Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Misi baru

Posted: 19 Dec 2012 09:53 AM PST

SELEPAS kedudukannya dijamin selamat oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sekurang-kurangnya hingga hujung tahun depan, ketua jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal kini mahu memberikan tumpuan penuh terhadap misi Harimau Malaya melepasi kempen kelayakan Piala Asia 2015 bermula Februari.

Menurut pengendali berusia 56 tahun itu, beliau tidak berasa tergugat biarpun dikritik hebat selepas kegagalan pasukannya mempertahankan kejuaraan Piala AFF 2012.


"Dari mula lagi saya sudah katakan, saya masih ketua jurulatih kebangsaan dan mempunyai kontrak hingga Disember 2013. Bagi saya, fokus tetap sama, mempersiapkan pasukan menghadapi kelayakan Piala Asia 2015," katanya, semalam.

FAM menerusi persetujuan Presiden, Sultan Ahmad Shah kelmarin memutuskan Rajagobal yang membimbing skuad kebangsaan memenangi pingat emas Sukan Sea Laos 2009 dan Piala AFF 2010 kekal sebagai ketua jurulatih meskipun ada desakan supaya jawatannya diberikan kepada individu lain termasuk calon pilihan, jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee.


Desakan itu bukan hanya didorong rasa tidak puas hati peminat bola sepak dengan kegagalan Harimau Malaya gagal ke final Piala AFF sebaliknya keputusan hambar dalam siri perlawanan persahabatan termasuk seri 1-1 dengan Bangladesh serta kedudukan ranking yang jatuh merundum.


Biarpun ranking terbaru dikeluarkan Fifa menunjukkan Malaysia meningkat ke kedudukan 158 berbanding 163 sebelum kejohanan AFF bermula, kedudukan itu masih rendah berbanding negara lain di rantau Asia Tenggara, Vietnam (131), Thailand (136), Singapura (154) dan Indonesia (156).

Harimau Malaya tersingkir di separuh akhir Piala AFF selepas seri 1-1 di Kuala Lumpur sebelum tumbang 0-2 di Bangkok kepada Thailand, Khamis lalu.


Rajagobal yang menetapkan misi utamanya selepas bergelar juara Asia Tenggara pada 2010 untuk membawa Malaysia layak ke pusingan akhir Piala Asia 2015 di Australia sedia merombak semula pasukannya dengan memilih pemain yang layak berdasarkan prestasi dalam Liga Malaysia yang bermula pada Januari.

"Saya akan menilai pemain yang beraksi dalam Liga Malaysia, siapa yang menyerlah akan dipanggil menyertai latihan skuad kebangsaan." Bagi kempen kelayakan Piala Asia 2015, Malaysia diundi bersama Qatar, Bahrain dan Yaman dalam Kumpulan D.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/20


Arsenal tunda perlawanan

Posted: 19 Dec 2012 09:48 AM PST

LONDON: Arsenal mengesahkan pertembungan Liga Perdana Inggeris dengan pencabar dari kota London, West Ham pada Hari Boxing ditangguhkan kerana mogok perindustrian yang dijangka dilakukan pekerja kereta api bawah tanah.

Pemandu kereta api London Underground dijangka melancarkan mogok sebanyak tiga kali dengan yang pertama pada 26 Disember ini.


Tindakan anggota kesatuan pekerja Aslef itu mampu mencetus kekecohan perjalanan di ibu negara itu dan Gunners memutuskan untuk menangguhkan perlawanan di Stadium Emirates, mengambil kira kepentingan kedua-dua penyokong kelab itu.

"Berikutan cadangan mogok dan tindakan industri di London Underground pada Hari Boxing, perlawanan Liga Perdana Arsenal menentang West Ham United di Stadium Emirates, yang asalnya dijadualkan pada Rabu, 26 Disember ditangguhkan," menurut satu kenyataan dalam laman web rasmi kelab itu.


"Keputusan ini diambil sekarang, kerana tempoh persiapan diperlukan bagi menjaga keselamatan Stadium Emirates oleh semua agensi terbabit.


"Kami amat mengambil berat keselamatan penyokong Arsenal, begitu juga penyokong West Ham United, pekerja pada hari perlawanan dan malah setiap orang yang bercadang untuk menghadiri perlawanan pada Hari Boxing." Tarikh baru perlawanan itu bagaimanapun belum ditetapkan namun Arsenal berkata: "Kelab boleh mengesahkan perlawanan ini akan diadakan semula sama ada pada Rabu, 23 Januari atau Sabtu, 26 Januari.

"Tarikh perlawanan itu akan ditentukan hasil keputusan pusingan ketiga Piala FA, yang akan berlangsung pada hujung minggu Sabtu, 5 Januari dan Ahad, 6 Januari." Anggota Aslef mengundi 9-1 untuk melancarkan mogok berikutan pertikaian jangka panjang mengenai bayaran kerja lebih masa pada Bank Holidays.


Mereka dijangka melancarkan mogok selama 24 jam pada 26 Disember ini diikuti pada 18 dan 25 Januari. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/20


Taarabt sah mahu beraksi buat Maghribi

Posted: 19 Dec 2012 09:47 AM PST

LONDON: Perancang utama QPR, Adel Taarabt mengesahkan mahu beraksi buat Maghribi pada Piala Negara-Negara Afrika bulan depan.

Pengurus Hoops, Harry Redknapp minggu lalu meminta Taarabt melupakan kejohanan itu untuk membantu QPR berjuang mengelakkan diri daripada turun divisyen.


Namun Taarabt, 23, berharap dia menerima panggilan negaranya bagi pusingan akhir kejohanan benua itu yang berlangsung di Afrika Selatan dari 19 Januari hingga 2 Februari.

Dia kurang dipedulikan Maghribi akhir-akhir ini namun beraksi hebat untuk memukau jurulatih pasukan kebangsaan, Rachid Taoussi, yang mengambil alih pada musim panas lalu.


"Saya akan melakukan apa saja untuk membuktikan kepadanya saya berhak berada di sana," kata Taarabt.


Mengulas permintaan Redknapp supaya dia kekal di London, Taarabt berkata: "Beliau meminta saya supaya tidak pergi tapi saya memberitahunya, 'Jika mereka memanggil saya, saya tidak boleh menolak, bos. Saya sayangkan negara, saya sayangkan rakyat Maghribi dan bola sepak amat bermakna buat mereka'.

"Saya menyatakan satu-satunya jalan adalah jurulatih tidak menyenaraikan nama saya." Taarabt menyumbat dua gol ketika QPR mengalahkan Fulham hujung minggu lalu untuk melakar kemenangan pertama mereka dalam Liga Perdana musim ini. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/20


Suso didenda akibat Twitter

Posted: 19 Dec 2012 09:47 AM PST

LONDON: Penyerang Liverpool, Suso didenda �10,000 (RM49,800) kelmarin selepas melabelkan rakan sepasukan Jose Enrique sebagai 'gay' dalam Twitter.

Suso mencetus bantahan bulan lalu apabila dia menyiarkan gambar dalam laman sembang sosial itu mengenai pertahanan Reds, Enrique yang memutihkan giginya dan menulis: "Apa yang dia lakukan? Lelaki ini seorang gay dia melakukan segala-galanya kecuali bermain bola sepak." Dia kemudian memadam tulisan itu dan memasukkan gambar dengan komen lain: "Saya tak tahu nak kata apa-apa..." Namun Persatuan Bola Sepak (FA) Inggeris, yang mendenda Ashley Cole �90,000 (RM448,000) awal tahun ini selepas bintang Chelsea dan England itu mengkritik badan induk berkaitan kes perkauman John Terry-Anton Ferdinand, mengambil kira komen awal Suso dan memberi amaran kepada pemain berusia 19 tahun itu supaya tidak mengulanginya pada masa depan.


"Berikutan pendengaran kes oleh suruhanjaya bebas mengenai peraturan semalam (Isnin), pemain Liverpool, Jesus Fernandez Saez (Suso) didenda �10,000 serta amaran mengenai komennya dalam Twitter.

"Tuduhan itu, yang diakui pemain dan meminta pendengaran kes secara bertulis, adalah kerana dia bertindak dengan cara tidak betul atau mencetus keburukan melalui komennya dalam akaun Twitter yang termasuk rujukan terhadap seksual seseorang individu." Namun, Enrique menulis di Twitter beberapa jam selepas hukuman dijatuhkan dan mengkritik FA kerana mendenda Suso dalam apa yang disifatkannya sebagai gurauan di kalangan rakan.


"Menakjubkan bagaimana FA boleh mendenda kawan saya, Suso Fernandez kerana satu gurau senda. Ia hanya sekadar gurauan!!!" tulis pemain Sepanyol itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/20


Enggan beli pemain

Posted: 19 Dec 2012 09:46 AM PST

MANCHESTER: Pengurus Manchester United, Alex Ferguson menganggap tiada pemain baru bernilai tinggi pada pasaran perpindahan pemain Januari ini serta menegaskan, United tidak akan membeli pemain baru.

Dengan hampir keseluruhan pasukan Liga Perdana Inggeris berusaha mengejar United yang gah di persada liga serta ada yang bersaing di kelompok bawahan, ia dilihat bakal menyaksikan pembelian pemain baru bulan depan.


Ferguson dilihat kurang gemar mendapatkan pemain baru pada Januari walaupun sebelum ini Patrice Evra dan Nemanja Vidic disambar pada waktu sama iaitu pada awal 2006 dan Anders Lindegaard satu-satunya pemain berprofil tinggi yang ditawarkan kontrak pada 2011.

Ketika ditanya sama ada ingin mengukuhkan posisi tertentu, Ferguson tegas menyatakan, Januari bukanlah detik terbaik untuk membeli pemain dan sudah terbukti sejak beberapa tahun lalu.


"Anda akan berjaya mendapatkan pemain berprofil tinggi dalam jumlah yang sedikit. Semua perpindahan besar berlaku pada musim panas," katanya.


Salah satu pembelian paling bernilai pada musim panas lalu yang memuaskan hati Ferguson sudah tentu kejayaan mendapatkan Robin van Persie.

Sumbangan 15 gol dalam 21 perlawanan yang dilakar Van Persie dalam semua pertandingan sejak berpindah dari Arsenal membantu United menjarakkan kedudukan ke enam mata di tangga teratas liga.


Dengan kehadiran Eric Cantona dari Leeds pada 1992 menjadi inspirasi kepada kelab apabila memenangi empat kejuaraan liga, Ferguson yakin Van Persie mampu memberi impak sama.

"Saya rasa ia akan berlaku. Prestasi corak serangan kami begitu meningkat.


"Dia mempunyai kredibiliti sama seperti Cantona. Dia nampak matang dan cemerlang di Arsenal dan tiada masalah untuknya terus cemerlang bersama kelab besar." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/20


Setuju selesai perselisihan

Posted: 19 Dec 2012 09:46 AM PST

MANCHESTER: Mario Balotelli dilapor menyelesaikan pertikaiannya dengan Manchester City terhadap denda �340,000 (RM1.7 juta) yang dilaksanakan akibat masalah disiplin yang dilakukannya.

Denda ke atas pemain berusia 22 tahun itu, yang menyamai bayaran gaji dua minggu, dilaksana kerana salah laku di padang musim lalu.


Balotelli terlepas 11 perlawanan kompetitif kerana digantung perlawanan musim lalu hasil layangan tiga kad merah, satu daripadanya pada musim sebelumnya dan satu hukuman yang dikaji semula.

Sementara itu, bos City, Roberto Mancini menegaskan masa depan pemain antarabangsa Itali itu sudah pasti di Stadium Etihad.


Khabar angin perpindahannya ke AC Milan kembali tercetus selepas Balotelli diketepikan daripada pasukan City yang mengalahkan Newcastle United, hujung minggu lalu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/20


Wee Wern terus mara

Posted: 19 Dec 2012 09:33 AM PST

KECEDERAAN dihadapi pemain nombor dua negara, Low Wee Wern tidak menyekatnya untuk meneruskan penguasaan menempah tiket ke suku akhir Kejohanan Terbuka Wanita Dunia di Kepulauan Cayman, semalam.

Biarpun masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan hamstring, Wee Wern yang diletakkan sebagai pilihan ketujuh kejohanan mempamerkan rentak cemerlang untuk melakar kemenangan mudah mengatasi Kasey Brown, pilihan ke-12 dari Australia, 11-5, 11-8 dan 12-10 dalam masa 35 minit.


Bagaimanapun Wee Wern dijangka berdepan laluan sukar di suku akhir apabila bertemu pemain England, Laura Massaro yang menundukkan Nicollete Fernandes dari Guyana 11-9, 11-9 dan 11-7, awal pagi tadi waktu Malaysia.

Atas kertas, kelebihan nyata memihak kepada pemain England itu yang diletakkan sebagai pilihan ketiga di belakang Nicol David (1) dan wakil dari Mesir, Raneem El Weleily (2).


"Pertemuan menentang Kasey sentiasa sukar. Dia tidak pernah putus asa dan sering mengejar mata demi mata. "Perlawanan pula pantas dan anda tidak boleh menukar rentak permainan dengan menjadikannya lebih perlahan apabila menentang pemain handalan seperti Kasey. Tapi saya lebih gemar beraksi dalam rentak permainan pantas seperti itu kerana ia memberi kelebihan kepada saya," katanya.


Mengulas kecederaan hamstring yang dialaminya pada Terbuka Hong Kong, Wee Wern berkata, dia boleh bermain dengan kaki berbalut dan tidak berdepan masalah dengan kecederaan itu yang tampak semakin pulih. Terdahulu dalam satu lagi perlawanan, Nicol semakin hampir dalam misi mengejar kejuaraan dunia ketujuhnya. Menantinya di suku akhir pemain Ireland, Madeline Perry yang menewaskan Nour El Sherbini, 11-2, 11-9, 11-9 di pusingan kedua.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/20


Guardini sah warnai cabaran LTdL 2013

Posted: 19 Dec 2012 09:32 AM PST

BUAT tahun ketiga berturut-turut, Andrea Guardini akan menjadi salah seorang daripada bintang di Le Tour de Langkawi (LTdL).

Selepas berusaha mengukir karier profesionalnya dengan kemenangan menakjubkan di Langkawi pada 2011, pelumba pecut kelahiran Itali itu memecah dua rekod pada edisi lalu apabila menjadi pelumba pertama meraih enam kemenangan peringkat dalam satu edisi dan pelumba paling berjaya dalam sejarah jelajah di Malaysia apabila mengumpul keseluruhan 11 kemenangan peringkat. Kini dia tidak lagi bersama pasukan Pro Benua, Farnese ke pasukan Pro Team sebaliknya bakal menyarung jersi Astana.


"LTdL perlumbaan yang dekat di hati saya," kata Guardini. "Saya gemarkan cuaca panas negara ini dan rakyatnya. Seluruh suasana perlumbaan di sini memberi motivasi yang begitu tinggi kepada saya. Ketika saya membincangkan kontrak baru bersama Astana, tidak sukar untuk saya bersetuju memandangkan saya berpeluang menyertai LTdL sekali lagi. "Pengurusan pasukan menyatakan, LTdL penting buat Astana kerana kami satu-satunya pasukan Pro Team dari Asia." Astana kini diuruskan Alexandre Vinokourov yang memulakan kempen 2012 di Malaysia dan menamatkan kariernya dengan kemenangan besar meraih pingat emas di Sukan Olimpik London. "Cukup menyeronokkan dan hebat untuk melihat Vinokourov kembali ke sini," kata Ketua Pegawai Eksekutif LTdL, Emir Abdul Jalal. "Melihat dia memenangi emas acara lebuh raya Sukan Olimpik kemuncak bagi peminat berbasikal Malaysia untuk musim 2012 selepas dia menyertai acara kita dan memberikan persembahan yang baik. Semangat agresifnya memberi inspirasi kepada ramai kanak-kanak untuk menceburi sukan berbasikal." Satu lagi detik kemuncak bagi 2012 ialah kejayaan Guardini menewaskan Mark Cavendish pada Peringkat 18 Giro d'Italia. "Ini juga menambah nilai acara penganjuran kita," kata Emir. Pelumba berusia 23 tahun itu sedar berdepan cabaran sengit dalam henjutan pecut terakhir pada LTdL akan datang kerana lebih banyak pasukan Pro Team menyertai perlumbaan manakala pasukan Europcar juga membawa jaguh pecut muda, Bryan Coquard yang memenangi perak acara Omnium di Olimpik London. Edisi ke-18 LTdL dianggap istimewa kerana bukan saja ia kembali ke tempat kelahiran penuh legenda Langkawi tapi juga membabitkan dua pendakian sukar ke Cameron Highlands dan Genting Highlands.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/20


Harrif dapat suntikan baru

Posted: 19 Dec 2012 09:31 AM PST

PELUMBA Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Salleh mendapat suntikan semangat baru menjelang aksi Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun depan apabila muncul juara peringkat kedua saingan Tour de Vietnam (TOV), semalam.

Memburu jersi hijau (raja pecut), Harrif yang kini melakar rekod pencapaian terbaik tahun ini, yakin dengan keupayaan pasukan untuk cuba melakar lebih banyak kejayaan selepas TSG dinobat sebagai pasukan terbaik jelajah Asia. Katanya, kemenangan itu hasil kerjasama satu pasukan dan tanpa sokongan dan bantuan, mustahil dirinya mampu mencipta kejayaan.


"Saya gembira dengan kejayaan ini. Laluan landai sepanjang lima peringkat di Vietnam sebenarnya memberi kelebihan kepada saya. "Apapun kejayaan ini tidak akan menjelma tanpa bantuan rakan seperjuangan termasuklah rakan daripada pasukan Malaysia," katanya.

Menganggap TOV sebagai medan latihan untuk dirinya menjelang grand prix kebangsaan terakhir di Melaka, Harrif berkata, dia akan cuba untuk mencipta lebih banyak kemenangan lagi selepas ini biarpun terpaksa berdepan cuaca panas di Vietnam yang hampir mencecah 30 darjah Celsius.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/20


Che Mat dicabar

Posted: 19 Dec 2012 09:30 AM PST

KEPIMPINAN Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh tercabar lagi.

Kali ini, giliran Presiden Persatuan Bola Sepak Daerah Hulu Terengganu, Abdullah Sulong pula mendakwa badan induk bola sepak negeri itu tidak diurus sempurna.


Bukan saja ramai peminat yang risau kerana Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sekali lagi gagal mencapai kecerahan minimum 1,000 lux untuk perlawanan sebelah malam diadakan, malah mereka juga hampa mendengar cerita duka mengenai cara persatuan diuruskan.

Kata Abdullah, soal stadium kurang cerah tidak begitu serius kerana itu sudah menjadi agenda tahunan dan lampu stadium akan dibaiki kerajaan negeri untuk mendapat kelulusan Persatuan Bola Sepak Malaysia musim baru bermula pada 8 Januari.


Namun katanya, soal dalaman persatuan mungkin sukar diperbaiki dalam masa terdekat sekiranya pemegang jawatan tertinggi persatuan tidak mengambil tindakan sewajarnya untuk membetulkan keadaan.


Abdullah berkata, jika itu tidak cukup meragukan, timbul pula dakwaan mengenai kegagalan persatuan membayar bil tertunggak yang sepatutnya sudah lama dilangsaikan.

"Kami di Hulu Terengganu mempersoalkan kenapa bil yang sepatutnya dibayar dibiarkan tertunggak sedangkan pemegang jawatan tertinggi persatuan menerima imbuhan mereka setiap bulan.


"Semua ini perlu dijawab pengurusan persatuan dan saya akan pastikan perkara ini dibincangkan dalam kongres PBSNT yang dijadual berlangsung 28 Disember ini," katanya.

Menurutnya, pengurusan tertinggi persatuan perlu memberi perhatian penuh kepada persiapan pasukan untuk menghadapi musim baru Liga Super dan bukannya menimbulkan masalah dengan tidak membayar hutang.


"Tahun lalu, Terengganu gagal menyerlah dalam semua pertandingan dan sekiranya tidak ada perubahan positif dalam persatuan, besar kemungkinan pasukan ini akan gagal sekali lagi.


"Justeru kami harap pengurusan tertinggi dapat membetulkan keadaan secepat mungkin supaya objektif sebenar untuk meraih kejayaan dapat dijayakan pada musim baru ini".


Abdullah berkata, Che Mat dan Shaikh Ahmad mengambil langkah bijak apabila melepaskan jawatan mereka dalam pengurusan pasukan beberapa bulan lalu.


"Namun mereka sepatutnya melepaskan bukan saja jawatan, malah mereka juga sepatutnya memilih untuk tidak menerima elaun bulanan juga.


"Kalau sebelum ini mereka menerima imbuhan kerana memegang jawatan pengurus dan timbalan pengurus, kini kedua-dua jawatan itu sudah dilepaskan dan mereka sepatutnya tidak menerima imbuhan besar itu lagi.


"Mereka juga perlu tahu yang hutang wajib dibayar dan semua hutang tertunggak persatuan perlu dijelaskan segera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/20


No comments:

Post a Comment