Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Hilang pening!

Posted: 05 Dec 2012 10:24 AM PST

SEGALA kebimbangan yang bersarang di hati penyerang Harimau Malaya, Mohd Safee Sali mengenai masa depannya kini terhapus selepas mengikat kontrak setahun secara pinjaman dengan Johor kelmarin.

Perpindahan mengejutnya ke Johor yang kini dikenali sebagai Darul Takzim FC itu sebagai langkah terbaik untuk menyelamatkan kariernya dalam tempoh terdekat memandangkan dalam situasi yang tidak menentu bola sepak Indonesia.


Kelabnya, Arema Indonesia membenarkan Safee dipinjamkan ke kelab luar untuk tempoh semusim berikutan kelab itu tidak mampu memberi jaminan sekiranya Fifa akan menggantung Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) pada 10 Disember ini berikutan kemelut dalaman yang melanda bola sepak negara itu.

Meskipun membuat keputusan dalam masa yang singkat, Safee yakin keputusannya itu membolehkannya memberi keutamaan kepada perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF menentang Thailand di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Ahad ini.


"Johor mahu urusan perpindahan ini diselesaikan dengan cepat kerana tarikh tutup pendaftaran pemain Liga Malaysia pada 6 Disember ini (hari ini).


"Saya rasa lebih tenang dan lega apabila perkara ini selesai dan ia tidak lagi mengganggu persiapan menghadapi Thailand," katanya.

Safee, 28, memulakan karier di Indonesia pada Februari 2011 bersama Pelita Jaya FC dan bergelar pemain jutawan selepas ditawarkan kontrak lanjutan oleh kelab itu selama dua tahun dengan nilai lebih RM2 juta.


Katanya, mengikut kontrak pinjamannya, dia boleh dipanggil bermain dengan Arema Indonesia semula jika diperlukan selepas enam bulan.

"Saya tidak pasti sejauh mana situasi PSSI, jadi ini adalah cara untuk saya menyelamatkan karier saya buat masa ini.


"Tapi jika PSSI tidak dikenakan tindakan, kelab saya boleh memanggil saya semula namun perlu mendapat persetujuan bersama dengan Johor," katanya.


Safee, pemain kelahiran Kajang, Selangor itu dilaporkan menerima gaji lebih tinggi dengan Johor berbanding RM91,215 sebulan yang diterima daripada kelab asalnya.


Penjaring terbanyak AFF 2010 itu berharap dapat kembali sembuh daripada kecederaan otot paha untuk beraksi menentang Thailand.


Selain Safee, pemain lain yang bakal beraksi bersama Johor termasuk ketua pasukan kebangsaan, Safiq Rahim serta pasangan kembar Mohamad Aidil Zafuan dan Mohamad Zaquan Adha Abdul Radzak dan seorang lagi penyerang negara Norshahrul Idlan Talaha.


Safee berkata dia akan menyertai latihan bersama pasukan Johor selepas berakhir Piala AFF.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/06


Real ganas

Posted: 05 Dec 2012 10:06 AM PST

MADRID: Real Madrid membelasah Ajax 4-1 di Bernabeu awal pagi semalam namun kelab Belanda itu masih mampu menamatkan saingan Kumpulan D Liga Juara-Juara di tangga ketiga dan berpeluang beraksi pada final Liga Europa di gelanggang sendiri, Amsterdam Arena.

Ajax mengatasi Manchester City yang menamatkan kempen di tangga tercorot kumpulan selepas tewas 0-1 di tangan Borussia Dortmund.


Jose Callejon meledak dua gol buat Real yang sudah memastikan tempat di tangga kedua dan Cristiano Ronaldo dan Kaka pula masing-masing menyumbang satu gol.

Derk Boerrigter menghasilkan gol pada minit ke-59 untuk menjadikan kedudukan 3-1 namun Ajax selepas itu gagal memberikan ancaman kepada juara Eropah sembilan kali itu.


"Kami menamatkan saingan di tangga ketiga dengan dibarisi pemain muda dan kami seharusnya berbangga," kata jurulatih Ajax, Frank de Boer.


"Kini kami berpeluang untuk mara ke final Liga Europa di stadium kami sendiri. Ia bukan mudah, ada beberapa pasukan yang bagus dalam kejohanan itu tapi ia kejohanan yang menawarkan hadiah yang menarik." De Boer berkata masih banyak yang perlu dipelajari pasukannya berikutan kekalahan di Bernabeu.

"Saya kecewa kami tidak berada di tahap terbaik," katanya. "Real Madrid pasukan yang hebat tapi kami mempunyai lapan pemain yang beraksi di bawah keupayaan sebenar. Bermain dengan cara seperti itu, kami tidak akan berjaya.


"Pemain ini perlu belajar untuk mempamer permainan terbaik dalam perlawanan seperti ini. Hanya dengan cara itu kami berharap boleh melakukan pasukannya kejutan." Jurulatih Real, Jose Mourinho merehatkan beberapa pemain utama antaranya, bintang antarabangsa Sepanyol, Iker Casillas, Sergio Ramos dan Xabi Alonso, namun pemain gantian memberikan persembahan yang tidak mengecewakan.

Malah Mourinho juga begitu yakin dengan menurunkan pemain berusia 17 tahun dari skuad remaja, Jose Rodriquez membuat penampilan pertama, menjadikannya pemain termuda kelab itu tampil dalam kempen Liga Juara-Juara.


"Kami perlu menghormati semua pasukan," kata Mourinho yang kini memberi fokus kepada saingan pusingan kedua. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/06


Gol Lavezzi julang PSG

Posted: 05 Dec 2012 10:05 AM PST

PARIS: Ezequiel Lavezzi mengambil kesempatan atas kesilapan penjaga gol Helton pada babak kedua sekali gus membantu Paris St Germain menang 2-1 ke atas Porto di laman sendiri untuk menjuarai Kumpulan A, Liga Juara-Juara.

Rembatan penyerang Argentina itu menyelit masuk ke gawang menerusi bawah badan Helton pada minit ke-61, membolehkan PSG memintas Porto di kedudukan pertama dengan 15 mata daripada enam perlawanan, dua mata di depan juara 2004 itu.


"Kami menghasilkan prestasi yang baik. Kami perlu meningkatkan kualiti bola sepak dan sikap pemain," kata jurulatih PSG, Carlo Ancelotti selepas pasukannya bangkit daripada kekalahan tiga daripada lima perlawanan Ligue 1.

"Pemain mempamerkan permainan yang boleh dibanggakan malam ini selepas dikritik kerana beraksi buruk. Kini kami boleh melupakan seketika Liga Juara-Juara dan fokus kepada Ligue 1." PSG dan Porto, kedua-duanya awal lagi sudah mara ke saingan 16 terbaik tetapi bertarung merebut status juara kumpulan.


Pasukan bimbingan Ancelotti mendahului pada minit ke-29 apabila Thiago Silva menyudahkan sepakan percuma Maxwell, namun Porto menyamakan kedudukan empat minit selepas itu, menerusi tandukan jarak jauh Jackson Martinez.


"Saya tidak berpuas hati dengan permainan malam ini," kata jurulatih Porto, Vitor Pereira.

"Kami bermain lebih agresif di gelanggang sendiri," katanya merujuk kepada kemenangan pasukannya ke atas PSG, Oktober lalu.


"Inilah kekurangan kami malam ini. Kami bangkit selepas ketinggalan 1-2 namun malangnya gagal mendapatkan gol penyamaan." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/06


Zenit tempah slot saingan Liga Europa

Posted: 05 Dec 2012 10:05 AM PST

MILAN: Zenit St Petersburg menempah tiket ke Liga Europa selepas menang 1-0 ke atas AC Milan di gelanggang lawan menerusi gol babak pertama kapten Danny pada perlawanan terakhir Kumpulan C, Liga Juara-Juara, awal pagi semalam.

Milan kendalian Massimiliano Allegri, yang sudah layak ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara dengan menduduki tangga kedua, melakukan lapan perubahan kepada pasukan yang menang 3-1 ke atas Catania dalam Serie A, Jumaat lalu.


Mereka masih mampu menguasai perlawanan itu namun selain rayuan mereka untuk mendapatkan sepakan penalti selepas empat minit apabila Giampaolo Pazzini dikasari Bruno Alves, Milan tidak banyak mencipta peluang hinggalah mereka memasukkan penyerang utama pada lewat perlawanan.

Zenit membuka tirai jaringan selepas 35 minit apabila Danny merampas bola berikutan satu terjahan lemah dan merembat masuk gol penentuan yang memastikan kelab Russia itu berakhir di depan Anderlecht, yang terpaksa menghuni tangga tercorot kumpulan itu selepas seri 2-2 dengan Malaga.


Zenit meraih tujuh mata, satu mata di belakang kelab Itali itu untuk memastikan tempat ke Liga Europa dan dua mata di depan Anderlecht. Malaga, pasukan yang membuat kemunculan sulung pada Liga Juara-Juara, menjuarai kumpulan itu dengan 12 mata.


"Saya kecewa kami tumpas, tapi pasukan ini bermain dengan baik. Kami melepaskan gol daripada peluang pertama yang kami berikan kepada mereka," kata Allegri. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/06


Schieber duri City

Posted: 05 Dec 2012 10:05 AM PST

DORTMUND: Penyerang simpanan Borussia Dortmund, Julian Schieber menyumbang gol tunggal buat kelabnya ketika mencatat kemenangan 1-0 ke atas Manchester City awal pagi semalam sekali gus menyaksikan wakil England itu menduduki tangga tercorot peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.

Schieber yang hanya beraksi pada perlawanan keduanya sejak berhijrah dari Nuremberg pada hari terakhir pintu perpindahan pemain, menyempurnakan hantaran silang Jakub Blaszczykowski pada minit ke-57.


Dia menggantikan tempat Robert Lewandowski ketika Dortmund yang melengkapkan kempen peringkat kumpulan dengan empat kemenangan serta dua seri, merehatkan beberapa pemain utamanya tetapi masih mampu menduduki tangga teratas Kumpulan D.

Tanpa mencatat sebarang kemenangan, City yang sekadar meraih tiga mata daripada enam perlawanan, sudah tersingkir daripada saingan dan berharap dapat menduduki tempat ketiga sekali gus layak ke saingan Liga Europa.


"Adakah ia cerita sama? Memang benar. Saya sendiri tidak tahu apa puncanya," kata penjaga gol Manchester City, Joe Hart. "Apapun, kami perlu menangani kelemahan ini.


"Setiap pemain mempunyai keinginan kuat untuk menang tapi apabila lawan menjaringkan gol, keyakinan itu terus hilang. Ia amat memalukan kerana kami pernah membuktikan mampu untuk bangkit semula meskipun ketinggalan.

"Sudah tentu kami berasa kecewa kerana kami tidak layak untuk beraksi pada saingan Liga Europa.


"Memang kami mahukan kemenangan dan jika ia berlaku, pasti kami akan ke saingan Liga Europa. Bagaimanapun kami berdepan isu lebih besar iaitu menentang pasukan yang lemah tapi tidak mampu menang," katanya.

Dortmund merehatkan trio Poland, Lewandowski, Blaszczykowski dan Lukasz Piszczek sementara Mario Goetze yang berdepan kecederaan ringan diketepikan bersama-sama Neven Subotic, Sebastian Kehl dan Sven Bender.


Juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu bermula dengan gandingan Carlos Tevez serta Edin Dzeko sementara Sergio Aguero memanaskan bangku pemain simpanan.


Gol tunggal perlawanan itu hadir selepas Blaszczykowski yang masuk sebagai pemain gantian, melakukan hantaran cantik kepada Schieber yang kemudiannya menyempurnakan percubaan dari jarak enam meter. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/06


Arsenal terlepas huni tangga teratas

Posted: 05 Dec 2012 10:04 AM PST

ATHENS: Arsenal terlepas peluang untuk menghuni tangga teratas Kumpulan B Liga Juara-Juara selepas tewas 1-2 di tangan Olympiakos, awal pagi semalam.

Jaringan pertama Tomas Rosicky selepas kemarau sembilan bulan meletakkan kelab utara London itu di depan pada minit ke-38, tetapi tuan rumah bangkit pada babak kedua menerusi gol sumbangan Giannis Maniatis dan pemain gantian, Kostas Mitroglou.


Schalke 04 menduduki tangga teratas dengan mengumpul 12 mata selepas seri 1-1 di Montpellier, di depan Arsenal (10 mata) yang sudah menempah tiket ke pusingan kedua.

Wakil Greece, Olympiakos yang layak beraksi di Liga Europa selepas menduduki tempat ketiga sebelum bermulanya perlawanan, mengumpul sembilan mata daripada enam perlawanan.


Arsenal merehatkan beberapa pemain utama dan memberi peluang kepada pemain berusia 20 tahun, Jernade Meade untuk tampil kali pertama di saingan Liga Juara-Juara.


Arsene Wenger membariskan pasukan berbeza ketika mengendalikan perlawanan ke-150 Liga Juara-Juara dengan pemain tengah, Rosicky serta penyerang, Marouane Chamakh berada dalam kesebelasan utama buat kali pertama musim ini.

"Kami bermula dengan baik pada babak pertama tapi saya rasa kami hilang tumpuan pada babak kedua kerana kebanyakan pemain yang kami turunkan tidak mempunyai pengalaman luas di tahap ini," kata Wenger yang turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pengadil perlawanan, Alberto Mallenco.


Pengadil dari Sepanyol itu menghadiahkan tendangan sudut kepada Olympiakos yang menyaksikan mereka memperoleh gol pertama selepas penjaga gol Arsenal, Wojciech Szczesny menolak bola keluar. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/06


Schalke juara Kumpulan B

Posted: 05 Dec 2012 10:04 AM PST

MONTPELLIER (Perancis): Schalke 04 kendalian Huub Stevens berakhir sebagai juara Kumpulan B, Liga Juara-Juara selepas seri 1-1 dengan kelab tercorot, Montpellier, awal pagi semalam.

Kelab Jerman itu, yang sudah memastikan tempat ke pusingan 16 terakhir sebelum sepak mula, membuka jaringan menerusi pertahanan, Benedikt Hoewedes 11 minit pada babak kedua namun Emanuel Herrera menyamakan kedudukan tiga minit kemudian.


Schalke menamatkan saingan dengan 12 mata daripada enam perlawanan, dua mata di depan pasukan tangga kedua Arsenal yang tumpas 1-2 di tangan Olympiakos.

"Saya fikir kami bermain dengan amat bagus," kata Stevens. "Kami memiliki lebih banyak peluang pada babak pertama dan pada babak kedua, ia satu perlawanan yang seimbang.


"Hakikatnya, Montpellier turut berpeluang memenangi perlawanan tapi (penjaga gol) Timo Hildebrand beberapa kali menyelamatkan kami," katanya.


Kelab Perancis, Montpellier mengumpul sekadar dua mata, tujuh mata di belakang Olympiakos yang layak ke Liga Europa. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/06


Sedia bida Balotelli

Posted: 05 Dec 2012 10:03 AM PST

LONDON: AC Milan menguatkan spekulasi mereka bersedia untuk melakukan bidaan bagi mendapatkan penyerang Manchester City, Mario Balotelli, bulan depan.

Masa depan bekas pemain Inter Milan itu tidak menentu di England selepas hanya tampil sekali dalam kesebelasan utama pada lapan perlawanan terakhir kelabnya dalam semua pertandingan termasuk ketika tewas 0-1 di tangan Borussia Dortmund awal pagi semalam.


Bos City, Roberto Mancini menjadi peminat Balotelli sejak sekian lama namun kini kepercayaannya terhadap pemain bernilai �24 juta (RM117.5 juta) itu semakin menipis selepas tercetus beberapa insiden negatif.

Milan bersedia untuk menawarkan pemain antarabangsa Itali itu pulang ke tanah airnya dengan mengemukakan bidaan apabila jendela perpindahan pemain dibuka beberapa minggu lagi.


Sebelum kekalahan Milan kepada Zenit St Petersburg, awal pagi semalam dalam saingan Liga Juara-Juara, jurulatih Milan, Massimiliano Allegri bercakap mengenai Balotelli: "Dia adalah pemain penting dengan kelebihan fizikal dan kualiti teknikal.


"Berdasarkan kualiti dimiliki, saya percaya dia sudah mensia-siakan banyak masanya dalam beberapa tahun ini." Allegri turut memberi gambaran bintang Milan, Stephan El Shaarawy dan Balotelli akan menjadi kombinasi mantap di jentera serangan kelab itu.

"Saya fikir mereka sudah melakukan sesuatu yang hebat dalam skuad kebangsaan (Itali)," kata Allegri.


"Namun saya mahu bercakap mengenai AC Milan dan pemain yang saya miliki. Kemudian Januari nanti, kita lihat apa yang akan berlaku." Presiden Milan, Silvio Berlusconi turut menegaskan kedatangan Balotelli bukan fantasi apabila memberikan reaksi ketika ditanya mengenai pemain berusia 22 tahun itu.

Berlusconi berkata apabila ditanya adakah Balotelli hanya satu mimpi: "Tidak, ia bukan mimpi. Saya tidak pernah bermimpi." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/06


Chelsea setuju beli Wallace

Posted: 05 Dec 2012 10:03 AM PST

LONDON: Chelsea kelmarin mengumumkan sudah bersetuju membeli pertahanan remaja Brazil yang beraksi untuk kelab Fluminense, Wallace.

Pemain berusia 18 tahun itu tidak akan ke Chelsea secara rasmi hingga jendela perpindahan bulan depan namun akan dipinjamkan kembali kepada kelab Brazil itu sehingga tamat musim.


Chelsea tidak mendedahkan bayaran untuk mendapatkan pemain itu namun media British melaporkan dia dianggarkan bernilai �5 juta (RM24.4 juta).

Juara Eropah itu dilaporkan mendapat 40 peratus kepentingan ke atas Wallace sebagai sebahagian perjanjian, sama seperti ketika membawa pemain kelahiran Brazil yang beraksi untuk Portugal, Deco meninggalkan Chelsea untuk bermain dengan Fluminense, dua tahun lalu.


Wallace, anggota skuad bawah 20 tahun Brazil menjadi pemain kelima dari negara itu dalam skuad utama Chelsea selain David Luiz, Ramires, Oscar dan Luis Piazon.


Dia membuat penampilan pertama dalam skuad senior ketika berusia 17 tahun dan 18 penampilan liga untuk Fluminense yang memenangi liga kejuaraan Brazil, Liga Negeri Rio dan Piala Guanabara.

Perpindahan Wallace memberikan khabar gembira buat Chelsea yang kini ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu Liga Perdana selepas mengharungi tujuh perlawanan tanpa kemenangan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/06


Perak terus sambar Karim

Posted: 05 Dec 2012 10:03 AM PST

TIADA rotan akar pun berguna! Perak tanpa banyak pilihan mengambil pemain dari Perancis, Karim Rouani di saat akhir sebagai pelengkap tenaga awang import untuk musim Liga M 2013.

Pemain kelahiran Maghribi yang tidak jadi menyertai PKNS FC itu tiba di Ipoh petang semalam sekali gus mengulangi peristiwa pengambilan di saat akhir penyerang Serbia, Lazar Popovic pada awal musim lalu.


Perak sebelum ini mengikat pemain Brazil, Rafael Souza Silva Novais yang pernah mewakili Bangkok Glass dalam Liga Thailand.

Jangkaan Perak berjaya menamatkan buruan terhadap pemain importnya dengan mengikat pemain Nigeria, Dickson Mwakaema tidak menjadi kenyataan apabila ejen pemain itu meletakkan harga yang terlalu tinggi untuk khidmat pemain kelab Vietnam itu.


"Ejen pemain itu cuba ambil kesempatan selepas sedar Perak kesuntukan masa, tapi bagi saya itu tidak bererti Perak perlu buang duit sewenang-wenangnya," kata jurulatih Mohd Azraai Khor Abdullah.


Azraai yang tetap tenang menghadapi situasi itu yakin Perak dan Karim akan memeterai ikatan dan pemain itu mampu memberi sumbangan berkesan kepada Seladang.

"Dia mempunyai ciri-ciri penyerang berwibawa dan saya percaya mampu mewujudkan gandingan mantap dengan pemain tempatan," katanya.


Karim, 31, ketika ditemui berkata dia pernah bermain dengan kelab Budapest Honved dalam Liga Hungary sebelum menyertai kelab Thailand, BEC-Tero Sasana.

"Saya hanya bersama BEC-Tero selama enam bulan tapi menghadapi masalah dengan pegawai kelab itu yang menyebabkan saya memendekkan kontrak," katanya.


Dia berkata mempunyai ramai kenalan dalam Liga M dan melalui merekalah dia berminat menyertai pasukan di negara ini.


"Saya berharap dapat bermain untuk Perak kerana saya percaya mampu memberi sumbangan bermakna," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/06


No comments:

Post a Comment