Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Tiada peniaga bahu jalan

Posted: 06 Dec 2012 01:34 PM PST

KUALA LUMPUR: Tidak akan ada lagi peniaga mahupun penjaja yang beroperasi di bahu jalan atau sekitarnya, apabila pembangunan semula Pasar Raja Bot, di sini, yang lebih dikenali sebagai Pasar Chow Kit siap pada 2015.

Ia berikutan peruntukan tambahan diminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) baru-baru ini, bagi membolehkan 400 lagi lot niaga dibina, menjadikan jumlah keseluruhannya melebihi 2,000 tapak.


Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin berkata, DBKL kini berurusan dengan Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri, memohon peruntukan tambahan yang belum diputuskan lagi.

"DBKL masih memohon, belum dapat apa-apa kelulusan. Kami pun tak pasti berapa jumlahnya. Namun peruntukan tambahan ini kalau kita tak dapat pun, masih akan tetap teruskan pembangunan Pasar Chow Kit mengikut fasa yang dipersetujui sebelum ini.


"Tambahan adalah untuk menampung permintaan peniaga yang mahu 400 lot tambahan supaya peniaga yang kini bertaburan di tepi jalan pun masuk sekali (dipindahkan ke bangunan baru).


"Ini kerana mengikut perancangan asal, kementerian hanya sediakan untuk mereka yang berniaga dalam pasar sedia ada," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Seminar Misi Bandar dan Kehidupan Pintar anjuran kerajaan United Kingdom di sini, semalam. Hadir sama Menteri Negara (Pembangunan Antarabangsa) bagi Kerajaan Britain, Alan Duncan dan Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Simon Featherstone.

Pembangunan semula Pasar Raja Bot dimulakan pertengahan tahun ini dijalankan mengikut tiga fasa yang menelan belanja RM200 juta bertujuan mewujudkan kemudahan pasar moden yang lebih selesa kepada peniaga dan pengunjung.


Mengikut perancangan, pasar baru berkenaan dijangka dapat beroperasi sepenuhnya pada 2015, namun tempat letak kereta yang disediakan meliputi 410 lot dijadualkan siap pada 2017.

Nong Chik berkata, beliau yakin projek siap mengikut apa yang sudah dirancang, malah turut mendapat persetujuan peniaga berkenaan.


"Ketika ini, projek masih dalam proses pengambilalihan beberapa lot kedai untuk pembesaran dan dari segi umumnya berdasarkan kaji selidik dibuat dengan pekedai dan peniaga pasar, majoritinya bersetuju dengan reka bentuk pembangunan semula.


"Kami pun sudah adakan dua pertemuan dan sudah ada kata putus mengenai reka bentuk. Sekarang hanya nak buka tender untuk lantik kontraktor sebelum boleh teruskan dengan kerja pembinaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/07


‘Kami tak kisah niaga 5 hari’

Posted: 06 Dec 2012 01:28 PM PST

KUALA LUMPUR: "Majoriti peniaga bazar malam di sini tiada masalah untuk berniaga lima hari seminggu demi menghormati permintaan penduduk," kata peniaga mainan di Uptown Danau Kota, Setapak, Zaidah Lot, 38.

Menurutnya, kebanyakan peniaga di bazar larut malam itu akur dengan arahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang hanya membenarkan mereka beroperasi lima hari seminggu kecuali pada Isnin dan Selasa.


"Namun, sikap penting diri 20 hingga 30 peniaga lagi yang masih mahu berniaga pada Isnin dan Selasa menjejaskan imej peniaga lain.

"Jangan disebabkan sikap tamak mereka nanti menyebabkan semua peniaga di sini menerima akibatnya apabila uptown ini terpaksa ditutup dan dipindahkan," katanya di sini, semalam.


Seorang lagi peniaga aksesori beg, Siti Zaliawati Ghazali, 34, berkata, peniaga di situ tidak memerlukan campur tangan pihak luar yang cuba berlagak hero kononnya membela nasib segelintir peniaga lain.


"Jangan jadi anasir jahat yang cuba memecahbelahkan peniaga yang sudah lebih enam tahun mencari rezeki bersama di sini," katanya.

Penduduk yang juga peniaga, Mohd Abtar Abdul Halim, 53, berkata, peniaga juga perlu menghormati permintaan penduduk sekitar supaya mengurangkan bilangan hari operasi bagi mengelakkan jalan raya mengalami kesesakan teruk.


Sementara itu, Penganjur Uptown Danau Kota, Ahmad Selamat berkata, dia kesal dengan pembabitan Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) yang hanya memburukkan keadaan.

"Ini hanya masalah kecil dan boleh diatasi sekiranya semua peniaga patuh arahan pihak berkuasa demi kelangsungan uptown ini yang sudah hampir tujuh tahun beroperasi di sini.


"Pembabitan Ikhlas hanya memburukkan lagi keadaan dan akan memecahbelahkan perpaduan antara peniaga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/07


Tidak raih simpati

Posted: 06 Dec 2012 01:24 PM PST

GAZA: Kesempitan hidup dan terdesak mengisi perut menyebabkan ramai kanak-kanak Gaza terpaksa mencari rezeki dengan bekerja mengutip sisa batu di tapak runtuhan, mengumpul barangan kitar semula serta menjual rokok di persimpangan jalan di bandar ini.

Mereka ini yang kebanyakannya anak-anak yatim bertungkus-lumus saban hari untuk mendapatkan upah $2 Sheqa (mata wang Israel) bersamaan RM3 sehari.


Situasi menyedihkan itu dirakam wartawan ketika melihat sekumpulan empat kanak-kanak memindahkan ketulan batu dari tapak runtuhan sebuah kilang memproses makanan di bandar ini.

Seorang daripada kanak-kanak itu, Huzaima Gus, 11, berkata, dia berkerja membersihkan tapak runtuhan kilang itu bersama tiga rakan.


Menurutnya, kilang makanan itu runtuh dibedil roket tentera Israel baru-baru ini hingga hancur menyebabkan bongkahan batu berselerakan dan menutupi jalan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/07


Macam Hiroshima

Posted: 06 Dec 2012 01:24 PM PST

GAZA: Tidak salah jika dikatakan, Perdana Menteri Israel, Benyamin Netanyahu mahu menjadikan nasib Semenanjung Gaza sama seperti Hiroshima di Jepun.

Sepanjang serangan lapan hari bermula 14 November lalu, ratusan tan bahan letupan dan roket dijatuhkan ke bumi Gaza oleh jet pejuang tentera Israel.


Kemusnahan yang berlaku ditaksirkan melebihi AS$1 bilion (RM3.1 bilion) membabitkan kediaman, kemudahan awam termasuk bangunan serta pejabat kerajaan di Gaza yang menjadi sasaran utama Yahudi.

Daripada 1,399 mangsa yang disahkan parah akibat serangan itu, 719 adalah kanak-kanak dan wanita.


Seorang petugas media warga Gaza yang ditemui wartawan, Ashraf Qud berkata, serangan Israel kali ini amat sistematik dan bukan membabi buta.


Menurutnya, tentera Israel seolah-olah sudah mengenal pasti sasaran dan mahu memastikan Tebing Gaza menjadi 'padang jarak padang tekukur' seperti nasib bandar Hiroshima yang dimusnahkan dengan bom atom.

Ini terbukti apabila Gilad Sharon iaitu anak bekas Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon dalam kenyataannya di dalam akhbar Jerusalem Post pada 20 November lalu meminta kerajaan Tel Aviv supaya memusnahkan Gaza sama seperti Amerika Syarikat menghancurkan kota Hiroshima pada 1945.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/07


‘Kecewa operasi lambat cari anak jatuh laut’

Posted: 06 Dec 2012 01:21 PM PST

LANGKAWI: "Saya reda dengan takdir yang menimpa anak saya. Jika ini ketentuan-Nya, kami terima dengan hati terbuka. Namun, saya rasa kecewa dengan anggota jabatan berkenaan kerana lambat bertindak dan tidak melaksanakan operasi mencari arwah sejurus kejadian itu."

Begitu kata Othman Abdullah, 62, bapa kepada Allahyarham Aidi Azhar, 29, yang mayatnya ditemui terapung oleh sekumpulan nelayan kira-kira jam 3.40 petang semalam ketika melakukan operasi mencari dan menyelamat sejak kelmarin.


Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 pagi kelmarin, bot dinaiki Aidi Azhar bersama tiga lagi dilanggar sebuah bot peronda Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM), mengakibatkan seorang cedera parah, manakala dua lagi cedera ringan.

Gerakan mencari yang dilaksanakan sejurus selepas kejadian oleh penduduk kampung dan Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), berjaya menemui mayat mangsa selepas operasi itu dilaksanakan lebih 30 jam sejak tragedi itu.


Othman berkata, pihak Kastam Diraja Malaysia (KDRM) ada berjumpa dengannya dan meluahkan rasa kecewa dengan apa yang terjadi, namun dia tetap berasa terkilan berikutan tindakan anggota jabatan itu tidak mengambil tindakan cepat.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/07


Jual motosikal curi di Internet

Posted: 06 Dec 2012 01:20 PM PST

KLANG: Kegiatan sindiket mencuri dan menjual motosikal yang dikenali sebagai Geng Honda lumpuh apabila polis menahan tiga lelaki dipercayai ahli sindiket berkenaan, Selasa lalu.

Semua lelaki berusia 21 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan dalam tiga serbuan berasingan di daerah ini.


Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, dalam serbuan pertama pada jam 9.15 malam, sepasukan anggota peronda pencegahan jenayah yang melakukan rondaan ternampak seorang lelaki mencurigakan di sebuah kedai serbaneka di Jalan Kampung Jawa, di sini.

Katanya, apabila didekati, lelaki yang bekerja sebagai mekanik sambilan itu melarikan diri sebelum berlaku pergelutan.


"Suspek dapat ditahan dan hasil pemeriksaan polis menemui dua batang kunci 'allen' yang ditajamkan di dalam poket seluarnya. Polis turut merampas motosika Honda EX5 digunakan suspek.


"Suspek mengaku kunci 'allen' miliknya digunakan untuk mencuri sebuah motosikal di kawasan Klang, namun motosikal berkenaan sudah diserahkan kepada seorang lagi anggota sindiket untuk dileraikan," katanya pada sidang media di IPD Klang Selatan, di sini, semalam.

Mohamad berkata, sejurus soal siasat, polis melakukan serbuan kedua di sebuah rumah di Lot 6278 Jalan Kota Raja, di sini, pada jam 10.15 malam dan menahan seorang lelaki serta menemui dua enjin motosikal di bahagian belakang rumah berkenaan.


"Hasil maklumat suspek kedua, polis menyerbu sebuah lagi rumah di Jalan Sungai Jati, di sini, jam 1.15 pagi dan menahan seorang lagi lelaki. "Bersama suspek, polis merampas lima motosikal iaitu Yamaha 135 LC, Honda EX5 dan Kawasaki, empat enjin serta dua rangka motosikal selain pelbagai komponen motosikal dileraikan," katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut terhadap suspek, polis menjumpai tiga set peralatan yang digunakan untuk menukar nombor enjin dan chasis motosikal yang dicuri.


"Kumpulan ini dipercayai mencuri lebih 20 motosikal sebelum menjual terus kepada pembeli atau diiklankan dalam Internet.


"Setiap satu enjin motosikal pula dijual pada harga RM200 hingga RM300 bergantung kepada jenis dan kuasa kuda enjin motosikal berkenaan," katanya.


Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati suspek pertama sebelum ini pernah ditahan mengikut Ordinan Darurat (EO) kerana mencuri motosikal dan hasil ujian air kencing mendapati dia positif Methapethamine.


Katanya, dengan tertangkapnya tiga suspek, pihaknya menyelesaikan 10 kes curi motosikal yang pernah dilaporkan sepanjang tahun ini di Klang.


Semua suspek ditahan direman seminggu sehingga 11 Disember dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan (KK) kerana curi motosikal.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/07


Sindiket curi gegelung besi punah

Posted: 06 Dec 2012 01:20 PM PST

SHAH ALAM: Polis Selangor menumpaskan sindiket mencuri sembilan gegelung besi seberat 191,217 tan metrik yang dianggarkan bernilai RM554,500 dengan tertangkapnya tujuh lelaki di Petaling Jaya dan Klang, 22 November hingga 30 November lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, penahanan semua suspek berusia 22 hingga 38 tahun itu rentetan kejadian samun di sebuah kilang besi di kawasan perindustrian Bukit Raja, Klang, 20 November lalu.


Beliau berkata, dalam kejadian jam 11 malam itu, tiga daripada suspek bersenjatakan parang menyerbu masuk kilang berkenaan sebelum mengikat dua pengawal keselamatan dan mengurung mereka dalam pos pengawal.

Katanya, berdasarkan laporan pengawal berusia 30-an itu, selepas dia dan rakannya diikat, suspek membawa masuk treler ke dalam kawasan kilang bagi mengangkat gegelung besi masuk ke dalam treler.


Menurutnya, polis tidak menolak kemungkinan suspek menggunakan lebih daripada sebuah treler untuk mengangkut gegelung besi berkenaan berikutan saiznya yang besar dan berat.


"Polis tidak menolak kemungkinan suspek mengambil masa lima hingga enam jam dan menggunakan kren milik kilang berkenaan untuk mengangkut semua gegelung besi ke dalam treler.

"Kejadian itu dimaklumkan kepada polis pada jam 6 pagi oleh seorang daripada pengawal yang bertugas selepas mereka yang cedera di tangan dan badan membuat laporan di balai polis berhampiran," katanya pada sidang media, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, semalam.


Mohd Adnan berkata, berdasarkan maklumat dan risikan, polis menahan empat lelaki di sebuah bengkel di Petaling Jaya pada jam 1.40 pagi, 22 November lalu dan menemui semula sembilan gegelung besi yang belum sempat dileraikan di dalam premis berkenaan.

Katanya, siasatan ke atas suspek membawa kepada penahanan seorang lelaki warga Indonesia yang juga pekerja di kilang tempat gegelung besi berkenaan di kawasan perindustrian Bukit Raja pada jam 5 petang, hari sama.


"Pada 30 November lalu, polis menahan dua lelaki di hadapan Maybank Bandar Baru Klang kerana dipercayai turut terbabit dalam kes samun berkenaan.


"Dengan tertangkapnya semua suspek, polis yakin kes samun berkenaan dapat diselesaikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/07


14 pendatang Indonesia, Sri Lanka ditahan dalam bot pom-pom

Posted: 06 Dec 2012 01:20 PM PST

PELABUHAN KLANG: Pasukan Polis Marin Pelabuhan Klang menahan sebuah bot dinaiki 14 pendatang asing tanpa izin warga Indonesia dan Sri Lanka dalam Op Pensura yang dijalankan di Kuala Sungai Tanjung Karang, di sini, awal pagi semalam.

Tangkapan pada jam 1 pagi itu dilakukan selepas sepasukan bot peronda pencegahan jenayah polis marin yang sedang melakukan rondaan ternampak sebuah bot penuh dengan muatan dalam keadaan mencurigakan di perairan berkenaan.


Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Gerakan Marin Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Norzaid Muhammad Said berkata, bertindak atas maklumat itu, pasukan polis marin menahan bot pom-pom yang tidak mempunyai nombor pendaftaran itu.

Katanya, pemeriksaan dilakukan menemui 14 orang pendatang berusia setahun hingga 40 tahun yang dalam perjalanan ke Tanjung Balai, Indonesia.


"Pemeriksaan mendapati bot itu membawa lima lelaki dan seorang wanita warga Indonesia serta lima lelaki, dua wanita bersama seorang kanak-kanak perempuan warga Sri Lanka," katanya.


Norzaid berkata, turut ditahan tekong bot serta seorang awak-awak warga Indonesia berusia 33 dan 39 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/07


Cedera tepis parang

Posted: 06 Dec 2012 01:19 PM PST

KUCHING: Seorang wanita yang cuba mempertahankan beg tangannya daripada dilarikan, cedera di tapak tangan selepas dilibas dengan parang oleh penjenayah dalam kejadian samun di depan sebuah rumah di Lorong Kenyalang, di sini, semalam.

Sebelum kejadian kira-kira jam 12.05 tengah malam itu, mangsa, Lim Sye Sye, 20, baru tiba di rumah sebelum diserang seorang lelaki yang tiba-tiba muncul dari belukar berdekatan.


Lim berkata, ketika cuba menutup pintu pagar automatik rumah, penyerang meluru ke arahnya menyebabkan berlaku pergelutan sebelum cuba mempertahankan beg tangan yang ditarik lelaki terbabit.

"Tiba-tiba lelaki itu menghayun parang ke arah kepala dan saya sempat menepisnya menyebabkan tapak tangan saya luka. Tindakan itu menyebabkan lelaki itu berjaya merampas beg tangan dan terus melarikan diri," katanya.


Menurut Lim, ahli keluarganya yang terdengar kekecohan di luar bergegas keluar rumah, namun penyerang terbabit sudah melarikan diri dan pada sama, dia menahan sakit akibat kecederaan di tangan yang berlumuran darah.


Kejadian itu menyebabkan Lim kehilangan wang tunai kira-kira RM10,000, kunci kereta serta beberapa dokumen peribadi.

Dia kemudian dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan, manakala ibu dan bapanya membuat laporan di Balai Polis Simpang Tiga, di sini, pada malam kejadian.


Sementara itu, ibu Lim, Tan Cheng Peng, 44, mendakwa sempat melihat seorang lelaki berlegar-legar di depan rumahnya pada petang kejadian.

"Saya kemudian menghidupkan semua lampu di luar rumah kerana bimbang melihat gelagat lelaki terbabit. Saya tidak menolak kemungkinan lelaki yang dilihat petang semalam (kelmarin) yang melakukan perbuatan ini," katanya.


Jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan dan siasatan masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/07


UIAM mahu kutip RM55,000

Posted: 06 Dec 2012 01:19 PM PST

KUALA LUMPUR: Berikutan pergolakan berterusan di Palestin, Persatuan Alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menubuhkan tabung bantuan kemanusiaan bagi membantu mereka.

Presidennya, Khalek Awang, berkata ia inisiatif pihaknya dalam memastikan mangsa kekejaman serangan tentera zionis Israel itu mendapat pembelaan dan kebajikan.


"Secara rasminya, Tabung Bantuan Palestin-Gaza dilancarkan hari ini (semalam) dan kami mengalu-alukan alumni menyumbang bagi mengisi tabung untuk membantu rakyat Palestin di Gaza supaya mereka mendapat bantuan secukupnya.

"Ia membabitkan 55,000 alumni kami di 201 negara di seluruh dunia untuk sama-sama menunjukkan keprihatinan kerana ia julung kali diadakan," katanya pada sidang media pengumuman pelancaran tabung dan majlis makan malam alumni, di sini, semalam.


Hadir sama, Bendaharinya, Ami Rozaidi Chik Ros dan Pengarah Yayasan Pendidikan Pelajar Melayu (YPPM), Datuk Mustapa Othman.


Beliau berkata, sasaran kutipan tabung adalah sebanyak RM55,000 bagi peringkat pertama dan ia akan diserahkan pada perwakilan Gaza pada makan malam tahunan, Khamis ini.

Khalek berkata, tabung itu akan dibuka selama enam bulan bagi menerima dana dan ia boleh dilakukan dengan memasukkan serahan pada akaun Maybank (514066343461) atas nama persatuan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/07


No comments:

Post a Comment