Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Buaya terjerat

Posted: 16 Dec 2012 01:01 PM PST

SARATOK: Sangkaan seorang nelayan dia menangkap ikan besar ketika menarik jaring dipasang di Sungai Krian, di sini, kelmarin meleset sebaliknya dikejutkan dengan kelibat seekor buaya sepanjang kira-kira 2.5 meter.

Zipni Jali, 42, berkata, ketika menarik jaringnya dengan dibantu anaknya, Faizal, 18, dia terasa sesuatu yang berat tersangkut pada peralatan menangkap ikan itu.


Katanya, pada mulanya dia menyangka ikan besar tersangkut pada jaring, namun terkejut apabila melihat seekor buaya katak terjerat dalam jaring berkenaan. "Saya amat terkejut kerana sepanjang umur hidup ini pertama kali buaya terjerat dalam jaring yang saya pasang," katanya ketika ditemui.

Menurut Zipni, Sungai Krian menjadi lubuk buaya terutama di sekitar Tanjung Kelimah namun setakat ini belum ada kes serangan ke atas penduduk dilaporkan.


Ketika ditanya apa yang dilakukan kepada buaya itu, Zipni berkata, buaya yang masih hidup itu dilepaskan sejurus jaring yang tersangkut pada mulut buaya itu dilucutkan.


"Saya tidak tahu apa lagi yang harus dilakukan dan saya tidak membunuhnya kerana saya percaya reptilia ini bersifat pendendam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/17


Hanya untuk pelanggan tetap

Posted: 16 Dec 2012 11:34 AM PST

KUALA LUMPUR: Tujuh wanita warga asing serta seorang warga tempatan ditahan Bahagian Maksiat, Kongsi Gelap dan Perjudian (D7) kerana melakukan aktiviti tidak bermoral ketika pemeriksaan biasa terhadap sebuah pusat hiburan haram di Jalan Pudu, di sini, kelmarin.

Dalam serbuan jam 1 pagi itu, dua lelaki tempatan turut ditahan selepas didapati berada dalam senarai dikehendaki kerana kes dadah di premis tiga tingkat berkenaan.


Menurut jurucakap polis, operasi berkenaan pada mulanya hanya bertujuan mengesan individu dikehendaki selain membuat pemeriksaan terhadap pusat hiburan.

"Ketika anggota polis menjalankan pemeriksaan di pusat hiburan itu, mereka menemui bilik dilengkapi tilam serta rak tuala, malah lebih mencurigakan puluhan kondom turut ditemui.


"Hasil semakan mendapati tiga dari wanita terbabit berasal dari China manakala tiga lagi dari Vietnam berusia 20-an yang semuanya menyalahguna pas lawatan sosial," katanya.


Menurutnya, siasatan awal mendapati pusat hiburan berkenaan menawarkan perkhidmatan seks hanya kepada pelanggan tetap.

Katanya, mereka yang ditahan termasuk seorang wanita tempatan dipercayai bertindak sebagai pengurus pusat hiburan itu dibawa ke IPD Dang Wangi untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/17


Pintu ada kod

Posted: 16 Dec 2012 11:34 AM PST

KAPAR: Walaupun sudah beberapa kali diserbu polis, tiga premis judi Internet masih beroperasi dan malam kelmarin, sekali lagi diserbu Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Serbuan melalui Ops Dadu jam 11.30 malam itu menyaksikan polis menyerbu tiga premis terbabit serentak iaitu dua di Jalan Pekan Baru manakala satu lagi di Jalan Batu Laut di sini, dipercayai beroperasi sejak tiga bulan lalu.


Bagi mengaburi pihak berkuasa, pelanggan tetap saja dibenarkan masuk melalui pintu belakang yang menggunakan sistem kunci berkod dikawal dari kaunter serta dipantau dengan kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di dalam dan luar premis. Pegawai Turus D7 IPK Selangor, Deputi Superintendan Rohan Shah Ahmad berkata, polis menahan sembilan lelaki tempatan berusia 21 hingga 53 tahun yang leka berjudi.

Menurutnya, turut ditahan penjaga premis iaitu tiga rakyat Indonesia termasuk seorang wanita serta dua lelaki Vietnam berusia 21 hingga 24 tahun.


"Pemeriksaan mendapati semua warga asing terbabit tidak memiliki permit kerja sah selain premis terbabit tiada lesen daripada pihak berkuasa.


"Polis juga merampas 51 komputer yang mempunyai perisian pelbagai permainan judi, termasuk slot dan rolex serta wang RM1,555," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, malam kelmarin.

Ketika serbuan itu, bekalan air dan elektrik semua premis yang diserbu dipotong dengan bantuan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Klang.


Menurut Rohan, tindakan memutuskan bekalan air dilakukan mengikut Seksyen 55 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 manakala pemotongan bekalan elektrik mengikut Seksyen 38(1A) Akta Bekalan Tenaga Elektrik 1990.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/17


‘Ayah tersepit dirempuh kepala treler’

Posted: 16 Dec 2012 11:32 AM PST

KOTA TINGGI: "Kenapa kereta tu? Itu pertanyaan terakhir arwah ayah ketika kami melihat sebuah Proton Saga putih tiba-tiba bergesel dengan sebuah treler sebelum kenderaan itu hilang kawalan lalu merempuh Proton Wira yang kami naiki.

"Kejadian berlaku sekelip mata dan sebaik kereta kami dirempuh kepala treler terbabit, saya dapati arwah ayah tersepit di tempat duduk pemandu," kata mangsa yang terselamat dalam kemalangan maut, Mohd Hasni Abdul Samah, 23.


Dalam kejadian jam 5 petang kelmarin, tiga pemandu kereta maut dalam kemalangan membabitkan empat kereta dan sebuah treler di Kilometer 44, Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi, di sini.

Mohd Hasni berkata, ketika kejadian, dia dan arwah bapanya, Abdul Samah Darmawi, 56, dalam perjalanan dari Kota Tinggi untuk pulang ke rumah mereka di Felda Kledang.


"Ketika itu, saya melihat dengan jelas Proton Saga putih itu memasuki laluan bertentangan.


"Keadaan itu menyebabkan treler di laluan bertentangan cuba mengelak sebelum bergesel Proton Saga itu dan merempuh kereta kami," katanya ketika ditemui di Hospital Kota Tinggi, malam kelmarin.

Menurutnya, keadaan bertambah buruk apabila geselan antara Proton Saga putih dengan treler terbabit mengakibatkan rantaian kemalangan kerana kedudukan empat kereta agak rapat.


"Alhamdulillah, saya hanya cedera ringan dan dalam keadaan kelam-kabut itu, saya sempat melihat arwah ayah tersepit di tempat duduknya namun sudah tidak sedarkan diri.

"Ternyata Tuhan lebih menyayangi ayah apabila dia meninggal dunia ketika dirawat di hospital. Kejadian ini sangat menyedihkan dan memberi kesan kepada saya kerana ia berlaku di depan mata, namun reda dengan apa yang berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/17


Kejar Mat Afrika

Posted: 16 Dec 2012 11:30 AM PST

PETALING JAYA: Seorang lelaki Afrika yang terbabit dalam kemalangan menyebabkan seorang penunggang motosikal maut dirempuh kereta dipandunya ditahan orang ramai ketika cuba melarikan diri berhampiran Plaza Tol Sungai Pechala di sini, awal pagi kelmarin.

Lelaki berusia 20-an itu dikatakan memecut Proton Saga BLM dipandunya ke arah plaza tol itu sebaik melihat mangsa dilanggarnya terbaring kaku.


Dalam kejadian jam 4.15 pagi itu, suspek dipercayai tersalah memasuki laluan di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) dan mengundur 200 meter secara melulu untuk keluar dari laluan terbabit.

Bagaimanapun, menurut jurucakap polis, tindakan suspek mengundang padah apabila merempuh penunggang motosikal yang baru memasuki laluan itu.


"Siasatan awal mendapati mangsa tidak sempat mengelak berikutan kereta berkenaan dipandu laju dan jaraknya ketika itu terlalu hampir dengan motosikal mangsa," katanya.


Katanya, penunggang motosikal itu dikenali sebagai Abdul Rahman Yusof @ Md Jani, 45, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

"Mendapati penunggang itu tidak bernyawa, suspek cuba melarikan diri dengan memecut keretanya ke arah plaza tol.


"Bagaimanapun kejadian itu dilihat beberapa pemandu lain lalu mereka mengejar keretanya tiga kilometer," katanya.

Katanya, kereta suspek dihalang berhampiran plaza tol itu dan lelaki Afrika berkenaan ditahan orang ramai yang menyerahkannya kepada polis peronda.


Difahamkan Abdul Rahman dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Selayang Baru, Batu Caves, selepas menemui rakan di Petaling Jaya.


Jurucakap polis berkata, keterangan saksi sudah diambil bagi membantu siasatan manakala mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.


Lelaki Afrika itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/17


Disengat ketika mandi

Posted: 16 Dec 2012 11:28 AM PST

ALOR GAJAH: Percutian sebuah keluarga ke Pantai Tanjung Bidara, Masjid Tanah, di sini, bertukar mimpi menakutkan apabila seorang daripada mereka menjadi mangsa sengatan obor-obor ketika mandi-manda di pantai berkenaan, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 11.50 pagi, Shafie Sulaiman, 16 tahun dari Bahau, Negeri Sembilan yang sedang mandi bersama keluarganya di pantai peranginan berkenaan, disengat obor-obor itu di bahagian belakang badannya.


Akibat sengatan itu, katanya, belakang badannya berasa seolah-olah terkena renjatan elektrik sebelum pedih dan gatal lalu berlari ke daratan serta menggelupur kesakitan.

"Saya dapat rasa seluruh badan mula gatal dan membengkak di beberapa bahagian sebelum sesak nafas hingga sukar menjerit mendapatkan bantuan kecemasan," katanya di sini, semalam.


Katanya, kejadian itu disedari anggota Penyelamat Pantai, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), yang bertugas tidak jauh dari situ.


Menurutnya, anggota JPAM terus melumur seluruh badannya dengan cuka dan losyen khas membuatkan dirinya berasa sedikit lega.

Sementara itu, Ketua Menara Penyelamat Pantai JPAM, Mohd Hairil Md Nasir ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, beliau bersama lima anggota mendapatkan mangsa yang hampir pitam dalam keadaan menggelupur sebelum merawat mangsa.


"Kami tenangkan mangsa yang kesakitan menahan kepedihan dan kegatalan akibat terkena sengatan obor-obor sebelum diberi bantuan.

"Anggota JPAM mengambil masa kira-kira 15 minit untuk merawat sebahagian badan mangsa yang membengkak sehingga keadaan reda sebelum mangsa memberitahu dia mampu menggerakkan badan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/17


Sedar lepas 5 hari koma

Posted: 16 Dec 2012 11:28 AM PST

TANJUNG PIANDANG: "Saya bagaikan mati hidup semula." Itulah kata-kata diluahkan seorang mangsa patukan ular tedung selar, Muhammad Zahid Yahaya, 20, yang tersedar selepas koma lima hari di Hospital Besar Teluk Intan.

Sebelum ini, mangsa dipatuk ular dalam kejadian jam 5.30 petang 30 November lalu ketika menyembur racun di sawah bapanya di Kampung Parit Tanjung Piandang, di sini.


"Mungkin kerana terkejut, ular itu terus mematuk ibu jari kanan kaki saya menyebabkan saya mengalami kesakitan amat teruk. Saya berlari pulang ke rumah sejauh 300 meter untuk mendapatkan bantuan.

"Sebaik tiba di halaman rumah, saya menjerit meminta pertolongan namun rebah dan tidak sedarkan diri. Abang saya Zaili, 32, kemudian bergegas menghantar saya ke klinik kesihatan Tanjung Piandang untuk rawatan," katanya di sini, semalam.


Dia dikejarkan ke Wad Kecemasan Hospital Parit Buntar untuk rawatan lanjut sebelum dipindahkan ke Hospital Besar Teluk Intan.


Menurut ibunya, Siti Rohani Brahim, 51, ketika anaknya tiba di Hospital Besar Teluk Intan, doktor memaklumkan peluang untuk anaknya hidup amat tipis kerana keadaannya begitu kritikal.

"Luluh hati saya apabila doktor berkata sedemikian dan hampir setiap masa, saya tidak henti-henti berdoa, berzikir dan solat hajat meminta kepada Allah memanjangkan nyawanya serta kembali pulih seperti biasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/17


‘Kemaruk jadi PM’

Posted: 16 Dec 2012 11:27 AM PST

SANDAKAN: Pemimpin pembangkang hanya petah bercakap seperti penjual ubat, tetapi belum tentu membawa kebaikan kepada rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, setiap apa dijanjikan pembangkang tidak boleh dipegang kerana tiada tindakan susulan dibuat pihak pembangkang yang pandai berjanji, tetapi tidak pernah ditunaikan.


"Kita tertarik dengan cara dia (pemimpin pembangkang) bercakap, cara dia jual ubat sehingga terpedaya, tetapi bila beli ubatnya belum tentu berkesan.

"Kalau ada pemimpin yang datang hanya kerana dia petah bercakap, tetapi apa yang disampaikan untuk kita belum tentu dapat menunaikan janjinya," katanya ketika Majlis Bersama Rakyat Parlimen Batu Sapi dan majlis pecah tanah Masjid Lupak Meluas, di sini, semalam.


Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Ahli Parlimen Batu Sapi, Datin Linda Tshen Thau Lin; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekong, Datuk Samsudin Yahya dan Adun Karamunting, Datuk Peter Pang En Yin.


Najib berkata, seseorang pemimpin itu boleh dinilai ketika mereka mempunyai kuasa untuk menjalankan tanggungjawab kepada rakyat.

"Waktu ada kuasa, kita boleh menilai kepimpinan, jasa pemimpin dan lihat sama ada dia (pemimpin) mampu menangani krisis atau masalah khususnya membabitkan rakyat.


"Ini soal masa depan, perjuangan kita bukan terhad kepada individu saja sebaliknya berjuang untuk rakyat," katanya.

Najib juga berkata, pilihan raya bukan satu percubaan kerana ia berkaitan masa depan generasi akan datang.


"Terlalu bahaya jika mempertaruhkan masa depan kita kepada orang yang cuma jual janji, tetapi tidak berkemampuan menepatinya.


"Masa depan kita terlalu besar nilainya dan jangan kita pertaruhkannya kepada orang yang kemaruk mahu menjadi PM (Perdana Menteri) kerana ia sangat bahaya," katanya.


Menurutnya, Malaysia adalah satu-satunya negara mencapai kadar pertumbuhan sangat baik berbanding negara lain yang berdepan masalah hutang dan pertembungan politik.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/17


RM5j bina masjid baru

Posted: 16 Dec 2012 11:26 AM PST

SANDAKAN: Pembinaan masjid baru Lupak Meluas, di sini, bernilai RM5 juta mendapat pelbagai reaksi positif di kalangan masyarakat tempatan khususnya penduduk beragama Islam di Parlimen Batu Sapi.

Imam Kampung Lupak Meluas, Amil Ampilani, 57, berkata, pembinaan masjid baru itu membuktikan usaha kerajaan menyediakan rumah ibadat kepada penduduk yang majoritinya beragama Islam.


"Masjid sedia ada di kampung ini akan sesak dan tidak mampu lagi menampung bilangan jemaah terutama ketika hari raya.

"Penduduk terpaksa menunaikan solat di luar masjid sehingga ke jalan raya kerana masjid sedia ada terlalu kecil," katanya ketika ditemui ketika upacara pecah tanah Masjid Baru Lupak Meluas, di sini, semalam.


Majlis itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/17


Komponen BN perlu jujur capai wawasan

Posted: 16 Dec 2012 11:26 AM PST

SANDAKAN: Kerajaan tidak mengharapkan kemenangan semata-mata ketika Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang, tetapi juga mahu memastikan hala tuju, semangat dan masa depan negara terus utuh dalam usaha mencapai Wawasan 2020.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, bagi mencapai matlamat itu, setiap parti komponen perlu bersikap jujur tidak kira sama ada ia parti (komponen) kecil atau besar dalam Barisan Nasional (BN).


"BN boleh diibaratkan seperti sebuah keluarga yang mempunyai 13 anak (parti komponen) yang perlu dilayan secara sama rata.

"Bila ada 13 anak, bukan mudah untuk menguruskan segala-galanya demi memberi kepuasan kepada semua," katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung ke-23 Parti Liberal Demokratik (LDP), di sini, semalam.


Hadir sama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal; Presiden LDP, Datuk Liew Vui Keong dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed.


Najib berkata, sekiranya beliau menjadi 'bapa' sudah pasti sukar baginya untuk memastikan 13 anak itu berpuas hati.

"Sikap tolak ansur dan faham memahami perlu bagi membolehkan setiap ahli keluarga hidup dalam keadaan bahagia.


"Kita perlu yakin dan percaya BN adalah pilihan terbaik rakyat dan tiada masa lagi untuk bertelagah (sesama sendiri)," katanya.

Menurut Najib, dengan baki masa yang ada kini kerajaan perlu memastikan segala urusan sudah diselesaikan.


"Ibarat pasukan bola sepak, jika salah seorang pemain kena red card (kad merah), satu pasukan akan kalah seperti berlaku baru-baru ini," katanya.


"Yang lemah perlu dibantu dan sekiranya tidak yang kuat (parti komponen) juga akan tetap kalah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/17


No comments:

Post a Comment