Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Kopi tahi gajah jadi idaman

Posted: 07 Dec 2012 04:57 PM PST

BANGKOK: Di dalam hutan di kawasan pergunungan Chiang Rai, utara Thailand, sekumpulan orang sanggup menghabiskan masa dan tenaga mendapatkan kopi paling mahal di dunia - dihasilkan daripada tahi gajah.

Kopi yang mempunyai aroma unik itu dihasilkan melalui proses penghadaman biji kopi dan tindak balas di dalam tubuh haiwan berkenaan dipercayai menghasilkan bau istimewa.


Pemungut tahi gajah bergegas mengumpul bahan kumuhan gajah itu sebaik saja ia keluar dari tubuh haiwan berkenaan.

Walaupun sebilangan penggemar kopi mungkin menghadapi masalah loya, ia tidak menghalang produk berkenaan dijual pada harga begitu mahal di pasaran di seluruh dunia. Ketika ini, sekilogram kopi tahi gajah itu dijual pada harga kira-kira AS$1,100 (RM3,360).


Justeru, hanya penggemar tegar yang mampu menghirup kopi unik berkenaan. Penjualan kopi itu dilancarkan di hotel mewah terpilih di beberapa lokasi di seluruh dunia beberapa bulan lalu, bermula di utara Thailand, diikuti Maldives dan kini Abu Dhabi.


Secawan kopi tahi gajah itu dijual dengan harga AS$50 (RM153) Pencipta kopi itu, Blake Dinkin, berkata kajian saintifik mendorongnya menghasilkan kopi menggunakan sistem perkumuhan semula jadi gajah.

Dinkin - menghabiskan lebih RM900,000 untuk mengembangkan idea berkenaan - berkata, apabila gajah memakan buah kopi, asid dalam perut haiwan itu memecahkan protein yang menyebabkan rasa pahit dalam buah berkenaan "Akhirnya, anda menikmati minuman yang sangat lembut dan tanpa rasa pahit seperti kopi biasa," katanya. Kopi itu dianggap sama seperti satu lagi kopi mahal ketika ini, di kenali sebagai Kopi Luwak, yang terhasil daripada proses perkumuhan musang. Masa antara 15 hingga 30 jam diperlukan untuk seekor gajah menghadam kopi berkenaan sebelum ia dikeluarkan secara semula jadi. Kata lelaki berasal dari Kanada itu, gajah juga diberi makan pisang, tebu dan pelbagai bahan lain. "Ia memberikan rasa tambahan yang menarik," katanya. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/08


Pelayan kapal mewah nyaris maut dibaham buaya

Posted: 07 Dec 2012 01:55 PM PST

PERTH: Percutian seorang pelayan kapal mewah di Australia Barat baru-baru ini ternyata meninggalkan 'kesan mendalam' kepadanya apabila dia diserang buaya. Bagi Tara Hawkes, 23, dia sangat bersyukur kerana terselamat walaupun serangan reptilia ganas sepanjang tiga meter itu menyebabkan dia mengalami parut di pahanya.

Kata Tara, dia sedang mengayuh sampan di kolam air tawar di Dugong Bay ketika serangan berlaku.


"Tanpa disedari, buaya itu membaham paha kiri dan menarik saya ke dalam air.

"Saya tak mampu berbuat apa-apa dan buaya itu memperlakukan saya seperti anak patung mainan," katanya.


Menyangka nyawanya akan melayang, Tara menjerit meminta tolong sekuat hati tetapi rakannya tidak berbuat apa-apa pada peringkat awal.


Sementara itu, rakan Tara, Al Sartori, berkata dia menyangka kejadian itu adalah antara helah Tara untuk mengenakannya.

"Hanya selepas ternampak air bertukar merah, barulah saya sedar Tara dalam bahaya," katanya. Bersama seorang lelaki lain, Sartori berenang ke arah Tara.


Kata Sartori, dia terpaksa bergelut dengan buaya berkenaan sebelum kaki Tara dilepaskan dan wanita itu ditarik ke tebing.

Disebabkan hilang terlalu banyak darah, Tara terpaksa diterbangkan dengan helikopter ke hospital berhampiran.


Doktor menghabiskan masa selama empat jam untuk menyelamatkan kaki Tara. - TS

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/08


Menteri Sukan letak jawatan

Posted: 07 Dec 2012 01:51 PM PST

JAKARTA: Menteri Sukan Indonesia meletak jawatan semalam selepas dinamakan sebagai suspek dalam kes rasuah melibatkan beratus juta dolar dalam satu skandal terbaru dalam parti pemerintah menjelang pilihan raya 2014.

Andi Mallarangeng adalah menteri pertama meletak jawatan atas dakwaan kes rasuah sejak Suruhanjaya Menentang Rasuah (KPK) mula beroperasi pada 2003 untuk membanteras rasuah yang berleluasa.


Perletakan jawatan Andi, yang sebelum ini jurucakap presiden, memberi malu kepada Presiden Susilo Bambang Yudhoyono yang menang besar untuk penggal kedua pada 2009 atas platform menentang rasuah.

Indonesia menunjukkan peningkatan dalam memerangi rasuah sejak sedekad lalu tetapi nampaknya sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ia semakin berkurangan.


Minggu ini, ia jatuh di kedudukan ke-118 daripada 176 negara yang dalam indeks tahunan Transparency International yang menilai keadaan rasuah negara di dunia.


Kelmarin, KPK mengumumkan Andi adalah suspek dalam kes pembinaan pusat sukan bernilai 2.5 trilion rupiah (RM797 juta).

"Sehubungan dengan pengumuman KPK itu... saya menemui Presiden dan memberikan surat perletakan jawatan sebagai Menteri Sukan, berkuatkuasa hari ini," kata Andi yang kemudian menegaskan dia tidak bersalah.


Katanya, dia tidak mahu menjadi beban kepada Presiden dan Kabinet. Kerajaan perlu meneruskan tugas mereka dan perkara perundangan peribadi itu adalah tanggungjawabnya.

Susilo menerima perletakan jawatan Andi dan berkata dia menjadi "contoh baik di mana seseorang yang menghadapi masalah perundangan itu bimbang ia akan memberi kesan kepada tugasnya sebagai Menteri Sukan dan hal ehwal Kabinet." KPK turut menamakan beberapa anggota parti Presiden sebagai suspek dalam beberapa kes sebelum ini. - Jakarta Post

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/08


Mantan PM Thai dakwa tuduhan bermotif politik

Posted: 07 Dec 2012 01:51 PM PST

BANGKOK: Bekas Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva semalam berkata, keputusan untuk mendakwanya atas tuduhan membunuh dalam perhimpunan "Baju Merah" adalah bersifat politik dan menegaskan tindakan ketenteraan terhadap penunjuk perasaan adalah untuk mengembalikan keamanan.

Abhisit yang membenarkan tindakan ke atas perhimpunan besar-besaran di Bangkok menentang kerajaannya, bersedia untuk tampil di Jabatan Siasatan Khas (DSI) minggu depan untuk disoal siasat mengenai kes seorang pemandu teksi yang ditembak mati oleh anggota tentera ketika huru-hara itu.


Ahli politik yang mendapat pendidikan di Oxford itu memberitahu wartawan, dia menolak kredibiliti dakwaan itu, yang diumumkan oleh DSI, semalam.

"Kes ini mempunyai agenda politik tersembunyi," kata Abhisit yang menjadi anggota parti pembangkang selepas kalah dengan Yingluck Shinawatra, adik kepada bekas Perdana Menteri Thaksin dan kumpulan Baju Merah yang disokong oleh Parti Puea Thai.


Beberapa protes jalanan oleh kumpulan Baju Merah dan pesaing Baju Putih dibuat selepas Thaksin dijatuhkan oleh jeneral prokerajaan dalam rampasan kuasa pada 2006.


Kira-kira 90 orang mati dan 1,900 lagi cedera dalam pertembungan antara penyokong Baju Merah dan penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan yang membawa kepada tindakan ketenteraan pada Mei 2010. Dua wartawan asing antara yang terbunuh dalam kejadian itu - BP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/08


2 sami khayal dadah, tonton filem porno kena tahan

Posted: 07 Dec 2012 01:50 PM PST

AYUTTHAYA: Dua sami ditahan polis atas kesalahan berkelakuan tidak senonoh, memiliki pil methamphetamin (syabu), minuman keras, bahan porno dan pistol.

Polis berkata, Phra Suksawad Sutiyano 31, dan Phra Ponsit Prapatoh 42, ditangkap ketika sedang minum bir dan menonton filem porno di Wat Phra Ngam.


Anggota polis juga menemui pil syabu dan pistol dengan peluru di tempat tinggal sami itu.

Selepas disoal siasat, sami itu mengaku mengambil pil syabu sebelum berpesta. Mereka berkata, beberapa remaja tempatan menjual dadah itu kepada mereka dengan harga 150 baht (RM15) sebutir.


Polis menyerbu tempat tinggal Suksawad selepas menerima aduan daripada orang kampung dan Pejabat Lembaga Pengawalan Dadah (ONCB) mengenai kelakuan buruk sami itu.- Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/08


Cubaan seludup tenggiling hidup ke Hong Kong gagal

Posted: 07 Dec 2012 01:49 PM PST

JAKARTA: Pegawai Kastam dan Eksais di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Banten, menumpaskan percubaan menyeludup 72 haiwan dilindungi bernilai Rp460 juta (RM152,774) dari Jakarta ke Hong Kong.

Ketua Pejabat Kastam lapangan terbang itu, Oza Olavia semalam berkata, 72 Tenggiling Sunda (Manis Javanica) atau dikenali oleh orang tempatan sebagai trenggiling, diseludup untuk dihantar kepada pembekal makanan laut dan buah-buahan di Hong Kong.


"Pegawai mengesyaki sesuatu dalam bungkusan yang sepatutnya dihantar menggunakan Penerbangan China," katanya dalam sidang akhbar di lapangan terbang itu.

Pejabatnya mengenal pasti penghantar bungkusan itu sebagai H, seorang penduduk Jakarta. - JP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/08


Dadah 135 kg dirampas

Posted: 07 Dec 2012 01:49 PM PST

SYDNEY: Polis Australia merampas kokain yang diseludup dari Chile bernilai Aus$77 juta (RM247 juta), sindiket dadah dunia yang ketiga ditumpas dalam beberapa minggu.

Dadah seberat 135 kilogram itu dirampas selepas Polis Persekutuan Australia melakukan siasatan selama tiga bulan dan menahan lima lelaki, tiga warga Australia, seorang Itali dan seorang dari Mexico.


Komander Jennifer Hurst berkata, Polis Persekutuan Australia telah merampas hampir 700 kilogram dadah sejak beberapa minggu lalu dalam siasatan berasingan.

Katanya, tindakan itu sepatutnya memberi amaran jelas kepada penjenayah bahawa polis tidak akan berdiam diri dalam memerangi jenayah terancang.


Bulan lalu, polis merampas 350 kilogram kokain dan methamphetamin dengan nilai pasaran sehingga mencecah Aus$237 juta (RM757.7 juta) dan menahan seorang warga Amerika Syarikat dan dua dari Kanada.


Dua ratus kilogram kokain lagi dan satu mayat reput ditemui di atas kapal di Tonga bulan lalu dalam satu siasatan bersama yang dilakukan oleh polis Australia, Tonga, Kepulauan Cook dan Amerika Syarikat.

Operasi terbaru itu bermula September lalu apabila pegawai kastam memeriksa penghantaran dari Chile di Sydney dan menemui kokain.


Dua lelaki Australia berusia 49 dan 55 tahun, didakwa memiliki dadah dengan kuantiti komersial dan seorang lelaki Australia berusia 41 tahun, didakwa bersubahat mengimport dadah itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/08


Gempa kuat landa Jepun

Posted: 07 Dec 2012 01:48 PM PST

TOKYO: Tsunami setinggi satu meter melanda timur laut Jepun semalam selepas gempa bumi dasar laut berlaku, menyebabkan beribu-ribu penduduk mbertempiaran di wilayah yang musnah dilanda bencana alam tahun lalu.

Stesyen televisyen dan radio mengingatkan penduduk di pesisiran pantai mengenai bencana alam 2011 dan meminta mereka berpindah ke tempat tinggi apabila gegaran kuat mula berlaku.


Sistem telefon sesak dengan panggilan, menyebabkan pegawai sukar untuk memindahkan penduduk di tempat yang mudah dilanda tsunami sehinggalah amaran tsunami ditarik balik dua jam kemudian.

Pegawai kaji cuaca berkata, ombak menghentam pantai selepas jam 6 petang (0900 GMT) di Ishinomaki, bandar yang rosak teruk akibat gempa bumi 2011 yang menyebabkan tsunami melanda bandar itu dan membunuh beribu-ribu penduduk.


Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat berkata, tiada laporan mengenai kematian akibat gempa bumi dengan magnitud 7.3 itu.


Beberapa ombak tsunami kecil direkod, termasuk ombak setinggi 40 sentimeter di Soma, sebuah bandar di luar kawasan pemindahan dekat loji Fukushima selepas ia rosak teruk tahun lalu.

Pengendalinya,Tenaga Elektrik Tokyo (TEPCO berkata, tiada laporan masalah di loji yang rosak itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/08


Sindiket tipu wang melalui telefon tumpas

Posted: 07 Dec 2012 01:48 PM PST

HANOI: Pihak berkuasa Vietnam berjaya menumpaskan skim penipuan telefon di mana mangsa di China dan Taiwan ditipu dengan memberi wang kepada pemanggil yang menyamar sebagai anggota polis.

Polis Ho Chi Minh mengesahkan 52 orang, semua dari China dan Taiwan, ditahan semalam, kerana disyaki terlibat dalam penipuan itu. Suspek dipercayai membuat panggilan rawak di China dan Taiwan dan menyamar sebagai anggota polis dan pendakwa raya untuk menghantar wang kepada akaun bank mereka. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/08


Wartawan Russia ditembak mati

Posted: 07 Dec 2012 01:47 PM PST

MOSCOW: Seorang pengacara televisyen di Caucasus Utara ditembak kelmarin, satu kejadian yang menurut polis persekutuan, mungkin sebagai amaran kepada wartawan yang membuat laoran mengenai pemberontakan Islam.

Jawatankuasa Siasatan Polis Persekutuan berkata, Kazbek Gekkiyev, 28, yang bekerja di stesen televisyen tempatan VGTRK, dibunuh di Nalchik, ibu negara Republik Kabardino-Balkaria.


Tidak diketahui sama ada mangsa membuat laporan mengenai jenayah atau pemberontakan itu, yang jarang berlaku di Kabardino-Balkaria berbanding tempat lain seperti di Dagestan.

Seorang wanita yang dikatakan saksi kejadian itu berkata, dua lelaki keluar dari kereta dan bertanya, "Awak pengacara televisyen Kazbek Gekkiyev?" sebelum mangsa ditembak.


Rakan sekerja berkata, mereka tidak faham apakah motif pembunuhan itu dan polis berkata mereka tidak menolak sebarang kemungkinan.


Presiden Vladimir Putin menggesa pasukan keselamatan mencari mereka yang bertanggungjawab - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/08


No comments:

Post a Comment