Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Dua juruhebah diancam bunuh

Posted: 08 Dec 2012 04:29 AM PST

LONDON: Kematian jururawat yang berdedikasi, Jacintha Saldanha semalam mencatatkan peristiwa hitam dalam kisah kehamilan Duchess of Cambridge. Pasangan diraja Britain, Putera William dan isterinya, Kate Middleton amat terkejut mendengar berita kematian Jacintha yang dipercayai membunuh diri.

Jacintha, 46, diperdaya apabila menyambungkan panggilan palsu daripada juruhebah stesen radio Australia, 2DayFM, Mel Greig dan Michael Christian yang menyamar sebagai Ratu Elizabeth dan Putera Charles kepada jururawat yang merawat Kate. Ibu dua anak itu ditemui mati di kediamannya dekat Hospital Raja Edward VII di pusat bandar London, di mana Kate dirawat.


Dalam kenyataannya, Istana St James berkata: "Duke dan Duchess of Cambridge sangat bersedih apabila mendapat tahu mengeanai kematian Jacintha. "Mereka dilayan dengan baik sekali oleh semua kakitangan di hospital berkenaan. Doa dan ingatan mereka ditujukan khas buat Jacintha, keluarga dan rakannya dalam detik sukar ini," kata kenyataan itu.

Ketua Eksekutif Hospital terbabit, John Lofthouse berkata, semua kakitangan hospital terkejut dengan kehilangan jururawat yang sangat disayangi dan dihargai ramai itu.


"Jacintha seorang jururawat yang hebat, sangat dihormati dan popular di kalangan kakitangan kami. "Kami dapat mengesahkan Jacinta adalah mangsa kepada panggilan palsu yang dibuat ke hospital ini," katanya.


Sementara itu, Mel dan Christian yang bertanggungjawab membuat panggilan palsu dan dikaitkan dengan kes bunuh diri Jacintha tidak bertugas semalam selepas menerima ancaman bunuh dari seluruh dunia.

Mel dan Christian yang berbangga dengan panggilan palsu dilakukan, bagaimanapun, turut terkejut dengan berita kematian jururawat terbabit dan meminta maaf selepas dihujani mesej kebencian di Twitter dan Facebook ekoran tragedi itu.


Mereka juga membatalkan akaun Twitter masing-masing sejurus mendapat tahu mengenai komen pengguna Twitter yang tersebar dengan meluas mendakwa "ada darah di tangan mereka". Dalam satu kenyataan, stesen radio Australia itu berkata: "Dua juruhebah kami memutuskan untuk tidak bertugas hingga notis diberitahu kelak sebagai tanda menghormati tragedi yang berlaku." Personaliti media dan bintang The Apprentice BBC1, Lord Sugar berkata di Twitter, kematian Jacintha adalah kes bunuh diri yang tragik sambil menambah pihak yang memperdayanya "patut ditahan dan didakwa".

Bagaimanapun, menurut polis Australia, kedua-dua juruhebah itu tidak melakukan kesalahan yang melanggar undang-undang. Jurucakap polis New South Wales berkata: "Juruhebah radio itu tidak melakukan sebarang kesalahan mengikut undang-undang Australia," katanya. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/09


Penunjuk perasaan tendang, pijak polis

Posted: 08 Dec 2012 03:40 AM PST

WELLINGTON: Satu bantahan untuk mengganggu perbincangan perdagangan Kerjasama Trans Pasifik (TPP) di New Zealand semalam bertukar ganas apabila penunjuk perasaan menyerang anggota polis.

Dua pengawal keselamatan ditendang beberapa kali dan seorang wanita dituduh memijak kepala seorang anggota polis apabila penunjuk perasaan cuba memasuki bangunan SkyCiti di Auckland, tempat perbincangan berlangsung.


Laporan media mengatakan seramai 300 orang menentang 50 anggota polis dan sekumpulan pengawal keselamatan di bangunan itu sebelum membakar kotak berhampiran pintu masuk pusat persidangan itu. "Pengawal keselamatan cuba menghalang penunjuk perasaan memasuki bangunan itu, tetapi mereka diserang dan ditendang beberapa kali. Anggota bomba dihubungi ke tempat kejadian untuk membantu," kata polis dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/09


2 guru bahasa Inggeris ditemui mati dalam keadaan duduk

Posted: 08 Dec 2012 03:39 AM PST

BANGKOK: Dua guru bahasa Inggeris, seorang warga Amerika dan rakannya, rakyat Britain ditemui mati dalam keadaan duduk bersebelahan dalam sebuah pangsapuri di pinggir Bangkok semalam.

Mayat guru lelaki berusia 40 dan 35 tahun itu ditemui pada awal pagi, kata ketua penyiasat balai polis Pathum Thani, Chamnong Kongtapan. Menurut polis, pihaknya menemui sebiji botol ubat kosong daripada pusat pemulihan d kerajaan di kediaman mangsa. "Nama guru Britain terbabit tercatat pada botol itu, tetapi kami belum mengesahkan jenis dadah dalam botol itu," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/09


Psy minta maaf kerana persembahan antiAmerika

Posted: 08 Dec 2012 03:39 AM PST

SEOUL: Penyanyi megastar Korea Selatan, Psy (gambar) yang terkenal dengan lagu hit "Gangnam Style" semalam meminta maaf kerana membuat persembahan antiAmerika sedekad lalu, menjelang persembahannya sempena perayaan Krismas yang akan dihadiri Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.

Pada 2002, Psy mengecam kereta kebal AS sebagai tanda protes terhadap kehadiran tentera negara itu di Korea Selatan dan kematian dua remaja Korea Selatan yang dirempuh oleh kenderaan dipandu seorang anggota tentera AS.


Dua tahun kemudian, dia menyanyikan sebuah lagu dengan lirik berbaur kontroversi apabila menulis, "pembunuhan oleh Yankee yang menyeksa tawanan Iraq...membunuh anak perempuan, ibu, menantu dan bapa mereka...membunuh mereka secara perlahan-lahan melalui penyeksaan". Menurutnya, lirik lagu itu adalah sebahagian "reaksi emosi paling dalam" terhadap perang di Iraq dan kematian dua pelajar sekolah yang menjadi "sebahagian sentimen antiperang yang dikongsi bersama orang lain di seluruh dunia." Psy mengeluarkan kenyataan minta maaf itu selepas laporan mengenai pembabitannya dalam dua persembahan yang menyelar tentera AS pada 2004 itu disiarkan media negara terbabit kelmarin. - AFP/Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/09


Iran: Ujian nuklear tunjuk ketidakprihatinan AS

Posted: 08 Dec 2012 03:38 AM PST

TEHERAN: Iran mengutuk musuh ketatnya Amerika Syarikat kerana menjalankan ujian nuklear sambil berkata ia menunjukkan "ketidakprihatinan Washington terhadap pelucutan senjata sepenuhnya", lapor laman web televsiyen kerajaan semalam.

Jabatan Tenaga AS berkata, ia menjalankan ujian "separakritikal" di lokasi bawah tanah di Nevada Rabu lalu bagi mengkaji tingkah laku bahan nuklear tanpa mencetuskan letupan atom. Ia adalah yang pertama sejak Februari tahun lalu. Jurucakap Menteri Luar Iran, Ramin Mehmanparast mengutuk ujian nuklear terbaru AS itu menyifatkan ia menunjukkan "ketidakprihatinan pelucutan senjata sepenuhnya" yang menjadi tuntutan akar umbi pandangan umum antarabangsa. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/09


8 korban kebakaran

Posted: 08 Dec 2012 03:37 AM PST

PHNOM PENH: Lapan orang, termasuk empat kanak-kanak terbunuh dalam kebakaran di pasar malam yang menjadi destinasi popular di bandar pelancongan Siem Reap semalam, kata polis.

Kanak-kanak terbabit berusia sembilan hingga 14 tahun sedang tidur bersama keluarga mereka di tingkat atas premis bangunan pasar malam terbabit apabila api mulai marak, kata Ketua Polis wilayah barat laut Siem Reap, Sath Nady. "Lapan orang daripada dua keluarga terbunuh dalam kebakaran itu. Mereka tidak menemui jalan keluar untuk menyelamatkan diri," katanya sambil menambah dua mangsa lagi cedera parah. Kebakaran yang berlaku selama dua jam itu dipercayai berpunca daripada litar pintas.


Lebih 100 gerai pasar malam menjual barangan cenderamata musnah dalam kebakaran itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/09


Mangsa Taufan Bopha kebuluran pecah masuk kedai

Posted: 08 Dec 2012 03:37 AM PST

TAGUM (Filipina): Mangsa yang terselamat daripada Taufan Bopha yang kebuluran memecah masuk kedai dan gudang di bandar ini untuk mendapatkan makanan ekoran kelewatan penghantaran bekalan kecemasan, kata petugas penyelamat semalam.

Empat hari selepas taufan yang mengorbankan lebih 500 orang dan ratusan lagi dilaporkan hilang di Pulau Mindanao itu, pihak berkuasa masih berhempas-pulas untuk menghantar bantuan makanan. Konvoi kecemasan terkandas apabila jalan raya yang dilalui dilimpahi air banjir dan dipenuhi sisa runtuhan batu-batan, batang kayu serta lumpur. Kira-kira 4,000 penduduk di desa pertanian Maparat yang musnah terpaksa memakan ayam ternakan mereka yang masih terselamat dan minum air kelapa. "Saya cuba untuk menyusukan anak saya, Mica tetapi air susu sudah kering kerana sudah beberapa hari saya tidak makan. Jadi, saya berikannya air kelapa dan kini dia sakit perut," kata ibu empat anak, Virginia Dodres kepada media sambil menenangkan bayi perempuannya yang tidak henti menangis.


Pegawai keselamatan awam, Cedric Daep berkata, bantuan bekalan makanan mengambil masa lama untuk sampai hinggakan penduduk terpaksa memecah masuk bangunan untuk mencari sesuatu yang boleh dimakan.

Dia berkata, kerosakan jalan raya dan jambatan akibat banjir serta tanah runtuh memerangkap 150,000 orang selama tiga hari di Cateel dan bandar berhampiran di Baganga dan Boston, di mana 97 peratus daripada bangunannya ranap atau tidak berbumbung. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/09


Ribuan perusuh bertempur dengan polis

Posted: 08 Dec 2012 03:36 AM PST

BEIJING: Polis di bandar di selatan China yang bersempadan dengan Vietnam bertempur dengan ribuan orang yang merusuh selepas penjawat agensi antipenyeludupan mengasari seorang penduduk tempatan, kata kerajaan dan kumpulan hak asasi kemanusiaan semalam.

Insiden itu berlaku di bandar Dongxing di wilayah autonomi Guangxi Zhuang. Perusuh memusnahkan beberapa kenderaan polis serta bertempur dengan mereka. "Lima anggota polis cedera ringan dan sembilan kenderaan penguatkuasa antipenyeludupan dirosakkan, tetapi tiada kematian dilaporkan," kata biro keselamatan awam Fangchenggang yang bertanggungjawab mengawal keselamatan di Dongxing.


Menurut Pusat Maklumat untuk Hak Asasi Kemanusiaan dan Demokrasi yang berpangkalan di Hong Kong, seramai 10,000 orang menyertai rusuhan itu dan lebih 20 kenderaan anggota polis dan kastam dipecah atau dibakar. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/09


13 mayat dikerat ditemui dalam kenderaan

Posted: 08 Dec 2012 03:35 AM PST

BANDAR RAYA MEXICO: Polis menemui 13 mayat yang dikerat dalam dua kenderaan di dua bandar berasingan di negeri sempadan, Tamaulipas di utara negara ini, kata pihak berkuasa semalam.

Polis menemui mayat dua wanita dan tiga lelaki yang dikerat dalam trak kerepek kentang yang ditinggalkan di parkir sebuah pasar raya di bandar El Mante. Polis turut menemui mesej ancaman yang didakwa ditandatangani kumpulan kartel dadah pada mayat berkenaan. Sejam kemudian, polis menemui lapan lagi mayat di bandar Soto la Marina dengan mesej sama yang mendakwa mangsa adalah anggota kumpulan kartel dadah Gulf.


Tamaulipas terkenal sebagai zon perang ekoran insiden tembakan dan pembunuhan secara besar-besaran yang sering tercetus antara kumpulan kartel dadah Zetas dan Gulf.

Sementara itu, di negeri Coahuila, polis menemui mayat empat lelaki yang digantung dari jejantas di lebuh raya di bandar Saltillo. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/09


No comments:

Post a Comment