Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Mat Yo lapar jaringan

Posted: 06 Dec 2012 10:20 AM PST

TIGA perlawanan tanpa sebarang gol membuatkan penyerang Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha semakin bernafsu untuk merobek gawang Thailand pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Ahad ini.

Pemain Paling Bernilai kebangsaan 2012 itu yakin sudah berada di prestasi terbaik untuk menamatkan kemarau jaringan apatah lagi dia kemungkinan bakal menjadi sandaran terbaik menerajui jentera serangan berikutan kedudukan gandingannya, Mohd Safee Sali masih menjadi tanda tanya.


Sehingga semalam, Safee masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan hamstring dan Norshahrul tidak tertekan dengan situasi itu.

Biarpun Norshahrul, 26, mengharapkan Safee akan pulih dalam tempoh terdekat ini, namun dia bersedia untuk menggalas tugas utama mengikut percaturan Datuk K Rajagobal.


"Saya harap Safee boleh bermain menentang Thailand kerana kita memerlukan penyerang utama.


"Saya hanya mengikut perancangan jurulatih sama ada mahu meletakkan saya sebagai penyerang utama, tapi saya lebih selesa beraksi di belakang penyerang utama.

"Tapi saya yakin saya akan menjaringkan gol dalam perlawanan dengan Thailand kali ini," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan semalam.


Norshahrul yang bakal beraksi dengan Johor atau kini dikenali sebagai Darul Takzim FC menjaringkan dua gol untuk membantu Malaysia menjulang kejuaraan pada edisi 2010.

Dia yang mesra disapa dengan panggilan Mat Yo tidak tertekan selepas dua tahun gagal menjaringkan gol di peringkat antarabangsa kerana yakin dengan kemampuannya.


"Apabila pasukan bergantung kepada saya, keinginan saya untuk menjaringkan gol lebih tinggi. Ketika final Piala Malaysia, (Mohamed) Ghaddar tidak beraksi dan saya secara automatik menggalas tugas itu dan berjaya menjaringkan dua gol," katanya yang membantu Kelantan menewaskan ATM 3-2 di final Piala Malaysia, Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/06


Malang Messi

Posted: 06 Dec 2012 08:07 AM PST

BARCELONA (Sepanyol): Lionel Messi diusung keluar selepas mengalami kecederaan lutut ketika Barcelona seri 0-0 dengan Benfica di Nou Camp, awal pagi semalam.

Keputusan itu menyaksikan Celtic mengiringi kelab Catalan ke saingan kalah mati sekali gus menyingkir wakil Portugal pada perlawanan terakhir Kumpulan G, Liga Juara-Juara.


Kelab itu memaklumkan menerusi Twitter, bintang Argentina itu hanya lebam di lutut kiri dan perlu menjalani ujian lagi bagi menentukan tahap kecederaannya." Benfica hanya perlu menyamai keputusan Celtic menentang Spartak Moscow, namun mensia-siakan peluang untuk menewaskan barisan lemah Barca terutamanya di babak pertama.

Agak malang apabila Celtic pula menang 2-1 ke atas Spartak Moscow.


Messi dibawa masuk pada separuh masa kedua namun terbaring dengan memegang lututnya selepas dijatuhkan di hujung perlawanan.


Kelab Catalan itu mara ke pusingan 16 terakhir dengan hanya mengalami satu kekalahan di gelanggang lawan kepada Celtic, keputusan meyakinkan musim ini dengan rekod pencapaian terbaik dalam saingan liga tempatan dengan 13 kemenangan daripada 14 perlawanan.

Peminat membanjiri stadium dengan harapan untuk melihat Messi menyamai atau mengatasi rekod Gerd Mueller, 85 gol dalam kalendar setahun, namun berakhir penuh kehampaan apabila penyerang Argentina itu masih ketinggalan satu gol.


Barca memilih merehatkan ramai pemain utama dan memberi peluang kepada pemain muda yang dihasilkan di akademi La Masia.

Bagaimanapun, mereka tetap membariskan pertahanan mantap dengan Carles Puyol di bek tengah, Alex Song bermain di posisi tengah serta David Villa serangan.


Benfica perlu menewaskan gergasi Catalan itu namun berdepan kesukaran selepas kehilangan beberapa pemain penting seperti Pablo Aimar, Enzo Perez dan Eduardo Salvio. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/06


Dendam Bayern berbalas

Posted: 06 Dec 2012 08:07 AM PST

MUNICH: Barisan kedua Bayern Munich mengesahkan kedudukan teratas Kumpulan F selepas menang selesa 4-1 ke atas BATE Borisov walaupun kedua-dua pasukan beraksi dengan 10 pemain.

Bagi Bayern, kemenangan itu lebih kepada membalas dendam ke atas BATE yang menewaskan mereka 3-1 di Belarus, dengan BATE di tempat ketiga akan bertanding dalam saingan kalah mati Liga Europa.


Mario Gomez meletakkan Bayern di depan selepas 22 minit tapi tuan rumah beraksi dengan 10 pemain selepas pertahanan Jerome Boateng dibuang padang pada minit ke-51.

Bagaimanapun, Thomas Mueller berjaya menggandakan kedudukan m-54 dan kedudukan berubah lagi 3-0 m-66 hasil jaringan Xherdan Shaqiri.


BATE pula bernasib malang apabila Denis Polykov sengaja melayangkan badan dalam kotak penalti pada minit ke-69.


Ketika BATE belum dapat menyusun kemas pasukan, David Alaba menjadikan kedudukan 4-0 buat Bayern m-83 sebelum Yegor Filipenko menjaringkan gol sagu hati pelawat m-89.

Penjaga gol Bayern, Manuel Neuer berkata, perasaan dendam itu sememangnya bermain dalam kotak fikiran mereka selepas kekalahan mengejut di Belarus. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/06


Kemenangan tak bermakna

Posted: 06 Dec 2012 08:06 AM PST

LONDON: Chelsea muncul pasukan juara bertahan pertama dalam Liga Juara-Juara tersingkir pada peringkat kumpulan sekalipun menang besar 6-1 di gelanggang sendiri ke atas FC Nordsjaelland pada perlawanan terakhir Kumpulan E, awal pagi semalam.

Fernando Torres menjaringkan dua gol dengan David Luiz, Gary Cahill, Juan Mata dan Oscar masing-masing turut menemui sasaran, namun kemenangan 1-0 Juventus ke atas Shakhtar Donetsk di laman lawan dalam satu lagi perlawanan kumpulan itu membolehkan kelab Itali itu layak ke pusingan 16 terakhir mengetepikan Chelsea.


Chelsea menamatkan kempen peringkat kumpulan dengan 10 mata, sama mata dengan Shakhtar, namun terpaksa akur menduduki tangga ketiga di belakang juara Ukraine itu kerana rekod pertemuan sesama sendiri yang tidak bagus.

Keputusan itu menghadiahkan pengendali sementara, Rafael Benitez kemenangan pertamanya dalam empat perlawanan sejak memegang jawatan itu di Stamford Bridge namun harapan Chelsea untuk merangkul kejuaraan Eropah buat musim kedua berturut-turut kini hanya dalam Liga Europa.


"Satu lagi perlawanan di luar kawalan kami, jadi kami tidak boleh berbuat apa-apa mengenainya," kata Benitez.


"Saya sudah katakan sebelum ini kami hanya perlu melakukan tugas kami. Sebagai seorang pengurus, saya pasti gembira dengan persembahan pasukan saya.

"Sebanyak 32 percubaan ke arah gol, 18 tepat ke sasaran, enam gol, banyak peluang terbuka. Anda hanya perlu memikirkan sesuatu yang positif, walaupun kami kecewa kerana tidak mampu mara lebih jauh dalam Liga Juara-Juara.


"Orang bertanya mengenai Liga Europa. Setiap pertandingan penting buat kami. Kami akan cuba mencabar dan memenanginya jika mampu." Bintang pertahanan Chelsea, Ashley Cole melakukan penampilan ke-100 dalam Liga Juara-Juara menentang Nordsjaelland. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/06


Kucher dalang Juve layak

Posted: 06 Dec 2012 08:06 AM PST

DONETSK (Ukraine): Juventus layak ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara awal pagi semalam selepas gol sendiri jaringan Olexandr Kucher menghadiahkan kemenangan 1-0 kelab Itali itu sekali gus menyebabkan Shakhtar Donestk sekadar menduduki tangga kedua kumpulan.

Shakhtar sudah memastikan kemaraan ke peringkat kalah mati dua minggu lalu namun tampil pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan itu mengintai peluang untuk seri atau menang yang membolehkan mereka muncul juara kumpulan.


Namun ketika Juventus memerlukan sekurang-kurangnya satu mata untuk mara, juara Itali itu mempamerkan aksi lebih baik hingga memaksa Kucher melakukan kesilapan yang memberikan Juve gol kemenangan pada minit ke-56.

Kemenangan 1-0 itu membolehkan Juventus mengungguli kumpulan itu dengan 12 mata manakala Shakhtar layak di tangga kedua sekali gus menyingkirkan juara bertahan, Chelsea.


Juventus awalnya merayu diberikan sepakan penalti tetapi tidak diendahkan pengadil apabila bola dilihat terkena tangan Fernandinho berikutan sepakan percuma Andrea Pirlo dari sebelah kiri.


Keazaman Juve berbaloi juga akhirnya sekalipun mereka harus menganggapnya sebagai tuah.

Kucher menerima tekanan daripada Sebastian Giovinco apabila rembatan leret Stephan Lichsteiner melantun di depan gol dan ketika kedua-dua pemain terjatuh, bola itu tertampan ke kaki pemain pertahanan itu sebelum menerjah gawang. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/06


Penalti Commons julang Celtic ke 16 terakhir

Posted: 06 Dec 2012 08:04 AM PST

GLASGOW: Gol penalti lewat perlawanan Kris Commons membantu Celtic menang 2-1 ke atas Spartak Moscow yang beraksi dengan 10 pemain sekali gus menyaksikan kelab gergasi Glasgow itu layak ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara selepas Benfica hanya mampu seri 0-0 dengan Barcelona.

Gary Hooper menghukum kesilapan pertahanan Spartak untuk meletakkan Celtic di depan pada minit ke-21. Namun kelab Russia itu menyamakan kedudukan pada minit ke-39 apabila Ari melakukan sepakan lambung mengatasi penjaga gol Celtic, Fraser Forster menerusi sudut sukar.


Dengan berbaki 10 minit, Georgios Samaras mendapatkan sepakan penalti selepas dia ditolak Kirill Kombarov dalam kotak penalti dan Commons tenang merembat masuk.

Kedua-dua pasukan berakhir dengan 10 pemain apabila Kim Kallstrom dilayangkan kad merah pada minit ke-88 kerana terjahan keras ke atas Commons. Pemain Celtic itu terpaksa diusung keluar dengan pasukannya sudah memasukkan tiga pemain gantian.


Di Braga, gol babak kedua daripada penyerang Galatasaray, Burak Yilmaz dan pemain gantian, Aydin Yilmaz memadamkan gol pembukaan Braga sebelum menang 2-1 sekali gus membolehkan kelab juara Turki itu mara ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam tempoh sedekad. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/06


‘Peluang tumpu liga’

Posted: 06 Dec 2012 08:03 AM PST

LONDON: Tersingkir awal pada saingan Liga Juara-Juara bermakna Manchester City kini boleh menumpukan sepenuhnya mengejar pendahulu liga, Manchester United dengan cuba menghuru-harakan pertahanan goyah lawan mereka itu apabila kedua-dua pasukan bertemu, Ahad ini.

Perlawanan di Stadium Etihad itu hadir tidak sampai seminggu selepas juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga tercorot dalam Liga Juara-Juara dan gagal menempah tiket ke saingan Liga Europa.


"Kegagalan kami pada saingan Eropah mencerahkan peluang kami memenangi Liga Perdana Inggeris kerana kami tidak beraksi di Eropah," kata pengurus City, Roberto Mancini (gambar) selepas tewas kepada Borussia Dortmund.

Tanpa diganggu jadual perlawanan Eropah, skuad kendalian Mancini yang kekal pasukan tunggal belum pernah kalah, kini boleh fokus sepenuhnya kepada saingan domestik dengan menundukkan United serta menewaskan lawan mereka itu dalam perebutan kejuaraan liga sekali lagi.


Di sebalik tewas tiga perlawanan, United masih selesa tiga mata berbanding City dengan mengumpul 36 mata daripada 15 perlawanan dan dua kelab itu agak jauh meninggalkan Chelsea, Tottenham Hotspur dan West Bromwich Albion.


Kebimbangan pengurus United, Alex Ferguson ketika ini pada pertemuan pertama dengan jiran setempat mereka itu adalah kerapuhan benteng pertahanannya.

United sudah bolos sebanyak 32 kali dalam semua pertandingan, menjadikan rekod paling buruk dalam tempoh sedekad dan paling penting ia mungkin menyebabkan mereka gagal merebut kejuaraan menerusi perbezaan gol seperti dialami musim lalu.


Selepas dimalukan City 6-1 di Old Trafford musim lalu serta tewas tipis 0-1 di Etihad, United sedar betapa pentingnya mereka untuk beraksi pada tahap terbaik menjelang pertemuan dengan City.

Sebaik tamat perlawanan dengan Reading minggu lalu, Ferguson menyamakan aksi barisan pertahanannya ketika mencatat kemenangan 4-3 itu seperti siri program popular kanak-kanak di Scotland iaitu 'Cartoon Cavalcade'. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/06


Fergie tak bimbang

Posted: 06 Dec 2012 08:00 AM PST

MANCHESTER (England): Pengurus Manchester United, Alex Ferguson menegaskan beliau tidak bimbang mengenai pertemuan menentang Manchester City, Ahad ini walaupun baru saja mengalami kekalahan.

United kecundang kali kedua pada saingan Liga Juara-Juara selepas tunduk 0-1 kepada Cluj di tempat sendiri, awal pagi semalam.


Skuad kendalian Ferguson mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati selepas empat perlawanan dan beliau melakukan 10 pertukaran pemain berbanding barisan yang menewaskan Reading 4-3, minggu lalu.

Penyerang antarabangsa England, Wayne Rooney yang masih terus berusaha untuk cergas sepenuhnya selepas diketepikan pada awal musim kerana kecederaan, adalah satu-satunya pemain yang beraksi dalam dua perlawanan terakhir itu.


United yang mendahului Liga Perdana Inggeris, berpeluang untuk menjarakkan kedudukan kepada enam mata berbanding City di Stadium Etihad, Ahad ini.


Ferguson menegaskan ada tanda positif dalam pasukannya di sebalik menyaksikan anak buahnya tewas kali pertama di gelanggang sendiri pada saingan Liga Juara-Juara sejak tiga tahun lalu.

"Saya rasa kami sudah melakukan yang terbaik.


"Kami memberi peluang kepada pemain muda dan beberapa pemain lain yang mahu beraksi sebanyak mungkin." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/06


Mikel ikat kontrak baru

Posted: 06 Dec 2012 08:00 AM PST

LONDON: Pemain tengah Chelsea, John Obi Mikel menyambung kontrak baru selama lima tahun yang menyaksikan dia akan kekal di Stamford Bridge sehingga 2017, menurut kelab Liga Perdana Inggeris itu semalam.

Pemain antarabangsa Nigeria itu yang menyertai Chelsea pada 2006 ketika berusia 19 tahun, melakukan 261 penampilan dan meraih pelbagai kejayaan termasuk satu trofi Liga Juara-Juara, empat Piala FA, satu Liga Perdana Inggeris dan Piala Liga.


"Saya sudah memenangi segala-galanya bersama Chelsea dan sepanjang tempoh itu ia amat bermakna buat saya. Memenangi trofi bersama nama besar seperti Didier Drogba, John Terry dan Frank Lampard yang sudah lama bersama Chelsea," kata Mikel dalam satu kenyataan dalam laman web rasmi kelab itu.

"Memenangi Liga Juara-Juara musim lalu memberi kenangan cukup manis buat saya. Saya harap dalam tempoh lima tahun lagi akan terus menyumbang kepada kejayaan kelab dan memenangi lebih banyak trofi bersama pemain baru," katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/06


Mampu capai sasaran

Posted: 06 Dec 2012 08:00 AM PST

SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Hamidin Mohd Amin yakin skuad Gergasi Merah mampu mencapai sasaran awal untuk melepasi halangan peringkat kumpulan Piala AFC yang bakal membuka tirai Mac depan.

Jelasnya, keyakinan itu hadir buat Selangor apabila melihat peluang cerah buat skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim berikutan undian peringkat kumpulan semalam.


Menerusi undian, Selangor akan bersaing dalam Kumpulan H bersama Tampines Rovers ( Singapura), East Bengal (India) dan Saigon Xuan Thanh (Vietnam).

"Saya tengok (kedudukan) kumpulan ini seimbang. Selangor amat serius dalam kejohanan ini. Sasaran awal kami adalah untuk menduduki kelompok dua teratas peringkat kumpulan.


"Jika tengok pasukan Selangor pada musim ini, secara keseluruhan kami memiliki ramai pemain muda tapi kami juga memiliki bekas pemain kebangsaan," katanya.


Hamidin berkata, untuk memantapkan lagi pasukan Selangor, mereka kini berusaha untuk mendapatkan dua lagi pemain import.

"Kami akan mencari dua lagi pemain import bagi menguatkan bahagian tengah dan serangan," katanya.


Selain Selangor, satu lagi wakil negara beraksi dalam Piala AFC adalah juara tiga piala, Kelantan yang diundi dalam Kumpulan G bersama Ayeyawady United (Myanmar), Da Nang (Vietnam) dan Maziya (Maldives).

Perlawanan pertama Piala AFC 2013 ialah pada 5 dan 6 Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/06


No comments:

Post a Comment