Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Gajah Perang tidak kebal

Posted: 08 Dec 2012 04:28 AM PST

THAILAND mungkin boleh berbangga dengan rekod tanpa kalah di tangan Malaysia sejak 2004 namun itu tidak bermakna mereka akan kekal kebal pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam ini.

Kali terakhir skuad kebangsaan menumpaskan Thailand adalah sembilan tahun lalu di SNBJ dengan keputusan 2-1 menerusi dua jaringan Khalid Jamlus pada aksi peringkat kumpulan kejohanan itu.


Selepas itu, Malaysia kalah 0-1 pada 2007, 0-3 (2008) dan seri 0-0 pada edisi 2010 yang menyaksikan Harimau Malaya muncul juara.

Malah pada aksi persahabatan antarabangsa November lalu juga, keputusan tidak memihak kepada skuad kendalian Datuk K Rajagobal apabila tumpas 0-2 di Bangkok.


Namun Rajagobal yang menamatkan penantian Malaysia untuk memenangi pingat emas Sukan Sea Laos 2009 selepas 20 tahun dan kejuaraan pertama Piala AFF dua tahun lalu yakin rekod itu boleh berubah.


"Mereka (Thailand) juga susah untuk mengalahkan kita pada 2010, ketika itu pasukan negara dibarisi ramai pemain muda.

"Thailand secara tradisi memang pasukan yang hebat dalam kejohanan ini tapi situasi sudah berubah sedikit, saya berharap, kita boleh melakukan yang terbaik esok (hari ini)," katanya kepada pemberita pada sidang media, semalam.


Harimau Malaya akan turun menentang skuad kendalian Winfried Schafer hari ini dengan misi untuk mencapai kemenangan sebagai bekalan sebelum aksi separuh akhir kedua di Bangkok pada 13 Disember.

Sedikit menjejaskan persiapan Rajagobal kali ini apabila dua pemain utama Wan Zack Haikal Wan Noor dan Mohd Shakir Shaari terpaksa diketepikan akibat kecederaan.


Namun kedudukan penyerang utama Mohd Safee Sali yang bergelut dengan kecederaan hamstring masih lagi menjadi tanda tanya.


"Wan Zack dan Shakir memang tidak akan beraksi, pemain lain tiada masalah diturunkan. "Mengenai keadaan Safee, ia bergantung kepada nasihat doktor, kami memerlukan pemain yang bersedia 100 peratus.


"Thailand pasukan yang kuat, mereka tidak kalah di peringkat kumpulan. Tapi kita tidak perlu takut, pemain-pemain hanya perlu fokus kepada permainan, meskipun kita kalah 0-2 sebelum ini, separuh akhir adalah perlawanan berbeza.


"Kita memerlukan keputusan positif dalam perlawanan ini, kita akan lihat nanti," jelas Rajagobal dengan nada yakin.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/09


Ujian getir Hoy

Posted: 08 Dec 2012 02:53 AM PST

ENAM minggu sebelum Britain menganjurkan temasya sukan terbesar dunia, jaguh lumba basikal, Sir Chris Hoy berdepan ujian paling besar buatnya.

Dalam tempoh 24 jam, Hoy meninggalkan kem latihan Olimpik di Jerman dengan kecederaan belakang sebelum mendapati bapanya dikesan mengalami kanser prostat.


Pada pagi esoknya dia dipanggil menghadiri mesyuarat dengan ketua jurulatih British Cycling, Shane Sutton dan pengarah prestasi Dave Brailsford, yang memberitahu Hoy diketepikan bagi memberi laluan kepada Jason Kenny untuk acara pecut individu di Sukan Olimpik London.

Orang biasa pastinya mengalah apabila berdepan dugaan seperti ini.


Begitupun Hoy enggan membiarkan kesakitan atau regim latihan yang sering membuatnya hampir pitam atau muntah, memusnahkannya.


Jaguh dari Scotland itu terus bersemangat untuk berjuang dan akhirnya menjadi Olimpian terhebat Britain sepanjang zaman.

Dua pingat emas dibawa pulang dari velodrom London, dalam acara pecut mahupun keirin dan berjaya mengatasi rekod yang sebelum ini menjadi milik Sir Steve Redgrave.


Begitupun sebelum mendaki podium sambil mengalirkan air mata selepas kejayaan acara keirin yang menyaksikannya mengumpul pingat emas Olimpik keenam, Hoy hampir berputus asa.

Terganggu dengan kecederaan belakang, terkejut dengan keadaan kesihatan bapanya dan kecewa dengan keputusan pemilihan Sutton, yang menghalangnya daripada mempertahankan gelaran hatriknya di Beijing dan kini semuanya kelihatan luar biasa apabila meninggalkan Olimpik dengan kejayaan.


Bagaimanapun, apa yang berlaku di Cottbus ketika British Cycling memburu kilauan emas adalah sebaliknya.


"Saya menempuhi kem yang teruk, bergelut sepanjang masa kerana belakang saya terlalu sakit dan setiap kayuhan membuat saya menderita," kata Hoy menerusi autobiografinya.


"Saya merancang untuk pulang awal. Saya menempah tiket sendiri tapi apabila tiba di lapangan terbang Berlin, nampaknya saya membuat kesilapan ketika membuat tempahan tiket.


"Tiada penerbangan ke Manchester, jadi saya terbang ke tempat terdekat iaitu Glasgow. Isteri saya, Sarra memandu tiga setengah jam untuk mengambil saya dan kemudian memandu tiga setengah jam lagi ke rumah.


"Sarra, seperti biasa tidak pernah merungut. Saya rasa begitu kecewa ketika itu tetapi keadaan menjadi semakin buruk.


"Pada jam 7 petang keesokan harinya, bapa saya menelefon dan memberitahu dia ada berita untuk saya. Dengan tenang, beliau memberitahu bahawa beliau mengidap kanser prostat. Saya bagaikan dipanah halilintar.


"Keesokan paginya saya bermesyuarat dengan Dave Brailsford dan Shane, dan saya tidak memberitahu kedua-dua mereka mengenai bapa saya. Saya tidak pasti mengapa saya dipanggil. Saya tidak tahu sama ada ia membabitkan pemilihan Olimpik atau perkara lain. Saya keliru.


"Saya duduk dan Shane terus memberitahu mereka mahu meletakkan Jason dalam acara pecut dan juga acara keirin.


"Mungkin mereka terkejut kerana saya tidak melawan, saya pasti mungkin itu yang mereka jangkakan dan itulah sebabnya mengapa Shane menggunakan nada yang lebih tenang.


"Dia memanggil saya kapten persatuan debat sekolah kerana biasanya saya sering bersuara, seratus sebab mengapa saya patut berada dalam pasukan tetapi saya tidak mempunyai naluri untuk bergaduh kerana menganggap semua itu tidak penting.


"Mujurlah selepas beberapa pemeriksaan, saya menerima perkembangan positif daripada bapa saya. Doktor kelihatan optimis ia boleh dirawat tetapi berita yang melegakan datang kemudian. Pada ketika itu ia cukup mencemaskan ahli keluarga saya." Keupayaan Hoy untuk bangkit dan meraih kejayaan terakhir di London 2012 mengekalkan aura positif dalam skuad berbasikal Britain apabila Bradley Wiggins mencatat sejarah dengan menjuarai Tour de France.


Malah Wiggins turut menjadi pilihan untuk menjadi atlet berbasikal ketiga menjulang gelaran Personaliti Sukan Tahunan 2012 selepas Hoy memenanginya pada 2008 dan Mark Cavendish, tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/09


ISN corak karier baru

Posted: 08 Dec 2012 02:52 AM PST

BOLA sepak atau hoki? Gimnastik atau terjun? Bunyinya mungkin agak pelik tapi itulah realiti yang berlaku dalam dunia sukan. Peralihan atlet dari satu sukan ke sukan lain, jika dilihat daripada satu aspek mungkin boleh menyelamatkan karier mereka. Di luar negara, ia bukan sesuatu yang asing.

Terkini, atlet kriket, Andrew Flintoff mengumumkan persaraannya sebelum memulakan karier sebagai peninju.


Jika anda masih ingat, atlet 100 meter negara, Siti Fatimah Mohamad juga pernah menjadi tumpuan media apabila meluahkan hasrat untuk menyertai acara berbasikal tapi akhirnya menarik diri atas sebab tertentu.

Justeru program 'Ride with Pride' yang dianjurkan Institut Sukan Negara (ISN) selama tiga hari berakhir hari ini, menjadi platform terbaik buat atlet mencuba sesuatu yang mungkin boleh membantu mereka mencorakkan karier selepas ini.


Seramai 22 atlet dari sukan olahraga, angkat berat, ragbi, gimnastik termasuk atlet berbasikal menjadi kelompok terawal mencuba nasib untuk merebut dua tempat menjalani latihan di Melbourne manakala 16 lagi akan menjalani latihan pusat.


Kehadiran jurulatih basikal kebangsaan, John Beasley yang bertanggungjawab menaikkan nama Azizulhasni Awang, Rizal Tisin, Josiah Ng mahupun Fatehah Mustapa ke Dewan Perdana ISN, Jumaat lalu, sedikit sebanyak menyuntik semangat buat kumpulan atlet mengharungi program itu, meskipun jawapannya hanya akan diketahui akhir bulan depan.

Pengarah Bahagian Pengenalpastian Bakat ISN, Wan Norafzan Wan Mahadi berkata, program peralihan bakat itu membabitkan atlet yang menceburi bidang sukan dan mempunyai kemahiran motor tapi tidak mampu pergi jauh dalam sukan yang diceburi disebabkan faktor tertentu seperti saiz tubuh mereka.


"Program ini bukan saja untuk sukan berbasikal tetapi juga untuk sukan lain dan ia sudah terbukti secara saintifik di luar negara. Di Malaysia, peralihan atlet seperti dari bola sepak ke hoki, olahraga ke lawan pedang juga sudah terbukti berjaya cuma tidak pernah didedahkan kepada media," katanya.

"Sebagai contoh, bekas atlet gimrama Kuala Lumpur, Wendy Ng enggan meneruskan karier dalam sukan itu dan beralih ke sukan terjun dan ternyata menjadi." Begitupun menurut beliau, kesesuaian untuk peralihan bakat juga tertakluk kepada kategori sukan yang boleh diletakkan dalam kumpulan yang sama.


"Wushu, gimnastik dan terjun mungkin boleh kerana memiliki keupayaan motor yang sama, jika sukan bertentangan seperti dari ragbi ke terjun memang mustahil. Kita perlu melihat struktur badan seseorang atlet sebelum membuat peralihan," katanya.beri peluang kepada lebih ramai atlet.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/09


Fadhli minat TLDM

Posted: 08 Dec 2012 02:52 AM PST

BEK tengah Harimau Malaya, Mohd Fadhli Shas yang kini berdebar menantikan pertemuan menentang Thailand malam ini, ingin mengikut jejak langkah bapanya sebagai seorang tentera laut.

SOALAN (S): Jika anda bukan atlet, anda mungkin seorang...


FADHLI SHAS (FS): Saya mungkin menjadi anggota tentera laut mengikut jejak bapa saya.

S: Apa yang menyebabkan anda berminat menjadi tentera laut? FS: Selain bangga dengan bapa saya, saya juga suka melihat kesegakan mereka ketika menyarung pakaian seragam. Begitupun saya memilih kerjaya sebagai pemain bola sepak hingga sekarang.


S: Pernah menaiki kapal tentera laut? FS: Pernah. Ketika itu saya masih kecil dan sedang bercuti. Saya kagum melihat kesungguhan anggota tentera laut sedang bertugas, selain menikmati pemandangan yang dikelilingi lautan.


S: Hobi anda? FS: Bermain permainan PlayStation atau iPad.

S: Permainan yang ada di iPad anda, antaranya? FS: CSR Racing dan Temper Run.


S: Makanan kegemaran anda? FS: Masakan kampung.

S: Lokasi percutian idaman anda? FS: Korea Selatan.


S: Pemain bola sepak yang anda minati? FS: John Terry.


S: Pasukan pilihan anda? FS: Liverpool.


S: Jika dilihat sejak beberapa tahun ini, sokongan terhadap pasukan bola sepak semakin hangat. Apa pandangan anda sebagai seorang pemain? FS: Sudah tentu ia menaikkan semangat serta minat terhadap bola sepak di Malaysia. Sebagai pemain, tentunya kami lebih bersemangat dengan sokongan padu mereka.


S: Harapan anda untuk perlawanan menentang Thailand, malam ini? FS: Sudah tentulah kami mahukan kemenangan.


S: Sebagai seorang pemain bola sepak kebangsaan, tekanan yang dihadapi bukannya sedikit. Apa yang anda lakukan untuk meredakan tekanan.


FS: Usah peduli apa yang dikatakan orang lain dan sentiasa berfikir positif. Sokongan moral dari keluarga dan rakan juga amat penting.


S: Jika diberi peluang memiliki kuasa luar biasa, apa kuasa pilihan anda? FS: Saya mahu menjadi seperti Spider-Man. Boleh pergi ke mana saja yang saya suka.


S: Prinsip hidup? FS: Berjaya dalam apa saja bidang yang diceburi.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/09


‘Ibarat beraksi di Barcelona’

Posted: 08 Dec 2012 02:51 AM PST

"KAMI teruja untuk beraksi di hadapan 90,000 penyokong Malaysia, ia ibarat seperti bermain di Barcelona tapi mungkin kami akan membuat semua penyokong Malaysia bersedih selepas perlawanan nanti, kata ketua jurulatih Thailand, Winfried Schafer.

Kenyataan yang disuarakan pengendali dari Jerman itu jelas menggambarkan betapa yakinnya skuad Gajah Perang untuk menundukkan Harimau Malaya pada aksi separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF hari ini.


Kata Schafer, anak buahnya tidak akan tertekan dengan sorakan padu penyokong Malaysia yang akan membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil sebaliknya mampu meraih keputusan positif sebagai bekalan sebelum perlawanan kedua di Bangkok pada 13 Disember.

"Kami sudah membuat persiapan rapi, kami sedar Malaysia bukan pasukan yang mudah untuk dikalahkan tapi kami memerlukan gol untuk dibawa ke perlawanan kedua.


"Kami memiliki pasukan yang bagus dan semangat yang tinggi ketika ini. Kami akan bermain mengikut cara permainan kami sendiri," katanya yang tidak berdepan masalah untuk menurunkan kesebelasan terbaiknya.


Thailand juara 3 kali kejohanan pada 1996, 2000 dan 2002 dilabel sebagai pasukan pilihan kali ini selepas merekod tiga kemenangan di peringkat Kumpulan A ke atas Filipina 2-1, Myanmar 4-0 dan Vietnam 3-1.

Mereka juga memiliki jentera serangan paling ampuh yang diterajui pemain terbaik Thailand 2012, Teerasil Dangda malah benteng skuad Gajah Perang itu juga tampak kebal apabila hanya melepaskan dua gol setakat ini.


Namun Schafer yang pernah membimbing skuad kebangsaan Cameroon tidak mahu rekod pusingan awal itu dijadikan ukuran.

"Saya rasa peluang untuk menang 50-50, mereka mempunyai kelebihan bermain di tempat sendiri. Mereka sudah buktikan kehebatan apabila bangkit selepas kalah pada perlawanan pertama (Singapura 3-0)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/09


Van Persie belum puas

Posted: 08 Dec 2012 02:49 AM PST

MANCHESTER: Robin van Persie menegaskan dia masih belum mencapai prestasi kemuncaknya biarpun bermula hebat sejak bergelar penyerang Manchester United.

Van Persie menjaringkan 13 gol daripada 19 perlawanan bersama United sejak berpindah dari Arsenal dengan bayaran �24 juta (RM 117.5 juta) tapi bintang Belanda membawa khabar buruk buat pertahanan Liga Perdana Inggeris semalam apabila memberitahu dia tidak gembira dengan persembahannya.


Pemain berusia 29 tahun itu membantu United berada di puncak Liga Perdana Inggeris tapi percaya boleh menyumbang lebih banyak jaringan serta membantu rakan menjaringkan gol, bermula dengan pertembungan dengan pencabar utama United, Manchester City di Emirates di Eastland, malam ini.

"Bila anda dikehendaki semua orang, ia memberi sayap kepada anda untuk terbang," kata Van Persie.


"Saya gembira dan kehadiran saya di sini diterima peminat tapi saya tidak berpuas hati. Jika anda lihat kepada statistik, 13 gol daripada 19 perlawanan. Ia memang memuaskan.


"Saya mahu menjadi lebih baik. Saya mahu lebih banyak jaringan dan membantu rakan menjaringkan gol. Saya mahu lakukan apa yang tidak mustahil dicapai tahun ini." United memiliki kelebihan tiga mata ke atas City yang menduduki tangga kedua tapi pencabar mereka berpeluang merampas kedudukan takhta liga dengan kemenangan malam ini, berbekalkan perbezaan jaringan yang besar.

Van Persie menyedari pertahanan United yang pincang perlu diperbaiki jika mahu terus berada di depan dan berjaya dalam Liga Juara-Juara.


"Saya terima hakikat bahawa United tidak bermain di tahap terbaik mereka tapi saya sudah mula mengecapi kemenangan," kata Van Persie.

"Kami mencatat kemenangan, kami di tangga pertama liga, pertama dalam Liga Juara-Juara.


"Semua orang mengharapkannya beberapa bulan lalu dan sehingga kini kami boleh menerimanya. Itu sesuatu yang bagus.


"Kini kami perlu memperbaiki prestasi pasukan. Jika kami boleh mendapatkan kembali jaringan yang hilang di tempat lawan, sudah pasti keadaan lebih mudah." Selepas beberapa tahun bersama Arsenal yang masih bergelut memburu kejuaraan, Van Persie kini menikmati peluang bersaing mendapatkan kejuaraan.


Menurutnya, tidak syak lagi pengurus United, Alex Ferguson adalah kunci kejayaan dan memuji keupayaan pengurus Scotland itu memberi inspirasi kepada pemain menerusi taklimatnya.


"Cara beliau membuatkan kami bersedia untuk perlawanan adalah di tahap yang berbeza," kata Van Persie. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/09


Adebayor, Defoe mampu lonjak Spurs

Posted: 08 Dec 2012 02:49 AM PST

LIVERPOOL: Penjaga gol Tottenham Hotspur, Brad Friedel (gambar) berkata masanya sudah tiba untuk menyatukan penyerang Emmanuel Adebayor dan Jermain Defoe dalam usaha mengekalkan status mereka sebagai empat pasukan teratas Liga Perdana Inggeris.

Pengurus Tottenham, Andre Villas-Boas menggandingkan kedua-dua penyerang itu hanya dalam satu perlawanan musim ini, berakhir dengan Adebayor dilayangkan kad merah di awal perlawanan sewaktu tewas 2-5 kepada Arsenal.


Begitupun dengan adanya Adebayor menentang Everton malam ini selepas digantung tiga perlawanan, Villas-Boas pastinya ingin menggandingkan kedua penyerang itu selepas meletakkan Defoe sebagai penyerang tunggal dalam kempen musim ini.

Kedua-dua penyerang itu kembali bersama dalam perlawanan Liga Europa dengan kemenangan ke atas Panathinaikos dengan kedua-duanya menjaringkan gol untuk menang 3-1.


Malah Friedel, penjaga gol berusia 41 tahun yang dipanggil semula untuk menentang pasukan Greece itu menggantikan Hugo Lloris, percaya keputusan seperti itu mengukuhkan lagi kekuatan mereka.


"Apabila kami meletakkan dua pemain di bahagian serangan, ia memberi manfaat kepada Jerman yang berpeluang menyimpan tenaga sehingga berada di kawasan penalti. Ia begitu penting bagi kami," kata Friedel.

"Kami menerapkan sistem berbeza musim lalu apabila Rafael van der Vaart berada di belakang penyerang manakala pada awal tahun ini, kecederaan yang dialami pemain menyebabkan kami tidak dapat menggunakan khidmat dia penyerang terutama di laman sendiri." Spurs kini memburu kemenangan keempat berturut-turut dalam liga selepas bangkit atasi rekod kalah empat daripada lima perlawanan sebelum ini dan mereka mungkin naik ke tangga ketiga jika keputusan memihak mereka.


Pada masa sama, pertahanan Tottenham, Jan Vertonghen berkata Spurs yang kehilangan khidmat Gareth Bale akibat kecederaan hamstring perlu berwaspada dengan rakan senegaranya dari Belgium, Marouane Fellaini.

"Fellaini adalah antara pemain hebat di Liga Perdana Inggeris. Permainannya menakjubkan, sukar ditangani, hebat merebut bola tinggi dan juga mempunyai kaki yang kuat. Dia adalah pemain utama mereka dan pastinya sukar untuk menghalangnya," kata Vertonghen. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/09


No comments:

Post a Comment