Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Kate hamil anak kembar?

Posted: 04 Dec 2012 09:48 AM PST

LONDON: Putera William dan isterinya, Catherine, bakal menimang cahaya mata, sekali gus melanjutkan senarai pewaris takhta dalam sistem monarki Britain.

Pengumuman rasmi mengenai kehamilan Catherine lebih dikenali sebagai Kate itu dibuat pejabat William semalam.


"Duke dan Duchess of Cambridge (gelaran untuk William dan Catherine) berbesar hati mengumumkan bahawa Duchess of Cambridge kini hamil," katanya.

Kenyataan itu juga menyebut, Ratu Elizabeth dan keluarga diraja begitu gembira dengan kehamilan berkenaan.


Sementara itu, laporan mendakwa, Kate kini dirawat di hospital kerana menghadapi masalah muntah-muntah dan loya akut.


Gejala itu kadang-kadang membayangkan seseorang wanita mengandung anak kembar. William dan Kate berkahwin pada April tahun lalu dan sebahagian majalah gosip di Amerika Syarikat (AS) melaporkan, pasangan terbabit mungkin hamil ketika itu.

Penulis biografi Kate, Claudia Joseph, berkata sebenarnya pengesahan kehamilan itu memang ditunggu-tunggu ramai.


"Ia hanya menunggu masa untuk diumumkan," katanya. Sementara itu, jurucakap pasangan terbabit berkata, Kate berehat di Hospital King Edward VII di tengah London kerana mengalami Hyperemesis Gravidaru yang menyebabkan dia mengalami masalah muntah-muntah yang kronik.

Gejala itu juga memaksa Kate mengambil ubat serta khasiat tambahan.


Laman sesawang Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan Britain menyatakan, keadaan seperti dialami Kate itu memang lazim dialami seseorang wanita di peringkat awal kehamilan.


Bagaimanapun, kata laman sesawang itu, ia tidak membahayakan kandungan.


Perunding sakit puan di Universiti Bristol. Prof Tim Draycott, berkata keadaan dialami itu mungkin menandakan pasangan William dan Kate bakal menimang anak kembar. "Hyperemesis lebih sering dialami ibu yang mengandung anak kembar," katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/05


Budak cedera Blackberry meletup

Posted: 04 Dec 2012 09:46 AM PST

LONDON: Seorang budak lelaki terpaksa menanggung parut pada kaki seumur hidup apabila telefon Blackberry baru milik abangnya meletup ketika dia tidur.

Kian McCreath, 11, menjerit kesakitan di awal pagi apabila kepingan plastik cair dari telefon itu melekat pada kakinya.


Katil McCreath juga terbakar akibat letupan itu. Budak sekolah dari Coventry itu berkata, dia berlari keluar dari bilik tidur sambil menjerit sekuat hati kerana terkejut serta sakit.

"Nasib baik ibu saya cepat sedar dan segera memadamkan api di katil," katanya. Ibu McCreath, Sarah, 39, berkata dia terjaga kira-kira jam 2.30 pagi kelmarin apabila terdengar jeritan anaknya. Budak itu kemudian dikejarkan ke Hospital Universiti Coventry dan dirawat kerana kesan melecur pada kedua-dua kakinya. Blackberry itu kepunyaan abang McCreath, Mason, 13, dan baru saja dicabut dari pengecasnya sejurus sebelum meletup.


Sementara itu, jurucakap pengeluar Blackberry berkata, kes itu diberi perhatian serius.


"Kami menjadikan siasatan insiden itu sebagai keutamaan," katanya. - TS

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/05


Artis forensik ramal wajah pewaris takhta Britain

Posted: 04 Dec 2012 09:45 AM PST

WASHINGTON: Ketika Britain ternanti-nanti kehadiran anak Putera William dan Catherine (Kate), seorang artis forensik tampil meramalkan wajah bakal pewaris Istana Buckingham itu, semalam.

Joe Mullins menggunakan semua sifat terbaik yang ada pada pasangan diraja itu sebelum digabungkan menggunakan teknologi terkini untuk membentuk wajah yang mungkin ada pada anak mereka di peringkat awal tumbesarannya.


Dengan mata biru, kulit cerah dan rambut hitam Kate, anak yang bakal dilahirkan itu mungkin cukup comel. Jika William dan Kate mendapat anak lelaki, dia dijangka banyak mengambil sifat bapa.

Mullins turut mengambil kira bentuk telinga dan rambut nipis William yang dikenali ramai itu.


Jika Kate hamil anak perempuan, bayi itu akan lebih kelihatan seperti dirinya dengan dahi yang agak tinggi, muka bujur sirih dan berambut perang panjang. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/05


Taufan Bopha ragut 52 nyawa

Posted: 04 Dec 2012 09:45 AM PST

MANILA: Ribut taufan Bopha meragut 52 nyawa di mana 43 daripadanya berlaku di sebuah bandar yang rosak teruk akibat bencana alam itu, semalam, lapor berita televisyen tempatan, ABS-CBN.

Wartawan, Vina Araneta berkata, "Saya mengira ada 43 mayat di atas lantai bangunan kerajaan di bandar New Bataan, Mindanao."

Pegawai yang sebelum ini tidak dapat mengesahkan laporan berita televisyen itu berkata, lapan orang terbunuh disebabkan taufan yang melanda.

Wartawan itu berkata, Datuk Bandar, Lorenzo Balbin memberitahunya, mangsa adalah dari kampung berdekatan di mana banjir kilat menyebabkan pangkalan rondaan Tentera Filipina, dihanyut air.


Jurucakap Tentera Wilayah Selatan, Leftenan Kolonel Lyndon Paniza berkata, seorang anggota tentera mati lemas di New Bataan tetapi berkata, pihak berkuasa tentera tidak tahu berapa ramai penduduk terbunuh akibat taufan itu.


"Pangkalan tentera di sana musnah. Ia terletak di kawasan pergunungan," kataPaniza.

Gabenor Lembah Campostela, Arturo Uy berkata, pegawai tempatan memberitahunya, 34 mangsa terbunuh di New Bataan.

"Ada kemungkinan jumlah mangsa meningkat," katanya.

Uy sebelum ini berkata, sebuah trak tentera yang membawa anggota tentera dan orang awam di New Bataan dihanyutkan air.

Presiden Benigno Aquino telah meminta penduduk dipindahkan segera.

"Kekuatan taufan Bopha bukanlah sesuatu yang boleh diambil mudah. Ia dianggap sebagai taufan paling kuat melanda negara ini tahun ini," katanya.

Setiap tahun, 20 taufan melanda Filipina dan sebahagian daripadanya menyebabkan malapetaka.

Taufan Bopha merupakan taufan ke-16 melanda Filipina, tahun ini.

Ogos lalu, hampir 100 orang terbunuh dan lebih satu juta lagi hilang tempat tinggal akibat ribut taufan dan banjir besar. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/05


Ketua Polis Trafik dituduh terima rasuah RM609,000

Posted: 04 Dec 2012 09:44 AM PST

JAKARTA: Bekas Ketua Polis Trafik ditahan kerana terlibat dalam kes rasuah berjuta dolar, skandal rasuah terbaru yang melibatkan pasukan polis negara ini.

Suruhanjaya Menentang Rasuah (KPK) berkata, mereka telah menahan bekas Ketua Divisyen Trafik Djoko Susilo kelmarin kerana "disyaki menyalahguna kuasa" dalam kes melibatkan tender simulator memandu bernilai AS$21 juta (RM64 juta).

Jurucakap KPK, Johan Budi berkata, "Kami akan menyoal siasat beliau selama 20 hari dan sekiranya bukti kukuh ditemui, kami akan membawa kes ini ke mahkamah."

KPK menuduh Susilo menerima lebih AS$200,000 (RM608,733) untuk menyokong satu pembida. - Jakarta Post

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/05


Tanam sayur di Marikh

Posted: 04 Dec 2012 09:31 AM PST

BEIJING: Angkasawan China bersedia menanam sayur segar di Marikh dan bulan selepas pengkaji berjaya menamatkan ujian awal di Beijing, lapor agensi media Xinhua.

Empat jenis sayur ditanam dalam "sistem sokongan hidup ekologi", iaitu kabin seluas 300 kubik meter yang membenarkan angkasawan membina sendiri stok udara, air dan makanan ketika dalam misi angkasa lepas.

Sistem itu yang bergantung kepada tanaman dan lumut "dijangka digunakan di pangkalan dataran di bulan atau planet Marikh."

Peserta dalam eksperimen itu boleh "menuai sayur segar untuk dimakan," lapor Xinhua yang memetik kata-kata pengkaji Deng Yibing dari Pusat Kajian dan Latihan Angkasawan China.


Laporan itu menyatakan, angkasawan China mungkin dapat makan sayur segar dan bekalan oksigen dari tempat tanaman di pangkalan planet biru di masa depan.


Laporan itu menambah, ia adalah eksperimen pertama dibuat di China.

China berkata, ia akan mendaratkan kenderaan eksplorasi di bulan buat pertama kali, tahun depan.

Ia sebahagian program angkasa lepas termasuk rancangan jangka panjang untuk mendaratkan angkasawan di bulan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/05


Nokia jual bangunan ibu pejabat

Posted: 04 Dec 2012 09:30 AM PST

HELSINKI: Nokia Corp bercadang menjual ibu pejabatnya dekat ibu negara Finland kepada pelabur hartanah dengan harga 170 juta euro (RM677 juta) dalam usaha syarikat telefon bimbit itu untuk mengurangkan kos.

Pegawai Kewangan syarikat itu, Timo Ihamuotila berkata, urusan itu akan selesai akhir bulan ini.

Ia selaras dengan sasaran mereka untuk mengurangkan aktiviti bukan teras, dan menambah Nokia akan terus beroperasi dari ibu pejabat Espoo "dalam jangka masa panjang."

Syarikat Finland itu mula beroperasi di bangunan kaca dan keluli dikenali sebagai Nokia House sejak 1997.


Pengumuman semalam itu dibuat ketika syarikat menghadapi persaingan sengit dalam pasaran telefon bimbit pintar.


Bekas syarikat pembuat telefon nombor satu dunia kini kalah dengan syarikat Samsung Electronics dan Apple Inc. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/05


Vienna bandar paling berkualiti dunia

Posted: 04 Dec 2012 09:30 AM PST

VIENNA: Ibu negara Austria menawarkan kehidupan paling berkualiti berbanding bandar lain di dunia, manakala Baghdad pula yang terburuk, menurut kajian global terbaru oleh kumpulan perunding Mercer.

Vienna yang mempunyai 1.7 juta penduduk mendapat tempat pertama dalam kajian itu untuk empat tahun berturut-turut kerana mempunyai pelbagai budaya, penjagaan kesihatan komprehensif dan harga rumah sederhana tetapi semakin meningkat.

Seni bina unik dari zaman empayar Habsburg menjadikan bandar ini tarikan pelancong manakala tiket pengangkutan awam hanya 1 euro (RM4) sehari. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/05


No comments:

Post a Comment