Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Sekeluarga berpelukan

Posted: 05 Dec 2012 11:43 AM PST

SUNGAI BESAR: "Saya dan keluarga dikejutkan dengan dua bunyi kuat seperti kayu patah berserta angin kencang sebelum sebahagian bumbung rumah diterbangkan.

"Kami sekeluarga hanya berdoa dan berpelukan sambil menangis kerana bimbang ribut memusnahkan rumah dan kami bakal hilang tempat tinggal," kata Mohd Nizam Abd Karim, 30, mengenai kejadian ribut di Kampung Parit 11 Timur, di sini, Isnin lalu.


Dalam kejadian jam 7.15 petang itu, 10 rumah di kampung Parit 11 Timur dan sebuah di Kampung Parit 10 mengalami kerosakan terutama pada bumbung.

Katanya, akibat kejadian itu, Mohd Nizam menanggung kerugian RM10,000 selepas perabot dan peralatan elektrik rumahnya rosak terkena hujan.


Kini, dia bersama isteri, Radziah Md Zakaria, 32, yang sarat mengandung bersama anak mereka, Aidi Yusof, 2, Aidil Mahadi, 5, Aidil Hafiz, 8, menumpang di rumah bapa saudara mereka, Asmawi Nordin, 58, yang terletak berhampiran.


"Walaupun kejadian yang berlaku merosakkan sebahagian besar bumbung rumah, perabot, peralatan elektrik, namun saya bersyukur kerana tidak cedera tambahan pula isteri sarat mengandung," katanya ketika ditemui.

Seorang lagi mangsa, Rosli Anuar, 39, berkata, akibat kejadian itu, dia kehilangan tempat tinggal dan mengalami kerugian besar berikutan struktur bumbung dan dinding rumahnya rosak teruk.


"Namun saya bersyukur kerana tiada sesiapa yang cedera dalam kejadian itu walaupun hampir keseluruhan bumbung rumah diterbangkan," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Wanita Keluarga dan Masyarakat, Muslimin Yahaya dalam lawatannya ke tempat kejadian berkata, dalam kejadian ribut itu, tujuh rumah di Kampung Parit 11 Timur dan sebuah rumah di Parit 10 mengalami kerosakan.


"Tiga rumah didapati mengalami kerosakan hampir keseluruhannya dan kerugian dianggarkan lebih RM10,000 setiap satu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/06


Peluang kaki pancing menang hadiah RM50,000

Posted: 05 Dec 2012 11:41 AM PST

KUALA SELANGOR: Hadiah bernilai lebih RM50,000 menanti peserta pertandingan memancing Karnival Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) di Pantai Remis, di sini, Ahad ini.

Pertandingan anjuran MDSB dengan kerjasama Wakjali Event Management itu menawarkan hadiah wang tunai untuk juara bernilai RM30,000 manakala kedua RM10,000 dan ketiga RM5,000.


Pemenang tempat keempat hingga ke-10 bakal menerima RM200 manakala ke-11 hingga ke-30 akan membawa pulang RM100 serta hadiah iringan.

Yuran penyertaan ialah RM80 satu joran dan kaunter pendaftaran dibuka di Pantai Remis bermula jam 2 petang Sabtu ini hingga hari pertandingan.


Menurut Yang Dipertua MDSB, Zailani Kadir, pertandingan memancing itu bermula dari jam 11.30 pagi hingga 4 petang.


"Pertandingan ini bergantung kepada keadaan air pasang surut. Justeru, acara memancing hanya boleh dimulakan pada jam 11.30 pagi berikutan air pasang maksimum pada Ahad ini ialah pada jam 2 petang.

"Penganjur turut menyediakan 10 hadiah cabutan bertuah dan dua cabutan bonanza TV LCD 32 inci,'' katanya. Pertanyaan mengenai acara ini boleh hubungi 013- 3838655, 016-2937741 dan 013-3588206 atau lawati laman web www.wakjali.com.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/06


‘Anak patung’ berulat dalam plastik

Posted: 05 Dec 2012 11:39 AM PST

KOTA KINABALU: Bau busuk yang disangka bangkai tikus, rupa-rupanya berpunca daripada mayat bayi perempuan sudah berulat yang dipercayai dibuang sejak dua hari lalu di kawasan longgokan sampah di Kampung Warisan, Inanam Laut, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang, mayat bayi dipercayai baru dilahirkan itu ditemui dibungkus dalam plastik hitam selain dihurung lalat dan sudah berulat.

Mayat bayi itu ditemui Syazlin Izzah Adila Susilotomo, 11, ketika dia bermain bersama beberapa rakan di halaman rumah sebelum terhidu bau busuk.

"Saya dan rakan terhidu bau busuk. Saya ingatkan bau bangkai, tapi selepas diperiksa, saya mendapati ia datang daripada satu bungkusan plastik bersama longgokan sampah di kawasan berhampiran," katanya ketika ditemui Harian Metro.


Menurutnya, sebaik plastik itu dibuka, dia terkejut mendapati bungkusan itu dipenuhi ulat selain mengandungi objek seperti patung bayi sebelum memanggil bapa saudara yang kebetulan berada di dalam rumah.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/06


Bekas pakar bedah ditetak 4 peragut

Posted: 05 Dec 2012 11:38 AM PST

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pakar bedah cedera di kepala selepas ditetak empat penjenayah yang meragut telefon bimbitnya, di Damansara Perdana, di sini, semalam.

Kejadian jam 3.40 petang itu berlaku ketika mangsa baru keluar dari kedai dan berjalan menuju ke keretanya di kawasan berdekatan.


Ketika kejadian mangsa sedang menghubungi rakannya sebelum didatangi dua lelaki menaiki sebuah motosikal.

Mangsa, Dr Frank Au Yang Abdullah, 47, berkata, dua lelaki yang berusia 20-an itu terus menyentap telefon bimbit yang dipegangnya.


Katanya, terkejut dengan kejadian itu, dia menolak kedua-dua lelaki itu hingga jatuh.


"Melihat dua lelaki itu terjatuh, dua rakan suspek muncul dengan parang panjang dan terus melibas ke kepala saya," katanya.

Beliau berkata, akibat kejadian itu, dia mengalami kerugian RM2,000 selepas telefon bimbitnya dibawa lari.


Selepas kejadian, orang ramai yang berada di lokasi membantu menghantarnya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan.

Mangsa membuat laporan di Balai Polis Pantai untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/06


‘Tahu-tahu dah dalam laut’

Posted: 05 Dec 2012 11:37 AM PST

LANGKAWI: "Saya langsung tak sedar bila bot kami dilanggar, tahu-tahu saya sudah berada di dalam laut," kata Abdul Ashrah Abdul Rahman, 23, seorang daripada empat lelaki yang tercampak ke laut apabila bot dinaiki mereka dipercayai dirempuh sebuah bot peronda Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM), awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 pagi berhampiran Pulau Dayang Bunting, dekat sini, tiga daripada mereka sempat menyelamatkan diri, namun seorang lagi mangsa, Aidi Azhar Othman, 29, yang memandu bot berkenaan masih gagal ditemui.

Abdul Ashrah yang cedera ringan di bahu berkata, ketika kejadian mereka yang turun ke laut untuk memancing sedang menuju ke jeti Kampung Sungai Menghulu, di sini.

"Sebelum rempuhan itu, saya bangun untuk melihat keadaan sekeliling, namun tidak melihat sebarang lampu atau mendengar deruan enjin bot, manakala dua rakan sedang nyenyak tidur.


"Saya langsung tidak mendengar deruan enjin bot. Sedar-sedar saya sudah berada dalam laut. Saya ingat mimpi, namun jeritan daripada beberapa rakan menyedarkan saya bot kami dilanggar," katanya ketika ditemui, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/06


50 nelayan bantu cari mangsa

Posted: 05 Dec 2012 11:36 AM PST

LANGKAWI: Lebih daripada 50 nelayan dan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) selepas menerima laporan berhubung kejadian perlanggaran bot sejak 7 pagi, semalam.

Operasi itu dilakukan selepas seorang daripada empat mangsa yang menaiki bot berkenaan gagal ditemui dan dikhuatiri lemas selepas tercampak ke dalam laut akibat perlanggaran terbabit.


Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Sungai Menghulu, Ibrahim Derani berkata, pihaknya mengambil inisiatif membantu pihak berkuasa supaya operasi yang dilaksanakan berjaya menemui mangsa hilang.

"Kami melaksanakan operasi ini sehingga berjaya menemui mangsa. Ini sebahagian usaha kami membantu pihak berkuasa selain keluarga mangsa," katanya.Sementara itu, jurucakap APMM enggan mengulas lanjut berhubung kejadian.


Operasi SAR dihentikan jam 7 malam semalam dan akan disambung jam 10 pagi ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/06


Rumah dipecah 4 kali, kereta hilang terbabit nahas

Posted: 05 Dec 2012 11:36 AM PST

KUCHING: Seorang ahli perniagaan ditimpa malang berganda apabila bukan saja rumahnya dipecah masuk empat kali dalam tempoh tiga bulan, malah kereta Nissan Sentra miliknya yang dilarikan penjenayah, turut terbabit dalam kemalangan semalam, dipercayai ketika suspek cuba melarikan diri daripada pihak berkuasa.

Mangsa dikenali sebagai Lau, 48, mengetahui keretanya yang hilang pada 20 November lalu itu, terbabit kemalangan berhampiran Jalan Foochow, di sini, jam 2.20 pagi semalam selepas dimaklumkan polis.


Difahamkan, kereta dipandu dua lelaki sebelum terbabas merempuh pokok di bahu jalan dan mereka melarikan diri bagi mengelak ditahan polis.

Polis turut menemui peralatan pecah rumah, duit syiling, beg tangan, dompet dan beberapa barangan lain dipercayai barang curi disimpan dalam kereta, selain mendapati menggunakan nombor pendaftaran serta cukai jalan palsu.


Menurut Lau, dia dimaklumkan polis penemuan kereta itu sebelum bergegas ke Balai Polis Simpang Tiga, bagi mendapatkan maklumat lanjut.


"Saya terkejut apabila dimaklumkan kereta dicuri di rumah saya di Batu Kawah, digunakan penjenayah untuk kegiatan pecah rumah.

"Pada 20 November lalu, anak perempuan saya menyedari pintu pagar rumah terbuka luas dan nampak seorang lelaki memandu kereta berkenaan," katanya yang hadir di Balai Polis Simpang Tiga, semalam.


"Saya syak penjenayah itu cuba melarikan Toyota Estima kerana pintunya terbuka, tetapi mereka melarikan Nissan Sentra kerana di dalamnya ada semua dokumen berkaitan kereta itu," katanya yang hadir di Balai Polis Simpang Tiga, semalam.

Lau berkata, kejadian itu kali ketiga rumahnya dipecah masuk. Menurutnya, kejadian pertama pada September apabila beg tangan, barang kemas milik isterinya dilarikan pencuri, kejadian kedua pada Oktober dan ketiga pada 26 November lalu.


"Dalam kejadian Oktober lalu saya kehilangan barangan elektrik dan telefon bimbit manakala pada 26 November lalu rumah saya dipecah masuk ketika saya dan keluarga bercuti di Kuala Lumpur," katanya.


"Jiran memaklumkan ada beberapa lelaki datang ke rumah saya sebanyak tiga kali dan memunggah barang dari rumah saya menggunakan Perodua Kancil.


"Jiran menyangkakan saya berpindah dan merakam gambar kereta berkenaan sebelum membuat laporan polis mengenai kejadian itu," katanya.


Lau berkata, dia sudah serik menjadi mangsa jenayah pecah rumah dan nekad berpindah ke rumah keluarga berhampiran rumahnya demi keselamatan.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner, Roslan Bek Ahmad, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/06


Tak sempat kahwinkan anak

Posted: 05 Dec 2012 11:33 AM PST

DUNGUN: "Ibu minta percepat tarikh perkahwinan dan saya tidak menyangka itu permintaan terakhirnya," kata Norsabaha Badiozaman, 23, anak sulung Suzlina Ahmad, 40, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 12.5, Jalan Dungun-Bukit Besi, di sini, semalam.

Menurutnya, ibu menggesanya mempercepatkan tarikh perkahwinan dengan tunangnya, Nor Salwani Mazlan, 23, yang sepatutnya berlangsung Mac tahun depan ketika mereka berbual di rumah di Kampung Balai Besar, di sini, Isnin lalu.


"Saya terkejut dengan gesaan itu kerana ketika majlis pertunangan bulan lalu, dia yang meminta tarikh perkahwinan saya ditetapkan pada tahun depan," katanya yang ditemui ketika menuntut jenazah ibunya di Bilik Forensik Hospital Dungun, di sini, semalam. Norsabaha berkata, ibunya disahkan menghidap barah buah pinggang sejak bulan lalu dan melakukan rawatan secara tradisional di Machang, Kelantan.

"Ketika kejadian, Allahyarham ditemani adik saya, Mohd Ridwan dan sepupu, Nurfatikah Samsuddin dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan itu di Machang," katanya.


Menurutnya, beberapa hari sebelum kejadian, dia menegur ibunya kerana banyak berbelanja membeli keperluan rumah serta pakaian adik-beradiknya.


Dia berkata, ibunya kerap mengikuti rombongan ke Rantau Panjang, Kelantan serta Kuala Lumpur dan ketika lawatan itu, membeli pakaian dan keperluan rumah dengan banyak.

"Ahad lalu, sekembalinya ibu dari Kuala Lumpur, saya menegurnya kerana banyak berbelanja membeli barangan berkenaan sedangkan pakaian yang dibeli sebelum ini, masih banyak belum digunakan.


"Apabila saya tegur, ibu jawab, 'tak usah bising-bising, ini untuk kamu semua. Ini untuk lapan anak emak'," katanya.

Norsabaha berkata, ibunya itu juga kelihatan banyak termenung dan mudah marah sehingga merisaukannya serta tujuh beradik lain.


"Kami reda dengan apa yang berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/06


Jenain minta maaf

Posted: 05 Dec 2012 11:32 AM PST

SHAH ALAM: "Saya minta maaf kepada keluarga Aminulrasyid (Amzah)," kata Koperal Jenain Subi selepas Mahkamah Tinggi di sini membebaskannya dari tuduhan menyebabkan kematian remaja 15 tahun itu, dalam satu kejadian tembakan di sini, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli membuat keputusan itu selepas menerima rayuan anggota polis itu, sekali gus mengenepikan sabitan dan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen di sini, tahun lalu.

Jenain, 49, yang hadir memakai jaket dan berkopiah pada mulanya kelihatan tenang selepas Abdul Rahman membacakan keputusan, tetapi dilihat menangis apabila meninggalkan kamar Mahkamah Tinggi.

Sambil menahan sebak, anggota polis itu yang digantung tugas akibat kes itu berkata, dia melahirkan perasaan gembira dengan keputusan itu apabila keadilan berpihak kepadanya.


"Alhamdulillah, syukur. Kuasa Allah, terbukti saya tidak bersalah," katanya yang turut ditemani keluarganya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/06


Ibu mangsa terkilan keputusan mahkamah

Posted: 05 Dec 2012 11:29 AM PST

SHAH ALAM: "Pada ulang tahun hari lahir yang ke-63, 1 Disember lalu, saya berdoa agar kematian anak saya mendapat keadilan yang sewajarnya dan tertuduh dikenakan hukuman yang setimpal dengan apa yang sudah dilakukan terhadap anak saya.

"Namun, saya terkilan apabila mengetahui anggota polis yang melepaskan tembakan kepada Aminulrasyid dibebaskan. Saya dan keluarga tidak akan berdiam diri dan akan memohon mahkamah untuk menyemak semula keputusan penghakiman," kata Norsiah Mohammad, 63.


Itu luahan ibu kepada Aminulrasyid Amzah, 15, yang ditembak mati di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini, antara jam 1.10 pagi dan 2 pagi pada 26 April 2010.

Menurut Norsiah, dia hanya mengetahui keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan Koperal Jenain Subi, 49, daripada tuduhan menyebabkan kematian anaknya itu daripada anak sulungnya, Norazura Amzah, 42, selepas membacanya melalui sebuah portal berita, semalam.


Katanya, dia sekeluarga hormat keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam itu, namun terkilan kematian anaknya tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya.


"Saya akan berbincang dengan keluarga terlebih dulu mengenai tindakan selanjutnya yang akan diambil demi menuntut keadilan terhadap kematian Aminulrasyid.

"Memang nyawa anak saya tidak dapat dikembalikan semula, tapi saya berharap kejadian sama tidak akan berlaku pada sesiapa saja dan menjadi pengajaran kepada pihak berkuasa agar tidak sewenang-wenangnya melepaskan tembakan terutamanya hingga meragut nyawa individu yang tidak bersalah," katanya, semalam.


Norsiah berkata, sejak kes kematian anaknya diketahui umum, dia dan keluarga menghadapi tekanan yang hebat kerana menerima pelbagai tohmahan daripada masyarakat luar yang menyalahkannya kerana tidak pandai menjaga anak. Menurutnya, dia juga ada terbaca di laman sosial sebelum ini yang menyalahkannya selain menganggap anaknya penjenayah sehingga ditembak mati polis.

"Hati ibu mana yang tak sedih apabila melihat anak yang dilahirkan mati dengan cara sebegitu. Sekiranya arwah masih hidup, dia kini sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bersama rakannya yang lain," katanya

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/06


No comments:

Post a Comment