Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


DJ radio perdaya jururawat Kate

Posted: 05 Dec 2012 10:32 AM PST

LONDON: Deejay sebuah stesen radio di Australia yang menipu jururawat yang merawat Duchess of Cambridge, Kate Middleton yang hamil dengan menyamar sebagai Ratu Elizabeth dan Putera Charles.

Mel Greig dan Michael Christian mencetuskan kemarahan kepada keluarga diraja selepas berjaya memperdaya jururawat yang merawat Kate agar mendedahkan maklumat lanjut mengenai rawatan diterima Kate. Mereka terkejut apabila disambungkan terus kepada jururawat yang merawat Kate selepas menghubungi Hospital Raja Edward VII. Jururawat itu menjaga Duchess of Cambridge selepas mengalami mabuk kehamilan yang kronik.


Jururawat itu memberikan maklumat terperinci mengenai keadaan Kate.

Hospital berkenaan semalam mengesahkan panggilan daripada Mel dan Christian yang muncul dalam stesen radio Australia, 2Day FM adalah benar. Pihak hospital berkata, mereka akan mengkaji semula prosedur panggilan telefon dan mengkritik insiden itu sebagai "panggilan palsu bodoh yang amat dikesali".


Jurucakap hospital berkata: Kakitangan Hospital Raja Edward VII, Sister Agnes mengesahkan bahawa stesen radio Australia membuat panggilan palsu kepada pihak hospital pada awal pagi kelmarin.


"Panggilan itu dipindahkan ke wad dan perbualan ringkas berlangsung dengan seorang daripada jururawat bertugas. Hospital ini benar-benar menyesali insiden itu," katanya.

Ketua Eksekutif hospital itu, John Lofthouse berkata: "Ini adalah panggilan palsu bodoh yang amat kami sesali.


"Kami sangat mengambil berat dengan privasi pesakit dan kami kini sedang mengkaji semula protokol panggilan telefon yang diterima," katanya.

Panggilan itu dibuat selepas Putera William beredar setelah menemani isterinya selama enam jam dengan berjaga malam.


Keadaan Kate dikatakan semakin bertambah baik tetapi akan terus menerima rawatan selama beberapa hari lagi. - TS

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/06


Aksi ular sawa Afrika Selatan telan anak seladang dirakam

Posted: 05 Dec 2012 10:30 AM PST

JOHANNESBURG: Aksi seekor ular sawa Afrika cuba menelan seekor haiwan liar dirakam pegawai taman haiwan semalam.

Kelihatannya mata ular itu lebih besar daripada perutnya ketika ia ditemui di kawasan semak di Afrika Selatan ketika cuba untuk menelan haiwan itu.


Foto penemuan mengerikan itu dirakam di taman haiwan Welgevonden, Afrika Selatan oleh pengurusnya, Rudi Hulshof.

Hulshof, 35, berkata: "Ini kali pertama saya menyaksikan sesuatu seperti itu dan saya sudah bekerja sebagai renjer taman ini selama 15 tahun di Afrika Selatan, selain berkunjung ke negara Afrika lain.


"Ini pemandangan yang amat jarang berlaku dan setahu saya yang pertama direkodkan, jauh sekali rakaman foto dan dokumentari memaparkan ular sawa Afrika Selatan menangkap mangsa sebesar anak seladang.


"Memang perkara biasa untuk ular sawa menangkap mamalia hidup, tetapi selalunya terdiri daripada spesies lebih kecil seperti arnab, kambing impala, antelop, tupai, burung dan tikus. "Namun, menangkap sesuatu sebesar ini tidak pernah terlintas di fikiran. Dapat dilihat bagaimana ular sawa itu membuka mulutnya sebesar-besarnya dan cuba untuk menelan mangsanya," katanya. "Saya lihat ular itu hanya diam di atas tanah. Apabila mendekatinya saya nampak ia sedang menelan anak seladang yang berusia dua bulan.

"Saya hampir tidak percaya dengan apa yang saya saksikan sebelum berlari ke jalan raya secepat mungkin. "Saya perlu mendapatkan kamera saya dan merakam foto itu serta membenarkan pengunjung turut merakamnya sebelum matahari terbenam dalam tempoh beberapa minit lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/06


274 korban Taufan Bopha

Posted: 05 Dec 2012 10:28 AM PST

NEW BATAAN: Jumlah mangsa yang mati akibat ribut taufan yang melanda selatan Filipina, meningkat lebih 274 orang setakat ini dan pegawai bimbang lebih banyak lagi mayat yang akan ditemui apabila anggota mencari dan menyelamat tiba di kawasan tanah runtuh, banjir dan terputus komunikasi sebelum ini.

Jurucakap wilayah, Fe Maestre berkata, sekurang-kurangnya 151 mangsa maut di kawasan paling teruk ditimpa bencana, di Lembah Compostela selepas Taufan Bopha melanda wilayah itu awal pagi kelmarin, termasuk 66 orang kampung dan anggota tentera yang mati dalam banjir kilat apabila tempat perlindungan kecemasan dan kem tentera di bandar New Bataan dihanyut air.

Kira-kira 80 orang selamat dan hanya mengalami kecederaan akibat banjir besar di New Bataan. Namun begitu sejumlah orang kampung masih hilang.

Kelmarin, bandar pertanian yang mempunyai 45,000 penduduk dibanjiri lumpur, manakala rumah musnah dan pokok kelapa serta pisang tumbang akibat angin kencang taufan Bopha.


Di luar pusat gimnasium bandar, beberapa mayat penuh lumpur diletak sebelah menyebelah, ditutup dengan kain dan daun pisang, dikelilingi oleh penduduk yang menutup hidung mereka kerana bau yang kuat. Seorang lelaki menyembur racun serangga untuk menghalau lalat.


"Sukar untuk mengatakan berapa ramai yang masih hilang. Kami masih terus mencari," kata Maestre.

Pegawai wilayah, Freddie Bendulo berkata, di Davao Oriental, wilayah persisiran pertama yang dilanda taufan itu dari Laut Pasifik, sekurang-kurangnya 115 orang hilang dan kebanyakan mereka dari tiga bandar yang rosak teruk akibat angin kencang dan sukar untuk melihat bangunan yang masih mempunyai bumbung.

Gabenor Davao Oriental, Corazon Malayanon berkata, mereka tidak tahu di mana hendak menempatkan orang ramai kerana kebanyakan pusat pemindahan hilang bumbung.

Agensi tindak balas bencana melaporkan 13 kematian akibat taufan di tempat lain.

Tidak seperti keadaan cuaca yang tidak menentu sebelum ini, matahari mula memancar, semalam dan penduduk mengambil peluang mengeringkan pakaian kotor, buku dan barang keperluan yang lain di tepi jalan dan melihat kemusnahan yang berlaku di kebun mereka.

Beribu-ribu pokok pisang di mana buah pisang muda yang masih mempunyai sarung plastik biru di ladang di Lembah Compostela, tumbang ditiup angin kencang.

Selepas Davao Oriental dan Lembah Valley, Taufan Bopha melanda bahagian selatan Mindanao dan bahagian tengah, menyebabkan dua wilayah putus bekalan elektrik, menyebabkan tanah runtuh dan memusnahkan tanaman.

Lebih 170,000 lari menyelamatkan diri dan mencari perlindungan di pusat pemindahan. - Manila Times

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/06


Polis gemuk Jakarta wajib bersenam 2 kali seminggu

Posted: 05 Dec 2012 10:27 AM PST

TANGERANG: Anggota polis di Jakarta yang berperut buncit diberi arahan untuk bersenam.

Untuk dua hari seminggu, mereka menukar baju seragam dengan pakaian bersenam dan mengenakan kasut sukan ketika beratur untuk melakukan aerobik, tekan tubi sebagai usaha mengurangkan berat badan.

Jurucakap Polis Jakarta, Kolonel Riwanto semalam berkata, mana-mana anggota yang mempunyai berat badan melebihi 100 kilogram, mesti mengikuti program mengurangkan berat badan kerana jumlah anggota polis gemuk semakin meningkat dan persepsi bahawa mereka tidak dapat menjaga keselamatan orang awam.

Katanya, tekanan kerja, cara hidup kurang aktif dan makanan ringan menyebabkan anggota polis di ibu negara ini semakin gemuk.


Kira-kira 400 anggota polis gemuk masuk program itu di mana pendaftaran dibuka minggu lalu. Mereka yang dianggap terlalu gemuk perlu menjalani senaman dua kali seminggu.


Rikwanto berkata, ada rancangan untuk meluaskan program ini di seluruh negara.

Pegawai polis tidak akan dihukum sekiranya tidak berjaya menurunkan berat badan tetapi mereka tidak dibenarkan ponteng sesi senaman itu. Mereka boleh melakukannya mengikut kadar kemampuan dan tidak perlu mengikut diet yang ketat.

Program serupa dimulakan bulan lalu oleh pasukan polis di Tangerang, bandar di luar Jakarta yang mempunyai 1,470 anggota.

Mereka mengupah jurulatih untuk membantu 132 anggota polis obes mengurangkan berat badan. Program itu turut melibatkan sekumpulan anggota kesihatan untuk membantu memantau masalah diet dan kesihatan.

Ketua Polis Tangerang, Kolonel Wahyu Widada yang turut hadir dalam sesi senaman semalam bersama beratus-ratus anggota polis lain berkata, anggota polis gemuk dan buncit tidak boleh diharap untuk menangkap penjenayah yang melarikan diri.

Katanya, program ini mensasarkan untuk menukar cara hidup yang tidak sihat.

Beberapa anggota polis berkata, mereka berjaya mengurangkan berat badan sebanyak dua kilogram selepas menyertai program itu sejak bulan lalu tetapi ada yang berkata mereka tidak nampak perubahannya.

"Saya malu dengan bentuk tubuh saya dan mereka terus memberi motivasi... Ia sukar tetapi saya perlu cuba," kata Sarjan Sugiar yang mempunyai berat badan 130 kilogram dan ketinggian 175 sentimeter.

Katanya, buat masa ini masih belum ada perubahan. - Jakarta Post

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/06


Wanita tertinggi dunia maut

Posted: 05 Dec 2012 10:27 AM PST

BEIJING: Seorang wanita China yang disahkan sebagai tertinggi di dunia meninggal dunia, kata seorang pegawai dari bandar kelahirannya semalam.

Yao Defen dari wilayah Anhui di timur China disenaraikan sebagai wanita tertinggi di dunia oleh Rekod Dunia Guinness pada 2010 dengan ketinggian 2.33 meter (7 kaki 8 inci), menurut laman web badan rekod dunia itu. "Yao Defen meninggal dunia pada pertengahan bulan lalu," kata jurucakap pentadbiran majlis perbandaran Shucha, tempat Yao tinggal kepada media. Pegawai yang enggan dikenali itu berkata, dia tidak pasti mengenai punca kematian wanita terbabit.


Yao direkodkan sebagai wanita yang ketiga tertinggi di dunia yang masih hidup sebelum ini, berusia 40 tahun ketika dia meninggal.

Ketinggiannya dilaporkan berpunca daripada tumor dalam kelenjar pituitarinya. Akhbar Anhui melaporkan bahawa dia meninggal pada 13 November lalu dengan ketinggian mencecah 2.36 meter sambil menambah ketinggiannya sudah pun melebihi dua meter ketika dia berusia 15 tahun. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/06


340 penyu, 65 ular dirampas kastam

Posted: 05 Dec 2012 10:26 AM PST

BANGKOK: Pegawai kastam merampas lebih 340 ekor penyu, 65 ekor ular, cicak gecko dan sumpah-sumpah dalam dua cubaan penyeludupan berasingan di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, semalam.

Penyu yang disimpan dalam 50 kotak itu dibawa dari wilayah Chon Buri ke lapangan terbang terbabit awal pagi semalam, kata Ketua Timbalan Jabatan Kastam, Yuthana Limkaroon. Pemandu yang membawa haiwan berkenaan memberitahu polis, dia tidak menyedari kotak itu mengandungi haiwan spesies terancam terbabit. Limkaroon berkata, syarikat eksport agensi antarabangsa, PYS memberitahu kastam bahawa 50 kotak itu mengandungi sayur-sayuran yang akan dihantar ke Hong Kong.


Ia adalah rampasan kedua terbesar penyu seludup dilakukan kastam dan pihak perhilitan. Pada April lalu, pihak berkuasa merampas 500 ekor penyu di lapangan terbang terbabit sebelum haiwan berkenaan sempat diseludup keluar negara. Dalam satu lagi kes penyeludupan haiwan liar, kastam merampas 65 cicak gecko, sumpah-sumpah dan ular yang disembunyikan dalam bagasi seorang penumpang warga Kuwait berusia 30 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/06


Taikun hotel, kasino diarah jalani ujian paterniti

Posted: 05 Dec 2012 10:26 AM PST

VERSAILLES (Perancis): Mahkamah Perancis semalam mengarahkan seorang taikun hotel dan kasino menjalani ujian peterniti untuk memastikan sama ada dia bapa kepada anak perempuan bekas Menteri Keadilan, Rachida Dati.

Rachida, 46, anak didik glamor bekas presiden Nicolas Sarkozy mengemukakan tuntutan agar Dominique Desseigne agar menjalani ujian paterniti dalam kes terbaru yang mewarnai kehidupan golongan politik elit negara itu.


Desseigne, 68, ketua kumpulan kasino, restoran dan hotel Lucien Barriere, mengesahkan dia pernah menjalin hubungan dengan Rachida, tetapi enggan mengambil ujian paterniti yang akan menentukan sama ada dia bapa kepada Zohra yang berusia tiga tahun itu.

Di bawah undang-undang Perancis, mahkamah tidak boleh memaksa Desseigne untuk menjalani ujian itu, tetapi boleh mentafsirkan keengganannya sebagai mengesahkan dia adalah bapa kanak-kanak terbabit dan bertanggungjawab untuk menyaranya dari segi kewangan. Peguamnya berkata, Desseigne masih enggan menjalani ujian itu selepas arahan mahkamah dan menimbangkan sama ada ingin melakukan atau sebaliknya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/06


Pilot lakukan pendaratan kecemasan selepas penumpang dipatuk ular

Posted: 05 Dec 2012 10:25 AM PST

KAHERAH: Penerbangan EgyptAir semalam melakukan pendaratan kecemasan selepas seekor ular mematuk seorang penumpangnya, lapor laman web berita, Ahram Online.

Dilaporkan bahawa ular itu disembunyikan dalam bagasi milik seorang lelaki warga Jordan. Kru kabin terkejut dengan jeritan mangsa yang tidak menyedari kehadiran ular itu dalam kabin pesawat.


Insiden itu dilaporkan kepada juruterbang yang kemudian meminta kebenaran untuk mendarat di Lapangan Terbang Hurghada, di perairan pantai Laut Merah. Sejurus selepas mendarat, mangsa dibawa keluar dari pesawat untuk rawatan, manakala pihak berkuasa tempatan merampas reptilia berkenaan. Dari situ, pesawat kemudian meneruskan penerbangan ke Kuwait.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/06


No comments:

Post a Comment