Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


90 minit milik Nazmi

Posted: 23 Dec 2012 07:29 AM PST

'PENYAKIT misteri' yang dialami Muhamad Nazmi Faiz Mansor kini sudah tidak lagi membelenggu pemain muda berbakat negara itu apabila dia kini dilaporkan mampu beraksi sepanjang permainan.

Pemain berusia 18 tahun itu sebelum ini mencetuskan rasa 'bingung' jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee apabila dia hanya boleh bertahan sekurang-kurangnya 60 minit permainan sebelum terpaksa dikeluarkan akibat kekejangan otot.


Namun hasil latihan dan perlawanan berkualiti bersama kelab barunya, S C Beira-Mar di Portugal sejak Julai lalu, ia ternyata memberi kesan positif.

Kim Swee berkata, beliau amat gembira dengan perkembangan terbaru itu memandangkan Nazmi antara tonggak utama dalam skuad bawah 23 tahun negara (B-23) yang bakal memikul misi mempertahankan pingat emas Sukan Sea Myanmar hujung tahun depan.


"Saya sentiasa memantau prestasi Nazmi di sana (Portugal) dan apa yang menggembirakan saya, dia tidak lagi mengalami kekejangan otot ketika beraksi, ini satu petanda positif.


"Dia memaklumkan kepada saya, corak latihan yang berbeza dan beraksi bersama pemain yang berkualiti banyak membantunya meningkatkan prestasi. Buat masa ini saya tidak mahu mengganggu program Nazmi bersama S C Beira-Mar, tapi saya sudah membuat perancangan untuk membawanya berlatih bersama skuad negara," katanya kepada Arena Metro semalam.

Nama Nazmi mula menjadi sebutan apabila beraksi cemerlang ketika membantu skuad B-23 negara mempertahankan pingat emas di Sukan Sea Jakarta, tahun lalu meskipun mendapat panggilan saat akhir Kim Swee.


Ketika ini pemain kelahiran Kuala Lumpur itu beraksi dengan skuad bawah 19 tahun, S C Beira-Mar dan sedang berusaha untuk mencari tempat dalam skuad utama.

Menurut Kim Swee, beliau tidak bercadang memanggil Nazmi dalam masa terdekat ini, namun menyatakan pemain itu akan turut serta bersama pasukannya ketika menjalani latihan dan perlawanan persahabatan di Eropah dan juga kejohanan Pestabola Merdeka, Ogos depan.


"Kami akan berpangkalan di Slovakia bermula Mac hingga Julai ini dan dalam tempoh itu, saya akan memanggil Nazmi jika dia tidak terikat dengan perlawanan bersama kelabnya. Saya juga akan cuba mendapatkan khidmatnya bagi Pestabola Merdeka sebelum ke Sukan Sea Myanmar," katanya yang menyaksikan anak buahnya menumpaskan Sime Darby FC 2-1 dalam aksi persahabatan di padang Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.


Selain Nazmi, Kim Swee juga akan memanggil pemain luar daripada Harimau Muda A seperti Mohd Zubir Azmi (Terengganu) dan Nik Shahrul Azim Abd Halim (Kelantan) sekiranya mereka beraksi cemerlang bersama pasukan masing-masing dalam Liga Malaysia.


Setakat ini, Harimau Muda A yang menjadi teras skuad B-23 negara dibarisi 27 pemain dan bakal memulakan persiapan pertama dengan mengadakan sisi jelajah Australia hujung bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/23


Gah tewaskan Singapura

Posted: 23 Dec 2012 07:26 AM PST

SELEPAS 15 tahun menunggu, skuad ragbi Malaysia sekali lagi mengesahkan penguasaan mereka ke atas Singapura apabila memenangi Perisai Cabaran Seberang Tambak (Causeway Challenge Shield) di antara kedua-dua negara itu di Mini Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi kelmarin.

Perlawanan persahabatan antara kedua-dua negara itu yang membabitkan skuad bawah 23 tahun menyaksikan tuan rumah menang dengan 31-14. Kemenangan ke-13 mereka dalam siri itu yang diadakan semula selepas 15 tahun tidak dipertandingkan sejak 1997.


Kejohanan itu sebelum ini dikenali sebagai Perisai Persahabatan Bawah 23 (Under-23 Friendship Shield) dikuasai Malaysia dari 1985 hingga 1996.

Malaysia mengambil masa lima minit selepas perlawanan bermula apabila Sheikh Mohamed Harris melakukan try pertama dari bahagian tepi kanan. Nasreen Fitri nyata tidak mengecewakan dengan conversion dari jarak 30 meter bagi membolehkan Malaysia mendahului 7-0. Singapura, dikenali sebagai Singapore Colts yang diketuai Low Feng Hwa, bangkit selepas kejutan awal itu dan dihadiahkan penalti pada minit berikutnya. Bagaimanapun, sepakan flyhalf Constantine Denis tersasar.


Begitupun, 300 penonton yang hadir dihidangkan dengan persembahan menarik pemain Malaysia apabila ketua pasukan, Faridzal Ismail berlari 40 meter untuk melakukan try dari sebelah kiri manakala conversion Nazreen sekali lagi menjadi apabila memberikan tuan rumah pendahuluan 14-0.


Malaysia yang terlepas peluang penalti beberapa minit kemudian kembali menguasai apabila semakin menjarakkan diri. Kali ini menerusi try Azril Izwan Musa pada minit ke-28 dengan Nazreen meletakkan negara mendahului 21-0.

Tiga minit kemudian, pemain Singapura Alvin Ho melakukan try dan kali ini Denis tidak menghadapi masalah menjadikan kedudukan 21-7 sebelum rehat.


Separuh masa kedua menyaksikan saingan sengit ketika pemain muda Malaysia yang menaruh harapan untuk disenaraikan dalam skuad senior, menguasai sebahagian besar perlawanan, mendahului 31-7 menerusi try Anwarul Hafiz Ahmad (m60) dan Faridzal (m72). Singapura bangkit dalam masa kecederaan menerusi usaha Ho dan Dennis untuk perlawanan itu berakhir dengan 31-14.

"Rancangan kami berjalan lancar dan saya begitu gembira dengan kemenangan ini. Kami lebih banyak menguasai bola pada kedua-dua separuh masa dan memanfaatkan peluang dengan baik," kata pengurus pasukan Malaysia, Razbi Abdul Razak. "Perlawanan ini baik untuk kedua-dua negara kerana kami tidak selalu mendapat peluang menguji pemain muda dalam perlawanan antarabangsa."

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/23


Akhmal rangkul kejuaraan Jelajah PGM Maybank

Posted: 23 Dec 2012 07:25 AM PST

AKHMAL Tarmizee Nazari terpaksa berdepan dengan saat mendebarkan sebelum muncul juara Kejohanan Pemain Jelajah PGM Maybank dengan kelebihan satu pukulan di Impian Golf & Country Club, kelmarin.

Dia melakukan satu bawah par 71 pada pusingan terakhir itu untuk menamatkan cabaran dengan 10 bawah 278 keseluruhan bagi mengatasi S Sivachandran, Sukree Othman dan Mohd Rashid Ismail yang berkongsi tempat kedua dengan 279. Rashid melakukan 66 manakala Sukree (69) dan Sivachandran (70) pada hari terakhir.


Sivachandran terlebih dulu memulakan cabaran apabila melakukan tiga birdie pada sembilan lubang pertama. Dia juga begitu hampir melakukan birdie pada lubang ke-10, tapi pukulannya tersasar begitu hampir dengan lubang.

Akhmal memulakan cabaran pusingan terakhir itu dengan bogey, tapi ketika mula menjumpai rentak selepas itu, dia sekali lagi melakukan bogey pada par 5 lubang ke-5. Bagaimanapun, dia bernasib baik apabila dua rakan sepermainannya, Sukree dan Sivachandran turut melakukan bogey di lubang berkenaan.


Namun, Akhmal bangkit pada lubang berikutnya apabila melakukan birdie dengan genggaman tangan ke udara menunjukkan betapa catatan itu begitu bermakna buat pemain muda itu.


Begitupun, Siva dan Sukree turut memberikan tentangan hebat sepanjang aksi dengan tiada pemain mendahului lebih daripada satu pukulan pada sembilan lubang terakhir.

Siva melakukan birdie pada lubang ke-11 dan Akhmal melakukan bogey pada lubang sama dan buat kali pertama, dia menyerahkan pendahuluannya, tapi dia sekali lagi bangkit pada lubang ke-13 selepas semua tiga pemain melakukan par 3 di lubang ke-12.


Akhmal kemudian melakukan satu lagi birdie untuk mendahului dengan 10 bawah par dengan Rashid pula mengekori rapat dengan hanya ketinggalan satu pukulan.

Rashid yang melakukan 2 atas par 74 sehari sebelum itu, melakukan birdie pada lubang ke-18 untuk terikat bersama Siva dan Sukree dan jika Akhmal tidak mengekalkan ketenangannya pada lubang terakhir itu, keempat-empat mereka mungkin terpaksa bermain play-off.


Berikutan kemenangannya itu, Akhmal menerima RM50,400 manakala Sukree, Sivachandran dan Rashid masing-masing, 23,800. Iylia Jamil yang melakukan 281 untuk menduduki tempat kelima, menerima RM13,200.


Berikutan kemenangannya itu, Akhmal akan beraksi di Terbuka Malaysia 2013 atas jemputan penaja utama, Maybank. Order of Merit pula menyaksikan Nicholas Fung meraih kedudukan utama bagi musim PGM 2012.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/23


60 bina badan rebut ‘Mr ACT’

Posted: 23 Dec 2012 07:24 AM PST

KIRA-KIRA 60 atlet bina badan dari seluruh negara bakal bersaing untuk merebut gelaran 'Mr ACT' di Wisma Majlis Olimpik Malaysia pada Ahad depan.

Setiausaha Kehormat Persekutuan Bina Badan Malaysia Lt Komander (B), Kamarulzaman Kadir berkata, empat kategori akan dipertandingkan pada kejohanan itu iaitu dua kategori terbuka senior, badan cantik dan remaja.


"Saya menjangka ramai atlet kebangsaan akan menyertai kejohanan ini. Walaupun bukan kejohanan besar, pertandingan ini memberi pendedahan awal kepada atlet baru bina badan apabila berpeluang bersaing dengan atlet senior kebangsaan," katanya kepada Bernama, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/23


Sasaran 100% cergas

Posted: 23 Dec 2012 07:24 AM PST

MADRID: Rafael Nadal tidak bimbang dengan keputusan ketika dia mahu membuat kemunculan semula selepas mengalami kecederaan lutut berulang.

Pemain Sepanyol berusia 26 tahun itu memenangi kejuaraan Terbuka Perancis tahun ini namun terlepas aksi enam bulan terakhir musim ini selepas beraksi di Wimbledon ketika dia sedar tidak begitu cergas.


Kini dia bersedia kembali pada satu kejohanan pertunjukan di Abu Dhabi minggu depan, sekalipun dia mengakui keadaan lututnya tidak 100 peratus baik dan fokusnya bukanlah terhadap keputusan perlawanan.

"Saya tidak gementar. Satu-satunya perkara yang membelenggu adalah lutut.


"Selebihnya, saya boleh beraksi dengan baik, saya juga boleh beraksi dengan buruk, saya tidak kisah dengan cara saya bermain tenis dalam tempoh sebulan atau sebulan setengah akan datang.


"Bagi saya, sasaran saya bukannya Abu Dhabi, bukan juga di Doha, bukan juga pada Terbuka Australia. Sasaran saya adalah cuba untuk kembali cergas, kembali 100 peratus pulih daripada kecederaan lutut dan 100 peratus cergas bagi persembahan peribadi menjelang Indian Wells dan Miami (pada Mac), cuba untuk tiba di Monte Carlo dan berdepan musim gelanggang tanah liat dengan keadaan yang sempurna.

"Ia mengambil masa. Orang lain patut tahu apabila anda di luar pertandingan dan tidak bermain dalam tempoh yang lama, anda pasti berdepan masalah untuk kembali ke tahap terbaik." Sejak Nadal mengalami kekalahan terakhir di Wimbledon, ada pemenang baru acara Grand Slam dengan Andy Murray mengalahkan Novak Djokovic pada final Terbuka AS sebaik menundukkan Roger Federer untuk memenangi pingat emas Sukan Olimpik. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/23


Eropah mula ‘buka mata’

Posted: 23 Dec 2012 07:23 AM PST

LONDON: Eropah mungkin perlu memanggil bekas kapten untuk bersaing dengan Amerika Syarikat pada Piala Ryder 2014 selepas Amerika menyatakan kesungguhan mereka dengan memilih Tom Watson, kata juara Terbuka British 2011, Darren Clarke.

Pemenang lapan kejuaraan utama, kehadiran Watson sebagai kapten perlawanan itu di Gleneagles membuktikan betapa AS amat berazam untuk merampas semula trofi itu dan Clarke berkata Eropah patut bertindak balas dengan pelantikan seorang nama besar, namun enggan dikaitkan dengan peranan itu.


Eropah tidak pernah memanggil semula bekas kapten untuk kembali namun Clarke berkata pendirian itu patut diubah, menawarkan kemungkinan kembalinya Colin Montgomerie yang mengemudi kemenangan Eropah di Celtic Manor pada 2010.

"Kami amat memerlukan orang yang tepat bagi tugas ini," kata Clarke. "Kami memiliki peraturan tidak rasmi yang mana kami tidak memanggil semula bekas kapten, tapi kami mungkin perlu melihatnya semula." Eropah dijangka menamakan kapten mereka pada awal Tahun Baru apabila jawatankuasa kejohanan itu bermesyuarat di Abu Dhabi.


"Saya fikir ia mungkin memberi kesan terhadap siapa yang dilantik," kata Clarke. "Ramai orang, termasuk saya terkejut apabila Tom Watson dilantik." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/23


Barca kukuh cengkaman

Posted: 23 Dec 2012 07:23 AM PST

MADRID: Xavi Hernandez, Lionel Messi dan Cristian Tello memastikan Barcelona terus kukuh di persada La Liga dengan kemenangan 3-1 di Valladolid, awal pagi semalam bagi memberikan semangat kepada jurulatih Tito Vilanova yang berjuang untuk sembuh daripada penyakit barah.

Vilanova dibenarkan keluar dari hospital, 48 jam selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di bahagian kelenjar.


Jordi Roura diberikan tugas mengendalikan Barca sementara ketiadaan Vilanova, 44, yang terpaksa berehat untuk beberapa bulan bagi menjalani rawatan radioterapi dan kemoterapi.

Kemenangan itu membantu Barcelona menamatkan 2012 dengan kelebihan sembilan mata ke atas pasukan di tangga kedua, Atletico Madrid hasil 16 kemenangan daripada 17 perlawanan. Barca hanya keciciran mata musim ini apabila seri 2-2 di laman sendiri menentang Real Madrid.


"Kami berpuas hati dengan keputusan ini. Kami menutup saingan tahun ini dengan pencapaian cukup baik dan jika kami mendapat berita baik mengenai Tito, ia akan menambah kegembiraan kami," kat Roura.


"Salah satu cara kami boleh membantunya dengan memenangi perlawanan dan sekali lagi pasukan ini mempamerkan sikap yang hebat." Pada perlawanan terdahulu, Mallorca mengejutkan Real Betis dengan kemenangan 2-1 di gelanggang lawan bagi menghalang pasukan dari Sevilla itu mara ke tangga keempat liga.

Benat Exteberria meletakkan Betis di depan pada minit kelima namun pasukan yang berpangkalan di Balearic itu membalas dengan dua gol menerusi Victor Casadesus dan sepakan penalti Javi Marques.


Ia kemenangan pertama dalam 12 perlawanan di tempat lawan bagi skuad kendalian Joaquin Caparros itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/23


Mourinho takkan letak jawatan

Posted: 23 Dec 2012 07:23 AM PST

MADRID: Jurulatih Real Madrid, Jose Mourinho kembali tertekan selepas pasukannya tumpas 2-3 di tangan Malaga, awal pagi semalam yang mengakibatkan penyandang juara itu ketinggalan 16 mata berbanding peneraju liga, Barcelona.

Kekecewaan itu turut diulit kontroversi dengan keputusan Mourinho menggugurkan penjaga gol dan kapten, Iker Casillas dalam senarai kesebelasan utama.


Ini kali pertama dalam 10 tahun pemain skuad juara Piala Dunia Sepanyol itu diketepikan dan tempatnya digantikan oleh pemain berusia 25 tahun, Antonio Adan.

Malaga menang hasil Jaringan Isco dan dua gol sumbangan Roque Santa Cruz.


Madrid menyamakan kedudukan 1-1 menerusi gol sendiri Samuel Sanchez dan lapan minit sebelum tamat, Karim Benzema menjadikan kedudukan 2-3 namun pasukan tuan rumah berjaya bertahan untuk meraikan kemenangan pertama ke atas Real dalam tempoh 29 tahun.


Kemenangan Malaga itu membolehkan kelab dari Costa del Sol itu menduduki tangga keempat, dua mata di belakang Madrid yang mengumpul 31 mata manakala Atletico Madrid yang mengalahkan Celta Vigo 1-0 berada di tempat kedua, ketinggalan sembilan mata dengan Barcelona.

Mourinho menegaskan beliau tidak akan melepaskan kerusi panas Real itu.


"Saya tidak bimbang dengan kedudukan saya dan saya tidak akan meletakkan jawatan," katanya.

"Buat masa ini, saya dan barisan kejurulatihan berpendapat, prestasi Adan lebih baik berbanding Casillas. Kami berdepan masalah di beberapa posisi, salah satu daripadanya adalah bahagian pertahanan. Jurulatih menilai pemain terbaik bagi setiap perlawanan dan memilih pasukannya." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/23


Lazio hampiri Juventus

Posted: 23 Dec 2012 07:22 AM PST

ROME: Lazio melonjak ke tangga kedua Serie A hasil kemenangan 1-0 di Sampdoria dengan memintas Inter Milan yang sekadar seri di gelanggang sendiri menentang Genoa manakala AS Roma mengalahkan AC Milan 4-2 dalam aksi mendebarkan bagi menutup kempen liga 2012, awal pagi semalam.

Jaringan Hernanes pada minit ke-30 untuk Lazio membolehkan skuad kendalian Vladimir Petkovic itu mengumpul 36 mata, lapan mata di belakang juara bertahan dan pendahulu liga Juventus yang menumpaskan Cagliari 3-1, kelmarin.


"Kami bekerja keras untuk mendapatkan keputusan ini, kami mula percaya mampu melakukan sesuatu bulan lalu," kata Petkovic yang mengakui anak buahnya perlu memperbaiki prestasi jika mahu mencabar Juve.

"Kami bermain dengan baik, kami semakin yakin dan ada beberapa pemain sudah kembali ke prestasi terbaik. Kami berada di landasan tepat tapi kami belum cukup untuk memberi saingan kepada Juve," katanya.


Skuad Inter kendalian Andrea Stramaccioni merosot ke tangga keempat selepas jaringan penyamaan Esteban Cambiasso empat minit sebelum tamat berjaya memadam jaringan menarik Ciro Immobile untuk pasukan tangga kedua tercorot, Genoa.


Keputusan seri 1-1 itu meletakkan Inter sembilan mata di belakang Juve sebelum liga Itali berehat bagi pertengahan musim. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/23


Wenger sokong Walcott

Posted: 23 Dec 2012 07:22 AM PST

WIGAN (England): Theo Walcott masih belum terbukti sebagai penyerang tengah berkualiti, namun pengurus Arsenal, Arsene Wenger tidak mahu menilai pemain itu hanya menerusi beberapa perlawanan saja.

Pemain antarabangsa England dan rakan sepasukannya melalui cuti Krismas yang tidak dijangka apabila kempen mogok pekerja kereta api bawah tanah London memaksa perlawanan bertemu West Ham ditangguhkan, Rabu ini.


Ia memberi ruang terbaik kepada Wenger untuk memikirkan posisi terbaik Walcott bagi menghadapi separuh lagi saingan liga. Walcott dilihat tiba-tiba mempamerkan aksi cemerlang membantu kebangkitan Arsenal selepas tewas mengejut kepada Bradford City pada saingan Piala Liga menerusi penentuan penalti.

Sejak itu Gunners mencatat kemenangan 5-2 di Reading dan menang tipis 1-0 ke atas Wigan kelmarin selepas pengadil menghadiahkan sepakan penalti yang diragukan.


Walcott menjadi watak penting di Reading apabila turut menyumbang gol selepas tuan rumah bangkit apabila ketinggalan 0-4, tetapi dia dilihat tidak begitu menyerlah ketika aksi di Wigan.


Apa yang menarik Walcott diberi peluang bermain di posisi penyerang tengah ketika kontraknya hampir tamat dan masih belum menyambung kontrak baru.

Tawaran itu mungkin termasuk menawarkannya beraksi di posisi kegemarannya itu yang dianggap sebagai usaha untuk memujuknya menyambung kontrak baru.


Wenger yang sebelum ini pernah menegaskan beliau tidak akan menjual Walcott Januari ini berkata: "Saya percaya dia mempunyai potensi di posisi itu. Saya tidak mahu menilainya hanya menerusi satu perlawanan saja. Dia tidak beraksi dengan baik di Wigan tapi dapat melakukan penyudah dengan baik.

"Dia agak tenggelam tapi bagi saya dia mempunyai karakter menarik beraksi di sini.


"Walcott boleh menjadi watak penting walaupun jika tidak dapat memberikan aksi terbaik," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/23


No comments:

Post a Comment