Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Harimau Malaya hilang Wan Zack

Posted: 04 Dec 2012 09:27 AM PST

PERSIAPAN Harimau Malaya untuk menghadapi Thailand pada separuh akhir Piala AFF, Ahad ini terus dibayangi kecederaan pemain utama.

Kali ini pemain sayap lincah, Wan Zack Haikal Wan Nor mengalami kecederaan otot paha ketika menjalani latihan petang semalam.


Ia jelas membimbangkan pengendali negara, Datuk K Rajagobal yang kelihatan semakin kurang senang dengan situasi itu selepas pemain terbabit mempamerkan aksi cemerlang di peringkat kumpulan termasuk meledak satu jaringan.

"Nampak teruk, dia berasa sakit... ini menyebabkan kita bertambah sukar menentang Thailand," katanya.


Sebelum ini empat pemain sudah mengalami kecederaan antaranya Safee Sali, S Kunanlan, Mohd Khyril Muhymeen Zambri dan Shakir Shaari.


Rajagobal bagaimanapun tetap memberikan fokus dalam persiapannya apabila mahu mengadakan perlawanan persahabatan menentang PDRM malam ini.

"Adalah penting untuk kami mengekalkan momentum untuk menentang Thailand nanti," katanya.


Rajagobal turut mengingatkan pemainnya supaya tenang dan tidak tertekan berdepan Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/05


Azam Nadal

Posted: 04 Dec 2012 09:19 AM PST

MADRID: Rafael Nadal mahu kembali ke tahap terbaiknya sebelum bermula musim gelanggang tanah liat dan menjelang kejohanan Terbuka Perancis di Roland Garros, kata pemain Sepanyol itu kelmarin.

Bekas pemain nombor satu dunia berusia 26 tahun itu merudum ke tangga keempat dalam ranking ATP dan tidak bermain sejak kekalahan mengejutnya pada pusingan kedua Wimbledon, Jun lalu.


Bintang Sepanyol itu didapati mengalami koyak tendon dan bengkak di lutut kiri namun dia sudah kembali berlatih memukul bola dua minggu lalu.

"Pemulihan saya berjalan lancar dan doktor juga gembira," kata Nadal.


"Saya perlu mengkaji semula karier saya dengan sasaran lima tahun. Saya mempertimbangkan untuk menjalani pembedahan, namun doktor lebih suka jika saya tidak mengambil risiko itu." Juara 11 acara perseorangan Grand Slam itu lebih pragmatik mengenai kembalinya ke gelanggang pertandingan.


"Saya mahu kembali bulan depan," katanya. "Saya tidak jangkakan untuk kembali dan memenangi Terbuka Australia, saya perlu realistik. Keputusan perlawanan tidak membimbangkan saya dalam kejohanan pertama saya kembali.

"Saya perlu mengambil kira prestasi permainan selepas sudah lama tidak beraksi. Ia tidak merisaukan saya jika merudum ke tangga ke-15 dunia selagi saya sedar boleh terus bermain.


"Saya mahu 100 peratus cergas sebelum Monte Carlo dan menjelang Roland Garros." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/05


LeMond sedia rebut jawatan

Posted: 04 Dec 2012 09:18 AM PST

LONDON: Pemenang tiga kali Tour de France, Greg LeMond berkata beliau bersedia mencabar jawatan tertinggi dalam persekutuan berbasikal dunia ketika sukan itu masih berjuang untuk pulih daripada skandal doping Lance Armstrong.

Ditanya sama ada beliau bersedia bertanding merebut jawatan presiden Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) menentang penyandang Pat McQuaid, yang berdepan desakan supaya meletakkan jawatan, LeMond berkata jika perlu, beliau akan melakukannya.


"Saya mahu menjadi sebahagian daripada proses perubahan dalam berbasikal. Tapi saya tidak berada di sini untuk menjadi presiden. Saya bukannya seorang ahli politik," kata bekas pelumba berusia 51 tahun itu selepas pertemuan dengan kumpulan pendesak Change Cycling Now.

LeMond, yang menjuarai Tour de France pada 1986, 1989 dan 1990, kini satu-satunya penunggang Amerika yang memenangi perlumbaan terbesar itu selepas UCI menarik balik kemenangan Armstrong yang melakar rekod tujuh kemenangan disebabkan penggunaan dadah.


Sejak itu, beliau menjadi pemimpin utama dalam kempen Change Cycling Now, yang mendesak satu perubahan pantas untuk membendung penggunaan bahan terlarang itu dalam sukan berbasikal. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/05


Tagih kebal Vidic

Posted: 04 Dec 2012 09:18 AM PST

MANCHESTER (England): Pengurus Manchester United, Alex Ferguson berharap dapat menurunkan semula kapten Nemanja Vidic bagi perlawanan terakhir peringkat kumpulan Liga Juara-Juara pasukannya menentang kelab Romania, CFR Cluj.

Pertahanan Serbia berusia 31 tahun itu kembali berlatih minggu lalu selepas menjalani pembedahan lutut September lalu yang menyebabkannya terpaksa diketepikan.


Ferguson dijangka melakukan banyak rombakan bagi perlawanan di Old Trafford awal pagi esok, seperti yang mereka lakukan ketika berkunjung ke Galatasaray, kerana United sudah mengesahkan tempat ke peringkat kalah mati sebagai juara kumpulan.

Kehadiran semula Vidic mampu melegakan Ferguson selepas United melepaskan tiga gol menentang Reading Sabtu lalu, perlawanan yang dianggap pengurus itu sebagai terburuk.


Ferguson mungkin juga merehatkan Rio Ferdinand dan Jonny Evans menjelang pertembungan jiran setempat Manchester, Ahad ini kerana beliau tidak menjangkakan Vidic akan tampil pada perlawanan genting itu sekalipun jika dia beraksi menentang kelab Romania itu sepenuh masa dan tidak mengalami sebarang kecederaan.


"Saya amat berharap Vidic bermain. Saya fikir dia ada peluang baik untuk diturunkan," kata Ferguson. " Ia terpulang kepada dirinya sendiri.

"Ia satu bonus besar (kehadiran Vidic). Perlawanan ini membolehkan saya menurunkan (Phil) Jones, (Chris) Smalling, Vidic dan (Alexander) Buttner di benteng pertahanan.


"Saya tahu dia melakukan tugas baik bersama ahli fisioterapi dan dia melakukan latihan tendangan bersama mereka.

"Tapi dia hadir ke latihan Isnin lalu bersama pasukan utama dan dia bertindak baik." Ditanya sekiranya Vidic boleh beraksi menentang City, Ferguson membalas: "Tidak, tidak, tidak tapi perlawanan Rabu ini (awal pagi esok) adalah satu permulaan baik." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/05


Benfica miliki kelebihan

Posted: 04 Dec 2012 09:16 AM PST

LISBON: Benfica mempunyai cukup kualiti untuk meraih keputusan yang mereka kehendaki sekali gus layak ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara apabila berkunjung ke Barcelona awal pagi esok, sekalipun jika kelab Catalan yang sudah layak itu merehatkan Lionel Messi, kata jurulatih Jorge Jesus.

Pasukan bergelar 'Eagles' menduduki tangga kedua Kumpulan G, sama mata dengan Celtic, namun memiliki rekod pertembungan baik menentang kelab Scotland itu. Mereka perlu sekurang-kurangnya menyamai keputusan Celtic di gelanggang sendiri menentang Spartak Moscow untuk layak ke peringkat kalah mati.


"Celtic mungkin boleh layak tapi jika kami tidak mengambil kira Barcelona, Spartak dan kami adalah pasukan terkuat dalam kumpulan ini," kata Jesus.

"Saya benci mengulangi hakikat Barcelona pasukan terbaik di dunia. Namun, kami tetap pergi ke Barcelona dengan penuh keyakinan." Jesus berdepan kebimbangan kecederaan membabitkan pemain tengah Eduardo Salvio, Enzo Perez, Pablo Aimar dan Carlos Martins, namun berkata pasukannya percaya mereka mampu mengejutkan Barca di gelanggang lawan.


"Hakikatnya mereka mempunyai seorang pemain yang boleh mengubah keadaan dan tanpanya, Barcelona tidaklah terlalu kuat," kata Jesus. "Sama ada Messi bermain atau tidak, kami ke sana dengan niat untuk menang." Pemain Terbaik Dunia, Messi mencipta kedua-dua gol ketika kemenangan 2-0 Barca di Lisbon, Oktober lalu dan mungkin diberi peluang untuk memecah rekod bekas penyerang Jerman dan Bayern Munich, Gerd Mueller iaitu 85 gol dijaringkan dalam tempoh setahun pada 1972.


Penyerang Argentina itu menyumbang dua gol ketika membelasah Athletic Bilbao 5-1 dalam aksi La Liga Sabtu lalu dan kini hanya ketinggalan satu gol berbanding jaringan Mueller. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/05


Valladolid benam Sevilla

Posted: 04 Dec 2012 09:16 AM PST

MADRID: Dua gol awal membolehkan pendatang baru La Liga, Valladolid menang 2-1 ke atas Sevilla di laman lawan sekali gus melonjak ke tangga ketujuh dan mencerahkan peluang bertanding di Eropah.

Pasukan bimbingan Miroslav Djukic itu mengumpul 21 mata daripada 14 perlawanan, satu mata di belakang Malaga di tangga kelima dan pasukan tangga keenam Getafe yang masing-masing meraih 22 mata.


Sevilla, yang menundukkan juara bertahan, Real Madrid dan pasukan tangga ketiga, Real Betis di laman sendiri musim ini, meninggalkan Sanches Pizjuan dengan diejek penyokong sendiri dan kini di tangga ke-11 dengan 18 mata.

Pemain sayap Valladolid dari Jerman, Patrick Ebert menjaringkan gol menerusi satu serangan balas pantas selepas hanya dua minit dan pemain tengah Oscar menyungkit bola melepasi penjaga gol Diego Lopez bagi gol kedua pada minit ke-12.


Sevilla bergelut untuk bertindak balas hinggalah penyerang lawan, Manucho tertanduk ke dalam gol sendiri sebaik selepas rehat namun kebangkitan mereka terjejas apabila Gary Medel dibuang padang.


Pemain tengah Chile itu menerima kad kuning kedua pada minit ke-64 dan ia membantu Valladolid terus menyerang pada minit-minit akhir apabila mereka hampir menambah gol ketiga menerusi serangan balas. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/05


Magis Benitez

Posted: 04 Dec 2012 09:15 AM PST

LONDON: Rafael Benitez memusnahkan harapan Chelsea pada saingan Liga Juara-Juara ketika membimbing Liverpool sebelum ini, namun kini beliau mempunyai peluang tipis untuk menyelamatkan kariernya di Stamford Bridge.

Benitez masih mempunyai peluang tipis membantu juara bertahan itu melangkah ke pusingan kalah mati dengan syarat bukan saja perlu menewaskan wakil Denmark, Nordsjaelland awal pagi esok tetapi mengharapkan Juventus tersungkur di tangan pendahulu kumpulan, Shakhtar Donetsk.


Wakil Ukraine itu sudah mengesahkan tempat ke pusingan kedua sementara Juventus yang lebih dua mata di depan Chelsea, sedar keputusan seri sudah memadai untuk mereka melangkah ke pusingan kedua.

Benitez yang ketika ini dikritik hebat penyokong Chelsea selepas secara mengejut dilantik menggantikan Roberto Di Matteo, pasti dapat meredakan kemarahan penyokong Blues andai dapat membantu kelab itu mara ke pusingan seterusnya.


Menerima ejekan sebelum membimbing kelab pada perlawanan pertama lagi, Benitez terus menghampakan apabila gagal mengelak kelab bimbingannya daripada tunduk 1-3 kepada West Ham yang sekali gus melebarkan rekod tanpa kemenangan kepada tiga perlawanan sepanjang kendaliannya.


"Kami perlu mempamer aksi lebih baik di atas padang dalam usaha untuk menggembirakan semula hati penyokong.

"Kami mempunyai pemain berpengalaman yang pernah beraksi pada tahap tertinggi ini. Anda sendiri dapat cara latihan mereka yang menunjukkan keinginan untuk beraksi lebih baik," kata Benitez.


Rekod hebat Benitez pada saingan Liga Juara-Juara mungkin dapat meredakan keresahan penyokong Chelsea selepas masih belum menemui sentuhan terbaik sejak membimbing Chelsea.

Di Liverpool, beliau membantu kelab melangkah ke pentas final Liga Juara-Juara sebanyak dua kali bersama barisan pemain yang mempunyai kemampuan sederhana berbanding barisan pemain Chelsea ketika ini.


Seandainya keputusan tidak memihak kepada Chelsea, mereka muncul juara bertahan pertama tersingkir awal pada peringkat kumpulan dan kali pertama juga mereka gagal untuk layak ke pusingan kedua sepanjang 10 kempen sebelum ini. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/05


Messi sokong Celtic

Posted: 04 Dec 2012 09:14 AM PST

BARCELONA: Celtic yang menyimpan hasrat untuk melangkah ke pusingan kedua Liga Juara-Juara menerima sokongan daripada Lionel Messi yang percaya penyokong kelab Scotland itu berhak melihat kemaraan pasukan kesayangan mereka.

Penyokong yang bakal memenuhi Celtic Park ketika bertemu Spartak Moscow awal pagi esok pasti menanti keputusan satu lagi perlawanan terakhir Kumpulan G membabitkan Barcelona dan Benfica dengan mengharapkan kelab gergasi Sepanyol itu menewaskan lawan mereka sekali gus mencerahkan harapan Celtic mara ke pusingan kedua.


Dengan Barcelona sudah pasti kekal di tangga teratas, saingan merebut tempat kedua begitu sengit dengan Celtic serta Benfica berkongsi tujuh mata.

Benfica memenangi rekod pertemuan dengan Celtic selepas menang 2-1 pada perlawanan terakhir ke atas juara Scotland itu yang perlu mencatat keputusan lebih baik daripada Benfica di Nou Camp untuk mencerahkan peluang mereka mara ke pusingan kedua buat kali pertama sejak musim 2007-08.


Celtic layak untuk berasa bangga kerana mendapat sokongan daripada penjaring gol paling prolifik di dunia itu yang hanya kurang satu gol untuk menyamai rekod 85 gol bersama kelab dalam tempoh setahun yang dilakar oleh Gerd Mueller. Messi dan Celtic berkongsi harapan sama untuk menyingkirkan Benfica bagi menyamai rekod legenda Jerman 1972 itu sekali gus meneruskan rekod cemerlang dalam karier bintang berusia 25 tahun itu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/05


Sneijder selangkah tinggalkan Serie A

Posted: 04 Dec 2012 09:14 AM PST

ROME: Pemain antarabangsa Belanda, Wesley Sneijder semakin hampir meninggalkan kelab Serie A, Inter Milan selepas perbincangan untuk menyambung kontraknya menemui jalan buntu.

"Dalam situasi ketika ini, saya pasti tidak mahu menandatangani kontrak baru," kata pemain yang membantu kelab itu memenangi Liga Juara-Juara 2010.


Jurulatih, Andrea Stramaccioni mengetepikannya ketika menang 1-0 ke atas Palermo Sabtu lalu, walaupun pada mulanya dia tersenarai tetapi diketepikan pada hari perlawanan.

"Saya tidak mahu bercakap mengenainya. Bagaimana mungkin saya akan menyambung kontrak jika tidak diberi peluang untuk bermain," katanya.


Stramaccioni bagaimanapun mempertahankan keputusannya itu dan berkata ia tidak didorong oleh presiden kelab, Massimo Moratti. "Ia tiada kaitan dengan presiden. Ia keputusan saya sendiri.


"Ada pemain yang lebih baik prestasinya berbanding Sneijder dan menjadi tanggungjawab saya untuk memilih pemain terbaik ketika ini," kata Stramaccioni. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/05


‘Aksi kami lebih baik’

Posted: 04 Dec 2012 09:11 AM PST

LIVERPOOL (England): Pemain pertahanan Liverpool, Daniel Agger menegaskan pasukan itu bermain lebih bagus berbanding 12 bulan lalu biarpun statistik tidak menyokong pandangannya.

Selepas 15 perlawanan musim ini di bawah kendalian Brendan Rodgers, pasukan itu menghuni tangga ke-11 liga dengan 19 mata, 17 mata ketinggalan di belakang pendahulu, Manchester United dan tujuh mata daripada kedudukan untuk kelayakan ke Liga Juara-Juara apabila hanya mencatat empat kemenangan dan tujuh seri.


Setahun lalu di bawah bimbingan Kenny Dalglish, pasukan itu menduduki tempat keenam, ketinggalan 12 mata kepada pendahulu dan tiga mata di belakang kedudukan keempat dengan tujuh kemenangan dan lima seri.

Wujud persamaan antara kedua-dua rejim berhubung kegagalan untuk menyempurnakan peluang mereka meskipun mendominasi perlawanan, namun Agger berpendapat mereka lebih baik berbanding sebelum ini.


"Pada dua perlawanan terakhir, kami bermain dengan baik," kata kapten pasukan Denmark itu.


"Saya berpendapat perlawanan menentang Tottenham (kekalahan 1-2 Rabu lalu) adalah satu daripada perlawanan terbaik yang kami pamerkan selepas sekian lama. Kami memberi tentangan sengit kepada mereka.

"Keyakinan adalah satu perkara penting di sini dan saya berpendapat kami mempunyainya. Kami mempunyai keyakinan dalam kawalan bola, berkeinginan menyerang dan kami tidak hanya turun untuk bermain dan saya tahu itulah perbezaannya.


"Saya berasakan kami mencipta lebih banyak peluang berbanding tahun lalu. Saya tidak melihat statistik tapi apa yang dapat dirasai di atas padang adalah dapat mencipta lebih banyak peluang.

"Ia sesuatu yang sukar untuk membandingkan dua musim berbeza tapi semuanya lebih baik sekarang." Statistik adalah penting untuk menilai cara Rodgers bekerja sejak mengambil alih daripada Dalglish Jun lalu, biarpun mungkin tidak menunjukkan peningkatan tetapi mereka berusaha untuk menjadi lebih kuat secara individu, kata Agger.


Sebelum ini pemain berusia 27 tahun itu dibelenggu kecederaan dan kini menikmati perlawanan dalam Liga Perdana Inggeris sepanjang tempoh tujuh tahun di Anfield, membuat 13 penampilan berturut-turut menentang Southampton pada hujung minggu lalu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/05


No comments:

Post a Comment