Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Bakar rebut parkir

Posted: 07 Dec 2012 06:35 PM PST

KUALA LUMPUR: Balas dendam dikatakan menjadi punca sebuah kenderaan pacuan empat roda milik seorang lelaki dibakar menggunakan molotov koktel di Taman Desa, Setapak, di sini, kelmarin.

Difahamkan, kenderaan Nissan Frontier milik lelaki berusia 40-an itu diletakkan di tepi jalan berhampiran rumahnya sebelum kejadian.


Dalam kejadian jam 11 malam itu, mangsa yang berada di dalam rumahnya terdengar bunyi letupan kuat sebelum keluar memeriksa kawasan rumahnya.

Bagaimanapun, mangsa terkejut apabila mendapati api marak sedang membakar kenderaannya.


Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api atau bahan letupan dengan niat hendak menyebabkan kerosakan.


Beliau berkata, pemeriksaan di tempat kejadian menemui tiga botol air mineral yang terbakar berisi cecair disyaki petrol.

"Setakat ini, tiada saksi melihat kejadian berkenaan dan belum ada sebarang tangkapan dibuat manakala kenderaan mangsa terbakar di bahagian depan," katanya.


Katanya, polis masih menyiasat punca kejadian, tetapi tidak menolak ia berlaku disebabkan berlaku salah faham antara suspek dan mangsa yang berebut meletak kenderaan.

Menurutnya, sebelum kejadian, mangsa ada bertengkar dengan dua lelaki di Seksyen 2, Desa Setapak, yang tidak berpuas hati dengan tindakan lelaki itu meletak kenderaan di kawasan kedai miliknya sedangkan pada masa sama dia mahu menurunkan barang.


"Siasatan awal mendapati suspek melakukan perkara itu kerana tidak berpuas hati dan berniat untuk membalas dendam terhadap mangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/08


Remaja maut terpelanting

Posted: 07 Dec 2012 03:56 PM PST

PUTRAJAYA: "Saya nampak kereta itu terhuyung-hayang, kemudian terbabas dan melanggar tiang lampu di tengah pembahagi jalan," kata seorang penunggang motosikal dikenali sebagai Mohd Rafi, 35, yang melihat kemalangan maut membabitkan sebuah Proton Perdana dipandu seorang remaja, Muhammad Azzeem Suhaimi Sulaiman, 17, di sini, semalam.

Menurutnya, kejadian di Persiaran Timur arah ke Dengkil itu berlaku ketika hujan lebat kira-kira jam 5 petang dengan mangsa terpelanting keluar dan mati di tempat kejadian manakala kereta dipandu terputus dua.


"Sebelum terbabas dan melanggar tiang lampu berkenaan kereta itu memotong motosikal yang saya tunggang dari belakang dengan laju. Saya sendiri terperanjat," katanya ketika ditemui di tempat kejadian. Jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu, malah mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Putrajaya untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengkebumian.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/08


Buang tanah secara haram

Posted: 07 Dec 2012 03:55 PM PST

KUALA LUMPUR: Tindakan kontraktor lori membuang tanah dan sisa pepejal secara haram di kawasan lapang berhampiran Balai Polis Bukit Jalil mengundang padah apabila dicekup ketika melakukannya, semalam.

Dalam Operasi Bersepadu Pembuangan Tanah, Sisa Binaan dan Sampah Sarap Tanpa Kebenaran, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menahan sebuah lori yang baru saja membuang tanah liat di kawasan lapang di situ tanpa permit.


Ketua Inspektor Penguat Kuasa DBKL Abd Rahim Ishak yang mengetuai operasi itu berkata, tindakan pemandu lori itu menyebabkan kawasan hijau itu kini ditutupi tanah liat, kayu dan sisa bangunan.

"Berdasarkan Seksyen 47, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, pemilik lori dikenakan kompaun RM500 kerana membuang tanah di tempat awam.


"Manakala RM300 lagi dikenakan kerana tiada permit seperti tertakluk dalam Undang-Undang Kecil Pengangkutan Bahan.


"Pemandu lori memberi alasan lokasi pembuangan tanah yang jauh menyebabkan majikan mengarahkan mereka membuang tanah dan sisa pepejal di situ," katanya kepada media, di sini semalam.

Katanya, tiada tempat pembuangan tanah dan sisa pepejal diluluskan DBKL di sekitar wilayah ini, sebaliknya semua pemaju dan kontraktor perlu ke Selangor untuk berbuat demikian.


Sebaliknya semua tempat pembuangan seumpama itu yang beroperasi di sini adalah haram kerana tidak mempunyai permit sah.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/08


MBSA ambil tindakan salah guna parkir

Posted: 07 Dec 2012 03:55 PM PST

SHAH ALAM: Akibat menyalahgunakan tempat meletak kenderaan untuk tujuan perniagaan, lapan premis di sekitar Seksyen 15, di sini, terpaksa akur dengan tindakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menanggalkan tanjakan yang dibina tanpa kebenaran.

Timbalan Pengarah Korporat MBSA, Shahrin Ahmad berkata, Operasi Memecah Tanjakan (ramp) yang membabitkan hampir 40 pegawai penguat kuasa MBSA itu menanggal 16 tanjakan di sekitar kawasan itu. Katanya, MBSA turut mengambil tindakan menunda tujuh kereta pameran yang diletakkan di tempat letak kereta awam di Seksyen U3 dan U20, di sini.


"Dalam operasi kita kali ini, MBSA menggunakan dua jengkaut untuk menanggalkan tanjakan dibina di tempat letak kereta yang sepatutnya memberi kemudahan kepada pengguna awam.

"Pada masa sama sebagai langkah proaktif, MBSA turut mengedarkan borang permohonan sewaan petak letak kereta ke setiap premis perniagaan yang mahu menggunakan tapak tempat letak kereta itu," katanya.


Shahrin berkata, selain itu MBSA turut mengeluarkan kompaun kepada empat pengusaha premis yang melakukan kesalahan itu.


MBSA menyeru kepada mana-mana pengusaha dan pemilik premis di sekitar bandar raya ini yang ingin menggunakan tempat letak kereta sebagai tapak perniagaan untuk membuat permohonan sewaan tapak.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/08


Mangsa cinta siber marah polis

Posted: 07 Dec 2012 03:54 PM PST

KUALA LUMPUR: Seorang mangsa sindiket cinta Internet mengamuk memarahi pegawai polis yang menjalankan siasatan sebaik diberitahu dia menjadi mangsa penipuan 'teman lelaki' mayanya, malah turut memaksa polis ke Scotland untuk menemui lelaki terbabit yang dikatakan belajar di sebuah universiti.

Meskipun sudah diyakinkan dia ditipu lelaki Afrika melalui jerat cinta Internet namun mangsa enggan mengakui perkara itu sehingga bertindak emosional dan memarahi pegawai yang menjalankan soal siasat.


Difahamkan, mangsa berusia 25 tahun dan tidak bekerja itu mengenali seorang lelaki Mat Salih melalui laman sosial facebook, Oktober lalu sebelum lelaki terbabit berjanji untuk datang ke Malaysia bertemu mangsa.

Penolong Pengarah Bahagian Jenayah Siber dan Multimedia, Asisten Komisioner Kamarudin Md Din berkata, mangsa tidak percaya dia menjadi mangsa jerat cinta Internet seperti yang dilaporkan akhbar dan sanggup bertegang urat mempertahan lelaki terbabit.


Menurutnya, mangsa kerugian RM5,000 selepas memasukkan wang berkenaan dalam akaun bank yang diberikan selepas percaya hadiah istimewa yang dikirimkan teman lelakinya ditahan kastam di lapangan terbang.


"Polis tidak menolak suspek anggota sindiket penipuan cinta Internet yang didalangi lelaki Afrika, tetapi menggunakan watak lelaki Mat Salih bagi mengaburi mangsa.

"Berdasarkan siasatan, mangsa mengaku raut wajahnya yang kurang menarik, tubuh badan yang sedikit gempal serta kurang bersosial antara alasan dia mengejar cinta melalui laman sosial dan Internet," katanya.


Katanya, suspek berjanji menghantar hadiah kepada mangsa kononnya sebagai bukti kasih sayangnya dan memaklumkan dia datang ke Sabah dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/08


Ruang tamu penuh darah

Posted: 07 Dec 2012 03:52 PM PST

TELUK INTAN: Seorang isteri pilu dan tergamam apabila mendapati suaminya mati dalam keadaan terbaring berlumuran darah di lantai ruang tamu rumah mereka di Pangsa Damai, Jalan Pasir Pendamar, di sini, pagi kelmarin.

Liow Yok Kwan, 34, menemui mayat suaminya, Cheong Soong Leong, 40, yang kaku dan lengkap berpakaian, kira-kira jam 10.30 pagi.


Menurut Yok Kwan, sebelum kejadian, suaminya melawat dia dan anak lelaki berusia setahun di rumah ibunya yang terletak kira-kira 10 kilometer dari rumahnya.

"Sebelum kejadian, saya pulang ke rumah ibu yang terletak tidak jauh dari rumah kami selepas anak lelaki kami demam dan memerlukan perhatian.


"Ketika suami datang melawat kami di rumah ibu, dia langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan walaupun sudah menganggur sejak tiga hari lalu.


"Cuma, dia ada meluahkan rasa tertekan dengan apa yang berlaku sebelum pulang ke rumah," katanya.

Yok Kwan berkata, dia langsung tidak mengesyaki apa-apa akan berlaku terhadap suami yang pernah bekerja sebagai jurukimpal di sebuah kilang di daerah ini.


Menurutnya, sebaik pulang, dia terkejut apabila menemui mayat suami dalam keadaan terbaring berlumuran darah di ruang tamu rumahnya.

"Setahu saya, suami tidak pernah berhutang dengan mana-mana pihak dan tidak mempunyai apa-apa masalah walaupun sudah beberapa hari menganggur.


"Dia seorang yang lelaki penyayang dan kuat bekerja," katanya sebak.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang, mengesahkan kejadian itu berkata, siasatan polis menemui beberapa kesan cedera di bahagian badan.


"Polis percaya mangsa mati di rumahnya selepas mengalami kecederaan di perut, leher dan pergelangan tangan kiri. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat," katanya.


Beliau berkata, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah membabitkan kejadian itu namun siasatan masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/08


Tak perasan peluru tembus pinggang

Posted: 07 Dec 2012 03:51 PM PST

GEORGETOWN: "Saya tidak menyangka bunyi letupan kuat seperti mercun itu adalah bunyi tembakan yang mengenai serta hampir meragut nyawa saya," kata seorang anggota sukarelawan polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang cedera ditembak ketika menjalankan tugas cegah jenayah di depan Gereja St Ann, Bukit Mertajam, Seberang Prai Tengah (SPT), di sini, malam kelmarin.

Konstabel Adi Luqman Zainal, 27, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.15 malam itu, dia hanya menyangka letupan itu bunyi mercun, namun beberapa minit kemudian badannya berasa lemah dan sakit terutama di bahagian belakang.


Menurutnya, dia terkejut apabila melihat darah mengalir keluar dari bahagian pinggang.

Adi Luqman berkata, ketika kejadian, dia bersama tiga lagi rakannya termasuk dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan sebelum terserempak kelibat dua lelaki berusia antara 20 dan 30-an menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.


Katanya, ketika dia cuba menghampiri mereka, kedua-dua suspek cuba melarikan diri dengan menunggang motosikal Honda EX5 dan bertindak mengejar sehingga beberapa meter sebelum tiba berhampiran gereja St Ann dia terdengar bunyi letupan.


"Selepas diperiksa dan melihatkan darah mengalir, saya rasa mungkin ditembak yang mengenai pinggang kiri serta menembusi belakang badan.

"Tembakan itu menyebabkan badan saya lemah dan tidak bermaya sebelum meminta bantuan rakan.


"Saya kemudian dibawa ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk rawatan awal, sebelum dihantar Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk pemeriksaan dan dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut," katanya.

Adi Luqman berkata demikian ketika menerima kunjungan Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar di Wad C10, HPP, di sini semalam. Turut hadir, bapa Adi Luqman, Zainal Abidin Che Rose.


Adi Luqman berkata, dia bersyukur kerana terselamat dalam kejadian itu walaupun kecewa kerana gagal memberkas kedua-dua suspek.


"Walaupun kecewa, tanggungjawab dan amanah yang diberikan ini akan saya teruskan, malah kejadian ini tidak mematahkan semangat saya untuk terus membanteras jenayah," katanya yang sudah berkhidmat selama empat tahun sebagai sukarelawan polis.


Sementara itu, Abdul Rahim berkata, pihaknya sudah menubuhkan pasukan khas diketuai Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Nasir Salleh untuk melakukan siasatan terhadap kejadian itu.


Menurutnya, pihaknya berbangga di atas keberanian Adi Luqman dan kejadian itu kali pertama berlaku ke atas anggota JPAM Pulau Pinang.


"Melalui pasukan khas ini kita percaya dapat menyelesaikan kes ini secepat mungkin dan siasatan lanjut masih lagi dijalankan untuk mengesan identiti kedua-dua suspek.


"Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 307, Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/08


Buat siasatan dalaman

Posted: 07 Dec 2012 03:49 PM PST

JOHOR BAHRU: Pengurusan syarikat bas henti-henti di bandar raya ini yang terbabit dalam kejadian menimpa Lee Fong Chan, 58, memberi jaminan akan menyiasat inisiden itu.

Jurucakap syarikat bas itu ketika dihubungi berkata, pihaknya dukacita dengan kejadian malang yang menimpa mangsa, tetapi setakat ini, masih belum tahu punca sebenar kejadian itu.


"Pemandu bas itu sudah melaporkan kejadian kepada polis untuk siasatan lanjut. Pintu bas dikawal pemandu dengan menekan butang tertentu untuk membuka atau menutupnya. "Jadi, buat masa ini, masih terlalu awal bagi kami untuk menentukan apa kesilapan yang berlaku.

"Kami akan melakukan siasatan dalaman bagi mengetahui punca sebenar kejadian," katanya yang tidak mahu namanya didedahkan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/08


Budak maut akibat cedera dalam kepala

Posted: 07 Dec 2012 03:48 PM PST

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun meninggal dunia, kelmarin selepas bertarung nyawa lebih 24 jam akibat kecederaan kepala ketika dalam jagaan pengasuhnya.

Difahamkan, ibu kanak-kanak itu yang berusia 30 tahun menghantar mangsa, Nur Kailysah Jamaluddin ke Unit Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas dimaklumkan anak bongsu daripada enam beradik itu mengalami sesak nafas ketika berada di rumah pengasuhnya.


Sumber berkata, kejadian itu hanya diketahui ibu mangsa sebaik menerima panggilan daripada pengasuh yang memaklumkan mangsa sesak nafas.

"Terkejut dengan panggilan itu, wanita berkenaan bergegas pulang ke rumahnya di Hiliran Ampang, Pudu dan terus menghantar anaknya ke HKL.


"Bagaimanapun, ibu kanak-kanak itu terkejut selepas dimaklumkan doktor yang anaknya mengalami pendarahan dalam kepala selepas melakukan ujian imbasan selain kesan lebam di dahi," katanya.


Katanya, doktor memaklumkan mangsa berada dalam keadaan kritikal.

"Ibu mangsa cuba mendapatkan penjelasan, namun pengasuh itu mendakwa tidak mengetahui punca mangsa mengalami masalah itu.


"Berikutan itu, polis yang menerima laporan daripada doktor yang memeriksa mangsa sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kematian itu," katanya.

Menurutnya, mangsa dimasukkan ke HKL kira-kira jam 3 petang, 5 Disember lalu dan meninggal dunia kira-kira jam 4.55 petang kelmarin.


Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah mengesahkan kejadian berkenaan dan menyatakan kanak-kanak berkenaan meninggal dunia akibat pendarahan dalam kepala.


Menurutnya, pengasuh kanak-kanak berkenaan sudah dirakamkan keterangan, namun tiada tangkapan dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/08


Terus perangi gejala rasuah

Posted: 07 Dec 2012 03:46 PM PST

KUALA LUMPUR: Malaysia berazam terus memerangi rasuah dalam usaha menjadikan negara bersih daripada gejala yang boleh merosakkan itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan usaha berterusan akan dilakukan bagi memperbaiki kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) antarabangsa.


"Malaysia meningkat enam tangga lagi dalam CPI, menjadikan kita tempat ketiga di Asean. Kedudukan yang akan sentiasa diperbaiki," kata beliau dalam tweet terkininya di sini, semalam.

Beliau mengulas pengumuman laporan badan bebas antarabangsa, Transparency International mengenai kedudukan Malaysia yang lebih baik dalam CPI tahun ini iaitu pada kedudukan ke-54 berbanding ke-60 tahun lalu.


Malaysia meraih 49 daripada 100 mata dalam kajian yang mengukur tahap rasuah dalam sektor awam daripada 174 negara.


Di rantau Asean, Malaysia menduduki tempat ketiga selepas Singapura (kelima dunia) dan Brunei di tempat ke-46 dunia.

Kedudukan itu menyamai tiga negara lain iaitu Republik Czech, Latvia dan Turki manakala di peringkat Asia pula, Malaysia di tangga kesembilan.


Singapura terus kekal negara Asia paling bersih dengan 87 mata CPI, diikuti oleh Hong Kong (77 mata) dan Jepun (74 mata).

Denmark, Finland dan New Zealand adalah negara paling bersih dengan 90 mata CPI manakala Afghanistan, Korea Utara dan Somalia di kedudukan tercorot.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/08


No comments:

Post a Comment