Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


‘Kami mahu menang’

Posted: 07 Dec 2012 06:15 PM PST

"KAMI hadir ke sini dengan misi tidak mahu tewas. Demikian amaran penyerang sensasi Thailand, Teerasil Dangda yang menegaskan misi pasukannya cukup jelas iaitu mahu mencatatkan kemenangan pada perlawanan separuh akhir pertama bertemu skuad negara esok.

Meskipun sedar bakal berdepan puluhan ribu penyokong skuad negara yang pasti akan membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil esok, Teerasil menegaskan ia bukanlah satu masalah besar baginya serta rakan sepasukan.


"Kami mahukan keputusan yang baik dengan pada masa sama tidak akan memandang rendah keupayaan Malaysia. "Mereka adalah pasukan yang bagus tapi kami juga mahukan keputusan yang bagus," katanya yang tiba di negara ini semalam bersama rakan sepasukannya.

Meledak hatrik ketika perlawanan kedua peringkat kumpulan bertemu Myanmmar, sudah cukup membuktikan betapa penyerang berusia 24 tahun perlu dikawal rapi untuk tidak memberi masalah kepada anak buah Datuk K Rajagobal.


Ditanya adakah dia berhasrat untuk meledak hatrik sekali lagi apabila bertemu skuad negara, Teerasil berkata, kerjasama rakan sepasukan lebih penting dalam usaha untuk meraih keputusan terbaik sebelum bertemu Malaysia sekali lagi pada perlawanan timbal balik 13 Disember di Bangkok.


Penyerang Muangthong United itu juga berkata, meskipun kali terakhir Thailand menjulang Piala AFF pada 2002, ia tidaklah memberi tekanan terlalu tinggi kepadanya serta rakan sepasukan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/08


Dominasi Williams

Posted: 07 Dec 2012 01:39 PM PST

TUAH Pulau Duyong sekali lagi berpihak kepada jurumudi Team GAC Pindar, Ian Williams, yang muncul juara dunia Alpari World Match Racing Tour (AWMRT) buat kali keempat di Pulau Duyong semalam.

Kemenangan 3-2 pelayar Inggeris itu ke atas jurumudi Mekonomen Sailing Team, Bjorn Hansen, sudah cukup buatnya memungut mata tertinggi dalam carta AWMRT untuk dinobatkan sebagai juara dunia, selain daripada melayakkannya ke pusingan separuh akhir Piala Monsun.


Pelayar berusia 35 tahun yang meraih tiga kejuaraan dunia, juga di Pulau Duyong, pada 2007, 2008 dan 2011, berkata sukar untuknya menggambarkan perasaannya selepas dapat menyamakan rekod yang sebelum ini dipegang Peter Gilmour.

"Baru kelmarin Gilmour menyatakan hasratnya untuk bersara daripada sukan pelayaran dan sukar buat saya mempercayai yang saya kini sudah menyamai rekod yang dipegang pelayar terbaik dunia.


"Di sinilah segala-galanya berlaku dan saya tidak akan dapat melupakan Pulau Duyong buat selama-lamanya kerana terlalu banyak kenangan manis saya di sini," katanya.


Williams berkata, Hansen yang menamatkan pusingan kelayakan di tangga kedua berbanding dia di tangga ketujuh, tidak terkejut apabila dipilih pendahulu carta AWMRT dari Sweden itu untuk menjadi lawannya di peringkat suku akhir.

"Hansen berani memilih saya kerana mungkin itu cara paling terbaik buatnya untuk menjadi juara dunia namun malang buatnya kerana strateginya itu tidak berjaya," kata Williams yang kini cuma akan menumpukan perhatian untuk muncul juara Piala Monsun pula buat kali ketiga.


Hansen, pelayar Swden berusia 45 tahun yang ternyata kecewa selepas tewas 3-1 kepada Williams, berkata dia yakin dengan tindakannya memilih saingan terdekatnya untuk kejuraan dunia yang cuma berada 2.25 mata di belakangnya dalam carta AWMRT.

"Nasib tidak memihak kepada saya namun jika diberi peluang lagi sekali untuk memilih lawan suku akhir saya, Williams tetap akan menjadi pilihan.


"Prestasi kami tidak seperti di pusingan kelayakan dan kami banyak melakukan kesilapan terutama dalam perlumbaan ketiga namun semuanya sudah berlalu sekarang dan apa yang kami boleh buat ialah berehat buat seketika dan kemudian memikirkan tentang strategi musim depan pula.


Dalam perlumbaan suku akhir lain, jurumudi Yanmar Racing, Peter Gilmour, sekali lagi menewaskan anaknya, David, untuk layak ke separuh akhir.


Juara dunia empat kali dari Australia itu berkata, agak sukar buatnya di permulaan perlumbaan kerana David belayar dengan cemerlang sehingga dapat memenangi perlumbaan pertama.


"David juga nyaris menang perlumbaan kedua namun dia mungkin tersilap langkah sedikit dan membenarkan saya memotongnya sehingga dapat menyamakan kedudukan.


"Selepas itu, pasukan David mula goyah keyakinan mereka dan pasukan saya layak ke separuh akhir namun semua ini boleh menjadi pengajaran kepada pelayar muda yang baru berusia 21 tahun itu," kata Peter yang berusia 52 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/08


Litar simen halang Taufiq

Posted: 07 Dec 2012 01:38 PM PST

FAKTOR litar dan kekurangan pengalaman menjadi penghalang buat barisan pelumba Malaysia untuk memulakan perlumbaan akhir dari barisan depan pada saingan Piala Yamaha Asean yang berlangsung di Manila, Filipina sehingga Ahad ini.

Bagi pelumba paling berpengalaman dalam kontinjen Yamaha Malaysia, Mohd Taufiq Roslan (gambar), semua pelumba negara sudah mempamerkan aksi terbaik namun belum berupaya menandingi kehandalan pelumba Indonesia dan Thailand.


"Kami bergelut dengan masalah menyesuaikan diri dengan keadaan litar kerana ia sangat berbeza jika dibandingkan dengan di Malaysia. Mereka menggunakan permukaan simen konkrit dan bukannya tar seperti perlumbaan Cub Prix. Ini benar-benar mencabar keupayaan kami kerana tidak pernah berlumba di litar seperti ini. Malah litarnya juga lebih sempit," kata Taufiq yang beraksi bersama Yamaha Maju Motor dalam kategori CP130 di Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas.

Taufiq beraksi dalam kategori Transmisi Manual bersama empat lagi pelumba, Mohd Shariffuddin Shamsuddin, Ahmad Afif Amran, Zulsyafiz Rosli dan Mohd Hafiz Nor Azman.


Tidak menunjukkan tanda kecewa, Taufiq tetap berpuas hati dengan catatan dilakukan rakan sepasukannya. "Kami menunjukkan peningkatan ketara berbanding sesi latihan bebas pertama, semalam. Jika dibandingkan dengan catatan masa terbaik, secara keseluruhan catatan kami berlima sekadar satu atau dua saat ketinggalan kepada pelumba terbaik berbanding ketinggalan antara tiga hingga ke empat saat sebelum ini.


"Malah, selain pelumba Indonesia dan Thailand, semalam kami juga berada di belakang pelumba tuan rumah yang sudah biasa beraksi di sini. Tetapi, masuk hari kedua, kami sudah mengatasi empat daripada lima pelumba mereka. Keputusan ini sebenarnya sesuatu yang cukup positif dan pendedahan berguna buat kami." Taufiq akan memulakan perlumbaan akhir dari petak ke-15 dengan catatan terbaik 59.999s yang dilakukan pada sesi kelayakan kedua, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/08


Tuan rumah ke separuh akhir

Posted: 07 Dec 2012 01:37 PM PST

PASUKAN MyKids Terengganu dipaksa bekerja keras sebelum menewaskan pasukan pilihan, MyKids Kedah 6-5 menerusi sepakan penalti di suku akhir bola sepak Juara Antara Juara di padang Gong Badak, pagi semalam.

Kedua-dua pasukan itu terikat 2-2 masa penuh permainan.


Dua gol pantas dalam masa lima minit daripada Arham Khussyairi pada minit ke-18 dan Muhammad Isa (m-23) sudah memadai untuk mereka mendahului selesa menuju waktu rehat. Tapi, Kedah bangkit pada babak kedua dengan jaringan Akmal Idris (m-37) dan Rahul Ikram, empat minit kemudian untuk meletakkan kedua-dua pasukan terikat sehingga tamat masa sebenar perlawanan.

Ketika sepakan penentuan penalti, MyKids Terengganu mengekalkan ketenangan mereka untuk mara ke separuh akhir.


"Kemenangan ini bagaikan membalas dendam kekalahan kami kepada Kedah dalam kejohanan MyKids di Perlis, baru-baru ini," kata ketua jurulatih MyKids Terengganu, Ahmad Shahiruddin Abdul Manan.


"Semua pemain bermain bermati-matian dan atas sebab itu, kami berhak ke separuh akhir." Berikutan kemenangan itu, MyKids Terengganu akan menentang MyKids Perlis di separuh akhir pagi ini selepas bakal pencabar mereka itu turut mara selepas menang selesa 2-0 ke atas Patriot Medan. Pasukan penyandang juara itu begitu cemerlang apabila menyingkirkan pasukan dari Indonesia menerusi jaringan Wan Mohd Fitri pada minit ke-24 dan Aliff Najmi (m-35).

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/08


Cabaran ‘Robin Hood’

Posted: 07 Dec 2012 01:36 PM PST

SKUAD 'Robin Hood' negara melangkah ke Sukan Universiti Asean (AUG) Laos, Rabu ini dengan jangkaan empat pingat emas menerusi pimpinan bekas pemanah negara, Muhammad Marbawi Sulaiman.

Muhammad Marbawi yang pernah beraksi di Olimpik Athens 2008 itu optimis anak didiknya mampu menyahut cabaran pingat emas yang disasarkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di bumi Vientiane sepanjang temasya berlangsung 12-22 Disember ini.


"Kami bersedia. Menerusi percaturan saya, empat pingat emas sudah menjadi milik Malaysia meskipun kita belum berlepas ke Vientiane lagi. Dua daripada emas itu adalah menerusi acara recurve berpasukan lelaki dan wanita manakala selebihnya dari acara compound.

"Amaran saya kepada anak buah ialah pamerkan sikap melawan tetapi pada masa sama jangan memandang rendah keupayaan lawan," katanya yang pernah beraksi di Sukan Olimpik.


Skuad memanah yang dibarisi 16 atlet ini turut menampilkan kehebatan pemanah senior antaranya, Wan Mohd Khalmizam Wan Ab Aziz (gambar), Nazrin Aizad Mat Nasir, Liew Tek Wa, Shahira Abd Halim dan Fatin Nurfatehah Mat Salleh.


Lantaran itu, tidak mustahil sasaran empat emas yang disasarkan jurulatihnya, Muhammad Marbawi gagal dilaksanakan.

Pasukan memanah negara akan berlepas ke Laos Rabu ini dengan acara memanah akan membuka tirainya empat hari kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/08


Lima negara sertai Piala Sultan Azlan

Posted: 07 Dec 2012 01:36 PM PST

LIMA pasukan iaitu juara bertahan, New Zealand, Australia, India, Pakistan dan tuan rumah Malaysia sudah mengesahkan penyertaan dalam kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah 2013 yang dijangka berlangsung di Ipoh pada 6 -17 Mac 2013.

Penganjur kejohanan edisi ke-22 itu turut menunggu jawapan daripada Korea Selatan dan Argentina dalam usaha memastikan kejohanan berprestij itu kekal disertai tujuh pasukan.


Pengerusi Jawatankuasa Pengelola, Datuk Abdul Rahim Mat Arif (gambar) memberitahu jemputan kepada Argentina dibuat bagi menggantikan Sepanyol yang tidak dapat datang kerana komitmen dengan Liga Eropah yang memuncak pada Mac. Korea Selatan pula memang berada dalam senarai asal pasukan dijemput.

"Pasukan Eropah memang tidak dapat datang ke Ipoh kali ini kerana terbabit dengan Liga Eropah. Justeru kita hanya mendapat penyertaan daripada Asia, Oceania dan Pan Amerika.


"Pihak penganjur juga meletakkan Afrika Selatan dan Kanada sebagai pasukan simpanan seandainya Korea dan Argentina tidak dapat menyertai kejohanan kali ini," kata Naib Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) itu.


Rahim yang juga Presiden Persatuan Hoki Perak (PHP) berkata kejohanan edisi ke-22 ini dipercepatkan kerana Ipoh akan menjadi tuan rumah kejohanan Piala Asia yang dijadualkan berlangsung Ogos nanti.

Beliau juga menjelaskan Stadium Azlan Shah akan berwajah baru kerana memiliki tempat duduk berbumbung sepenuhnya berbanding hanya tempat duduk utama pada masa lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/08


Federer sasar Olimpik Rio

Posted: 07 Dec 2012 01:35 PM PST

SAO PAULO: Roger Federer menaruh harapan untuk beraksi di temasya Sukan Olimpik Rio 2016 dan akan menyusun semula jadualnya dalam usahanya untuk terus kekal cergas.

Juara Grand Slam 17 kali itu akan berusia 35 tahun ketika temasya Olimpik Rio namun pemain nombor dua dunia dari Switzerland itu masih belum merangkul pingat emas dalam acara perseorangan apabila tewas kepada Andy Murray pada perlawanan akhir Sukan Olimpik London, tahun ini.


Dia adalah pemenang pingat emas dalam acara beregu di Beijing pada 2008.

"Sasaran saya adalah untuk berada di sini semula dalam tempoh tiga tahun setengah untuk beraksi di Olimpik Rio," kata Federer menjelang siri perlawanan pertunjukan di Brazil.


Federer akan beraksi 14 kejohanan sepanjang 2013 dan memulakan musim depan dengan menyertai Grand Slam pertama di Terbuka Australia di Melbourne namun mengetepikan Masters Miami dan Monte Carlo.


"Saya cuba memberi keutamaan kepada pertandingan yang saya mahu sertai dan disebabkan itu saya tidak dapat menyertai 25 pertandingan setahun," katanya.

"Saya memilih pertandingan yang pernah saya menangi atau pertandingan yang mempunyai nilai sentimental sama ada dengan orangnya atau dengan bandar raya itu." Federer akan beraksi dalam siri jelajah pertunjukan di Brazil bersama pemain tuan rumah, Thomaz Bellucci, Jo-Wilfried Tsonga (Perancis), Tommy Haas (Jerman) dan Tommy Robredo (Sepanyol).


Victoria Azarenka, Maria Sharapova dan Serena Williams turut sama mengambil bahagian dalam siri jelajah itu.

"Saya sangat teruja berada di sini. Sudah bertahun-tahun saya menunggu peluang ini. Saya mengembara hampir setiap hari dalam hidup saya. Saya tidak mampu untuk datang ke sini hinggalah sekarang," kata Federer. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/08


India, Pakistan ke separuh akhir

Posted: 07 Dec 2012 01:35 PM PST

MELBOURNE: Dua pasukan musuh tradisi, India dan Pakistan layak ke separuh akhir Trofi Juara-Juara manakala impian Australia untuk meraih kejuaraan kelima berturut-turut masih menyala selepas mengalahkan England 2-0, kelmarin.

Belanda turut layak ke separuh akhir selepas mudah menundukkan New Zealand 2-0.


India, memburu trofi pertama mereka dalam tempoh 30 tahun, mengatasi Belgium 1-0 manakala Pakistan mengejutkan juara Olimpik, Jerman 2-1.

Ketika layak ke separuh akhir satu pencapaian bermakna buat India, mereka kini berdepan tugas getir menentang tuan rumah Australia di hadapan penyokong mereka sendiri.


Pakistan akan turut tampil sebagai pasukan bukan pilihan apabila mereka menentang Belanda pada separuh akhir hari ini.


India, pemenang pingat gangsa pada kejohanan itu di Amstelveen pada 1982, berusaha untuk layak ke final pertama Trofi Juara-Juara.

Tidak seperti kemenangan lain mereka pada kejohanan itu, kemenangan India ke atas Belgium terlalu sukar dan jurulatih India, Michael Nobbs memuji benteng pertahanannya.


"Ia satu perasaan menakjubkan, mereka benar-benar bekerja keras. Saya tidak fikir kami bermain dengan amat bagus hari ini tapi pertahanan kami mengagumkan," kata Nobbs. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/08


Loeb hanya bertanding empat perlumbaan

Posted: 07 Dec 2012 01:33 PM PST

PARIS: Juara rali dunia, Sebastian Loeb (gambar) akan bertanding dalam empat daripada 13 perlumbaan musim depan, kata pemandu Citroen itu kelmarin.

"Kami akan memulakan musim di Monte Carlo dan kami juga akan bertanding di Sweden kerana ia satu perlumbaan rali yang saya ingin menangi dalam keadaan perlumbaan bias," kata juara sembilan kali itu.


"Saya juga tidak boleh melupakan Rallye de France," katanya.

Citroen tidak mendedahkan perlumbaan rali keempat yang akan disertainya.


Pasukan itu mengumumkan September lalu bahawa juara dunia itu tidak akan mempertahankan kejuaraannya tahun depan, dengan pemandu Finland, Mikko Hirvonen mengambil alih sebagai pemandu utama dan menyertai semua pusingan.


Pemandu Sepanyol, Dani Sordo akan menyertai sekurang-kurangnya 11 rali dan disenaraikan untuk meraih mata bagi kejuaraan pengeluar apabila Loeb tidak bertanding.

Khaleed Al-Qassimi dari Emiriah Arab Bersatu akan berlumba dalam lapan rali kejuaraan dunia buat pasukan yang ditaja Abu Dhabi itu, bermula di Sweden. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/08


Cech optimis Chelsea mampu serlah pada aksi Piala Kelab Dunia

Posted: 07 Dec 2012 01:33 PM PST

TOKYO: Penjaga gol, Petr Cech (gambar) percaya Chelsea mampu mengembalikan semula prestasi terbaik dengan segera selepas kemerosotan yang menyaksikan juara bertahan Liga Juara-Juara itu tersingkir pada peringkat kumpulan.

Kelab London itu akan ke Jepun selepas kunjungan ke Sunderland, malam ini untuk beraksi pada Piala Kelab Dunia dengan jurulatih sementara, Rafael Benitez amat tertekan meraih kejayaan.


Kejayaan membawa pulang trofi itu akan membantu mengendurkan tekanan buat pengurus berbangsa Sepanyol itu, yang tidak popular di kalangan peminat ketika menjadi pengurus Liverpool.

"Tidak ramai yang boleh berkata 'saya memenangi Piala Kelab Dunia', pertandingan khusus buat pemenang Liga Juara-Juara," kata Cech.


"Kami mempunyai pemain berpengalaman dalam pasukan, pemain dari Sepanyol sudah memenangi Piala Dunia, Kejohanan Eropah dan Liga Juara-Juara.


"Saya harap, sesudah terlepas Piala Super, trofi ini akan menjadi milik kami. Dengan semua pengalaman yang kami ada, kami pasti mampu menangani situasi ini." Chelsea akhirnya melakar kemenangan di bawah kendalian Benitez pada perlawanan keempat apabila mereka membelasah Nordsjaelland 6-1 sekalipun ia tidak bermakna.

Selepas muncul penyandang juara pertama dalam Liga Juara-Juara terkeluar pada peringkat kumpulan, kunjungan Chelsea ke Asia Timur pasti penting.


Pertandingan tujuh pasukan anjuran Fifa itu memberikan Chelsea peluang untuk memenangi trofi, sekalipun mereka dijangka menghadapi ujian getir sekiranya bertemu juara Amerika Selatan, Corinthians pada perlawanan akhir. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/08


No comments:

Post a Comment