Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Sembur cat

Posted: 08 Dec 2012 04:45 AM PST

KAJANG: Dua kamera Sistem Penguatkuasa Automatik (AES) yang dipasang di Kilometer (KM) 301.5 Lebuhraya Utara- Selatan arah Bangi menuju Kajang, di sini, disembur cat merah, dipercayai angkara sabotaj, semalam.

Pihak berkuasa percaya kejadian dilakukan sekumpulan individu antara jam 12 tengah malam hingga 6 pagi.


Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab ketika dihubungi berkata, pihaknya hanya dimaklumkan mengenai kejadian itu jam 2.30 petang semalam.

Menurutnya, ketika rondaan terakhir di kawasan berkenaan jam 8 malam kelmarin, kamera AES itu berada dalam keadaan baik.


"Saya percaya ada pihak hendak mensabotaj kerana seperti diketahui umum, ada individu tidak berpuas hati dengan pemasangan kamera AES," katanya.


Ab Rashid bagaimanapun berkata, sehingga kini pihaknya belum menerima laporan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mahupun mana-mana pihak berkaitan.

Ditanya mengenai keberkesanan pemasangan kamera AES di kawasan itu, Ab Rashid berkata, sejak dipasang, tiada kemalangan dilaporkan berlaku di situ.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/09


Sorok di rumah saudara

Posted: 08 Dec 2012 04:08 AM PST

SHAH ALAM: Polis masih mengesan bapa tiri kepada seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang dirogol lebih 20 kali sejak setahun lalu.

Difahamkan, suspek berusia 45 tahun itu kini dipercayai bersembunyi di sebuah rumah milik ahli keluarganya di Kapar, Klang, selepas menyedari dirinya menjadi buruan polis.


Polis akan mengumpul maklumat untuk mendapatkan alamat lengkap rumah berkenaan bagi membolehkan suspek ditahan dalam masa terdekat.

Sebelum ini, suspek melarikan diri menggunakan motosikal jenis Yamaha LC selepas mengetahui isteri dan mangsa membuat laporan polis.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/09


Dipenjara bunuh kekasih isteri

Posted: 08 Dec 2012 04:07 AM PST

MELBOURNE (Australia): Gara-gara ingin menebus maruah keluarga, seorang lelaki terpaksa akur apabila dihukum penjara maksimum 23 tahun kerana didapati bersalah membunuh kekasih isterinya, dua tahun lalu.

Australian Associated Press (AAP) melaporkan, Hakim David Davies menjatuhi hukuman itu terhadap Hazairin Iskandar, 58, kerana membunuh Mohd Shah Saemin, yang berasal dari Melaka. Hazairin Iskandar diperintah menjalani hukuman penjara minimum 17 tahun.


Mohd Shah meninggal dunia akibat diserang Hazairin dan anak lelakinya, Andrew, di luar rumah pangsa Leichhardt, tempat tinggal Mohd Shah di Sydney, pada malam 21 Februari 2010.

Hazairin yang berasal dari Indonesia, menikam Mohd Shah sekurang-kurangnya empat kali dengan sebilah pisau, manakala anaknya pula memukul mangsa dengan tukul.


Mahkamah diberitahu, Mohd Shah yang bertugas sebagai pemandu di pejabat konsul Malaysia di Sydney, menjalin hubungan sulit dengan isteri Hazairin, Nita Iskandar yang bekerja di tempat sama.


Dalam keterangannya, Hazairin memberitahu mahkamah, perbuatan Mohd Shah mengaibkan keluarganya.

Hazairin berkata, dia membunuh Mohd Shah untuk memelihara maruah keluarganya.


Pada Mac tahun ini, Andrew dihukum penjara sekurang-kurangnya 18 tahun kerana pembunuhan itu, manakala Nita dikenakan ikat jamin berkelakuan baik selama dua tahun kerana mempunyai kaitan dengan jenayah itu.

Nita yang hadir di mahkamah menangis apabila hakim menjatuhi hukuman itu.


Ketika menjatuhi hukuman itu, Hakim Davies berkata, Hazairin menunjukkan rasa insaf atas tindakannya itu dan akan 'mencapai usia lanjut' apabila layak mendapat parol kelak.


Kata beliau lagi: "Ini adalah satu pembunuhan kejam dan si mati tentu berasa terseksa sebelum menemui ajalnya." Berdasarkan hukuman yang dijalaninya, Hazairin layak mendapat parol pada Februari 2027. Andrew pula layak mendapat parol pada Mei 2028. — Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/09


Terkejut lihat bumbung terbang

Posted: 08 Dec 2012 04:07 AM PST

KULIM: "Ketika kejadian, saya berehat di ruang tamu bersama dua anak perempuan selepas pulang daripada kerja, selain berasa tidak sedap hati berikutan hujan lebat dengan disertai angin kencang mengakibatkan rumah bergegar.

"Pada masa sama, saya hanya memikirkan keselamatan anak iaitu Danisya Hawa Asyikin, 3, dan Nor Danisya Hawa Afifah, lapan bulan, yang berada dalam pangkuan," kata Mohd Firdaus Mohd Razali, 28, apabila rumah mentuanya mengalami kerosakan bumbung dalam kejadian ribut, kelmarin.


Kejadian jam 5 petang di Kampung Keda Bagan Sena, Labu Besar, dekat sini, turut mengakibatkan lapan rumah rosak, termasuk bumbung diterbangkan angin.

Mohd Firdaus yang juga pemandu lori berkata, dia bersama isteri, Rohani Saad, 26, dan ibu mentuanya, Halimah Abdul Wahab, 60, selain dua anaknya dan seorang adik ipar berada di rumah, manakala bapa mentuanya, Mat Saad Yahya, 61, berada di kedai kopi berhampiran.


"Dalam keadaan angin kencang dan hujan lebat, tiba-tiba rumah saya bergegar dan terdengar bunyi dentuman kuat apabila bumbung ruang tamu turut diterbangkan angin.


"Kami terkejut sebelum saya mendukung Nor Danisya Hawa Afifah dan terus mencapai tangan Danisya Hawa Asyikin serta mengarahkan isteri, ibu mentua dan ahli keluarga lain menyelamatkan diri dengan berlindung di dapur.

"Dalam keadaan kelam kabut, kami bersyukur kerana terselamat serta tidak cedera, walaupun semua perkakas dan perabot di dalam rumah basah manakala dapur dibanjiri air hujan," katanya.


Mohd Firdaus berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan dan bantuan segera daripada Penyelaras Parlimen Padang Serai, Dr Chin Tung Leong, semalam.

Turut hadir, Ketua Pemuda Umno Bahagian Padang Serai, Asmadi Abu Talib.


Sementara itu, Mat Saad berkata, dia terkejut apabila jiran memaklumkan bumbung rumah tercabut lalu berlari pulang ke rumah.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/09


Lembu tenusu tidak wujud

Posted: 08 Dec 2012 04:06 AM PST

IPOH: Seorang pensyarah kanan berputih mata dan kerugian lebih RM30,000 apabila mendapati skim lembu tenusu yang disertainya menerusi sebuah syarikat Ogos tahun lalu tidak pernah wujud.

Mangsa menyertai program pelaburan itu selepas mendaftar skim berkenaan di sebuah gerai pameran yang di buka di sebuah pasar raya di sini, pertengahan Jun tahun lalu.


Lebih mengelirukan, mangsa dikenali sebagai Loo Leong Peng (gambar), 56, yang juga pensyarah di Politeknik Premier Ungku Omar itu turut dijanji jaminan pulangan pelaburan mencecah RM170,000 bagi tempoh lapan tahun.

Bagaimanapun, selepas 11 bulan menyertai skim berkenaaan, dia mula mengesyaki dirinya tertipu selepas dimaklumkan lembu tenusu miliknya berasal dari Australia itu mati.


Leong Peng berkata, dia meminta syarikat berkenaan menggantikan lembunya yang mati itu namun, tidak diendahkan selain tuntutan kerugiannya juga tidak dilayan.


Beliau berkata, syarikat berkenaan berjanji untuk menggantikan lembu miliknya dalam tempoh enam bulan namun, ia hanya janji palsu.

"Saya cuba menghubungi syarikat berkenaan bagi mendapatkan penjelasan sebenar namun, panggilan tidak berjawab sebelum satu laporan polis dibuat di Balai Polis Pekan Baru, semalam (kelmarin)," katanya ketika ditemui pada sidang media dibuat di pejabat Biro Aduan dan Khidmat MCA Perak di sini semalam.


Hadir sama Pengerusi Biro Aduan dan Khidmat MCA negeri, Datuk Lee Kon Yin.

Katanya, sebelum membuat keputusan melabur dalam skim berkenaan, dia sudah melakukan pemantauan peribadi terhadap syarikat berkenaan termasuk melayari laman web milik syarikat itu.


"Saya mendapati laman web syarikat itu memaparkan pelbagai maklumat mengenai skim berkenaan termasuk carta pulangan pelaburan, gambar lembu yang diternak serta ladang ternak yang luas beroperasi di Kluang, Johor itu.


"Saya mendaftar skim itu selepas yakin dengan kemampuan syarikat berkenaan dan percaya potensi pasaran susu lembu di peringkat domestik dan antarabangsa," katanya.


Sementara itu, Kon Yin berkata, dia mahu mangsa lain yang berdepan nasib sama seperti Leong Peng supaya dapat tampil membuat laporan bagi membolehkan satu siasatan terperinci dilakukan.


"Kami akan membantu mangsa membuka fail aduan bagi menuntut ganti rugi daripada syarikat. Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai skim haram itu boleh menghubungi pejabat biro aduan di talian 05-2536981 atau 05-2538455.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/09


Dua dicekup jual air ketum

Posted: 08 Dec 2012 04:05 AM PST

KANGAR: Cubaan dua lelaki termasuk seorang remaja cuba mengaut keuntungan mudah dengan menjual air ketum berakhir apabila diserbu Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) di Kampung Rama, Jalan Kuala Sanglang, di sini, kelmarin.

Serbuan dilakukan kira-kira jam 5 petang oleh sepasukan tujuh anggota diketuai Komander UPP Kuala Perlis, Inspektor Azizan Saman selepas menerima maklumat awam.


Azizan berkata, pihaknya menahan dua lelaki berusia 23 dan 17 tahun sebelum membawa kepada penemuan dua guni dan satu beg plastik hitam mengandungi daun ketum seberat 10 kilogram, selain menemui empat botol berisipadu 1.5 liter mengandungi air ketum sudah diproses.

"Pemeriksaan lanjut kemudian menemui 70 peket plastik lutsinar mengandungi air ketum di dalam tong ais berwarna oren dipercayai mahu dijual kepada pelanggan di kawasan sekitar.


"Selain itu, pihak UPP turut menemui 12 botol berisi cecair berwarna gelap disyaki ubat batuk untuk dicampur ke dalam air ketum berkenaan," katanya ketika ditemui.anya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/09


Kecoh akibat monyet

Posted: 08 Dec 2012 04:04 AM PST

MUAR: Sebuah pasar raya di bandar ini kecoh apabila sekumpulan monyet menceroboh masuk ke dalam stor simpanan barangan premis berkenaan, petang semalam.

Kumpulan hampir 20 monyet itu bukan saja menggeledah barangan, malah turut membuka bungkusan makanan menyebabkan stor berselerak.


Kehadiran haiwan itu hanya disedari dua pekerja stor pasar raya berkenaan pada jam 1 tengah hari ketika mereka mahu keluar makan.

Pekerja yang mahu dikenali sebagai Mat, berusia lingkungan 20-an berkata, ketika melintasi stor, dia berasa pelik apabila mendapati beberapa kotak barangan berterabur di atas lantai.


Kata Mat, pada mulanya dia menyangka barangan itu terjatuh kerana diletakkan di tempat tinggi namun sangkaannya salah.


"Saya tidak sedap hati dan terfikir untuk memeriksa bahagian lain dan mendapati ia juga berselerak. Saya terus memanggil seorang rakan untuk melakukan pemeriksaan di stor.

"Sebaik saja membuka pintu stor, kami terkejut melihat sekumpulan monyet sedang menggeledah kotak berisi makanan, kami halau haiwan terbabit namun gagal," katanya.


Menurut Mat, dia kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepada pengurusan pasar raya sebelum mereka menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Daerah Muar untuk mendapatkan bantuan.

Sebagai langkah keselamatan, pengurusan pasar raya mengambil keputusan menutup pintu stor yang menghubungkannya dengan pasar raya bagi mengelak haiwan itu lari ke bahagian lain.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/09


Kereta ‘meluncur’ bawah lori

Posted: 08 Dec 2012 04:04 AM PST

NILAI: "Saya memandu lori di lorong perlahan untuk mendaki bukit sebelah kiri jalan sebelum tiba-tiba merasakan nampak benda meluncur laju diikuti hentakan kuat. Saya terkejut apabila sebuah kereta berada di bawah kepala lori," kata pemandu lori, Hamid M Sah, 39, yang kenderaannya dipercayai dirempuh dengan laju sebuah kereta Proton Saga BLM, di Batu 8 Jalan Seremban-Mantin, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, pemandu kereta Proton Saga BLM itu, warga Afrika yang belajar di Kolej Lynton, di sini, Jatau Shadrach, 22, mati serta merta di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah tersepit di tempat duduk pemandu.


Hamid yang mengalami kecederaan ringan di dahi sebelah kanan dan tangan kanan dirawat sebagai pesakit luar Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, kemalangan itu berlaku terlalu pantas dan dia memang tidak perasan terdapat sebuah kenderaan meluncur laju dari atas bukit.

"Sebaik hentakan berlaku, saya terkedu sebelum pengguna jalan raya lain membantu mengeluarkan saya daripada lori. Saya pening mungkin terhantuk di cermin hadapan lori. Bomba kemudian tiba mengeluarkan pemandu kereta yang tersepit.


"Ketika dentuman itu, saya hanya ingat Tuhan. Selain itu saya terus ingat isteri dan empat anak di rumah," katanya yang ketika itu mahu pulang ke rumahnya di Senawang selepas menghantar barang komponen ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/09


‘Cahaya di tingkat atas’ rupanya api

Posted: 08 Dec 2012 04:03 AM PST

TASEK GELUGOR: Tiga beranak yang bersiap untuk menikmati sarapan dikejutkan dengan cahaya pelik di tingkat atas sebelum menyedari api sudah menjilat tilam dalam bilik di Bagan Tambang, Teluk Air Tawar, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 pagi itu, penghuni rumah berkenaan, Zainab Ibrahim, 65, anaknya, Azhani Johan, 40, dan cucu, Mohd Khairul Azmi, 14, berada di tingkat bawah untuk menikmati sarapan manakala suami Zainab, Johan Yahya, 64, berada di surau tidak jauh dari rumah.


Menurut Azhani, sebelum kejadian, berlaku litar pintas sebelum ibunya berasa pelik berikutan ada cahaya di tingkat atas.

"Mulanya, saya tidak pasti punca cahaya berkenaan lalu naik membuat pemeriksaan sebelum terkejut apabila mendapati tilam di dalam bilik sudah dijilat api.


"Saya cuba padam api, tetapi gagal kerana ia merebak dengan cepat di tingkat atas," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.


Cemas dengan kejadian itu, tiga beranak berkenaan hanya memikirkan untuk menyelamatkan diri dan mengeluarkan laci mengandungi dokumen penting sebelum keluar rumah.

Azhani hanya sempat mengalih kereta Proton Wira bagi mengelakkannya disambar api yang sudah marak ke tingkat bawah manakala Mohd Khairul yang masih terpinga-pinga bergegas memanggil datuknya di surau bagi memaklumkan kejadian.


Johan berkata, dia tergamam sebaik diberitahu cucunya bahawa rumah mereka terbakar lalu bergegas pulang.

"Sebaik sampai saya dapati api sudah marak di semua bahagian rumah dan hanya mampu melaungkan azan. Tiada apa yang dapat dilakukan kecuali hanya melihat rumah menjadi arang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/09


Tepuk bahu, emas lesap

Posted: 08 Dec 2012 04:02 AM PST

MUKAH: "Bahu saya ditepuk tiga kali oleh wanita tidak dikenali dan hanya tersedar beberapa minit kemudian sebelum mendapati barang kemas dipakai lesap," kata seorang wanita warga emas yang disyaki dipukau tiga beranak ketika berada di pasar lama Mukah, di sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 10 pagi itu menyebabkan Dew Jabar, 70, kerugian hampir RM10,000 apabila barang kemas serta wang tunai dilarikan tiga beranak terbabit.


Mangsa berkata, sebelum kejadian, dia ditemani suaminya, Laiseh Keri, 73, ke pasar berkenaan untuk membeli barangan keperluan sebelum disapa seorang wanita berusia 40-an bertanyakan mangsa mengenai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

"Wanita terbabit menawarkan diri membantu membuat permohonan BR1M sebelum membawa saya ke bangunan kerajaan tidak jauh dari lokasi kejadian. Dia (wanita) tidak membenarkan suami ikut sama, malah saya dibawa ke tempat lain iaitu ke sebuah hotel.


"Ketika itu, saya dibawa menaiki kereta berwarna emas yang dipandu seorang lelaki berusia 40-an selain terdapat seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dalam kenderaan berkenaan. "Saya dalam keadaan separuh sedar selepas bahu saya ditepuk tiga kali oleh wanita terbabit ketika dalam perjalanan ke hotel. Sebaik tiba, saya diarahkan keluar sebelum dibawa ke salah satu bangunan," katanya.


Dew yang ditemui Metro Ahad di rumahnya di Kampung Tellian, semalam, sejurus selepas membuat laporan di Balai Polis Mukah berkata, dia hanya menyedari wang tunai dan barang kemas dipakainya lesap beberapa minit kemudian.

Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah, Inspektor Yong Yew Ping memberitahu pihaknya sudah menerima laporan dan kes masih dalam siasatan.


"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak berjalan berseorangan ketika melalui tempat sunyi dan elakkan daripada mendekati individu atau kumpulan tidak dikenali.

"Kes sebegini tidak banyak dilaporkan di Mukah dan kami meminta orang ramai menghubungi polis ataupun pihak berkuasa di talian 084-871222." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/09


No comments:

Post a Comment