Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Rajagobal tetap tagih harapan

Posted: 09 Dec 2012 11:22 AM PST

KETUA jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal menganggap peluang anak buahnya untuk merebut tiket ke final Piala AFF 2012 masih terbuka meskipun mereka gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri pada separuh akhir pertama menentang Thailand, malam tadi.

Keputusan seri 1-1 dengan juara tiga kali Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil tampak menyukarkan laluan mereka pada pertemuan kedua di Bangkok, Khamis ini.


Ini kerana skuad Gajah Perang itu kini memiliki kelebihan jaringan gol di tempat lawan dan hanya memerlukan seri untuk menyekat hajat Harimau Malaya untuk mempertahankan kejuaraan.

"Saya bangga dengan aksi pemain-pemain malam ini (semalam), bagi saya saingan masih terbuka, kita tidak tahu apa akan berlaku nanti.


"Kita akan pergi ke Bangkok dan cuba mendapatkan keputusan baik," katanya pada sidang media.


Hajat skuad kebangsaan untuk mendapat keputusan baik pada aksi pertama tidak kesampaian apabila penyerang Thailand Teerasil Dangda memadam jaringan pendahuluan Norshahrul Idlan Talaha minit ke-48 di penghujung permainan.

Bagi Rajagobal yang membimbing skuad kebangsaan menjulang kejuaraan pada 2010 berkata, mereka sepatutnya menang dengan jaringan yang besar.


"Ini bukan permainan yang terbaik yang dipamerkan pemain-pemain, tapi secara keseluruhan kami sepatutnya boleh menang sekurang-kurangnya 3-1," katanya.

Sementara itu, bagi ketua jurulatih Thailand, Winfried Schafer, beliau memuji kesungguhan anak buahnya yang bangkit selepas ketinggalan dalam perlawanan yang cukup menarik di saksikan 80,000 penyokong.


"Kami bermain dengan baik cuma banyak kehilangan bola di bahagian tengah. Hantaran jauh Malaysia menyukarkan kami tapi selepas kami ketinggalan 0-1, kami memberi tekanan kepada mereka untuk mencari gol penyamaan.


Mengulas mengenai keputusan pengadil dari Iran, Torki Mohsen Ramezanali yang mengarahkannya meninggalkan bangku simpanan pemain di penghujung permainan beliau berkata:" Saya cuma menjerit memberi arahan kepada pemain, bukan membantah keputusan pengadil, bagi saya pengadil tidak penting, kenapa saya mahu bercakap mengenai pengadil ketika dalam perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/10


Filipina tergamam!

Posted: 09 Dec 2012 11:10 AM PST

MANILA: Penyokong peninju Filipina tergamam dan bangun daripada tempat duduk sewaktu menyaksikan idola mereka, Manny Pacquiao jatuh tersungkur di atas gelanggang ketika menentang peninju Mexico, Juan Manuel Marquez di Las Vegas.

Panggung wayang, hotel, taman awam malah pangkalan tentera Filipina menjadi senyap ketika satu-satunya peninju negara itu yang merangkul gelaran dunia dalam lapan kategori berbeza berdepan kekalahan kedua berturut-turut tahun ini.


"Saya sangat terkejut. Saya tidak percaya apabila Manny mendahului kutipan mata," kata Pedro Varela selepas menyaksikan pertarungan itu di panggung wayang di pusat membeli belah di Manila. "Ia satu pertarungan yang hebat, Manny memberikan yang terbaik. Dia sangat mengagumkan dan Marquez bertuah kerana dapat menumbuknya." Marquez, 39, tewas dua kali dan seri sekali sepanjang tiga pertemuan mereka sebelum ini menggunakan tumbukan tangan kanan dan kiri untuk menjatuhkan Pacquiao ketika pusingan keenam dalam pertarungan tanpa gelaran welterweight di MGM Grand Garden Arena, Las Vegas. Peninju tangan kidal itu tidak bergerak untuk beberapa minit sebelum bangun semula dan tersenyum kepada Marquez yang kemudiannya berjabat tangan dengan lawannya itu di tengah gelanggang.

Laman media sosial antara yang paling sibuk selepas perlawanan dengan peminat memuji kedua-dua peninju selain ada yang turut hilang rasa kepercayaan kepada Pacquiao. Pihak tentera berkata, Pacquiao dilantik oleh kongres sebagai leftenan kolonel dalam pasukan tentera simpanan masih lagi kekal sebagai 'ikon yang tabah, cemerlang dan berdedikasi tidak hanya kepada tentera tapi kepada berjuta-juta rakyat Filipina." "Pacquiao sudah melakukan yang terbaik tapi Marquez ternyata peninju yang lebih baik," kata jurucakap tentera, Kolonel Arnulfo Burgos.


Jalan di sekitar Manila menjadi sunyi ketika peninju itu turun beraksi. Polis berkata kadar jenayah menurun setiap kali Pacquiao memasuki gelanggang. -Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/10


Australia padam kekecewaan

Posted: 09 Dec 2012 11:10 AM PST

MELBOURNE: Australia bangkit memadamkan kekecewaan mereka pada temasya Sukan Olimpik London dengan menjuarai Trofi Juara-Juara buat kali kelima berturut-turut selepas menundukkan Belanda 2-1 pada waktu tambahan, semalam.

Gol awal jaringan Belanda berjaya diikat oleh Russell Ford empat minit sebelum babak pertama dengan memaksa perlawanan akhir itu di bawa ke waktu tambahan. Kieran Govers meraih kemenangan menerusi jaringan emas itu dari kawasan D selepas lima minit beraksi waktu tambahan untuk kejayaan tuan rumah.


Pemain terbaik dunia sebanyak lima kali, Jamie Dwyer berkata ia adalah kejayaan bermakna selepas kecewa apabila sekadar merangkul gangsa di Olimpik ketika diletakkan sebagai pasukan pilihan untuk meraih emas. "Selepas London kami begitu kecewa dan perasaan ragu-ragu mula menghantui fikiran.

"Jadi apabila kami dapat bangkit kembali dan bermain seperti apa yang kami pamerkan minggu ini, ia satu yang amat bagus," kata Dwyer.


Biarpun Australia mengawal babak awal, Belanda terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Sander Baart yang menyempurnakan pukulan sudut penalti minit ke-18.


Ford menyamakan kedudukan empat minit sebelum babak pertama tamat.

Australia kemudiannya berpeluang untuk mendahului namun Dwyer gagal untuk menyempurnakan pukulan sudut penalti sebelum babak pertama berehat.


Australia mendominasi separuh masa kedua namun gagal mencari ruang menewaskan penjaga gol Belanda, Jaap Stockmann.

Namun gol emas yang mungkin tidak akan dapat dilupakan oleh Kookaburras ketika bertemu Belanda di Sukan Olimpik Athens pada 2004 berulang apabila pukulan kilas Govers berjaya memastikan jaringan kemenangan buat Australia selepas menerima hantaran daripada Eddie Ockenden.


Terdahulu, Pakistan merangkul pingat pertama mereka dalam aksi Trofi Juara-Juara sejak 2004 apabila menewaskan India 3-2 dalam penentuan pingat gangsa. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/10


Senior juara Terbuka Australia

Posted: 09 Dec 2012 11:09 AM PST

SYDNEY: Peter Senior menggunakan segala pengalaman sepanjang 34 tahun bergelar pemain profesional untuk melawan tiupan angin kuat dan muncul juara Terbuka Australia dengan kelebihan satu pukulan, 23 tahun selepas kali pertama menjulang Piala Stonehaven.

Tiupan angin kencang hampir 80 kilometer sejam merentasi The Lakes Golf Club sepanjang hari, menggegarkan menara TV ketika di lubang ke-18 sehingga memaksa perlawanan ditunda tiga jam.


Senior, 53, menjadi pemain paling berusia muncul juara sepanjang 108 sejarah penganjuran kejohanan itu apabila melengkapkan pusingan terakhir par 72 dalam keadaan cuaca mendung untuk menamatkan saingan dengan empat di bawah par.

Manakala Brendan Jones menduduki tempat kedua selepas sekadar melakarkan 71 pukulan, sementara rakan senegara dari Australia, Cameron Percy ketiga, selepas merekodkan dua di bawah par 73. Pemain nombor empat dari Britain, Justin Rose ketinggalan satu pukulan dan sekadar menamatkan saingan dengan 76 untuk berkongsi kedudukan keempat. -Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/10


Ozil atur kebangkitan

Posted: 09 Dec 2012 11:06 AM PST

MADRID: Mesut Ozil menjaringkan dua gol menarik untuk memastikan Real Madrid mencipta kebangkitan menewaskan Real Valladolid 3-2, kelmarin, sekali gus meletakkan skuad kendalian Jose Mourinho hanya dua mata di belakang pasukan di tangga kedua, Atletico Madrid dalam kempen La Liga.

Dalam aksi di Stadium Jose Zorrilla itu, Madrid pada awalnya dilihat bakal menerima satu lagi kejutan selepas tumpas kepada Real Betis dua minggu lalu apabila mereka dua kali ketinggalan pada babak pertama menerusi jaringan penyerang Angola, Manucho.


Bagaimanapun, Karim Benzema dan Ozil menyamakan kedudukan untuk pelawat sebelum tamat babak pertama dan pemain tengah Jerman itu kemudian menjaringkan gol hasil sepakan percuma kaki kiri yang terkena palang gol sebelum masuk ke gawang bagi gol kemenangan pada minit ke-72.

"Inilah kehebatan Ozil yang kami semua tahu dan yang kami mahu lihat," kata penolong jurulatih Real, Aitor Karanka.


"Kesungguhan pasukan ini untuk bangkit dua kali dalam perlawanan semalam adalah sesuatu yang paling diingati," tambahnya.


Ia persembahan hebat ditunjukkan pemain perancang, Ozil yang sebelum ini kurang konsisten sejak menyertai Real dari Werder Bremen pada 2010.

Real kini menghuni tangga ketiga dan memburu kejuaraan liga buat kali kedua berturut-turut namun mereka sudah tewas tiga kali musim ini dengan mengumpul 32 mata selepas 15 perlawanan.


Malaga pula mendaki ke tangga keempat selepas Joaquin, Javier Saviola, Ignacio Camacho dan Roque Santa Cruz menyumbang gol kemenangan 4-0 di laman sendiri ke aras Granada dalam pertembungan Andalusia.

Malaga yang melepasi halangan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara dalam penampilan pertama kejohanan itu tewas tiga dan seri sekali dalam lima perlawanan La Liga namun kemenangan di Stadium Rosaleda itu membolehkan mereka mengumpul 25 mata.


Jurulatih baru Valencia, Ernesto Valverde meraikan kemenangan dalam perlawanan pertamanya apabila menyaksikan pasukannya menewaskan Osasuna 1-0. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/10


Totti ledak dua gol

Posted: 09 Dec 2012 11:06 AM PST

ROME: Francesco Totti meledak dua gol untuk membantu AS Roma merakam empat kemenangan berturut-turut dengan menumpaskan Fiorentina 4-2 dalam aksi Serie A semalam.

Leandro Castan dan pemain gantian Pablo Osvaldo turut mencatat nama selaku penjaring buat skuad Zdenek Zeman melonjak ke tangga kelima liga, berkongsi 26 mata bersama pasukan di tangga keenam, Fiorentina manakala Lazio keempat.


"Fiorentina adalah pasukan yang bagus dan cara permainan mereka membenarkan kami bermain bola sepak menarik," kata Zeman kepada pemberita.

"Kami selalu mahu bermain seperti ini, sebelum ini kami gagal melakukannya kerana tidak menggunakan peluang dengan baik dan banyak melakukan kesalahan. Kami sedang berusaha untuk mengejar pasukan teratas." Roma memperoleh gol pertama agak pelik pada minit ke-7 apabila kesilapan Panagiotis Tachtsidis melakukan tandukan menyebabkan penjaga gol Emiliano Viviano hanya dapat melihat bola melambung melepasinya yang pantas ditolak ke dalam gawang oleh Castan.


Fiorentina menyamakan kedudukan tujuh minit kemudian dengan satu lagi gol pelik.


Beberapa pemain dalam kedudukan ofsaid apabila pertahanan Roma lari ke atas ketika Borja Valero melepaskan sepakan percuma yang tepat menemui Gonzalo Rodriguez dan pemain pertahanan itu melintangkan bola untuk Facundo Roncaglia menjaringkan gol.

Kapten Totti kembali meletakkan pasukannya di depan apabila merembat bola umpanan Mattia Destro dalam kotak penalti.


Pelawat berjaya mengikat kedudukan seminit selepas babak kedua bermula apabila pemain gantian, Mounir El Hamdaoui menanduk masuk bola menewaskan penjaga gol Mauro Goicoechea.

Pablo Osvaldo mengesahkan tiga mata penuh untuk tuan rumah apabila menyempurnakan lorongan Totti seminit sebelum wesel penamat dibunyikan.


"Ia perlawanan yang cukup menarik untuk penyokong khususnya penyokong Roma," kata jurulatih Fiorentina, Vincenzo Montella. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/10


‘Tiada siapa mampu kekang Bayern’

Posted: 09 Dec 2012 11:05 AM PST

BERLIN: Bayern Munich dilihat seakan tiada yang mampu menghalang mereka untuk meraih gelaran Liga Jerman buat kali ke-22 apabila terus melebarkan jarak ke atas Borussia Dortmund dengan kelebihan 14 mata selepas juara bertahan dua kali itu tewas kepada Wolfsburg, Sabtu lalu.

Bayern meneruskan rentak kemenangan mereka apabila menundukkan seteru tempatan, Augsburg 2-0 sementara Dortmund tidak bernasib baik apabila apabila tewas 2-3 kepada Wolfsburg.


Bayer Leverkusen di tempat kedua dan mampu mengurangkan defisit ke atas Bayern kepada hanya lapan mata sekiranya mencatakan kemenangan ke atas Hanover 96 pada perlawanan seterusnya.

Tetapi Dortmund dilihat satu-satunya pasukan yang mampu memberi ancaman kepada Bayern.


Kini, ancaman itu semakin berkurangan selepas Bayern dilihat begitu meyakinkan.


"Satu-satunya yang boleh menghalang kami adalah diri kami sendiri sekiranya mula melakukan kesilapan," kata penyerang Bayern, Mario Gomez yang menjaringkan gol kedua dua minit selepas masuk sebagai pemain gantian. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/10


Taruhan Benitez menjadi

Posted: 09 Dec 2012 11:05 AM PST

LONDON: Segelintir penyokong Chelsea masih kecewa dengan pemilihan Rafael Benitez sebagai pengurus sementara namun sekiranya pelantikan mengejut oleh pemilik, Roman Abramovich itu untuk mengembalikan sentuhan Fernando Torres, rancangan itu dilihat menjadi.

Torres menjaringkan dua gol ketika menang 3-1 ke atas Sunderland dalam aksi Liga Perdana, kelmarin dan kembali bangkit untuk membuktikan kehebatan sebagai penyerang terbaik dunia selepas kelab London itu membayar �50 juta (RM244 juta) kepada Liverpool pada Januari 2011.


Bintang Sepanyol itu juga meledak dua gol ketika Chelsea membelasah kelab Denmark, Nordsjaelland 6-1 dalam saingan Liga Juara-Juara Rabu lalu.

"Saya sudah katakan sebelum ini jika pemain bermain baik dan mencipta peluang, dia akan menjaringkan gol," kata Benitez selepas meraikan kemenangan pertamanya dalam Liga Perdana sejak menggantikan Roberto Di Matteo yang dipecat bulan lalu.


"Kami percaya dengan kebolehan Torres," kata Benitez mengenai pemain yang pernah beraksi bersamanya ketika di Liverpool.


Selepas mengharungi dua bulan tanpa gol dalam kempen Liga Perdana, penyerang Sepanyol itu kembali mendapatkan keyakinan apabila turun dalam kesebelasan utama.

Dengan mendapat sokongan terbaik dari bahagian tengah, dia mula mencuri tumpuan dengan membuka tirai jaringan pada minit ke-11 dan menyempurnakan sepakan penalti sebelum tamat babak pertama. Ia adalah sepakan penalti pertama yang dilakukannya dalam saingan bola sepak Inggeris.


Torres sekali lagi terbabit dalam gerakan gol kedua sebaik babak kedua bermula apabila rembatan derasnya terkena palang dan melantun ke arah rakan sepasukan, Juan Mata untuk menjadikan kedudukan 3-0.

"Apa yang paling penting adalah dia mendapat keyakinan. Saya menilai pergerakannya dan memperbaiki beberapa kelemahan, " kata Benitez.


Benitez membawa Torres dari Atletico Madrid pada 2007 dan menjadi pemain kesayangan penyokong Liverpool dengan menghasilkan 65 gol dalam 102 penampilan.


Namun prestasinya kurang menjadi apabila berpindah ke Stamford Bridge.


Torres hanya digunakan sebagai penyerang kedua di belakang Didier Drogba. Kehadirannya dirasai sejak penyerang Ivory Coast itu meninggalkan Chelsea selepas menjuarai Liga Juara-Juara pada Mei lalu namun musim ini prestasi Torres masih terumbang-ambing. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/10


Monterrey tekad tebus kecewa

Posted: 09 Dec 2012 11:05 AM PST

TOYOTA: Juara Eropah, Chelsea akan menentang Monterrey pada separuh akhir Piala Kelab Dunia selepas pasukan Mexico itu menewaskan kelab Korea Selatan, Ulsan Hyundai 3-1 di Jepun, semalam.

Dua jaringan penyerang Cesar Delgado dan satu lagi daripada pemain tengah, Jesus Corona membawa juara CONCACAF itu ke peringkat seterusnya dalam perlawanan yang menyaksikan teknologi garisan gol menggunakan kamera, Hawk-Eye digunakan buat kali pertama.


Kejayaan di perlawanan suku akhir di Stadium Toyota menebus kekalahan Monterrey di pusingan sama tahun lalu apabila mereka tersingkir akibat penalti di tangan kelab Jepun, Kashiwa Reysol.

Monterrey menerima berita mengejutkan, kurang 24 jam sebelum sepak mula apabila penyerang utama mereka Humberto Suazo tidak cergas untuk perlawanan itu tetapi ketiadaan pemain Chile itu segera dilupakan sebaik pasukan Mexico itu bermula cemerlang.


Corona memulakan jaringan seawal minit kesembilan dengan lorongan mudah ke gawang berikutan hantaran sempurna daripada penyerang, Aldo de Nigris.


Monterrey terus memberi tekanan dan De Nigris terlepas peluang keemasan dua minit kemudian apabila tandukannya dari jarak dekat mudah ditangkap penjaga gol Ulsan, Kim Young-Kwang.

Gol kedua hadir pada minit ke-77. Susulan permainan cantik di antara penyerang Monterrey, Delgado kemudiannya menjaringkan gol tanpa menghadapi sebarang kesukaran, sekali gus menyebabkan juara Liga Juara-Juara AFC semakin jauh ketinggalan.


Pada minit ke-84, Degaldo sekali lagi beroleh peluang dan memperdayakan pertahanan Ulsan sebelum meledakkan ke penjuru gawang, dan gagal diselamatkan Kim.

Rembatan dari jarak jauh daripada pemain terbaik Asia, Lee Keun-Ho, yang berjaya memperdayakan penjaga gol Monterrey, hanya menyumbang gol saguhati. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/10


Wenger nilai semula penalti pertama

Posted: 09 Dec 2012 11:04 AM PST

LONDON: Pengendali Arsenal, Arsene Wenger bersedia untuk menilai semula penalti gol pembukaan pasukannya dalam kemenangan 2-0 ke atas West Bromwich Albion dan bercakap dengan Santi Cazorla sekiranya beliau merasakan pemain itu berlakon.

Cazorla terjatuh pada minit ke-26 di Stadium Emirates kelmarin tetapi ulang tayang menunjukkan dia langsung tidak disentuh Steven Reid. Mikel Arteta menyempurnakan penalti dan meledak gol kedua juga menerusi penalti selepas Alex Oxlade-Chamberlain dijatuhkan Chris Brunt.


Wenger mengakui Arsenal bernasib baik mendapat penalti pertama ketika permainan kelihatan seimbang sehingga saat pengadil, Mike Jones menghadiahkan sepakan penalti kepada pasukannya.

"Kami bernasib baik pada penalti pertama kerana dia mungkin memberikannya atau tidak," kata Wenger. "Saya minta maaf jika ia bukan penalti, tetapi saya sudah bercakap dengan Santi dan dia berkata, dia hilang keseimbangan selepas disentuh lawan. "Mungkin reaksinya melampau, saya tidak tahu. Ia keputusan yang sukar - ia mungkin tidak menyebelahi kami, tetapi kali ini berpihak kepada kami. Apabila seorang pemain disentuh dan jatuh, pengadil boleh memberikan penalti atau sebaliknya." West Brom berasakan mereka adalah mangsa kepada mutu pengadilan hambar apabila dinafikan penalti dalam babak pertama selepas bola terkena tangan pertahanan Arsenal, Per Mertesacker dalam kotak penalti. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/10


No comments:

Post a Comment