Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Tembak ibu sebelum amuk

Posted: 15 Dec 2012 04:34 AM PST

NEWTOWN: Seorang lelaki menembak mati ibunya di rumah sebelum pergi ke sebuah sekolah rendah dan melepaskan tembakan rambang, membunuh 27 orang orang, termasuk 20 kanak-kanak.

Penyerang itu, Adam Lanza, 20, membawa dua pistol menyerang Sekolah Rendah Sandy Hook dan mengamuk di situ sebelum membunuh diri. Pihak berkuasa berkata, ada antara mangsa berusia lima tahun.


Murid yang semuanya ketakutan sesetengahnya menangis dibawa meninggalkan bangunan itu oleh polis.

Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, berkata negara itu bersedih dengan insiden berkenaan. "Kanak-kanak itu mempunyai masa depan yang cerah dan sepatutnya menyambut hari lahir, menamatkan pengajian, berkahwin dan memiliki keluarga sendiri," katanya. Sehingga petang semalam, polis masih belum mengetahui motif serangan itu, tetapi Lanza dipercayai mengalami masalah gangguan personaliti dan tinggal bersama ibunya, Nancy, abangnya di Connecticut.


Sumber berkata, selepas membunuh Nancy, Lanza memandu ke sekolah itu dengan tiga senjata api, termasuk satu raifal berkeupayaan tinggi. Namun, tiada butiran lengkap bagaimana insiden selama "beberapa minit" itu berlaku didedahkan sehingga petang semalam. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/15


Lanza bekas pelajar pintar tapi bersikap aneh

Posted: 15 Dec 2012 04:32 AM PST

HARTFORD: Penyerang yang membunuh 27 orang sebelum membunuh diri awal pagi semalam adalah bekas pelajar pintar tetapi bermasalah.

Mempunyai perawakan tinggi dan kurus, Adam Lanza membawa beg hitam untuk menghadiri kelas bahasa Inggeris.


Dia juga sering duduk berhampiran pintu bagi memudahkan dia menyelinap keluar atau masuk pada bila-bila masa.

Apabila disoal, dia mampu memberikan jawapan walaupun kelihatan gemuruh, resah dan amat sukar bercakap. Lanza datang ke sekolah menengahnya di Newtown dengan berpakaian kemas dan alat tulis yang sewajarnya seolah-olah dia tidak mahu menarik perhatian sesiapa.


Namun, keadaan benar-benar berbeza kelmarin (awal pagi semalam, waktu Malaysia).


Menurut polis, Lanza, 20, memakai pakaian perang dan bersedia melakukan satu daripada amukan sekolah paling kejam dalam sejarah Amerika Syarikat.

Lanza menembak mati 20 kanak-kanak dan tujuh orang dewasa, termasuk ibunya, sebelum dia menembak dirinya sendiri.


Berbeza daripada pemuda lain, Lanza tidak banyak meninggalkan kesan untuk sesiapa mengenalinya.

Selain tiada wajahnya dalam buku tahunan sekolah pada 2010, Lanza tidak memiliki akaun Facebook.


Sebahagian daripada lepasan sekolah menengah itu percaya Lanza tidak menamatkan pembelajarannya. Seorang daripada teman sekelas Lanza, Matt Baier, berkata pemuda itu jelas tidak selesa apabila berada bersama orang ramai. "Bukan kerana orang lain memulaukan Lanza, tetapi nampaknya, orang membiarkan dia dengan dunianya," katanya. Bekas teman sekelas yang lain berkata, Lanza biasanya tidak menunjukkan sebarang emosi apabila sesiapa memandangnya. "Mungkin keadaan itu menyebabkan orang yang tidak memahami Lanza akan memandangnya dengan sinis," katanya. Pihak lain pula berkata, Lanza mengalami masalah gangguan tumbesaran didakwa Sindrom Asperger yang mempunyai kaitan dengan autisme. Pihak berkuasa pula berkata, siasatan masih dijalankan sama ada Lanza mengalami sebarang gangguan kesihatan. - NYT

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/15


Obama dikecam

Posted: 15 Dec 2012 04:28 AM PST

NEW YORK: Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg, mengecam Presiden Barack Obama semalam selepas Presiden Amerika Syarikat itu menggesa "tindakan bermakna" diambil ekoran keganasan di Newtown, Connecticut.

Dikenali sebagai aktivis yang cenderung mahu pemilikan senjata api dikawal, Bloomberg mengeluarkan kenyataan itu melalui Mayors Against Illegal Guns - pertubuhan diasaskannya bersama Datuk Bandar Boston, Thomas Menino.


"Obama bertindak betul menyatakan kesedihan kepada keluarga mangsa di Newtown, tetapi AS memerlukan dia menghantar undang-undang ke Kongres bagi mengatasi masalah ini," katanya. Menurut Bloomberg, menggesa supaya tindakan bermakna tidak mencukupi, sebaliknya semua pihak mahukan tindakan serta-merta. "Kita mendengar retorik sebelum ini. Apa yang kita tidak lihat ialah kepemimpinan, sama ada dari Rumah Putih atau Kongres," katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/15


‘Saya sangka kami tidak akan terselamat’

Posted: 15 Dec 2012 04:27 AM PST

NEWTOWN: Seorang guru mengakui dia ragu-ragu akan selamat keluar dari Sekolah Rendah Sandy Hook bersama muridnya kerana bunyi tembakan dilepaskan amat mengerikan.

Menurut Kaitlin Riog, dia dan muridnya bersembunyi dalam tandas sekolah berkenaan sejurus selepas mereka bertemu dalam suasana "penuh keriangan." "Ia sangat menakutkan dan saya terfikir, kami mungkin tidak selamat," katanya. Ketika tembakan bermula, kata Kaitlin, 29, mengajak muridnya - berusia enam dan tujuh tahun berlindung dalam tandas. Untuk memastikan semua 14 muridnya boleh bersembunyi di situ, sesetengah mereka terpaksa memanjat ke tempat lebih tinggi.


"Saya tak pasti jika penyerang akan datang. Saya cuma minta murid berdiam diri.

"Jika ada yang menangis, saya memujuk mereka. Saya terpaksa berpura-pura berani untuk meyakinkan murid, walaupun sebenarnya saya sendiri takut" katanya. Dalam kejadian itu, Adam Lanza, 20, menyerang sekolah berkenaan dan menembak mati 27 orang, termasuk 20 kanak-kanak, sebelum membunuh diri. Polis menerima panggilan kecemasan pada jam 9.41 pagi daripada seseorang yang mengaku bersembunyi dalam tandas.


Kata Kaitlin, dia berpesan kepada muridnya bahawa dia sangat menyayangi serta gembira berpeluang mengajar mereka.


"Saya katakan kepada mereka, jika kamu percaya kepada kuasa doa, mereka perlu berdoa bersama-sama.

"Jika kamu tidak percayakan doa, fikirkan apa saja yang menyeronokkan," katanya. - GMA

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/15


Lelaki Malaysia maut ditembak

Posted: 15 Dec 2012 04:26 AM PST

MANILA: Pasukan keselamatan Filipina membunuh seorang warga Malaysia didakwa pengganas yang cuba melakukan serangan bom di satu daripada bandar utama selatan negara itu, kata polis semalam.

Suspek, Mohd Noor Fikrie Abd Kahar, ditembak mati di luar sebuah hotel di Davao yang disewanya bersama isterinya, Anabelle Nieva Lee, seorang wanita Filipina, malam kelmarin.


Ketua Polis Davao, Ronald de la Rosa, berkata ketika pasangan itu dalam proses mendaftar keluar dari hotel kira-kira jam 10.30 malam, dia cuba merampas beg sandang dipakai wanita terbabit, manakala anggota lain menahan Mohd Noor.

Kata de la Rosa, polis percaya beg berkenaan mengandungi bom buatan sendiri.


"Namun, Mohd Noor melepaskan diri dan mengancam meletupkan bom berkenaan," katanya.


Memetik ancaman Mohd Noor, de la Rosa berkata, suspek berkata: "Kamu mahukan bom? Kamu mahukan bom? Tembak aku! Tembak aku! Aku akan letupkan bom ini!" Ketegangan itu, kata de la Rosa, memaksa polis dan orang ramai berundur untuk menyelamatkan diri.

Mohd Noor dan isterinya pula berlari ke jalan berhampiran hotel berkenaan sebelum berpelukan antara satu sama lain.


Kata de la Rosa, Mohd Noor menggenggam satu telefon bimbit dan mengancam untuk meletupkan bom dibawanya. "Suspek merampas beg sandang daripada isterinya dan berlari ke arah kawasan taman awam yang sesak dengan orang ramai, manakala isterinya ditahan polis," katanya. Pasukan keselamatan kemudian menutup kawasan berkenaan tetapi suspek kemudian berlari ke sebuah restoran yang ramai pelanggan.

Ketika itu, kata de la Rosa, penembak tepat melepaskan dua das tembakan ke dadanya.


"Dia tidak jatuh serta-merta, menyebabkan polis menembaknya lagi untuk membunuhnya," katanya. Bom dibawa Mohd Noor kemudian dimatikan.


Kata de la Rosa, bom itu diperbuat daripada mortar 60mm. Kata de la Rosa, polis menyiasat sama ada wujud sel pengganas di Davao.


"Bagaimanapun, ada kemungkinan suspek datang dari luar Davao dan dihantar ke sini untuk meletupkan bom berkenaan," katanya. Sementara itu, media tempatan mendakwa, suspek adalah anggota Jemaah Islamiyah. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/15


No comments:

Post a Comment