain tengah, Antonio Candreva sekali gus menyebabkan penyerang Libor Kozak kecewa gagal mendapat bola.

Apabila Kozak dibuang padang kerana layangan kad kuning kedua empat minit sebelum tamat, harapan Lazio memecah kebuntuan berakhir sekalipun memasukkan Miroslav Klose pada lewat perlawanan.


Keputusan seri itu membolehkan Lazio meraih 30 mata daripada 16 perlawanan, tiga mata di belakang pasukan tangga ketiga, Napoli dan satu mata di depan pencabar setempat AS Roma dan akan berdepan Inter Milan yang melonjak ke tangga kedua selepas mengalahkan Napoli, Sabtu lalu.


"Ia satu keputusan yang tepat, tiada pasukan berhak kalah," kata jurulatih Lazio, Vladimir Petkovic yang kecewa. "Bagaimanapun, kami patut lebih banyak menyerang untuk mencatat kemenangan.

"Kami kurang berani selepas rehat, gagal memberikan bantuan sepatutnya kepada penyerang dan saya tidak sukakan perkara ini." Sampdoria kalah 0-2 di gelanggang sendiri kepada Udinese pada pertembungan dua kelab pertengahan selepas gol babak pertama Danilo dan Antonio Di Natale. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/12


‘Usah leka!’

Posted: 11 Dec 2012 08:37 AM PST

MANCHESTER: Patrice Evra mendakwa pengurus Manchester United, Alex Ferguson akan menyingkirkan barisan pemain bintangnya andai kelab itu terlepas gelaran kejuaraan Liga Perdana Inggeris sekali lagi musim ini.

United menewaskan Manchester City, 3-2 pada pertemuan sengit di Stadium Etihad, hujung minggu lalu sekali gus selesa dengan kelebihan enam mata di tangga teratas liga.


Evra bagaimanapun berazam untuk mengelak daripada mengulangi kegagalan musim lalu yang menyaksikan Red Devils tetap terlepas gelaran meskipun selesa dengan kelebihan lapan mata dengan baki enam perlawanan lagi.

"Saya yakin Ferguson akan menyingkirkan semua pemain jika kami mengulangi kesilapan sama.


"Saya serius. Ia bukan satu jenaka bagi peminat, pemain dan semua orang.


"Saya masih ingat lagi pengalaman tahun lalu. Kami selesa dengan kelebihan lapan mata tapi akhirnya terlepas gelaran," katanya.

United kini selesa dengan kelebihan enam mata berbanding City selepas kemenangan penuh dramatik 3-2 di Stadium Etihad.


Namun Evra, 31, berkata keputusan itu tidak bermakna jika mereka tewas di tempat sendiri apabila bertemu Sunderland, Sabtu ini.

"Kelebihan enam mata tidak bermakna saingan liga sudah tamat. Perjalanan kami masih panjang lagi.


"Kami perlu melakukan persediaan rapi bagi pertemuan dengan Sunderland." Kemenangan United itu meleburkan rekod tanpa kalah City di tempat sendiri selepas 37 perlawanan.


Evra percaya kemenangan itu memberi suntikan moral kepada United dalam usaha merangkul kejuaraan musim ini.


"Penting menang di City dan ia memberi amaran jelas kepada mereka. Secara psikologi, ia memberi makna yang mendalam buat kami." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/12


No comments:

Post a Comment